Puteh (Bahagian 1)
Penulis : Nur Amirah Ishak (Mira Ishak)
Kumpulan : Dragon
X X X X X
Cahaya mentari sudah mula menerangi segenap Tanah Zaran, sebuah kerajaan putih yang diperintah oleh pemerintah yang mempunyai kejernihan budi dan hati. Angin pagi yang mendamaikan pula bertiup menyapa seluruh pelusuk relung itu, membawa bersama haruman bunga lavender, memenuhi segenap ruang udara. Tenang.
Lavena mendepakan tangan membiarkan angin yang masih bertiup lembut menyentuh seluruh tubuhnya, seolah-olah sedang mengucapkan selamat pagi kepadanya. Wangian bunga lavender benar mendamaikan jiwa dan mindanya. Dia suka dengan bunga tersebut kerana bunga itu adalah simbolik dirinya. Lavena, seorang puteri Tanah Zaran yang mempunyai keupayaan mengeluarkan wangian lavender. Wangian yang boleh membunuh serta menyembuhkan sesiapa sahaja.
"Wanginya tiap-tiap pagi berlavender begini." Eris, jejaka berkulit sawo matang lengkap berjaket biru tua labuhnya mencecah kepala lutut menyapa Lavena tiba-tiba. Lavena menoleh ke sisi kanannya. Senyumnya sekadar membalas sapaan abangnya itu. Eris, seorang putera Tanah Zaran yang dikurniakan kebolehan mengeluarkan kuasa petir di hujung jari-jemarinya.
"Apa rancangan hari ini?" soal Eris tersenyum.
"Lavena bercadang mahu melawat seluruh Tanah Zaran, lebih-lebih lagi kawasan bukit hujung sana. Lavena ada menerima laporan tentang masalah air bukit yang melimpah teruk sehingga menjejaskan pertanian di sana. Lavena mahu melihat sendiri, kemudian baru fikir jalan penyelesaiannya," terang Lavena seraya melebarkan lagi senyuman manis hingga menampakkan kedua lesung pipitnya. Lavena mempunyai rupa paras yang begitu cantik. Wajahnya mulus dengan rambutnya ikal mayang tersisip rapi hingga ke pinggang.
"Pergi bersama Puteh?" Eris bertanya lagi. Dia menatap dengan penuh rasa sayang wajah adiknya itu. Ibu dan bapa mereka telah terkorban beberapa tahun yang lepas dalam pertempuran menentang Raja Vius iaitu seorang raja gila kuasa yang penuh dengan sifat kejam, dari Tanah Tafan, sebuah kerajaan hitam yang terletak di daerah hulu dunia.
Meskipun kemenangan berpihak kepada mereka, Eris dan Lavena tidak boleh sentiasa berada dalam zon selesa kerana, Raja Vius tidak akan pernah berputus asa untuk menawan semula Tanah Zaran dan menjadikannya wilayah takluknya. Oleh itu, Eris dan Lavena bersama-sama bergandingan mempertahankan Tanah Zaran dari dicerobohi lagi.
"Mestilah dengan Puteh," jawab Lavena ringkas. Eris lantas terangguk beberapa kali. Faham benar Eris dengan hubungan akrab yang terjalin antara Lavena dan Puteh itu.
Puteh adalah seekor naga putih yang merupakan lambang kekuatan takhta bagi Tanah Zaran. Berpegang kepada legenda nenek moyang, naga putih itu dikurniakan Tuhan kepada pemerintah awal Tanah Zaran bagi melindungi kerajaan putih dari segala anasir jahat. Tiada sesiapa yang mengetahui asal usul kedatangan naga putih itu ke dunia mereka. Malah, usia naga itu juga sudah mencecah ribuan tahun namun tetap gah beraksi baik di medan pertempuran mahupun di luar medan tersebut.
Berbeza dengan kerajaan hitam, mereka tidak memiliki naga sebegini dan sudah menjadi kepercayaan mereka, jika naga kerajaan putih dapat ditawan dan ditundukkan oleh mereka, maka, merekalah yang berkuasa dari segala kerajaan yang ada. Disebabkan itu jugalah, Raja Vius dari Tanah Tafan sentiasa melancarkan serangan bagi merampas Puteh dari Tanah Zaran sendiri. Dia mahu berkuasa dari sesiapa yang ada di alam semesta ini.
"Hah, panjang umur Puteh! Pantang disebut, sudah terbang ke mari," Eris memuncungkan bibirnya ke hadapan. Lavena turut memandang ke arah yang sama. Wajahnya tampak lebih berseri-seri saat melihat Puteh terbang dengan sayapnya yang megah berkibar membelah langit menuju kepada mereka berdua.
Sejak kecil lagi, Lavena lebih cepat mesra dengan Puteh berbanding Eris kerana aura haruman lavender yang dimiliki Lavena amat digemari oleh Puteh. Haruman itu menjadi pengikat mereka berdua.
Sedang melihat-lihat Puteh menari-nari di dada langit, Lavena perasan ada yang tidak kena dengan Puteh. Gaya terbangnya cukup berbeza dari sebelumnya, malah, renungan mata Puteh yang kelihatan dari jauh juga tajam.
"Abang, Lavena rasa Puteh lain hari ini. Wajahnya dari sini nampak garang sahaja seperti resah. Tengok renungan matanya yang tajam tu." Lavena menyuarakan rasa gusar di hatinya.
"Abang pun perasan perkara yang sama. Gaya terbang seperti itu hanya digunakannya ketika bertempur sahaja. Gaya terbang yang cukup tangkas dan pantas. Malah, boleh membunuh kesemua musuh yang ada di tanah begini. Puteh sakit ke?" Eris pula bersuara dengan nada sedikit bergetar. Kali terakhir dia melihat Puteh tangkas begitu adalah dalam peperangan menentang Raja Vius beberapa tahun yang lepas. Dia juga yang menggemudi Puteh ketika itu. Oleh itu, dia amat memahami bahasa badan Puteh.
Lavena mendepakan kedua tangannya. Matanya masih tertancap pada Puteh yang kelihatan semakin menghampir. Nafas panjang dihela dan dilepaskannya perlahan. Tangannya kini terasa mengembang dan mula mengeluarkan aura haruman lavender yang dikhususkan bagi menenangkan Puteh. Lavena dapat merasakan jiwa Puteh sedang bergolak ketika ini. Apa puncanya, masih tidak dia ketahui.
"Mata dan batu kristal yang ada di leher Puteh sudah bertukar warna hitam. Malah, ekornya juga! Siap sedia! Ada sesuatu yang tak kena ni!" Eris sudah mula bersiaga dengan menghidupkan percikan petir di kesemua jarinya, menimbang kebarangkalian sekiranya Puteh bertindak di luar batasan dan bakal mencederakan mereka berdua.
"Betul tu. Semuanya bertukar hitam! Apa sudah jadi kepada Puteh sebenarnya?!" Lavena semakin tidak keruan. Disebabkan itu juga, dia terlebih dahulu sudah melepaskan aura lavender menuju ke arah Puteh yang semakin menghampiri mereka. Lavena melepaskan kesemua aura dari tenaganya untuk Puteh. Dia tidak tahu apa yang telah terjadi kepada Puteh dan dia hanya mahu Puteh kembali tenang.
Puteh semakin ligat mengibarkan sayapnya yang lebar meluas itu. Matanya yang cantik membulat sudah tidak ramah seperti sebelumnya. Renungan mata yang menghitam itu penuh dengan kemarahan dan dendam. Batu kristal tergantung di leher yang menjadi simbol kebanggaan Tanah Zaran untuknya juga sudah tidak putih suci lagi. Sasaran Puteh hanya satu, membunuh kedua beradik yang ada di hadapannya itu.
"Lavena, kita kena lari! Kalau terus begini, kita mungkin akan terbunuh!" arah Eris yang sudah membuka langkahnya. Dia kenal Puteh itu siapa. Seekor naga yang begitu gagah. Dan, dengan renungan maut yang dilihatnya itu, dia tahu, Puteh sudah ditawan oleh kuasa hitam. Apabila itu terjadi, perkara utama yang perlu dilakukan adalah selamatkan diri sendiri dahulu. Puteh tidak sejinak dahulu lagi.
Lavena menggeleng laju. "Puteh perlukan Lavena. Lavena boleh tenangkan dia dengan aura lavender ini!"
"Jangan degil! Cepat! Puteh sudah dekat tu!" pekik Eris sekuat hatinya.
Lavena mula teresak-esak. Fikirannya berkecamuk memikirkan keadaan Puteh sebegitu. Pengeluaran auranya juga bercempera, sekejap kuat baunya, sekejap pula tidak bau apa-apa seperti dia sudah kehilangan punca kuasa.
Puteh mengeluarkan kuku tajamnya menghala ke arah Lavena. Kuku tajam itu mengandungi racun yang mampu melumpuhkan seluruh saraf serta mematikan kesemua fungsi badan. Setiap sisik pada sayap dan gigi taringnya juga mempunyai racun tersebut. Puteh berupaya mengeluarkan racun itu bila-bila masa sahaja andai terasa terancam atau disuruh berbuat begitu oleh mereka yang berjaya menawan jiwa Puteh.
"Lavena!" Eris terlolong sekali lagi.
Lavena masih tidak berganjak. Air matanya tidak berhenti mengalir. Dia takut kehilangan Puteh. Jika naga tersebut tidak lagi bersama mereka, ini bermakna, takhta Tanah Zaran juga akan jatuh ke tangan orang lain. Tapi, siapa yang mampu menawan Puteh sebegini rupa? Puteh yang manja dan mesra sudah tidak wujud lagi.
Melihat Puteh benar-benar semakin menghampiri Lavena, Eris segera menghasilkan bola petir. Dikumpulkan sepenuh tenaganya. Seketika kemudian, kelihatan percikan bola petir sudah terbentuk di kedua tangannya. Eris melepaskan bola petir itu tepat mengenai sayap kanan Puteh.
Puteh mengaum sakit dan tercampak semula jauh ke belakang. Sayapnya luka dan mengalirkan darah hitam likat. Eris membuat bola petir yang kedua dan dibalingnya tepat mengenai sayap kiri Puteh pula. Sekali lagi, Puteh mengaum kuat, sehingga mengakibatkan loceng keamanan Tanah Zaran yang dipasang di sekitar istana berbunyi nyaring. Loceng yang mengkhabarkan kepada setiap rakyat bahawa Tanah Zaran sedang dilanda bencana!
"Abang! Cukup! Puteh sakit!" Lavena berlari mendapatkan abangnya dan menepis bola petir ketiga yang sudah tersedia untuk dilontarkan.
"Lavena boleh terbunuh jika masih berdegil. Jangan sia-siakan nyawa yang ada!"
"Tapi, Puteh... dia perlukan Lavena. Hanya Lavena yang boleh pulihkannya semula."
"Benar, tapi sekarang ini, kuasa lavender yang Lavena ada masih belum cukup untuk menjernihkan hati dan batu kristal yang telah ditawan sepenuhnya oleh kuasa hitam itu."
Lavena mati kata. Dipejamnya mata menelan sahaja kebenaran kata-kata abangnya itu.
Puteh yang sudah jatuh kembali bangkit. Dikibas-kibas sayapnya yang sudah separuh cedera dengan lontaran bola petir Eris. Sungguhpun begitu, Puteh masih mampu untuk terbang semula. Dipandangnya kembali sasaran yang jauh di depan mata. Perlahan-lahan Puteh naik semula ke langit dan terbang menuju ke arah mereka.
Fuuuuuuuuuuuuu.
Satu deruan angin halus kuat kedengaran, berdengung memenuhi ruang langit Tanah Zaran. Lavena dan Eris termangu dengan bunyi tersebut. Masing-masing mereka berkerut memandang sesama sendiri.
Puteh terhenti terbang tiba-tiba. Puteh mengibar-ngibar sayapnya dan berlegar-legar di tempat dia berhenti. Lavena dan Eris tidak dapat menaksir gaya terbang Puteh yang itu.
Fuuuuuuuuuuuuuu.
Bunyi deruan itu kedengaran lagi. Kali ini, Puteh membuka besar sayapnya dan terbang terus menuju ke arah bunyi tersebut meninggalkan Lavena dan Eris. Bunyi itu seolah-olah satu siulan untuk memanggil Puteh.
"Puteh nak ke mana tu, abang?" Lavena makin cemas melihat Puteh terbang makin jauh meninggalkan perkarangan istana. Eris di sebelah menggeleng tanda tidak tahu.
"Bunyi apa tadi tu? Kenapa Puteh ikut bunyi tu?" Lavena kembali menyoal.
"Abang tak tahu. Mari, kita masuk ke dalam dahulu. Kita perlu tenangkan seluruh rakyat. Mereka pasti mendengar bunyi deruan tadi. Malah, loceng juga sudah berbunyi. Selesai yang itu, kita sama-sama fikirkan tentang Puteh dan dapatkan dia kembali," cadang Eris termengah-mengah kehilangan tenaga selepas melontar bola petir tadi.
Lavena yang masih berendam air mata mengangguk perlahan sambil membuang pandangannya ke dada langit, melihat Puteh yang sudah menjauh.
"Puteh..."
Bersambung...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro