The Truth10 (wp)
Nama Pena : _thetruth10
Tajuk : Ratu Malum Bahagian Akhir
Kumpulan : Mermaid
*Cerpen ini diterbitkan tanpa ubahsuai dari pihak admin.
***************
Hembusan angin dingin menusuk ke tulang hitam tubuh ramping Zyea yang tidak henti menggigil sedari tadi. Bergetar rahangnya tatkala dia cuba bertahan dari tersembam hina mencium tanah di hadapan sang ratu dalam keadaan suhu yang begitu rendah.
Sesekali anak matanya naik mencerlung singgahsana Ratu Malum yang terlihat gah diapungkan di tengah gelanggang oleh buihan berwarna ungu. Tidak lekang senyuman manis dari bibir mungil wanita itu.
"Mengapalah aku terlalu mulia memberi luang masa buat kalian sebelum pertarungan sengit ini bermula. Sudah. Jangan kau berempat membuang waktuku lagi. Medan pertempuran ini sudah begitu lama dahagakan darah makhluk terbuang seperti kalian!"
Berdekah tawa Ratu Malum saat buihan ungu mengapungkan posisinya dengan lebih tinggi sebelum dia menghilang begitu saja. Dan serentak dengan itu, gelanggang pertarungan mereka kembali hangat.
"Kau bakal menjadi lawanku, bukan?"
Zyea mendongak memandang pemilik suara garau yang sedang memandang tepat ke wajahnya.
"Ya, benar."
"Aku tidak mahu meminta lebih tetapi alangkah bagus jika engkau mengalah saja. Aku memikul tanggungjawab ke atas kedua ibu bapaku yang sedang tenat sedangkan kau hanyalah duyung buangan yang tidak punya apa-apa," ujar Putera Naga bersahaja.
Terjungkit tinggi hujung bibir Zyea yang mendengar. Begitu sinis bahasa lelaki itu pada pemahamannya.
"Bunuh saja aku, Naga Chord. Aku juga tidak punya alasan untuk masih bernafas di dalam air waima pada hakikat udara sekalipun," turut berlagak tenang, Zyea membalas.
"Itulah yang selayaknya buat duyung lemah seperti kau. Adik kau si Mayang itu bakal dikorbankan oleh sang ratu. Apa kau terima seadanya?"
Zyea ketawa kecil. Ada sesuatu yang mencuit hatinya.
"Aku tidak punya keluarga yang angkuh membuangku suatu ketika dahulu. Kelak kau bunuh aku dan kami juga akan mati bersama."
Mata Zyea terpejam rapat menelan pahitnya sebuah hakikat.
Tangan naik ke dada mencari rentak degupan jantung. Sungguh dia tidak menyangka bahawa nyawa yang dikorbankan Rain kepadanya berakhir sia-sia. Malah hanya untuk membantu puak duyung menghumban Zyea ke lembah kegelapan milik durjana ratu.
'Perhatikan aku dari langit sana. Aku ingin sekali menemuimu. Nantikanlah kedatanganku, Rain.'
Biarlah nyawa direnggut sekalipun, Zyea sudah bertekad.
* * *
Gelanggang pertarungan dipisahkan kepada dua bahagian. Medan pertama dikhaskan untuk perlawanan Zyea dan Chord manakala medan pertempuran kedua untuk Putera Unikorn dan Puteri Phoenix.
"Tidak usahlah bersarang khuatir di hati kerana akan aku kembalikan kuasa kalian sebaik saja perlawanan ini bermula."
Sesaat kemudian, Ratu Malum melagakan sudu emas pada gelas kaca di tangannya.
Getaran bunyi itu dipindahkan ke medium udara sebelum menyinggah ke gegendang telinga setiap makhluk yang berada di situ sekaligus menjentik debaran di dada masing-masing.
"Bersedialah duyung. Akanku tewaskan kau dalam sekelip mata," bisik Chord bersama senyuman tipis.
Masing-masing berundur tiga langkah. Berkeriuk tulang Chord tatkala dia meregangkan tubuhnya sambil berjalan ke kiri dan ke kanan.
Seketika kemudian, debu kebiruan mula melingkarinya dari atas ke bawah. Lama-kelamaan lingkaran itu membesar seakan membentuk kepompong berkaca.
Zyea yang menyaksikan hanya mampu menghadang penglihatan dengan jemarinya yang runcing dek disilaukan oleh cahaya kebiruan itu. Tepat seperti yang dijangka, hembusan api biru yang dihasilkan oleh Chord telah memecahkan lingkaran yang membeku itu sehingga berkecai. Serpihannya ligat menggores kulit Zyea sehingga ada yang meninggalkan luka dalam.
Kaca yang berterabur pula mencair serta merta membasahi lantai gelanggang.
Tanpa membuang waktu hatta sesaat pun, Chord tangkas mendekat lalu melibas Zyea dengan ekornya yang berduri tajam. Gadis berjisim kapas itu lantas melayang ke udara sebelum melanggar dinding gelanggang pertempuran mereka. Sisiknya yang keras digeserkan ke wajah Zyea tanpa belas.
Mendesis Zyea tatkala merasa ngilu duri daripada ekor Chord mencucuk perutnya. Tidak ia terbenam ke dalam kulit tetapi meninggalkan kesan lebam dan membuatkan organ dalaman tubuhnya berdenyut.
Zyea bersandar ke dinding sambil membetulkan posisi agar dapat berhadapan dengan Chord. Dia sudah bersedia untuk menerima serangan seterusnya.
Di udara, Chord terbang laju membentuk bulatan dengan penuh konsistensi. Semakin lama kelajuannya bertambah sehingga menyamai kelajuan cahaya dan pada detik yang tepat sisik birunya ditembak ke arah Zyea dalam bentuk ais.
Bagai hendak tercabut anak tekak, Zyea memekik semahunya. Jemari pantas naik menyentuh bahagian perut. Luka parah setelah dihunus tombak seratus tahun yang lalu telah kembali berdarah.
"Maafkan aku. Bukan niatku hendak menyeksa kau sebegini rupa tapi Ratu Malum perlukan hiburan. Tidak seronoklah jika bercerai jasad dan roh kau di awal pertempuran kita. Tidak begitu?"
Zyea meneguk liurnya yang dirasakan berpasir. Tanpa sedar sebutir mutiara jernih merembes dari kelopak matanya. Menghadapi ambang kematian buat kali kedua benar-benar menyeksakan.
Dari luar gelanggang, Ratu Malum merengus kasar.
"Mengapa si duyung itu tidak melawan?"
Dia mengerling penasihatnya yang setia tegap berdiri di sisi.
Dengan perlahan penasihatnya itu berbisikkan sesuatu.
"Oh, begitu!" Terangguk-angguk Ratu Malum yang mendengar. Otak geliganya mula merencanakan sesuatu.
* * *
"Kalian lembab!" Memetir suara Ratu Malum menghamburkan ketidakpuasan hati.
Kelihatan seekor pheonix putih diikat songsang ditayang di antara kedua-dua gelanggang. Meronta ia ingin melepaskan diri meskipun tahu bahawa semuanya sia-sia.
Hujung mata Zyea melirik ke arah Puteri Pheonix. Jelas riak wajah gadis itu yang hampir meledak amarahnya sebelum dia terbang tinggi lalu merempuh dinding sekuat hati. Tanah gersang penempatan dua gelanggang bergegar hebat.
"Lekas ucapkanlah selamat tinggal kepada adikmu. Sebelum dia menutup mata barangkali mahu didengar suara merdumu itu," sinis Ratu Malum mengejek.
"Satu mangsa telah dikorbankan. Tapi aku tidak puas! Kalian mengerti atau tidak apa yang aku mahukan? Hiburan. Hiburkan aku dengan pertumpahan darah kalian."
Mereka berempat tercengang. Zyea pula hanya dengar atau tidak saja kata-kata si ratu memandangkan sistem seluruh tubuhnya sudah semakin lemah.
"Dia mahu kau lawan aku, Zyea. Dia mahu kau lawan." Membulat mata biru Chord mencerlung Ratu Malum.
"Untuk apa?" Zyea lantas bangkit dari duduknya.
"Lekas, Chord. Habiskan pertarungan gila ini. Bukankah ibu bapa kau sedang menunggu kepulangan kau? Lagipula sudah aku katakan bahawa tiada apa yang aku harapkan dalam pertarungan ini."
"Tidak. Segalanya mungkin berubah. Kau lihat saja ke singgahsana ratu durjana itu."
Zyea berpaling ke belakang. Dan dia serta-merta diam terpaku. Degupan jantung semakin kencang hingga irama tidak senadanya menari-nari di dalam benak.
"Mengapa kau terlihat begitu tercengang dengan hadiah yang aku bawakan khas untuk kau, Zyea?"
Bagaikan tidak percaya, lama Zyea merenung buihan besar yang mengapungkan satu susuk tubuh seseorang yang pernah dikenalinya suatu ketika dahulu.
"Rain?"
Tiada sekelumit rasa ragu untuk nama itu meniti di bibirnya sebaik saja melihat pemuda yang terapung tidak sedarkan diri itu.
"Hei, si duyung! Apa kau mahu bertemu sama lelaki ini?" soal Ratu Malum.
Zyea tersentak. Dia memilih untuk diam. Dia buntu akan jawapan yang tepat. Gigi diketap rapat sebelum dia menjawab dengan tenang.
"Tidak."
"Dasar tak guna! Apa kau pasti, duyung? Kerana aku bila-bila masa saja boleh ...," sengaja dibiarkan ayatnya tergantung, Ratu Malum tersengih lebar.
Sudu emas yang sentiasa dalam genggamannya lantas dibaling ke udara dan dengan tepat ia menuju ke sasaran iaitu mengenai buih yang mengapungkan Rain sedari tadi. Buih itu serta-merta pecah. Tubuh kaku Rain menjunam laju ditarik graviti.
Zyea yang menyaksikan bagaikan direnjat elektrik paniknya. Dengan automatik dia berteriak. Matanya terpaku ke lantai tidak mampu melihat situasi genting itu. Kedua-dua telapak tangan naik menekup telinga. Menggeletar lututnya sehingga menyebabkan dia terjelopok jatuh tidak berdaya.
"Bangkit, Zyea. Kau tetap harus menentang seranganku. Jangan dipertontonkan kepada perempuan gila itu betapa lemahnya kau."
"Tapi, Chord bagaimana dengan ...."
"Jangan kau pedulikan aku."
* * *
Kembali ke bentuk asalnya, Zyea menujah tubuhnya dengan ekor emas sebagai regangan asas. Terbit rasa rindunya akan sisik emas itu. Berkaki bukanlah suatu hal yang mengujakan baginya.
Sejumlah air cairan batu ais daripada sisik si putera naga tadi digunakan bagi membantu kelincahan pergerakannya.
"Chord, kau jangan menyesal membenarkan aku ...."
Belum sempat Zyea menghabiskan ayatnya, Chord yang licik terlebih dahulu melancarkan serangan. Dia bergegas terbang mengelilingi Zyea lalu dengan kasar membenamkan kukunya yang tajam ke dalam kulit belakang tubuh Zyea.
"Jangan banyak cakap. Mari kita tunjukkan betapa menghiburkan pertarungan kita ini buatnya."
Chord melepasi bahu Zyea sambil memicingkan matanya. Dia enggan melihat lawannya yang begitu lemah.
Ketika Chord menjauh dan membelakanginya dalam lenggok yang tidak berwaspada, Zyea cekap mengambil peluang yang terbuka luas di depan mata. Dia pantas berenang dan mengekori dari bawah. Ke kanan ekor Chord, ke kananlah Zyea berenang. Saiznya yang berkali ganda lebih kecil berbanding Chord agak memudahkan pergerakan.
Dalam masa yang sama dia maju sedikit laju menghampiri bawah dagu Chord dengan penuh berhati-hati agar dirinya berada di luar pemerhatian si naga.
Seketika kemudian, Chord panik berpaling kiri dan kanan secara mendadak berulang kali. Tidak pula dia melihat kelibat Zyea di mana-mana.
Walhal saat itu Zyea sudah mula bertindak. Bebola mata Chord yang bulat dan sedikit terkeluar dari soket itu menjadi sasaran.
Dikumpulkan segala tenaga yang bersisa, Zyea tangkas naik menyelit ke sisi wajah Chord lalu ekor emasnya dilibas sekuat hati pada mata kiri lelaki itu. Mungkin kerana terlalu padu, Zyea automatik berpusing beberapa kali sebelum kembali ke posisi yang lebih stabil.
Dalam sekejap cuma, bebola mata yang awalnya terlihat licin dan tegang bersinar itu kini mengecut seperti plastik yang dibakar api marak sekaligus mengeluarkan bunyi seperti minyak pecah.
Setelah itu, raungan Chord mula menggegarkan gelanggang pertempuran mereka. Zyea menikus melarikan diri apabila Chord sudah menggelupur dan terbang secara rawak ke sana ke sini sambil mencari kelibat Zyea.
Seakan maklum bahawa pencariannya hanyalah sia-sia, Chord mula menembak peluru bersisiknya dengan rambang.
Bersedia menghadapinya, Zyea dengan lincah mengelak ke segenap arah.
Saat hujan peluru semakin reda, Zyea sekali lagi tekad mendekati Chord yang mula terbang rendah berbanding di awal perlawanan mereka.
Lebih peka akan keadaan sekeliling, Chord pantas menghembus api biru ke arah Zyea.
Terhambur tawa sinis Zyea apabila api hembusan Chord langsung tidak berkesan dek perisai air yang diguna pakai. Dengan gaya santai Zyea menyambung renangnya ke arah Chord.
Tidak seperti sebelumnya, kali ini ekor emas Zyea bertindak lebih ganas dan drastik memukul bebola mata sebelah kanan Chord.
Hanya dengan mencacatkan pihak lawan pilihan yang si kecil Zyea ada memandangkan fizikalnya juga sedikit lemah dek serangan bertubi-tubi oleh Chord di awal pertempuran.
Suara garau Chord meraung lagi. Si buta itu seakan hilang arah apabila dia terbang merata tanpa arah tuju dan berkali-kali melanggar dinding.
Zyea kemudiannya mengekori belakang Chord. Digenggem kemas salah satu duri yang ada sebelum hujung ekor lelaki itu digeserkan dengan ekor emasnya sehingga menyebabkan lecuran dan hakisan.
Chord yang cuba merentap pegangan Zyea pada ekornya mula menjadi semakin ganas. Ekornya dihentak ke dinding berpuluh kali.
Zyea sedaya upaya bertahan meski sakit tulang temulangnya dirempuh ke dinding sementara dia masih cuba memotong hujung ekor Chord yang mempunyai duri yang paling besar berbanding yang lain.
"Maafkan aku, Chord. Sekarang bersiap sedialah untuk mengucapkan selamat tinggal kepada ibu dan bapa kau," Zyea mendesis.
Dia menghela nafas lega apabila sudah berjaya menyentuh isi daging pejal si naga dengan jemari runcingnya.
Masih bergantung harap dengan baki semangat yang ada, Zyea berenang pantas ke bahagian dada Chord. Nafas panjang ditarik sebelum duri yang diperolehinya tadi dihunus ke dada si naga.
Seketika kemudian, Chord menggelupur jatuh mencium lantai sebelum kembali ke bentuk manusia. Dan serentak dengan itu, ais mula membeku di seluruh badannya.
Dentingan sudu emas Ratu Malum bergema lagi. Gelanggang mulai dibuka penutupnya dan ratu kembali memunculkan diri.
"Tahniah aku ucapkan kepadamu kerana memenangi perlawanan yang begitu sengit ini."
"Mana Rain?" Tidak berbasa-basi, Zyea terus ke poin utamanya.
Ratu Malum mengangguk seolah memahami penantian Zyea. Rain
diturunkannya perlahan di hadapan Zyea.
"Rain," panggil Zyea hiba.
Wajah pucat Rain itu benar-benar mencengkam rasa di jiwa tidak ubah seperti waktu Rain dicederakan olehnya dahulu.
Turut kembali ke bentuk manusia, Zyea melutut lemah di sisi Rain. Menggeletar jemarinya cuba untuk menyentuh pipi Rain yang sedikit cekung.
Sebaik sahaja permukaan kulit mereka bersentuhan, jasad Rain serta-merta melebur menjadi debu keemasan.
"Apa ... apa yang terjadi?"
"Dasar duyung bodoh! Apa sajalah yang diharapkannya dari sekujur jasad yang sudah tidak bernyawa itu?"
Zyea tergamam. Dadanya dirasakan begitu ketat. Kemarahan yang menggelegak di dalam diri namun tidak terluah dihamburkan bersama tangisan sayunya.
Zyea mengerling tubuh Chord yang membeku dan kaku.
"Aku memikul tanggungjawab ke atas kedua ibu bapaku yang tenat sedangkan kau hanyalah duyung buangan yang tidak punya apa-apa."
Kata-kata Chord yang kembali terngiang-ngiang semakin menjerut perasaan bersalah Zyea.
"Kau berkata benar, Chord. Aku hanyalah duyung buangan yang tidak punya apa-apa kecuali kebodohan yang ada pada diriku."
Tamat.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro