♛ Bab 18
KEDAI yang menjual pelbagai barang kemas wanita menjadi pilihan Edirul Fahmi. Adreanne mengikut langkah Edirul Fahmi dari belakang. Tadi, mereka dah beli sehelai baju kemeja berwarna hitam, sepasang kasut kulit PVC berwarna hitam, dua utas jam tangan couple set dan satu set telekung untuk dijadikan hantaran. Aryan pun sejak masuk ke shopping complex ni, terus hilang. Katanya, tak mahu menganggu mereka berdua.
"Ada tak mana-mana design yang awak berkenan, Humaira?"
Adreanne meliarkan mata ke setiap design cincin yang terpapar di sebalik rak kaca. Semua reka bentuk cincin yang berada di hadapannya terlampau cantik dan dia rambang mata. Namun, memikirkan yang mereka perlu cepat, Adreanne lekas-lekas menunjukkan ke arah dua bentuk cincin yang mencuri hati.
"Yang ni..." Adreanne tunjuk ke arah sebentuk cincin jenis round cut diamond.
"Atau yang ni?" Jari Adreanne menunjuk ke arah sebentuk lagi cincin jenis princess cut diamond butterfly. Disebabkan Adreanne alergik dengan emas kuning, terpaksalah dia memilih cincin berwarna emas putih.
Edirul Fahmi mengarahkan sales assistant yang setia berdiri di hadapan mereka untuk mengeluarkan dua bentuk cincin yang ditunjukkan oleh Adreanne tadi. Setelah melihat dengan lebih dekat dua bentuk cincin tersebut, Edirul Fahmi menyua cincin yang menjadi pilihanya kepada Adreanne.
"I think this one will suit you more."
Cincin kedua yang ditunjukkan oleh Adreanne tadi menjadi pilihan Edirul Fahmi. Dalam diam, Edirul Fahmi memuji citarasa Adreanne.
"Aku pun rasa yang ni lawa."
Adreanne pakaikan cincin pada jari manis. Cantik! Dia betul-betul jatuh hati dengan reka bentuk cincin yang tersarung di jari manis. Setelah memilih saiz cincin, mereka memilih design yang sesuai untuk Edirul Fahmi. Sebentuk cincin lelaki jenis dome laser berwarna silver menjadi pilihan mereka berdua.
"Saya nak buat payment kejap," beritahu Edirul Fahmi usai mereka memilih cincin.
Adreanne sekadar mengangguk. Dia bangun dan menilik setiap jenis barang kemas yang dipamerkan dalam rak kaca lut sinar. Apabila Edirul Fahmi yakin yang Adreanne sudah tenggelam dalam dunia sendiri, dia menoleh ke arah juruwang.
"Kalau saya nak request something boleh ke?"
Juruwang yang memakai tag nama Linda mengangguk. Sehelai kertas kecil dan sebatang pen dihulurkan. "Encik boleh tulis apa yang encik nak request tu dekat kertas ni. Jangan lupa tulis nama, nombor telefon dan nombor resit sekali."
Usai menuliskan apa yang dimahu, Edirul Fahmi mendekati Adreanne yang sedang membelek rantai leher. Ralit Adreanne memerhati setiap reka bentuk rantai tanpa dia sedari yang Edirul Fahmi sudah berdiri di sebelah.
"Humaira nak rantai tu ke?" Edirul Fahmi juihkan mulut ke arah rantai leher yang berada dalam tangan Adreanne.
Adreanne tersentak. Dia menoleh ke sisi. "Takda la, aku saja je tengok." Rantai yang berada dalam pegangan diletakkan kembali di tempatnya. "Cantik kan design dekat sini? Aku rambang mata tengok semua ni."
Edirul Fahmi sekadar mengangguk. Jam Rolex di pergelangan tangan kiri ditilik. "Dah pukul 6:30 ni, kita pergi surau solat Asar dulu lepastu baru balik."
Adreanne angguk. Dia berjalan beriringan dan mereka mula berpisah haluan setibanya di kawasan surau.
-----
ARYAN yang baru melangkah keluar terpandangkan sosok tubuh seorang perempuan. Walaupun dia tak nampak dengan jelas wajah perempuan tersebut, Aryan rasa sosok itu sangat familiar. Dia mengejar langkah perempuan berbawal satin emerald green dengan pantas.
"Bodoh! Aku memang bodoh!"
Dapat Aryan dengar cacian yang dihamburkan oleh perempuan di hadapannya. Suara ni macam suara...
"Hawa?" tegur Aryan apabila otak dapat mengecam suara lunak yang tak asing bagi dia.
Hawa keras kejung. Siapa pula yang tegur dia tengah-tengah mall ni?
"Betul kan, ni Hawa?"
Aryan beranikan diri untuk melangkah ke hadapan Hawa. Dia berdiri bertentangan dengan Hawa yang tunduk menekur lantai.
"Gosh, thankfully I'm not wrong! It's really you, Hawa!"
Hawa kesat airmata dengan hujung lengan baju. Perlahan-lahan dia mengangkat wajah untuk melihat siapa yang menegur.
"Err... abang Aryan buat apa dekat sini?"
Terkejut bukan kepalang Hawa rasakan apabila Aryan berdiri bertentangan dengannya. Hawa melilaukan mata untuk mencari kelibat orang lain yang mungkin menjadi peneman Aryan untuk hari ni.
"Abang teman Aira beli hantaran kahwin, tapi Aira takda... Dia ada dengan Edy."
Hawa sekadar meng'oh'kan. Padanlah Adreanne dah sibuk beli barang hantaran, hujung minggu depan status Adreanne bakal berubah.
"Hawa teman abang makan nak tak? Abang belum makan lagi ni," ajak Aryan. Dia tahu Hawa masih malu dengannya kerana dia jumpa Hawa dalam keadaan muka Hawa basah dengan airmata.
"Okey," setuju Hawa. Lepas apa yang jadi tadi, elok juga kalau dia pergi menggembirakan diri dengan makanan yang sedap-sedap.
"Hawa nak makan apa? Abang belanja."
Hawa ketap bibir rapat. Mana pernah dia ditinggal berdua dengan Aryan. Selama ini pun kalau dia berjumpa dengan Aryan, pasti Adreanne ada sekali.
"Takpa la abang Aryan, Hawa bayar sendiri je makanan Hawa nanti."
Sebaik saja mereka melangkah masuk ke dalam McDonalds, Aryan melangkah ke arah mesin untuk membuat pesanan. Apabila menyedari Hawa sedang berdiri di mesin belakang, Aryan tarik lengan baju Hawa sehingga Hawa berdiri di sisinya.
"Sekali-sekala abang belanja Hawa. Apa salahnya, kan?" Dengan jari yang menyorot skrin, Aryan ulang soalan yang sama. "Hawa nak makan apa ni?"
"Hawa nak Spicy Chicken McDeluxe yang kombo." Malu-malu Hawa menjawab.
"Air nak air apa? Milo ke?"
"Haah."
"Hawa ada nak add-on apa-apa tak?"
"Kalau Hawa nak add-on cheese dengan Belgium Chocolate Cake boleh tak, abang Aryan? Nanti Hawa bayar."
"Okey."
Selesai membuat bayaran menggunakan kad debit, Aryan berjalan ke arah meja yang terletak agak tersorok. Usai mempersilakan Hawa duduk, dia mengambil tempat bertentangan dengan Hawa.
"Berapa total untuk makanan Hawa tadi, abang Aryan? Hawa bayar."
Aryan menyuruh Hawa untuk menyimpan kembali dompet milik Hawa. Resit yang berada di atas meja Aryan lipat-lipat lalu dimasukkan ke dalam kocek jaket hitamnya.
"Kan abang cakap abang belanja. Hawa simpan je duit Hawa tu."
Hawa naik segan. "Abang Aryan belanja sebab abang Aryan kesiankan Hawa ke?"
Aryan menyatukan jari-jari. "Kenapa Hawa cakap abang kesiankan Hawa?"
"Abang Aryan mesti nampak Hawa nangis tadi."
"Jadi?"
"Mesti abang Aryan belanja sebab abang kesian tengok Hawa nangis, kan?"
Hawa makin malu. Sudahlah Aryan nampak dia menangis lepastu sekarang, Aryan belanja dia McDonalds pula.
"Merepek je Hawa ni. Lagipun, kan abang yang ajak Hawa teman abang makan tadi. Takkan abang nak suruh Hawa bayar sendiri pula bila abang yang ajak Hawa."
Apabila perasan riak muka Hawa yang penuh dengan rasa bersalah, cepat-cepat Aryan ubah arah perbualan mereka.
"Hawa datang KL bila? Aira tak cerita pun Hawa nak datang sini."
Hawa pandang muka Aryan. Terdetik di hatinya, Aryan memang tak ada rasa curious langsung ke kenapa dia menangis tadi? Bukan Hawa tak tahu perangai Aryan yang agak kepohci.
"Hawa dah start intern hari Isnin ni."
"Oh! Hawa intern dekat mana?"
"Creative Coperation. Abang Aryan tahu ke syarikat tu?"
Aryan angguk. "Eh, mestilah tahu! Abang kenal siapa pemilik syarikat tu."
Dahi Hawa berkerut. "Ad kenal juga ke siapa owner company tu?"
Aryan mengetuk dagu. "Tahu... kot!"
Makin berlapis dahi Hawa. "Eh, tapi Ad takda cakap pun apa-apa pasal company tu! Ad kata dia pun tak tahu kat mana company tu. Sebab tulah esok kitorang plan nak try ronda-ronda dekat area company tu," cerita Hawa.
"Aira dapat company yang sama ke dengan Hawa?" tanya Aryan. Seingat Aryan, Adreanne tak ada pula bagitahu nama syarikat yang Adreanne akan jalani latihan industri.
Apabila melihatkan anggukan daripada Hawa, Aryan simpan senyum. Bunyi deringan telefon dari atas meja buatkan kedua-duanya diam. Aryan lekapkan telefon ke telinga.
"Aku dekat McDonalds ni. Korang dah nak balik ke?"
Hawa yang dari tadi membelek jari mula mengangkat muka.
"Hah, okey la macam tu! Aku tunggu dekat sini je."
Hawa bersuara apabila Aryan jauhkan telefon dari telinga. "Kawan abang Aryan nak datang sini ke?"
"Taklah, Edy yang call tadi."
Hawa mengunci mulut. Kalau Edirul Fahmi datang sini, mesti Adreanne akan ikut sekali. Seboleh-bolehnya dia tak nak Adreanne tahu sebab dia yakin Adreanne pasti mengamuk. Sudahlah Adreanne tinggal lagi seminggu je untuk menanti hari bahagia. Hawa mengeluh perlahan.
-----
EDIRUL Fahmi setia menanti Adreanne di hadapan surau. Dia tahu Adreanne belum keluar kerana dia terpandangkan kasut tumit tinggi Adreanne yang masih terletak di rak surau perempuan.
"Kau dah lama keluar ke?"
Sapaan dari Adreanne membuatkan Edirul Fahmi mengangkat muka dari memandang dada telefon. Sebentar tadi dia menelefon Aryan untuk bertanyakan keberadaan Aryan. Memang ngam betul timing dia call Aryan bila Aryan kata dia ada dekat McDonalds tadi. Perut dia pun memang dah lama berkonsert rock.
"Lama tak lama, dalam 10 minit juga la."
Edirul Fahmi mengambil beg kertas yang dijinjit Adreanne. Adreanne sekadar mengucapkan terima kasih sebelum dia terkial-kial memakai kasut tumit tinggi miliknya. Tak berlengah lagi, Edirul Fahmi letakkan beg-beg kertas yang baru bertukar tangan tadi ke lantai. Dia duduk bertinggung di hadapan Adreanne, atau lebih tepat lagi berhadapan dengan kasut Adreanne.
Terkejut Adreanne apabila melihatkan kelakuan Edirul Fahmi. "Eh, kau buat apa ni! Bangunlah weh, malu orang tengok kita!"
Adreanne sekadar menayang sengih ke arah pengunjung-pengunjung yang memerhati mereka. Sumpah malu!
"Awak pegang bahu saya ni, dah macam nak terjatuh dah saya tengok awak terkial-kial pakai kasut tu," suruh Edirul Fahmi. Dia tundukkan lagi kepala untuk memudahkan Adreanne memegang bahunya.
"Ish, bangunlah Edy! Aku boleh pegang dinding ni je."
"No! Saya takkan bangun selagi awak tak pegang bahu saya Humaira."
"Ish, malulah!"
"Saya suruh awak pegang Humaira. Kalau ikutkan hati saya ni, saya nak je tolong pakaikan kasut tu dekat kaki awak tapi saya takut kalau saya tersentuh awak nanti."
"Dah tu, tak payahlah tolong! Please la, Edy... semua orang tengah tengok kita ni."
Adreanne masih berkeras. Malu bukan kepalang lagi dia rasakan sementelah mereka menjadi tumpuan setiap pengunjung yang keluar masuk surau.
"Selagi awak tak ikut cakap saya, selagi tu saya duduk macam ni. Biar lepasni pak guard pun pandang kita pula."
Edirul Fahmi turut sama berkeras. Dia tahu, selagi dia tak berkeras, selagi tu Adreanne takkan dengar cakap dia. Dia bukannya apa, dia risau kalau-kalau Adreanne jatuh dan terseliuh nanti. Apa dia nak jawab dengan Encik Khuzairi nanti? Sudahlah majlis mereka pun tinggal seminggu je lagi.
"Ish, yalah-yalah!"
Adreanne cengkam kuat bahu kiri Edirul Fahmi untuk melepaskan rasa geram yang terbuku. Sebelah tangan lagi memakai kasut.
"Amboi, kuatnya cengkam!" tegur Edirul Fahmi. Tersengih dia dibuatnya tatkala Adreanne sengaja mencengkam dengan lebih kuat lagi.
"Dah ke?" tanya Edirul Fahmi apabila Adreanne tak lagi memegang bahunya.
"Hmm."
Dengan kasar, Adreanne merenggut semua beg kertas yang diletakkan di atas lantai. Laju dia jalan meninggalkan Edirul Fahmi. Malu sebab jadi tontonan umum satu hal, tambah pula geram dengan sikap mengada Edirul Fahmi pun ya juga.
"Kita pergi McDonalds dulu. Aryan dah tunggu kita dekat sana," beritahu Edirul Fahmi apabila dia dapat menyaingi langkah Adreanne.
-----
MATI langkah Adreanne tatkala susuk tubuh Hawa yang tadi membelakanginya sudah berpaling. Macam mana Hawa boleh melepak berdua dengan Aryan? Sungguh, dia tak faham apa yang tengah jadi sekarang ni.
"Ad..." Hawa terkedu melihat Adreanne. Segera dia tarik tangan Adreanne untuk duduk di sebelah. "Kau duduk dulu, Ad. Nanti aku cerita apa yang jadi."
Adreanne hanya menurut. Setelah rasa terkejut yang terbit tadi mula memudar, Adreanne bersuara. "Bila kau sampai KL? Semalam kita chat, kau tak cakap pun kau nak datang KL harini."
"Pagi tadi. Sampai je KL, aku terus datang sini."
"Kau ada apa-apa nak cerita dekat aku?"
Mujur saja mereka ditinggalkan berdua sekarang ni. Edirul Fahmi sedang menunggu pesanan mereka di kaunter. Aryan pula sejak dia sampai di McDonalds, menonong aje Aryan berjalan melepasi dia. Bila ditanya, Aryan kata nak ke tandas. Adreanne tahu Aryan dan Edirul Fahmi mahu memberikan ruang untuk dia dan Hawa. Bukan dia tak nampak anak mata Aryan yang mengarahkan Edirul Fahmi untuk mengikut Aryan.
"Iqbal..."
Walaupun Hawa bersuara dalam keadaan menunduk, Adreanne tahu Hawa menangis. Bahu Hawa yang terhinggut-hinggut menahan tangis dah membuktikan segala.
"Kenapa dengan Iqbal? Kau datang sini sebab Iqbal ke?"
Adreanne menggosok-gosok bahu Hawa persis memujuk. Terlihatkan Hawa mengangguk, Adreanne kepal penumbuk.
"Dia buat apa pula kali ni?" tanya Adreanne. Bukan dia tak kenal dengan perangai Iqbal yang tak habis-habis melayan Hawa acuh tak acuh. Entah dah berapa kali Adreanne nampak Hawa menangis sebab makan hati dengan perangai Iqbal.
"Dia... d- dia curang dengan aku."
Makin melebat airmata Hawa yang menuruni lekuk pipi. Puas ditepis bayangan Iqbal dan seorang perempuan yang sangat seksi di butik pakaian ibu mengandung, namun apa yang jadi tadi seolah-olah kaset rosak yang berulang tayang dalam otak.
"Bodoh tau jantan tu! Dah banyak kali aku suruh kau putus je dengan mangkuk ayun tu tapi kau degil!" hambur Adreanne. Dia tahu Hawa tak sanggup nak memutuskan hubungan cinta yang bersulam selama dua tahun, tapi sebagai kawan, dia lagi tak sanggup tengok Hawa menangis macam ni. Dia sukakan Hawa yang kaki mengusik, bukan kaki nangis.
"Aku sayang dia, Ad. Dia janji nak kahwin dengan aku t- tapi ke- kenap- pa dia curang dengan aku? Dia dah janji Ad... dia dah janji..."
Adreanne menarik Hawa ke dalam pelukan. Diusap-usap belakang Hawa untuk meredakan tangisan Hawa. Apabila dia ternampak Edirul Fahmi dan Aryan berdiri di belakang mereka, Adreanne menyuruh keduanya meninggalkan mereka dengan anak mata.
Aryan dan Edirul Fahmi duduk di meja belakang sementara menunggu isyarat untuk kembali ke meja Adreanne.
"Kenapa tu?" tanya Edirul Fahmi dengan bibir yang menjuih ke belakang, atau lebih tepat lagi ke arah Adreanne dan Hawa.
Aryan jungkit bahu. "Aku pun tak tahu. Masa aku jumpa tadi pun memang Hawa dah nangis."
Adreanne tahan sabar dalam hati. Dia suruh Aryan dan Edirul Fahmi duduk jauh sikit daripada mereka tapi boleh pula dua orang lelaki tu duduk di meja yang betul-betul di belakang dia dan Hawa.
"Aku bodoh, Ad... bodoh sangat sebab percayakan dia! Dia janji dia nak berubah, tapi kenapa dia buat aku macam ni?"
"Tak, kau tak bodoh Hawa... Mangkuk tu yang bodoh sebab dah sia-siakan perempuan yang setia macam ni. Dia tu memang bullshit!" maki Adreanne lagi. Kesabaran dia kalau melibatkan Iqbal memang tahap tipis tu macam epidermis bawang.
"Kau nampak Iqbal dekat mana tadi?" siasat Adreanne lagi. Selama tiga jam dia ke hulu ke hilir dalam mall ni, tak ada sekalipun dia ternampak lubang hidung Iqbal.
"Dekat 9 Months."
Membulat mata Adreanne. Dia tahu butik 9 Months tu memang butik khas untuk wanita mengandung. Semuanya maternity dress yang dijual dalam butik yang disebut oleh Hawa.
"Perempuan yang kau jumpa dengan mangkuk tu tengah pregnant ke Hawa?"
Berbakul-bakul sumpah seranah yang keluar dari dua ulas bibir Adreanne apabila melihatkan kepala Hawa yang mengangguk. Dasar lelaki tak guna!
"Dia tu memang tak guna! Kau call Iqbal sekarang, kau tanya mangkuk tu dekat mana," suruh Adreanne.
Hawa geleng.
"Call dia Hawa... biar aku lunyai-lunyaikan muka dia yang macam jebon tu!"
Aryan dan Edirul Fahmi menelan liur kasar. Kedudukan mereka yang hampir dengan Adreanne dan Hawa buatkan mereka dapat dengar dengan jelas setiap patah perbualan dua gadis itu. Bukan niat untuk mencuri dengar, tapi kalau dah suara Adreanne tu memetir memang susah nak buat-buat tak dengar.
"Kau jangan buat hal Edy bila kau dah kahwin dengan Aira. Aku risau esok kau tujuh tanah ke bawah je," pesan Aryan dengan suara perlahan.
Bergalon-galon air liur yang ditelan Edirul Fahmi. "Garangnya..." balas Edirul Fahmi perlahan.
Hawa menahan Adreanne daripada bangun. Dia paksa Adreanne untuk duduk apabila dia menyedari banyak kepala yang mula menoleh ke arah mereka.
"Kau lepas, Hawa! Kalau kau tak nak call dia, biar aku tawaf satu mall ni. Biar dia sedar sikit langit tu tinggi ke rendah!"
Adreanne cuba merentap lengan dari pegangan tangan Hawa. Makin dia cuba untuk merentap lengannya, makin kuat pegangan tangan Hawa. Rontaan mula terhenti apabila Adreanne dengar bait kata yang keluar dari mulut Hawa.
"Aku dah lempang dia guna phone aku tadi. Sakit tak sakit, pecah juga la bibir dia."
Terus Adreanne labuhkan duduk. Adreanne cuba menenangkan diri yang masih panas dengan amarah. "Kenapa kau tak cakap dari awal?"
Hawa garu dahi. "Tak sempat nak cakap kau dah mengamuk sakan."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro