Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Puteh (Bahagian Akhir)

Penulis : Nur Amirah Ishak (Mira Ishak)

Kumpulan : Dragon


X X X X X


"Kami yang buat semuanya. Kami yang umpan naga tu di bukit sana. Salah seorang dari kami berpura-pura sakit dan naga itu membantu kami. Sebagai balasan, kami berikannya makanan yang telah diracuni kuasa hitam bagi melemahkan tenaga putihnya."

Lavena tertunduk sedih apabila mendengar penjelasan sekumpulan rakyat dari Tanah Tafan yang tiba-tiba hadir di perkarangan istana untuk bertemu dengannya.

Puteh merupakan seekor naga yang bersih hatinya dan gemar membantu sesiapa sahaja tanpa mengira hati budi mereka yang dibantunya. Ternyata, sifat baik yang dimilikinya itu memakan dirinya sendiri serta amat mudah diperdayakan oleh sesiapa sahaja.

"Apa tujuan kamu ceritakan semua ini?" soal Eris meragui kehadiran mereka itu.

"Kami sudah tidak tahan dengan layanan raja kami. Kami ditindas habis-habisan. Kami mahukan pembebasan dari semua ini. Tolonglah kami. Kami tahu kami bersalah tapi kami terpaksa." Kesemua mereka mulai teresak-esak seolah-olah sedang melepaskan bebanan yang ditanggung mereka selama ini.

"Kami juga mewakili seluruh Tanah Tafan akan berikan kerjasama kepada tanah ini. Kami sanggup buat apa sahaja!" sahut pula seorang pemuda dalam kalangan mereka.

"Jadi, semua ini angkara Raja Vius. Masih lagi tidak berputus asa dengan tanah ini. Baiklah, mari kembalikan semula Puteh, maruah tanah ini serta pembelaan sekalian rakyat!" ujar Eris dengan nada yang begitu serius dan tegas.

***

"Raja Vius! Keluar!!" pekik Eris sejurus tiba di hadapan laman istana Raja Vius. Perkarangan istana itu sunyi. Tiada seorang pengawal yang berjaga di pintu masuk serta dalam istana. Eris dan Lavena juga dengan mudahnya memasuki Tanah Tafan dengan bantuan rakyat tanah tersebut.

Menurut mereka, semenjak Puteh ada di situ, keseluruhan pengawal dan jeneral yang ada di istana telah dihalau keluar. Raja Vius tidak memerlukan khidmat mereka lagi kerana dia sudah memiliki kuasa yang lebih hebat.

"Berani sungguh dua tikus ini menganggu tidur aku!" Raja Vius menapak keluar. Wajahnya begitu mencuka dan bengis. Rasa menyampah mula membengkak saat mendengar suara Eris terlolong memanggil namanya.

"Seluruh tanah ini sudah dikepung! Menyerahlah!" Lavena pula bersuara.

"Peduli apa aku tanah ini dikepung atau tidak. Aku boleh hancurkan kau semua dalam sekelip mata sahaja. Kemudian, aku akan jadikan tanah kau itu milik aku!"

Eris mula tercabar. Dia mengenggam kedua tangannya seraya menghidupkan percikan petir. Lavena di sebelah menggeleng beberapa kali sekadar memberi isyarat agar abangnya dapat bertenang dan tidak bertindak melulu.

"Kau ingat, kau seorang sahaja boleh buat begitu? Aku juga punyai kuasa sama seperti kau. Aku boleh mengawal putaran petir yang lebih besar dari kau, budak hingusan!" Raja Vius tiba-tiba melontarkan satu panahan petir berwarna hitam tepat dihalakan ke dada Eris.

Eris pantas menepis. Dia semakin tercabar. Dadanya berombak lebih pantas dari sebelumnya, menahan geram yang semakin membuak.

Lavena di sebelah tampak risau. Perlahan-lahan, dia mengeluarkan haruman lavender khas ditujukan kepada Raja Vius. Haruman yang dikeluarkan oleh Lavena itu bukanlah haruman tenang yang biasa dilakukannya tiap pagi, tetapi, itu adalah bau yang mengandungi racun membunuh.

Raja Vius mencebik. "Lavender kau tu tak berkesan langsung pada aku!" Sekali lagi, satu panahan petir hitam dilontarkan pula kepada Lavena.

Lavena segera membuat perisai dengan menggunakan kekuatan haruman lavendernya. Panahan petir itu berjaya dipatahkan tetapi Lavena tercampak jauh ke belakang dek kekuatan yang ada pada panahan tersebut. Raja Vius tidak lagi seperti dulu. Kuasanya telah bertambah berkali-kali ganda.

Raja Vius ketawa besar. Baginya, dua beradik ini bukanlah lawannya.

Eris berlari mendapatkan adiknya yang terbaring lemah. Dibangunkannya perlahan.

"Raja Vius sudah gunakan kuasa Puteh. Sebab itu dia boleh jadi kuat begitu," Eris membuat kesimpulannya sendiri setelah membaca rentak serangan yang diajukan oleh Raja Vius itu.

"Kalau kuasa Puteh sudah digunakan, maknanya, Puteh sudah mati?" soal Lavena resah.

"Lavena pergi cari Puteh. Raja Vius biar Eris uruskan," bisik Eris perlahan.

Eris menapak mendekati Raja Vius. Kedua tangannya didepakan. Dikumpulkan seluruh tenaganya. Kelihatan percikan petir membulat besar menutupi kedua tangannya hingga ke bahu. Eris mengeluarkan seluruh kuasa yang dia miliki bagi menentang Raja Vius yang kelihatan masih tersengih-sengih mengejek.

Melihat Eris begitu, Lavena tidak menunggu lama, dia terus berlari ke tepi dan diam-diam menghilangkan diri ke belakang istana bagi mencari Puteh.

"Putera Eris sudah bertukar menjadi Mega Petir Putih. Tahap tertinggi dalam ilmunya sendiri. Maknanya, Mega Petir Putih harus bertemu dengan Mega Petir Hitam," Raja Vius melebarkan sengihannya sembari mendepakan kedua tangannya. Dia melakukan perkara yang sama seperti Eris lakukan. Sejurus kemudian, dirinya juga sudah diselubungi lingkaran petir sama seperti keadaannya Eris.

***

"Puteh, apa dah jadi ni? Apa Raja Vius sudah lakukan pada kau?" Bercucuran air mata apabila melihat Puteh yang telah dirantai leher, kaki dan tangannya itu terbaring lemah.

"Puteh, bangunlah. Aku ni, Lavena." Menyedari Puteh cedera parah dan kelihatan tidak akan membahayakannya, Lavena menapak semakin dekat dengan Puteh.

Dengan penuh rasa sayang, Lavena menyentuh wajah Puteh. Beberapa kali diusapnya wajah naga kesayangannya itu. Puteh akhirnya membuka matanya sedikit.

"Aku ni, Lavena," ujar Lavena lagi saat melihat Puteh separa sedar.

Puteh tidak mengangkat kepalanya. Malah, seluruh tubuhnya juga tidak dapat bergerak. Tenaga dan kuasanya juga seakan sudah tiada. Dia hanya mampu merenung Lavena dengan sepasang matanya yang masih hitam itu.

"Aku akan pulihkan kau," ucap Lavena seraya mengenggam batu kristal yang tergantung di leher Puteh. Dia memejamkan matanya dan mula mengeluarkan haruman lavender. Selang beberapa saat, batu kristal itu sedikit demi sedikit menghilang hitamnya. Ia kembali putih seperti asalnya.

Puteh tidak berkerdip memandang Lavena. Hidungnya dapat menghidu bauan lavender dari tubuh Lavena, dan, haruman itu telah meresap masuk ke dalam tubuhnya. Puteh kelihatan tenang dan benar suka dengan bauan tersebut. Tanpa disedari, mata Puteh serta ekornya kembali berwarna putih.

"Aku tak cukup tenaga. Setakat ini sahaja aku boleh bersihkan kau, Puteh," ujar Lavena termengah-mengah. Dia cukup gembira melihat Puteh sudah boleh bangun dan tersenyum melihatnya. Malah, rantai yang mengikatnya juga telah diputuskannya dengan mudah.

Lavena tersandar kepenatan. Pada masa yang sama, dia ligat berfikir cara untuk mengembalikan sepenuhnya kuasa dan tenaga Puteh memandangkan kuasa lavender yang dia miliki tidak berupaya menyembuhkan Puteh sepenuhnya.

"Puteh, apa kata kau sedut semua kuasa hitam di tanah ini dan tukarkannya menjadi tenaga putih untuk kau. Bukankah itu kebolehan kau? Dengan berbuat begitu, kau akan kembali kuat seperti dulu," kata Lavena sebaik teringatkan kelebihan Puteh yang mampu menambahkan kuasa serta tenaganya sendiri dengan menjernihkan kuasa hitam.

Puteh mengangguk sekali seakan memahami kata Lavena kepadanya. Puteh terus mengembangkan sayapnya. Dikibarkannya beberapa kali dan terapung terus ke udara. Ekornya pula memancarkan cahaya putih. Dari situ, kelihatan kepulan-kepulan asap hitam yang datangnya dari seluruh Tanah Tafan berkumpul di ekor Puteh. Sekelip mata sahaja, asap hitam itu berubah menjadi putih dan diserap masuk ke dalam tubuhnya.

Seketika itu, Puteh mula mengalami perubahan. Sayap yang masih dikibarkannya semakin mengembang besar dan ekornya juga menjadi semakin panjang. Malah, Puteh semakin berkilauan putih.

Puteh segera merendahkan terbangannya dan berhenti di hadapan Lavena. Tunduknya sedikit seolah-olah sedang memberi isyarat untuk Lavena menaiki belakang badannya.

Memahami isyarat yang diberikan, Lavena melompat naik dan memeluk erat leher Puteh.

"Mari! Eris sedang menunggu kita!"

***

Eris tercengang seakan tidak percaya melihat Lavena sedang menggemudi Puteh yang semakin berkilauan itu. Terbit rasa gembira melihat Puteh pulih kembali.

Raja Vius pula termangu dan serta-merta menghentikan serangan ke atas Eris. Dia tidak pernah melihat Puteh sedemikian rupa. Naga putih itu benar lain dari sebelumnya.

Menyedari Raja Vius tidak lagi menyerangnya, Eris tiba-tiba berlari ke arah Raja Vius dan terus mendakapnya dari belakang. Raja Vius terkejut dan cuba meronta untuk melepaskan diri.

Puteh tidak sesekali akan mencemarkan dirinya dengan membunuh sesiapa pun. Tugas naga tersebut selain melindungi seluruh kerajaan putih, ia juga bertindak sebagai pembersih nurani mereka yang berhati hitam.

Namun, pada hemat Eris, manusia seperti Raja Vius tidak lagi boleh diberikan peluang kedua untuk dibersihkan hatinya. Salah satu cara untuk menghapuskan Raja Vius adalah dengan menamatkan riwayatnya.

Eris memejamkan mata. Dikumpulkan semula seluruh tenaga kuasa Mega Petirnya di tengah-tengah dada dan kemudian diseratakan ke seluruh tubuh. Eris sudah sepenuhnya mengalirkan petir dalam dirinya dan disambungkan terus ke tubuh Raja Vius. Oleh sebab mereka miliki punca kuasa yang sama, amat mudah bagi Eris menyerapkan kuasa petirnya ke dalam tubuh Raja Vius.

Tujuan Eris hanya satu iaitu letupkan dirinya bersama-sama dengan Raja Vius. Itu sahaja penamat bagi raja tersebut.

Melihat kelakuan aneh Eris di bawah, Lavena segera meminta Puteh terbang ke arah abangnya. Dia tahu apa yang mahu dilakukan oleh Eris. Malah, dia juga amat arif tentang kuasa abangnya itu.

"Tak! Tak! Jangan! Kita boleh bersihkan nurani Raja Vius! Jangan korbankan diri!" Lavena menjerit cuba menghalang niat abangnya.

Eris tidak menghiraukan jeritan adiknya itu. Dirinya sudah tekad dengan apa yang akan dia lakukan ini.

"Manusia seperti ini tidak boleh lagi dibersihkan hatinya! Penuh kesumat! Hanya mati jawapannya! Dan aku akan temankan kau, Raja Vius!" Eris mendengus tegas. Raja Vius yang telah terkunci geraknya terbelalak matanya seolah-olah meminta dilepaskan.

"Tak! Jangan!" Lavena semakin menghampiri Eris.

Kuasa Mega Petir Putih yang semakin menebal itu akhirnya meletup dengan sendirinya. Eris telah melepaskan seluruh kuasa dan tenaganya.

Lavena dan Puteh tercampak ke belakang dek dentuman petir hasil letupan tersebut. Lavena memeluk erat tengkuk Puteh agar dia tidak terjatuh. Puteh pula cuba mengawal terbangannya dengan mengatur kembali kibaran sayapnya.

"Tidak! Eris!" Lavena menjerit sekuat hatinya. Eris dan Raja Vius telah ghaib menjadi abu di tengah laman istana.

***

"Puteri Lavena, rakyat Tanah Tafan sudah sedia sepenuhnya."

Lavena berkalih ke sisi lantas tersenyum kepada orang suruhannya itu.

Nafas dihela dan dilepaskan secara perlahan seolah-olah sedang mengumpulkan aliran tenaga dalam dirinya.

Lavena merenung jauh ke dada langit. Terlihat olehnya bayangan Eris di langit yang sedang tersenyum melihatnya.

"Eris, hari ini adalah hari pertabalan dan penggabungan dua kerajaan. Tanah Tafan sudah menjadi kerajaan putih sebaik sahaja Puteh membersihkannya tempoh hari." Lavena membalas senyuman abangnya itu. Walaupun itu hanya khalayan, ia seakan hidup bagi Lavena, dan itu juga adalah sumber kekuatannya bagi memimpin dua kerajaan putih.

Tamat.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro