Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

TRIP TO NARAKU (Bahagian Akhir)

Penulis : Proff Zerof
Team : Phoenix (FB)


X X X X X 

Trak usang itu berhenti betul-betul di hadapan kami. Cermin tingkap diturunkan. Seorang gadis menjongol muka memandang aku dengan kening yang berkerut. Bahagian hidung dan mulutnya ditutup dengan kain berwarna merah. Acah-acah heroin dalam filem mortal engine.

"Faisal!" Dia berteriak menyebut namaku seraya menuding jari. "Cepat naik!"

Aku teragak-agak, macam mana dia boleh tahu namaku?

"Cepatlah! naik kalau nak balik," kata gadis itu lagi. Dia membuka kain yang menutupi sebahagian wajahnya.

"Husna!" Mataku terbeliak.

"Dah cepat, jangan banyak tanya lagi."

Terkocoh-kocoh aku masuk ke dalam perut kereta. Begitu juga dengan Nahi.

"Cepat Hany, kita gerak sebelum mereka sampai sini." Husna tampak cemas.

Gadis memakai helmet fullface disebelah Husna segera menekan pedal minyak. Enjin trak mengaum, tayar berputar dan trak bergerak semula.

Husna berpaling memandang aku dan Nahi yang masih terkebil-kebil. "Awak berdua pandai menembak?"

"What? Menembak apa pula?" Aku terkejut. Jangan-jangan si Husna ini sudah menyertai militan dan kematian dia sebulan lalu adalah palsu.

"Saya tak boleh nak terangkan apa-apa lagi, awak berdua ambik senjata dekat bawah tu cepat!" Husna menuding jari ke arah bawah tempat duduk kami.

Aku dan Nahi yang masih dilanda kebingungan hanya menuruti sahaja. Kami mengambil senjata yang dikatakan oleh Husna tadi.

"Apa ni?" soalku tatkala memangku selaras senapang aneh. Rekabentuknya seperti senjata di dalam permainan video bertemakan dunia steampunk.

"Itu, senapang photon, tak susah gunakannya, hanya sasar dan tembak," terang Husna dengan ringkas.

"Masalahnya sekarang kita nak tembak apa ni, Husna?" Aku bertambah cuak.

Nahi pula hanya memegun. Dia mungkin masih 'blur' dengan apa yang terjadi.

"Tengok ke belakang," Husna memuncungkan bibirnya ke arah cermin belakang.

Segera aku berpaling ke belakang. Beberapa trak sedang bergerak mengekori trak yang kami naikki.

"Siapa tu?" soalku yang sudah semakin kusut. "Sebenarnya apa yang terjadi ni?"

"Itu kumpulan lanun padang pasir," jawab Husna. Dia memasukkan satu kapsul kaca ke dalam satu slot pada pistolnya. Kapsul kaca itu bersinar dengan cahaya berwarna hijau.

"Aduh! Lanun apa kejadah pula ni?" Aku melihat ke belakang semula. Trak-trak lanun padang pasir itu semakin mendekat. Shit! Baru lepas keluar mulut harimau, nak di baham sang buaya pula.

"Kenapa trak dia orang lagi laju pula?" Aku kian cemas bila kumpulan lanun itu dilihat semakin hampir.

"Trak ni trak jual sayuran saja, memang perlahan, awak tembak sajalah." Husna mengacu pistol ditangannya keluar tingkap.

Aku mendecit. Muncung senapang photon aku halakan ke arah salah satu trak lanun yang paling hampir dengan trak kami.

Belum sempat aku berbuat apa-apa, satu cahaya magenta berdesup laju dan tepat mengena ke pintu di sebelahku. Aku segera masuk ke dalam semula.

"Gila, Sah aku dah gila!" Dadaku berombak kencang.

Husna melepaskan tembakan cahaya berwarna hijau dari pistolnya. Tembakan itu mengenai lanun yang cuba menembak aku tadi. "Sebab tu saya suruh awak tembak, kalau tak mereka akan tembak kita dulu."

"Ba... Baik!" Aku kembali menghalakan muncung senapang photon ke arah musuh. Tanpa berlengah lagi aku melepaskan tembakan cahaya berwarna merah. Tembakan pertama aku tidak begitu baik, Ia tersasar jauh. Aku terus menembak.

Kumpulan lanun itu membalas serangan. Trak kami dihujani serangan bertali-arus.

Aku tunduk di sebalik pintu trak. Hanya muncung senapang aku halakan keluar. Tanpa melihat sasaran, aku hanya menembak secara rambang.

"Woi! Nahi tunduklah, kau nak mati ke?" Jeritku apabila melihat Nahi masih memegun, mungkin dia tergamam dengan situasi ini.

"Husna, senapang photon ni ada mod sniper?" tanya Nahi tiba-tiba.

"Ada, tekan punat kecil atas senapang tu," beritahu Husna yang sedang menembak musuh yang semakin menghampiri.

Sebaik sahaja Nahi menekan punat yang dikatakan oleh Husna tadi. Bahagian atas senapang itu terbuka dan sebuah teropong tunggal keluar dari bahagian atas senapang itu.

Nahi meletakkan laras senapangnya di atas bingkai tingkap dan mula menyasarkan musuh. Tembakan demi tembakan dilepaskan, semua tembakannya tepat mengenai sasaran. Dia hanya menyasarkan pemandu trak kumpulan lanun menyebabkan kebanyakan trak-trak lanun itu berhenti bergerak.

"Wah! Hebat kau Nahi." Aku kekaguman. Nampak macam 'blur', tak sangka pula si Nahi itu ada kemahiran tersendiri.

"Awaa pirnah main game Sniper King dalam phone?" tanya Nahi sambil dia melepaskan tembakan dengan bersahaja.

"Err... Pernah, tapi apa kena mengena?"

"Kalau awaa mau tahu, player id Kinchinvera tu sayalah."

"Peh! Lagend tu Kinchinvera, tak sangka itu kau... Habiskan semua Nahi." Aku terus menembak rambang tanpa arah. Entah kena atau tidak tembakan aku itu.

Pergerakan trak-trak lanun padang pasir berjaya dilumpuhkan dengan kehebatan menembak Nahi a.k.a Kinchinvera. Dia meniup muncung senapang photon yang masih berasap. Show off lebih-lebih pula aku rasa mamat bangla ni.

Apabila melihat kumpulan lanun itu jauh ditinggalkan, aku menghembus nafas lega. "Gila! Apa yang jadi sebenarnya, apa yang lanun itu nak."

"Mereka mahukan benda yang saya curi dari mereka." Husna menunjukkan sebiji bebola kristal berwarna jingga. Di dalamnya terdapat corak berbentuk burung.

"Curi? Patutlah lanun-lanun tu menggila, nasib baik tak mati." Aku mengurut dada.

"Nasib baik ada saya yang hebat ini," kata Nahi dengan bangga.

Aku hanya menjeling, malas nak dilayan. Makin dilayan, makin takbur pula dia.

"Apa kebendanya tu, sebenarnya?" soalku.

Husna memutar-mutar kristal jingga itu di depan matanya."Ini kristal Pheonix, dengan ini kita akan pulang ke tempat kita."

"Macam mana kita boleh balik guna benda tu?" Aku menjeling Nahi. Dia sibuk menggilap senapang photon yang digunakannya tadi.

"Kita perlu ke Zandi Phoenix, di sana kita seru keluar burung sakti Phoenix dan bawa kita pulang ke tempat kita semua." Husna mengukir senyuman.

"Oh! Zandi Pheonix..." Semakin aku tanya semakin serabut pula kepala otak aku ini. Lebih baik aku ikutkan sahaja. Lepas semua ni berakhir barulah aku suruh si Husna ceritakan Semula.

Aku bersandar kelesuan pada kerusi. Pandangan kulontarkan keluar tingkap. Tiada apa yang menarik untuk dijadikan halwa mata. Yang ada hanyalah timbunan pasir di sana sini. Udara hangat yang bertiup masuk, mendodoiku sehingga terlena.

****

"Faisal, bangun!" Suara lunak mengetuk gegendang telinga. Pipiku ditepuk lembut.

Terpisat-pisat aku bangun dari lena. "Dah sampai dunia kita semula ke?"

"Belum lagi, kita baru sampai dekat Zandi Pheonix," beritahu Husna.

Aku keluar dari perut kereta. Suasana malam di dunia ini tidaklah begitu gelap kerana cahaya dari bulan yang luarbiasa besarnya sudah cukup untuk membantu aku melihat keadaan sekeliling.

"Apa bendanya Zandi Pheonix tu, saya tengok tak ada apa pun dekat sini," soalku dengan suara serak basah bak Ramli Sarip. Aku berdehem, tekakku terasa kering.

Husna menghulurkan botol air yang diperbuat dari besi kepadaku. "Di depan kita sekarang inilah Zandi Pheonix."

Aku meneguk air dari botol besi itu.

"Pahit gila!" pekikku setelah tersembur air yang diminum tadi ke muka Nahi.

"Hey! Apa yini main sembur air." Nahi mengesat air di mukanya.

Husna tergelak sakan melihat reaksi aku minum air itu. "Itu air herba ketrum, gunanya untuk kembalikan tenaga awak tu."

"Oh! Okeylah macam tu..." Memang aku rasakan sedikit bertenaga. Kelesuan yang bersarang di sendi dan ototku juga menghilang. "Eh! Mana dia Zandi Pheonix tu?"

"Inilah dia, kawah besar di depan kita ini dipanggil Zandi Pheonix, Zandi dalam bahasa Ughdur bererti lubang atau kawah, menurut manuskrip purba Ughdur, Phoenix dikatakan datang dari dunia manusia. Ia terhempas di sini dan membentuk kawah besar di depan kita ini." cerita Husna persis ahli arkeologi.

"Bukan ke Phoenix tu boleh hidup semula?" soalku lagi.

"Akibat peredaran masa yang berbeza diantara dunia kita dengan Naraku, Pheonix tidak dapat hidup semula secara serta merta setelah kematiannya, pada sela masa itulah ada seseorang mencuri permata Pheonix yang menjadi teras utama tubuhnya. Jika kita mahu hidupkan semula Pheonix, kita hanya perlu meletakkan kembali permata Pheonix di tengah kawah besar ini." Husna menuding jadi ke arah bahagian pusat kawah itu.

Aku menjenguk ke dalam kawah itu. Agak dalam, untuk turun ke dalam itu bukan semudah yang diceritakan oleh Husna. "Apa maksud awak, peredaran masa yang berbeza diantara dunia kita dengan di sini?"

"Berapa lama dah saya mati di dunia sana?" Husna menyoalku semula.

"Sebulan..."

"Saya dah terperangkap di dalam ini selama 3 tahun, jadi sebulan di dunia bersamaan 3 tahun di Naraku," Husna mengangkat tiga jarinya.

"Hey! Awaa birdua, bila mau balik ini, asyik borak saja, sampai sana nanti awaa birdua boleh kasi borak puas-puas." Nahi mula bosan mendengar perbincangan aku dan Husna. Dia sudah bersedia, senapang photon digalasnya di belakang.

"Kalau macam tu, jom kita turun ke sana." Husna berdiri di pinggir kawah itu.

"Nak turun pakai apa?" Aku mencari sesuatu yang boleh digunakan untuk turun ke bawah sana.

"Tak payah! Hany, kami dah bersedia."

Hany melompat turun dari bonet kereta. Dia berdiri di sisi Husna. Kemudian dia merendahkan sedikit tubuhnya. Husna merangkul tubuh Hany dari belakang.

Aku dengan Nahi memerhati dengan pandangan pelik. Apa pula mereka nak buat? Tiba-tiba pula berpelukan.

"Sekarang, Nahi berdiri di sebelah kiri Hany dan Faisal pula di sebelah kanan," arah Husna.

Teragak-agak kami menuruti arahan Husna. Sebaik sahaja kami berada di sisi Hany, segera wanita itu memeluk kemas pinggang kami.

"Woi! Apa ni? Sakit pinggang saya." Nahi menjerit.

Aku pula hanya mengetap bibir menahan sakit akibat pinggangku dipeluk kuat oleh Hany. Manusia ke raksasa perempuan ini, kuat sungguh tenaganya.

Hany membengkokkan sedikit lututnya dan kemudian dia terus membawa kami bertiga melonjak ke udara. Aku dan Nahi menjerit ketakutan. Manakala Husna pula tak henti-henti ketawa melihat telatah kami berdua.

Hany mendarat berdekatan dengan pusat dasar kawah itu. Husna melepaskan rangkulannya. Sebaik sahaja Hany melepaskanku dan Nahi. Secara serentak, kami berdua rebah ke bumi.

"Aik! Takkan dah lembik lutut, baru sikit." Husna tersenyum sinis. Dia kemudiannya melangkah ke pusat dasar kawah itu dan meletakkan kristal Pheonix di atas tanah.

Beberapa ketika kemudian, kristal itu mula bercahaya. Terbit partikel-partikel yang bercahaya di sekitar kawah itu. Kesemua partikel itu kemudiannya mengapung ke udara dan bersatu membentuk burung gergasi. Seluruh jasad burung gergasi itu dilitupi api yang marak. Namun anehnya, kami tidak merasa bahang kepanasan dari api marak pada tubuh burung gergasi itu.

"Adakah kalian yang menghidupkan aku kembali?" Kedengaran suara sang Pheonix bergema.

"Ya, kami yang menghidupkan kau semula wahai burung sakti, supaya kau dapat membantu kami" kata Husna penuh takzim.

"Baiklah, sebutlah bantuan apa yang kalian mahukan, kalau kalian mahu bantuan sara hidup memang aku tidak dapat nak membantu."

"Bawalah kami pulang semula ke tempat asalmu, di dunia manusia." Beritahu Husna.

"Baiklah, jika itu yang kalian mahu, aku boleh tunaikan, pejamkan mata kalian,"

Kami semua memejamkan mata. Angin berderu kencang dan memutar di sekeliling kami. Beberapa ketika kemudian, bunyi angin menderu itu kian menghilang dan digantikan pula dengan suara riuh rendah manusia.


TAMAT.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro