♛ Bab 19
"AD!"
Cemberut wajah Adreanne apabila Hawa tiba-tiba saja memukul lengannya. Hari ini, hari pertama dia dan Hawa menjalani latihan industri di Creative Corporation. Rasa terkejut yang masih bertapak dalam diri Adreanne masih belum pun pudar.
Nak tahu kenapa dia terkejut?
Pertama sebab Creative Corporation adalah syarikat kepunyaan Dato' Fauzi a.k.a bakal bapa mertua dia. Kedua, Edirul Fahmi tu supervisor dia untuk latihan industri kali ni! Perkara yang kedua lebih mengejutkan Adreanne dan dia baru tahu je perihal ni sewaktu briefing session 30 minit yang lepas.
Terkenangkan perbualan di McDonalds semalam, Adreanne ketap gigi rapat-rapat.
"Aira! Hawa cakap korang nak pergi ronda-ronda dekat area syarikat yang korang intern tu esok. Betul ke?"
Soalan daripada Aryan memecahkan kesunyian antara mereka berempat. Anggukan menjadi jawapan kepada soalan Aryan.
"Awak dah dapat tempat untuk intern, Humaira?" tanya Edirul Fahmi pula. Hampir tiga jam mereka ditinggalkan berdua, tapi tak ada sekalipun Adreanne beritahunya soal intern.
"Haah," jawab Adreanne sepatah.
"Apa nama company yang awak intern nanti?" Edirul Fahmi bertanya lagi. Kot-kot dia tahu dekat mana syarikat yang menerima permohonan intern Adreanne.
"Creative Corporation."
Dua patah jawapan yang keluar dari seulas bibir Adreanne buatkan Edirul Fahmi terlopong. Apabila dia perasan mata Adreanne menikam lembut matanya, cepat-cepat dia kawal riak muka.
"Dekat je tu... dalam 30 minit dari rumah papa awak!" Ice lemon tea yang dipesan tadi dihirup seteguk dua.
"Kau tahu ke pasal company tu?" tanya Adreanne. Gaya Edirul Fahmi cakap macam kenal sangat dengan Creative Corporation. Dia pun memang sengaja mencari syarikat yang berhampiran dengan area rumah Encik Khuzairi.
Edirul Fahmi tersedak kecil. Melihatkan Aryan seperti mahu menjawab pertanyaan Adreanne, Edirul Fahmi gerakkan mata ke kiri dan kanan utuk melarang Aryan bersuara. Aryan yang faham dengan isyarat Edirul Fahmi terus mematikan niat.
"Tahu..."
Nafas lega dihembus perlahan. Mujur Adreanne tak bertanya banyak soal Creative Corporation.
"Hari-hari pergi office naik apa? LRT ke?"
Adreanne geleng. "Tak, kereta yang papa beli tu dah sampai. Aku drive nanti."
Edirul Fahmi diam lama. Dia tahu Adreanne memang ada lesen P tapi dia tetap risau. Namun apabila mengenangkan satu hal yang Adreanne belum tahu, dia matikan hasrat untuk menyuarakan kerisauan.
"Bila awak start intern?"
"Isnin ni." Adreanne kerut dahi. Haih, berminat nampak Edirul Fahmi nak tahu pasal hal intern ni.
"Sekali dengan Hawa ke?" Edirul Fahmi melirik mata ke arah Hawa.
Hawa sekadar mengangguk.
"Department mana korang intern nanti?"
"Account..."
Dan perbualan mereka terhenti di situ.
"Kau ni Ad, boleh pula kau termenung!" Hawa tampar lagi lengan Adreanne.
Adreanne merengus kasar. Hawa ni tak nampak ke muka dia tengah baran sekarang ni?
"Jangan tamparlah, Hawa!"
Hawa satukan dua tapak tangan. "Sorry-sorry... Kau la, aku tanya boleh pula mengelamun! Dah tiga kali tau aku ulang soalan tu."
"Kau tanya apa, Hawa?" Malas-malas Adreanne bertanya walhal dia langsung tak ada mood nak melayan soalan Hawa. Mereka sekarang sedang membuntuti langkah seorang penyambut tetamu untuk ke bilik Edirul Fahmi.
"Kau memang tak tahu ke abang ikan kau tu kerja dekat sini?" bisik Hawa perlahan.
Adreanne geleng. "Kalau aku tahu, memang aku reject tawaran company ni."
"Ken-"
Tak sempat Hawa bertanya, mereka sudah pun berdiri di hadapan pintu bilik yang terpampang nama Edirul Fahmi bin Dato' Fauzi. Apabila suara Edirul Fahmi membenarkan mereka masuk, penyambut tetamu yang dikenali sebagai kak Lina membuka pintu.
"Jom, kita masuk!" ajak kak Lina.
-----
NAUFAL pandang lama muka Edirul Fahmi. Apa yang dia nampak tadi seakan-akan terlayar dalam kepala tapi melihatkan reaksi Edirul Fahmi yang selamba buatkan dia geleng kepala berkali-kali.
'Mustahil la,' bisik hati kecil Naufal.
"Kau dah kenapa tergeleng-geleng lepastu kerut-kerut dahi macam tu?" Edirul Fahmi membalas pandangan Naufal dengan muka hairan. Sekejap cuma sebelum dia kembali menilik rekod dalam iMac di atas meja kerjanya.
"Aku rasa macam aku nampak Humaira dekat lobi tadi, tapi macam mustahil pula." Dengan dahi yang masih berkerut, Naufal menjawab.
Naufal kenal muka Adreanne sebab Edirul Fahmi pernah tunjuk gambar pertunangan mereka berdua. Jadi, dia memang ingat sangat muka Adreanne walaupun Adreanne langsung tak kenal siapa dia.
"Dah kau nampak tu Humaira, memang dialah tu!" Dengan sebelah tangan yang menongkat dagu dan sebelah tangan lagi menolak tetikus, Edirul Fahmi bersuara.
"Humaira buat apa dekat sini?" Kalau tadi dahi Naufal cuma berkerut, sekarang dah terbentuk beberapa lapisan di atas kening Naufal.
"Intern!" selamba Edirul Fahmi menjawab.
"Hah?!" Naufal melopong.
Okey, yang ni sumpah dia terkejut!
"Kau tak terkejut ke bila tahu dia intern dekat sini?"
Edirul Fahmi juihkan bibir ke depan. "Tak. Aku dah habis terkejut dah dua hari lepas."
Mujur juga Edirul Fahmi tahu soal ni hari Sabtu lepas. Kalau dia pun baru tahu harini, confirm dia double triple lagi terkejut daripada Naufal.
"Humaira tahu ke kau ni supervisor dia?" tanya Naufal lagi.
"Baru tahu... kot!" jawab Edirul Fahmi dengan bahu terjungkit. Dia yakin kak Lina pasti baru selesai briefing session dengan Adreanne dan Hawa. Untuk kali ini, hanya dua orang pelajar intern yang dipilih untuk menjalani latihan industri di Creative Corporation.
"Maksudnya, dia pun tak tahulah yang kau kerja dekat sini?" Naufal bertanya dengan riak muka tak percaya. Terbayang di fikiran bagaimana rupa Adreanne nanti. Apa yang dia yakin, Edirul Fahmi pasti akan cari dia waktu lunch nanti!
"Dia tak tanya..." Tanpa serba-salah Edirul Fahmi menjawab.
Naufal menghembus nafas kasar. Ditunjal kasar dahi Edirul Fahmi. "Kau memang minta dia maki kau harini, Edy!"
Bunyi ketukan dari pintu buatkan Edirul Fahmi dan Naufal berbalas pandang. Aik, sekejap betul sesi briefing! Edirul Fahmi berdehem sekali sebelum bersuara.
"Masuk!"
Naufal sengih sehingga menampakkan barisan gigi yang tersusun rapi. Dia tepuk kedua-dua bahu Edirul Fahmi dua kali.
"Jangan lupa baca doa tolak bala. Aku keluar dulu!"
-----
SEKALI pandang. Dua kali pandang. Mata Adreanne bagaikan helang yang menunggu masa untuk menyambar mangsa.
Tepat sekali telahan Naufal 10 minit yang lepas, ada bala besar yang bakal menimpa dia hari ini! Edirul Fahmi mengusap belakang tengkuk.
"Err... Hai!"
Besar kecil-besar kecil Adreanne pandang Edirul Fahmi. Puas sudah dia tahan amarah dalam hati sejak dari briefing session tadi. Mujur juga kak Lina sudah diarahkan untuk keluar oleh Edirul Fahmi. Sekarang, cuma tinggal dia, Hawa dan Edirul Fahmi dalam bilik berpenghawa dingin.
"Hai abang ikan!" riang Hawa menjawab dengan wajah tersengih-sengih. Sungguh tak sangka, rupa-rupanya Edirul Fahmi la supervisor mereka untuk tiga bulan ni.
Terletus ketawa daripada bibir Edirul Fahmi. "Eh, Hawa! Awak jangan panggil abang ikan tu dekat office. Malu besar saya nanti."
"Habis, nak kena panggil Encik Fahmi ke?"
Edirul Fahmi angguk sekali. "Tadi kak Lina ada bagitahu tak skop kerja korang macam mana?"
Mengangguk Hawa. "Ada! Kitorang kena prepare financial statement, kan? Tapi kak Lina cakap nanti Encik Fahmi akan explain dengan lebih detail."
"Lagi elok kalau Encik Fahmi tunjuk je kubikel kitorang kat mana cepat-cepat. Saya ni dah rasa 'panas' sangat dah dalam bilik ni," sampuk Adreanne. Tangan dikipas-kipas ke muka. Walaupun pejabat Edirul Fahmi berpenghawa dingin, namun rasa bahang dalam diri tak mampu dilenyapkan dengan suhu 16°C.
Terasa payau air liur Edirul Fahmi apabila Adreanne tiba-tiba menyampuk. Kenapalah dia tak tahan je Naufal dari keluar tadi? Kalau tak, mesti Adreanne tak berani bersuara.
"Ad! Tak baiklah kau cakap macam tu. Walaupun dia ni abang ikan kau, dia tetap supervisor kita tau! Kalau dia failkan kau macam mana?" tegur Hawa.
"Ah, kisah pula aku dia nak failkan aku! Kalau fail pun bagus juga, aku intern la dekat tempat lain nanti." Adreanne jeling tajam Edirul Fahmi yang tergaru-garu di hadapan.
Hawa tepuk peha Adreanne. Sah! Adreanne memang tak sayang mulut. "Kau sanggup ke nak grad lambat? Eii, kau ni kan! Kalau mulut masin macam mana?"
Adreanne tulikan telinga. Hawa memang tak anggap dia kawan. Sanggup Hawa lebihkan Edirul Fahmi daripada dia yang dah berkawan dengan Hawa lebih 15 tahun ni.
"Jomlah! Saya tunjukkan meja korang dulu. Nanti kalau ada kerja, saya pass dekat korang."
Edirul Fahmi bangun dari kerusi. Dia melangkah keluar sambil dibuntuti oleh Adreanne dan Hawa. Apabila Edirul Fahmi melepasi meja penyambut tetamu, dapat dia lihat Naufal yang sedang bertenggek di meja kerja salah satu staff bahagian management.
Naufal kulum senyum. Terjungkit-jungkit kening dia sambil mulut mengherot ke arah Adreanne yang di belakang Edirul Fahmi. Mulut dibuka sedikit lalu tanpa suara dia mengejek Edirul Fahmi.
Menjuling mata Edirul Fahmi ke atas. Sampai saja di hadapan lima kubikel, Edirul Fahmi menegur tiga orang staf bawahannya.
"Kenalkan, ini dua orang student intern kita untuk sesi kali ni."
Adreanne cuba memaniskan muka. Usai Hawa memperkenalkan diri, Adreanne mula menyapa tiga staf yang pegun melihat ke arah dia dan Hawa.
"Hai! Saya Adreanne. Boleh panggil Ad je."
"Hai Ad! Hai Hawa! Nama akak, kak Som. Akak paling veteran dekat sini," tegur seorang perempuan yang berturban merah. Sekali pandang, macam Ramlah Ram.
"I pula, Irine!"
Mata Adreanne dan Hawa menyorot ke arah Irine. Pergh, seksi yakmat! Kain dia tu kalau boleh terbelah kat tengah macam nak terbelah sampai ke atas. Hawa dan Adreanne menghantar isyarat antara satu sama lain.
"Ad ni cantiklah. Dah berpunya ke belum? Kalau belum, jomlah couple dengan abang Man!"
Nak tertanggal rahang Adreanne dan Hawa mendengar teguran selamba seorang lelaki yang tersenyum miang ke arah mereka. Hawa mencuri pandang ke arah Edirul Fahmi. Abang ikan jealous weh!
"Kau tak payah nak miang keladi sangat, Man! Dia tu tunang orang..." atau lebih tepat lagi tunang saya. Namun ayat hujung cuma mampu ditelan.
"Entah si Man ni! Pantang nampak perempuan cantik je terus keluar taring. Mana tak jadi bujang lapuk!" sokong kak Som.
Man, atau nama panjangnya Aiman memang sejenis yang hidung belang. Dah berdozen anak dara yang di'ayat', namun satu pun tak melekat.
Sebab apa? Sebab si Aiman ni gelojoh sangat!
"Encik Fahmi dengan kak Som ni risau sangat saya 'ayat' si Ad ni sikit! Saya ni bergurau je," jawab Aiman segan. Jatuh maruah dia sebab lelaki paling bergaya dalam office ni.
"Eh! Tapi mana Encik Fahmi tahu Ad ni dah bertunang? Saya tak nampak cincin pun dekat jari dia..." sambung Aiman pula. Sedari tadi dia memang perhatikan jari Adreanne. Disebabkan semua jari Adreanne masih kosong tanpa sebarang cincin, dia beranikan diri untuk meng'ayat' Adreanne.
Edirul Fahmi terkedu. Mata mencari-cari kelibat cincin tunang mereka di kedua-dua jari manis Adreanne. Betul cakap Aiman, tak ada cincin yang tersarung di mana-mana jari runcing Adreanne. Sedar Adreanne melarikan jari dari pandangan matanya, Edirul Fahmi berdehem perlahan.
"Korang tu borak, borak juga. Kerja jangan lupa siap!" pesan Edirul Fahmi sebelum dia mengatur langkah ke arah pejabatnya. Terasa memang terasa, tapi dia masih ada rasional untuk tidak melepaskan amarah pada tempat yang salah.
Bahagian dalam pipi Adreanne gigit lembut. Marah ke Edirul Fahmi? Bukan dia sengaja tak pakai cincin tunang, tapi dia betul-betul lupa nak pakai balik selepas mandi pagi tadi. Kalut sangat nak ke pejabat.
"Eh, duduk... duduk!" pelawa kak Som apabila Adreanne dan Hawa masih pegun berdiri di hujung kubikel. Tersengih keduanya sebelum masing-masing melabuhkan duduk di kubikel yang tersedia.
-----
LUNCH hour adalah waktu yang paling orang bekerja suka. Inilah masa yang paling best untuk membawang pasal cerita-cerita sensasi dan melabuh sesama sendiri.
"Kita nak ke mana ni kak Som?" Sangka Adreanne mereka akan menaiki kereta, namun sangkaannya meleset sama sekali bila kak Som langsung tidak melangkah ke arah parkir kereta.
"Kita pergi makan dekat depan tu je... Sedap tau makanan dia! Rugi sangat kalau korang tak try."
Adreanne dan Hawa sama-sama menoleh mengikut arah jari telunjuk kak Som. Kelihatan sebuah gerai dengan beberapa meja dan kerusi plastik yang tersusun di seberang jalan.
Sambil berjalan, riuh mulut kak Som bereceloteh itu dan ini. Kata kak Som, gerai Cik Milah ni dah lama buka. Rata-rata yang akan menjamu selera di sini sememangnya pekerja-pekerja di Creative Corporation.
"Dekat sini semuanya layan diri. Korang pilih je apa yang korang nak makan, kak Som belanja harini!" ujar kak Som sebaik saja mereka mula beratur di belakang beberapa orang pelanggan.
"Eh! Takpa la kak Som, susah-susah je." Hawa menolak pelawaan kak Som dengan sopan. Segan rasanya apabila mereka baru berkenalan tak sampai sehari tapi kak Som dah mula mengeluarkan duit untuk mereka.
"Takda susahnya la, Hawa! Harini kak Som belanja korang, esok lusa korang dah dapat elaun, korang pula belanja kak Som."
Menggeleng Adreanne dengan telatah kak Som. Kak Som sememangnya menghiburkan dan senang untuk mereka bergaul. Walaupun umur kak Som dah menjangkau 40-an, namun jiwa kak Som tetap jiwa muda.
"Kira sekali tau, Milah!" ujar kak Som sambil mengawang bulatan ke arah tiga pinggan nasi berlauk.
"Hai kak Som... bawa anak dara manis pula harini ya!" tegur Cik Milah.
"Eh, mestilah! Tak larat aku kalau hari-hari nak makan dengan Man je. Jealous pula laki aku nanti," seloroh kak Som. Memang sudah menjadi kebiasaan untuk kak Som makan tengah hari dengan Aiman. Harini saja dia nak ubah selera memandangkan Aiman pun awal-awal lagi sudah lesap entah ke mana.
"Hah! Cakap pasal Man, dia tak mengorat ke dua orang anak dara ni? Cantik-cantik betul budak berdua ni!" puji Cik Milah sambil berbalas senyum dengan Adreanne dan Hawa.
"Gila kau tak try Milah! Aiman tu lepas je Encik Fahmi kenalkan diorang ni dekat department kitorang, terus diajaknya couple si Ad ni. Gelojoh betul budak tu!" Riuh kak Som membuka cerita. Adreanne pula sudah malu-malu kucing di sebelah kak Som.
"Ingat abang ikan, Ad!" pesan Hawa dalam keadaan berbisik. Bukan dia tak perasan Edirul Fahmi asyik terjeling-jeling ke arah mereka. Barangkali Edirul Fahmi dengar celoteh kak Som dan Cik Milah.
"Macamlah kau tak tahu Som perangai Man tu. Pantang nampak perempuan kulit licin, terus panjang je akal dia nak mengorat. Eh! Cerita-cerita juga, adik berdua ni nama apa?" Baru Cik Milah perasan, dia belum tahu siapa empunya diri yang di'ayat' oleh Aiman.
"Okey la Milah, kitorang pergi makan dulu. Aku perasan Encik Fahmi tu dah terjeling-jeling tengok kitorang dari tadi. Mesti dia risau kitorang mengulat nanti." Perlahan saja suara kak Som meminta diri usai Adreanne dan Hawa berkenalan pendek dengan Cik Milah.
Adreanne tercari-cari kelibat Edirul Fahmi bila kak Som mengatakan yang Edirul Fahmi sedari tadi terjeling-jeling ke arah mereka. Bertemu saja pandangan dia dengan Edirul Fahmi, terus Adreanne larikan mata.
"Kak Som! Sinilah... Duduk dengan kitorang!" Naufal melambai-lambai ke arah kak Som saat anak mata mereka bertemu. Inilah masa yang sesuai untuk dia berkenalan dengan dua pelajar intern bawah seliaan Edirul Fahmi. Atau lebih tepat lagi dengan Adreanne.
Kepala kak Som mengangguk. "Jomlah kita pergi sana! Bukan selalu dapat makan satu table dengan 'orang besar' ni," ajak kak Som dalam keadaan berbisik.
"Siapa tu kak Som?" Hawa turut bertanya dalam keadaan berbisik. Adreanne di sebelah diam menahan gugup. Dia perasan Edirul Fahmi langsung tak berkalih ke arahnya.
"Itulah Encik Naufal, Head of Marketing Department! Dia dengan Encik Fahmi tu kira ketua jabatan paling hot dekat company kita tau!"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro