Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Trip To Naraku (Bahagian 1)

Penulis : Proff Zerof
Team : Phoenix (FB)

X X X X X


Menjelang jam 11 malam di pekan kecil Kuala Lipis. Suasana sekitar pekan kecil itu begitu sunyi. Kebanyakan kedai yang terdapat di sekitar pekan itu sudah pun ditutup, hanya beberapa kedai makan sahaja yang masih beroperasi.

Kerana bimbang tidak sempat menaiki keretapi yang dijadualkan tiba pada pukul 11 malam, aku berlari menuju ke ruang menunggu di stesen keretapi.

Aku dapati tiada keretapi di situ sebaik sahaja tiba. Buat seketika aku kelintarkan pandangan. Lengang, tiada berorang melainkan aku yang terpinga-pinga, seorang pemuda Bangladesh yang duduk di bangku ruang menunggu dan seorang wanita tua yang bongkok di pinggir landasan keretapi.

"Jangan-jangan aku dah kena tinggal?" Aku mula merasa gelisah. Kalau betul apa yang difikirkan, memang terpaksalah aku tidur di stesen keretapi inilah nampaknya. Keretapi seterusnya dijadualkan tiba pada pukul 6 pagi esok pula.

Segera aku mendapat pemuda Bangladesh yang duduk di bangku ruang menunggu itu.

"Bro, nak tanya sikit boleh?" soalku di dalam keadaan tercungap-cungap.

Dia mengangkat muka memandangku. "Boleh, boleh kasi tanya saja, tada perlu bayar."

"Train ke Gua Musang lepas ke dah?"

"Saya pun mau pirgi sana, dari tadi saya sini duduk, tada sampai lagi itu train."

Jawapan pemuda Bangladesh itu membuatkanku berasa lega. Kemudian aku terus sahaja melabuhkan punggung di atas bangku panjang. Pemuda Bangladesh itu memandangku dengan reaksi pelik di wajahnya.

"Apa hal kau pandang aku macam tu?" tanyaku kerana mula rasa tak selesa dengan apa yang dia lakukan.

"Tada apa, saya saja kasi tengok sama awaa." Dia tersengih macam kerang busuk.

"Jangan-jangan kau ni jenis suka lelaki, risau pula aku." Aku tarik tubuh menjauhi pemuda Bangladesh itu.

"Hey! Tada baiklah kasi tuduh saya itu macam, saya ini hero para gadis, tada mungkinnya saya boleh suka pada awaa." Pemuda Bangladesh itu menafikan tuduhan melulu yang aku lontarkan.

"Apa-apa sajalah! Kau tak payah nak tengok aku macam tu sangat."

"Berlagaklah ini orang, saya mahu kasi borak saja, kasi hilang boring, tadi saya mau ajak makcik tua itu borak, tapi dia tada layan, malang betul nasib saya ini, tada sapa mau cakap sama saya." Pemuda Bangladesh itu tertunduk pilu.

Buat drama pula mamat bangla ni. Aku biarkan sahaja dia merepek seorang diri dan keluarkan telefon pintar untuk menghilangkan rasa bosan menunggu keretapi yang masih belum kunjung tiba.

****

Aku mendecit geram setelah menunggu setengah jam di situ, bayang keretapi pun masih belum kelihatan. Peliknya, keadaan stesen keretapi ini begitu lengang dan sunyi. Selama aku berulang alik menaiki keretapi, inilah malam yang paling lengang dan hening di stesen keretapi kecil ini.

"Brader..."

Aku menoleh ke sisi apabila terdengar suara seseorang berbisik di tepi telinga.

"Hoi!" Tubuhku tersentak sedikit apabila melihat pemuda Bangladesh tadi tiba-tiba berada betul-betul di sebelahku. "Apa hal kau ni? Makin seram pula aku tengok."

"Jangan seram dengan saya, awaa kena kasi seram dengan sana makcik tua," bisiknya dengan nada suara menyeramkan.

"Kenapa pula?" tanyaku.

"Saya ada dengar cerita, bulan lepas ada perempuan mati kena langgar sama train, driver itu train cerita dia ada nampak orang perempuan tua bongkok kasi tolak sama itu perempuan." Dia bercerita dalam nada separa berbisik sambil menyuluh lampu flash pada telefon ke mukanya.

Aku terteguk air liur dek kerana rasa seram yang semakin mencengkam jiwa. Memang ada perempuan yang mati dilanggar keretapi bulan lepas. Aku sendiri kenal dengan mangsa kemalangan itu. Husna namanya, boleh dikatakan dia merupakan gadis paling cantik di kampung tempatku berkerja. Malangnya, dia memilih untuk bertunang dengan suami orang, aku yang bujang ini tak pula dia layan. Apa kurangnya aku? Seorang Medical Assistant (M.A) yang kacak lagi bergaya.

"Sudahlah! tak payah nak merepek," kataku sambil mengerling ke arah perempuan tua yang berdiri di tepi landasan. Dia sedang mengupas kulit buah pisang. Aku tak nampak ciri-ciri hantu pada perempuan tua itu. Lagipun mamat bangla sebelah aku ini pun nampak dia, tak mungkinlah hantu.

Sedang aku memerhatikan gelagat perempuan tua itu, bunyi keretapi bergerak di atas landasan terdengar sayup-sayup di telingaku. Suluhan cahaya lampu keretapi mula menerangi sekitar tempat menunggu stesen itu.

"Hey! Makcik jangan kasi duduk situ, nanti kena langgar sama itu train," laung pemuda Bangladesh.

Perempuan tua itu tidak mengendahkan kata-kata pemuda Bangladesh tadi. Dia tetap berdiri di pinggir landasan itu. Pemuda Bangladesh itu bangkit berdiri, dia bergegas untuk menyelamatkan perempuan tua itu.

"Tadi takut, ni nak pergi selamatkan pula," fikirku. Sebenarnya boleh diagak, jika perempuan tua itu tidak berganjak dari kedudukannya, keretapi tidak akan melanggarnya. Melainkan kalau dia terjatuh atau terjun ke landasan. Jadi aku biarkan sahajalah.

Pemuda Bangladesh itu berundur ketakutan sebaik sahaja dia mendekati perempuan tua itu. Kemudian dia tergelincir jatuh di atas landasan keretapi yang dibina 1.5 meter lebih rendah dari lantai tempat menunggu.

"Shit! Apa dia buat tu?" Aku berlari ke pinggir landasan.

Sampai sahaja di situ, aku segera menghulurkan tangan untuk membantunya naik semula. "Cepat! train tu dah nak sampai."

Pemuda Bangladesh itu menyambut huluran tanganku. Kudrat kukerahkan untuk menariknya naik semula. Tapak tangan pemuda Bangladesh itu berpeluh, menyukarkan lagi untukku menariknya. Hon keretapi berbunyi nyaring, menjadikan keadaan bertambah cemas.

Tiba-tiba aku terpijak sesuatu yang licin dan hilang keseimbangan tubuh. Akibatnya, aku turut tergelincir jatuh ke landasan keretapi itu juga. Dengan pantas aku kembali berdiri. Di dalam keadaan cemas itu, sempat aku melihat benda licin yang aku terpijak tadi.

Kulit pisang! Aku alihkan pandangan ke arah perempuan tua itu. Dia menyeringai sebelum berkata sesuatu yang tidak mampu didengari olehku kerana bunyi hon keretapi telah menguasai suasana. Namun aku masih dapat menangkap apa yang dikatakannya. 'Matilah kau' itulah ayat yang keluar dari mulutnya sebelum duniaku bertukar menjadi gelap gelita tanpa cahaya.

****

Mentari memancar terik di dada langit. Bahangnya terasa begitu perit. Aku tidak dapat menahan rasa silau akibat panahan sinaran cahaya itu. Lengan kutarik lalu diletakkan di atas mata untuk melindunginya dari terus didera rasa silau.

Bunyi beburung hering kedengaran. Tanganku meraba ke sekitar tempatku terbaring. Pasir! Ini tekstur pasir. Ia terasa begitu halus dan hangat.

"Hey! Bangun, kita bulum mati lagi, cepat bangun!" Suara seseorang bergema, suara itu seakan aku pernah dengari.

Seseorang muncul di sisiku secara tiba-tiba. Aku kembali teringat, dia adalah pemuda Bangladesh yang aku temui di stesen keretapi.

"Cepat bangun! Kita dalam bahaya." katanya lagi sambil membangunkan aku dari baringan.

"Apa yang bahayanya? Kita dimana ni?" soalku sambil menggosok sebelah mata.

"Tada perlu fikir itu lagi, awaa kasi tengok sekeliling dulu." Nada suaranya terdengar cemas.

"Sekeliling?" Aku masih bingung.

Mataku terbelalak apabila menyedari kami berdua sedang dikepung oleh sekumpulan manusia berkepak dan berkepala seperti burung hering.

"Sah! Ini dalam mimpi," kataku sambil mengangkat tubuh untuk berdiri. Aku menepuk-nepuk pakaianku untuk membuang debu pasir yang melekat.

"Ini bukan mimpi," tegasnya. Setelah itu, dia terus menghayunkan pelempang ke pipiku.

Pedih! Aku gosok pipiku yang mula kemerahan. "Hoi! Sakit gila, apa hal kau ni lempang aku?"

"Saya mau kasi awak sedar, ini butul-butul dan bukannya cobaan," terangnya.

"Oh! Ye ke?" Aku terkebil-kebil buat seketika untuk menghadam kenyataan bahawa semua ini bukanlah hanya mimpi.

"Jangan fikir lama sangat, awak tengok mereka sudah mau kasi bunuh sama kita." Pemuda Bangladesh itu menggeletar ketakutan.

Aku mendecit lantaran rasa keliru dengan situasi yang sedang dihadapi. Namun, segala persoalan yang bermain di fikiran, perlu aku ketepikan buat seketika. Sekarang ini, apa yang lebih penting adalah menyelamatkan diri sendiri dahulu.

"Kau ada apa-apa rancangan," bisikku kepada pemuda Bangladesh yang berdiri di belakangku.

"Ta...tada," jawabnya dengan ringkas. Mungkin lidahnya sudah kelu akibat terlalu takut.

"Kalau macam tu kita gempur sahajalah, untung sabut timbul, untung batu tenggelam."

"Tapi, tada batu sama sabut sini macam mana mau kasi kita untung."

"Hish! Itu kata pujangga saja. Kau serang makhluk tu dulu," arahku.

"Kenapa pula saya kena mati dulu?" Dia tak puas hati.

"Dah kaulah punca aku ada dekat sini, takkan kau dah lupa."

Dia terdiam. Mungkin dia baru sedar yang dialah punca aku turut terheret di dalam kekalutan ini.

"Sebelum saya mati sekali lagi, saya mau kenal sama awaa, nama saya Nahi Mungkar, boleh kasi panggil Nahi saja"

"Ya, kau pergi mati dulu lepas tu aku pula. Nama aku Faisal," beritahuku sambil memperkemaskan kekuda di dalam posisi bersedia tempur gaya Jemah.

Belum pun sempat kami berbuat apa-apa, sekumpulan manusia separa burung hering tadi menyerbu ke arah kami secara serentak. Ada yang terbang untuk menyerang dari atas dan ada juga yang bergerak di permukaan bumi.

"Shit! Kalau sekaligus macam ni, memang tak ada harapanlah," desisku kepasrahan di dalam hati.

Tiba-tiba kedengaran bunyi nyaring seperti bunyi semboyan perang. Makhluk-makhluk aneh itu menghentikan pergerakan mereka dan meraung seakan begitu terseksa mendengar bunyi nyaring itu. Mereka semua bertempiaran terbang ke langit meninggalkan aku dan Nahi terpinga-pinga.

Di kejauhan, aku melihat ada kenderaan bergerak menghala ke arah kami berdua. Bunyi seakan tiupan semboyan perang tadi datangnya dari kenderaan itu. Aku memicingkan mata supaya dapat melihat dengan lebih jelas kenderaan itu. Rekabentuknya seperti trak di era 1960an. Teringat pula kenderaan di dalam filem Mad Max.

"Nasib kita baik, ada orang kasi selamat sama kita," tutur Nahi sebelum dia menghembus nafas lega.

"Jangan lega sangat, kita tak tahu lagi yang datang tu kawan atau lawan," balasku. Aku terus memandang trak misteri itu sambil mengetap gigi.



Bersambung...

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro