
♛ Bab 10
ADREANNE baring di atas katil. Anak patung kucing berwarna kelabu yang berada di sisi dipeluk sambil-sambil jari dilarikan pada dada telefon. Dia mahu meredakan otak yang sarat dengan nota untuk exam esok sebelum sesi belajar disambungkan untuk tempoh 30 minit lagi.
Beep!
Adreanne melihat pop up notification yang terlayar di skrin telefon. Dia berkerut sebentar apabila ternampak siapa pemilik nama yang menghantar mesej.
Edirul Fahmi
Sorry.
Eh, kenapa Edirul Fahmi tiba-tiba minta maaf ni! Sudah tu, hanya sepatah perkataan yang dihantar. Jari Adreanne menekan papan kekunci telefon untuk membalas.
Adreanne
Salah hantar ke?
Tak tunggu lama terus sahaja dua tanda kelabu bertukar menjadi biru, tanda Edirul Fahmi sudah membaca mesejnya. Dada Adreanne berdebar menahan gugup apabila ternampak perkataan typing di bawah nama Edirul Fahmi.
Edirul Fahmi
Mana ada salah hantar, saya memang nak hantar dekat awak pun.
Makin berlapis-lapis dahi Adreanne.
Adreanne
Kenapa minta maaf?
Edirul Fahmi
Saya lupa saya dah ucap good luck atau belum dekat awak.
Adreanne melilaukan mata ke syiling bilik, mengingat kembali kalau-kalau Edirul Fahmi ada mengucap dua patah perkataan itu semasa menghantar dia tadi.
Adreanne
Dah kot, aku pun tak ingat sangat.
Tapi takda apa la, wish good luck je pun.
Edirul Fahmi
Takpa la, saya boleh je ucap lagi sekali.
All the best, Humaira. Semoga awak lulus dengan cemerlang exam esok.
Awak dah habis belajar ke ni?
Adreanne
Okey, terima kasih.
Belum, aku take ten kejap.
Edirul Fahmi
Apa pun, awak jangan tidur lewat.
Jangan lupa jaga kesihatan juga!
Hawa yang baru keluar dari bilik air berkerut dahi melihat Adreanne tersenyum-senyum. Tiba-tiba, satu mentol menyala di atas kepala. Rasanya dia tahu kenapa Adreanne senyum kambing begitu.
"Mesej dengan abang ikan la tu. Tu yang senyum sampai telinga," usik Hawa. Sambil melabuhkan duduk di katil sebelah Adreanne, dia mengelap rambut yang masih basah menggunakan tuala kecil.
"Abang ikan... abang ikan! Kau ni suka betul panggil dia abang ikan," gumam Adreanne. Adreanne ketatkan muka supaya tiada lagi senyuman yang terlakar. Dia sendiri tak sedar bila dia senyum.
Mata Hawa mengekor Adreanne yang mula bangun dan berjalan ke arah meja belajar. "Aik, dah habis bermesej ke? Kejapnya," komen Hawa selamba. Biasanya kalau orang tengah angau bercinta ni mesti mesej lama-lama. Susah nak hentikan perbualan la katakan.
"Habis dah la. Kau ingat, aku ni takda kerja lain ke?" balas Adreanne tanpa menoleh ke belakang.
"Eh, bukan kau memang ada kerja lain lagi ke!" sergah Hawa dari tepi. Hawa tarik kerusi dari meja belajarnya ke sisi Adreanne, mahu melepak.
Adreanne menoleh ke tepi. "Kerja apa pula?"
"Kerja nak siapkan diri jadi isteri solehah." Hawa ketawa lucu.
Tak tunggu lama, Adreanne ketuk perlahan kepala Hawa menggunakan hujung pen. "Kau kalau tak merepek satu hari, memang tak sah!"
"Apa pula merepeknya? Memang kau nak kahwin dah pun," jawab Hawa selamba, langsung tak dihiraukan muka Adreanne yang malas melayan.
Adreanne tolak-tolak badan Hawa supaya Hawa menginjak dari meja belajarnya. "Dah, pergi belajar la Hawa! Patutnya bukan aku tau yang kahwin dulu, kau ni yang kena kahwin dulu. Gatal!"
"Sebab aku gatal la aku kahwin lambat," jawab Hawa sambil tersengih-sengih.
Adreanne kerut dahi. "Kenapa pula sebab kau gatal, kau kahwin lambat? Selalunya orang gatal macam kau ni la yang beria nak kahwin awal-awal."
"Aku pun tak tahu kenapa Ad, tapi mak aku cakap, orang yang miang keladi nak kahwin macam aku ni memang selalunya kahwin lambat." Masih Hawa ingat apa yang ibunya kata setiap kali dia gedik-gedik minta nak kahwin dekat Puan Hajar.
"Eh, mana aci macam tu!"
"Tulah, siapa suruh kau tak gatal nak kahwin macam aku! Kalau tak, mesti kau pun sama macam aku juga," sengih Hawa.
"Buang masa aku nak fikir benda ni semua awal-awal. Dah, kau pergi balik meja kau sekarang," suruh Adreanne. Lagi dilayan Hawa ni, lagi dia tak boleh fokus dengan nota di tangan.
"Eh, kejap la! Kau kira sampai sepuluh lepastu aku ciao," arah Hawa.
"Satu..." malas Adreanne mahu mengikut apa yang Hawa minta tetapi dia tetap mengira.
Sambil Adreanne mula mengira, Hawa ambil satu sticky note dan sebatang pen dari atas meja Adreanne. Dia menulis sesuatu pada permukaan sticky note berwarna kuning.
"Lima... dah lima ni, Hawa." Adreanne hanya memerhati apa yang Hawa lakukan. Dia cuba menjenguk untuk melihat apa yang Hawa tulis tapi Hawa lebih cekap menutup sedikit permukaan pelekat nota menggunakan tangan.
"Takpa, aku dah nak siap pun," jawab Hawa.
Apa-apa je la Hawa. Adreanne sambung mengira. "Sembilan..."
Pap! Pelekat nota yang diambil Hawa tadi dilekatkan di atas meja Adreanne. Usai itu, cepat saja Hawa angkat kerusi dan lari ke meja belajarnya yang terletak di hujung bilik.
"Ikan jerung ikan yu, abang ikan cakap I love you," baca Adreanne perlahan. Gigi diketap kuat Dia mencerlung ke arah Hawa yang terkekek-kekek ketawa.
"Hawa!" jerit Adreanne geram. Hawa apa lagi, makin sakan dia ketawa.
"Ingat Ad, jangan angau dekat abang ikan! Dia tak masuk exam kita esok," pesan Hawa sebelum dia menyambung tawa.
-----
SEBAIK saja mata Hawa menangkap kelibat Adreanne yang sedang menyimpan alat tulis di dalam beg, Hawa mendekati Adreanne.
"Macam mana Ad? Okey tak paper tadi?" tanya Hawa apabila dia berdiri di sebelah Adreanne. Sambil-sambil itu mata Hawa mencari kelibat Iqbal, si kekasih hati. Nampak saja Iqbal memandang ke arahnya dari hujung dewan, dia lambai tangan ke arah Iqbal.
"Erm, okey kot," jawab Adreanne berbasa-basi. Dia rasa macam dia boleh jawab tapi dia tak nak terlampau yakin.
"Ada ingat abang ikan tak dalam dewan tadi?" tanya Hawa mengusik.
"Takda makna aku nak ingat dia tengah-tengah jawab exam. Kau ni tak habis-habis dengan abang ikan kau tu dari semalam." Adreanne jeling Hawa.
"Siapa abang ikan?"
Adreanne dan Hawa menoleh ke kiri. Wajah Iqbal yang jelas kebingungan menyapa pandangan mata mereka berdua. Adreanne menjegilkan mata ke arah Hawa yang membawa maksud, 'kau punya pasal la ni.'
Hawa menggaru dahi. Alamak, salah orang la pula yang dengar! "Eh, takda siapa-siapa la awak!"
Iqbal pandang Hawa dengan pandangan yang penuh curiga. "Awak tak pasang skandal belakang saya kan, Hawa?"
"Eh, mesti la tak! Tu abang ikan Ad la, bukan saya," cepat-cepat Hawa menafi. Hawa buat tak nampak dengan Adreanne yang menjegilkan mata makin besar kepadanya.
Dari memandang Hawa, Iqbal ubahkan pandangan ke arah Adreanne. "Betul ke tu abang ikan awak, Ad?"
Adreanne yang terjegil-jegil mata ke arah Hawa tersentak. "Hah? Err... jom la kita pergi makan dekat kafe!" Kalut-kalut Adreanne mengubah topik perbualan sambil menarik kuat lengan Hawa. Iqbal pula dibiarkan berjalan di belakang mereka.
"Kau ni, kan aku dah cakap diam-diam je pasal abang ikan kau tu! Kalau Iqbal bagitahu orang lain macam mana?" bisik Adreanne keras di telinga Hawa.
"Chill la, Ad. Nanti aku suruh Iqbal tu zip mulut dia rapat-rapat, okey?" jawab Hawa main-main.
"Main-main la kau ni, Hawa!"
-----
TELEFON yang menjerit nyaring di atas katil Adreanne capai. Hari ini, cukup seminggu dia menghadapi peperiksaan semester akhir. Masih berbaki lagi tiga hari sebelum dia benar-benar tamat belajar.
Walaupun pelik dengan panggilan telefon tersebut, Adreanne tetap menjawab. "Assalamualaikum," sapa Adreanne sepatah.
"Waalaikumsalam, Humaira. Sorry, saya ganggu awak ke?" tanya Edirul Fahmi dari talian sebelah sana.
"Tak pun. Kenapa kau call ni?" terus Adreanne menyuarakan kebingungan yang melanda. Aneh, tak pernah-pernah pun Edirul Fahmi menelefonnya. Tamat saja mesej mereka seminggu yang lepas, tiada langsung mesej yang dikirim oleh Edirul Fahmi.
"Saya nak tanya, awak dah beli ke baju untuk majlis tunang?" Edirul Fahmi balas dengan soalan, terus kepada tujuan asal dia menghubungi Adreanne.
"Mama cakap mama dah tempah baju untuk majlis tunang tu, tapi aku tak tengok lagi. Kenapa kau tanya?" Seiingat Adreanne, Puan Aminah ada memberitahunya semasa dia menghubungi Puan Aminah hujung minggu lepas.
"Oh, takda apa! Ni saya nak tanya, awak nak tempah pelamin tak untuk majlis tunang tu nanti?"
Adreanne mencuri pandang ke arah pintu bilik. Risau kalau-kalau Hawa tiba-tiba muncul dan terdengar dia bersembang dengan Edirul Fahmi. "Ikut kau la, aku tak kisah pun ada pelamin ke tak."
Edirul Fahmi cuba untuk berfikir kata-kata yang lebih sopan. Sebenarnya, dia tak berapa gemar untuk menempah pelamin demi majlis tunang. Dia mahukan majlis tunang yang sederhana dan kecil-kecilan.
"Kalau kita tak tempah pelamin, boleh ke? Tapi kalau awak nak tempah juga, takpa la, nanti saya uruskan," tanya Edirul Fahmi berhati-hati.
"Boleh je, aku pun tak nak la overspend untuk majlis tunang ni," jawab Adreanne tanda dia okey. Lagipun, dia bukannya teruja pun nak menghitung hari menunggu majlis pertunangan yang akan diadakan pada hujung minggu depan.
"Tengah sembang dengan abang ikan ke tu?" tanya Hawa perlahan dari birai katil.
Adreanne angguk sekali, tanda mengiyakan. Bila masa pula Hawa masuk bilik ni? kenapa dia tak dengar pun bunyi pintu terbuka? Adreanne kemam bibir, berharap Hawa takkan buat kerja gila.
"Hai, abang ikan! Abang handsome la haritu," sapa Hawa kuat. Terletus ketawa kecil apabila muka Adreanne mula merah.
"Kau kan, eii!" ucap Adreanne dengan suara yang tertahan-tahan. Dia cubit peha Hawa perlahan.
Edirul Fahmi yang mula merenung langit malam mula berkerut dahi. "Abang ikan? Siapa tu, Humaira?"
Adreanne gigit perlahan bawah bibir. Walaupun tangan masih mencubit-cubit Hawa, dia tetap menjawab soalan Edirul Fahmi. "Hah? Err... takda siapa-siapa la! Kawan aku ni memang suka merepek sikit."
"Okey," balas Edirul Fahmi sepatah.
Hawa yang masih tersenyum nakal mula menambahkan lagi pewarna merah pada muka Adreanne. "Abang ikan tu awak la, bakal tunang Ad!" usik Hawa lagi.
Tak betah menunggu balasan daripada Edirul Fahmi, terus saja Adreanne matikan talian. Edirul Fahmi yang terdengar bunyi talian dimatikan ketawa kuat. Macam-macam betul la kawan Adreanne yang seorang tu. Dia mula menghantar mesej kepada Adreanne.
Edirul Fahmi
Abang ikan pun abang ikan la, Humaira!
Jadi ikan pun saya sanggup untuk awak.
Adreanne yang terasa getaran dari telefon mula membuka mesej yang Edirul Fahmi hantar. Makin merah muka Adreanne. Hawa yang perasan dengan telefon di tangan Adreanne mula bersuara.
"Abang ikan cakap apa, Ad?" nakal Hawa bertanya.
"Diam la, Hawa!"
------
DUA minggu berlalu, Adreanne sudah pun tamat kertas terakhir pada minggu lepas. Lepas habis jawab exam minggu lepas, menangis juga la dia nak berpisah dengan Hawa. Cengeng? Tak cengeng pun, tapi dia sedih apabila mengenangkan tiada lagi usikan Hawa yang menemani hari-harinya selepas ini.
"Hawa, kau confirm datang majlis tunang aku, kan?" Adreanne bertanya setelah agak lama mereka berbual melalui telefon.
"Eh, confirm la jadi! Aku nak tengok muka abang ikan kau tu."
Itu je la modal Hawa apabila bersembang dengan Adreanne. Tak lekang gelaran abang ikan tu dari mulut Hawa dan Adreanne pun dah malas nak melarang Hawa.
"Abang ikan... abang ikan! Kau je la kahwin dengan dia kalau macam tu," cebik Adreanne. Ingatkan Hawa nak datang majlis tunang dia sebab nak berjumpa dengannya, tapi rupanya Hawa lebih berminat nak mengenali 'abang ikan'.
Hawa menggeleng walaupun Adreanne tak nampak. "Habis, mana aku nak campak Iqbal tu? Sia-sia je bercinta dari first year kalau last-last aku rembat abang ikan kau tu."
"Siapa suruh bercinta bagai nak rak?"
"Sebab aku bercinta la aku tak kahwin awal macam kau, tau!"
"Apa-apa je la, Hawa. Kau nak tumpang aku tak balik kampung?" Adreanne segera mengubah topik.
Hawa mengetuk bawah dagu. Aplikasi kalendar dibuka sambil dia bertanya kepada Adreanne. "Bila kau balik kampung?"
"Esok," ringkas Adreanne menjawab sambil berbaring di atas katil. Terpandangkan baju kurung sulam berwarna sage green itu, Adreanne mengeluh kecil. Tak sangka lagi dua hari dia dah bergelar tunang kepada Edirul Fahmi.
Cakap pasal Edirul Fahmi, dah lama Adreanne tak dengar khabar daripada Edirul Fahmi. Edirul Fahmi pun tak ada mesej atau call dia lepas je kes Edirul Fahmi terdengar gelaran 'abang ikan' daripada Hawa seminggu yang lepas.
"Erm, takpa la. Aku naik bas je!" putus Hawa. Lagipun Adreanne tak benarkan dia beritahu Iqbal, katanya malas mahu mengheboh soal tunang kepada orang luar selain daripada Hawa.
"Okey... nanti kau dah sampai Terminal Kuantan Sentral, kau bagitahu aku. Aku suruh angah ambil kau dekat terminal."
"Boleh, nanti aku bagitahu kau! Pastikan kau bentangkan red carpet masa aku sampai rumah nenek," usik Hawa.
"Tak payah pasang red carpet, aku suruh je Atan sambut kau," balas Adreanne. Terkemam-kemam bibir dia dek menahan ketawa.
Dahi Hawa berlapis. "Atan? Siapa tu?"
"Atan tu beruk nenek aku, nanti aku suruh dia kejar-kejar kau dekat rumah nenek!" Adreanne gelak kuat tatkala membayangkan figura Hawa dikejar Atan.
"Hish kau ni, Ad! Ada pula sambut aku dengan beruk!" desis Hawa geram.
"Tak nak ke? Atan tu handsome tau!" giat Adreanne mengusik.
"Tak nak aku! Kalau abang ikan tu aku nak la, tapi tu kau punya la pula!" jawab Hawa sambil tersengih miang. Agak-agak, bagaimana rupa abang ikan tu? Walaupun Hawa sempat melihat muka Edirul Fahmi, tapi dia ingat-ingat lupa sudah wajah bakal tunang Adreanne.
"Abang ikan takda," balas Adreanne selamba.
"Eh, dia tak datang majlis tunang korang ke!" Terperanjat Hawa apabila terdengarkan sebaris ayat Adreanne.
"Datang... tapi dia tak tidur rumah nenek," jelas Adreanne malas-malas.
"Takpa la, nanti majlis kau tunang tu aku nak berkenalan dengan abang ikan. Boleh kan, Ad?" sengaja Hawa bertanya walaupun dia tahu Adreanne langsung tak kisah.
"Macam aku cakap tadi, kau nak kahwin dengan dia pun boleh... tapi kau yang tak nak, kan?"
"Kalau aku single pun, aku takkan nak abang ikan tu. Tak sanggup aku nak biarkan kau membujang sampai ke tua," balas Hawa. Sekacak manapun abang ikan tu, tetap dia tak akan rembat apa yang bakal jadi hak milik Adreanne.
"Dah la, aku nak end call dah ni. Cakap dengan kau ni, asyik cakap pasal abang ikan je!" rungut Adreanne. Dia mengerling jam digital yang berada di meja katil, pukul 2 petang. Patut la mata dah mula kuyu. Adreanne menguap.
"Okey, bye Ad!"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro