Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Paya (Bahagian Akhir)

Penulis : Nil

Kumpulan : Mermaid


X X X X X


  Hazwan termenung di depan mesin air. Dia memberi alasan kepada ibu Khaidir, mahu turun beli air sebentar.

Punat berkelip-kelip di mesin itu ditenungnya. Suasana hospital lengang, mungkin kerana sudah menjelang waktu malam.
Biasan wajahnya terlihat di cermin mesin. Penat, pucat. Ada lingkaran gelap di bawah mata.

Dia meraup muka, menghela nafas.

Sudah seminggu lebih Khaidir koma. Tiada penyakit, tiada apa.
"Dia seperti tidur mati. Tidur yang di mana, dia sendiri enggan bangun." keluh doktor lelaki itu.

Hazwan terkebil-kebil. Semalam ibunya menelefon.

"Mok cerite pasal saing Wang ke Pok Mang." ujar wanita itu.

"Dia suruh Wang bowok Dir balik sini. Ada benda sini kenang ke dia." sambung Mok.

Hazwan kenal Pok Mang. Siapa tak kenal lelaki legenda kampung mereka. Masuk penjara kerana membunuh pedofilia yang mencabul anak saudaranya sendiri. Keluar penjara - dia kembali menjadi nelayan. Mereka ingat penjara akan menghakis jiwa lelaki tua itu, namun penduduk kampung silap.

Dia keluar membawa parut. Sebangga harimau yang menayangkan belangnya.

Hazwan teringat malam itu, malam dia mendengar anjing jirannya melolong kuat. Melolong, bukan menyalak. Anjing itu melolong sayu, seperti serigala rindukan bulan. Kehairanan, Hazwan menjenguk ke luar tingkap.

Di luar sana, disuluh oleh lampu jalan - Khaidir sedang menggelupur di atas jalan raya. Menggelupur seperti ikan kelemasan.

Hazwan menjerit panik memanggil rakan-rakan serumah yang lain, dan apabila mereka meluru keluar, Khaidir sedang terbeliak. Mulutnya berbuih.

"Mengucap Dir, mengucap!" Pekik Hazwan.

Rakan-rakan serumah yang lain ada yang menghidupkan enjin kereta. Ada yang mengangkat badan lemah Khaidir. Hazwan terkocoh-kocoh mengutip barang-barang peribadi Khaidir yang berselerak di atas jalan, sebelum dia menyertai rakan serumahnya ke hospital.

"Maaf puan, tapi... saya cadangkan puan cuba cari alternatif lain. Perubatan Islam, contohnya." sambung doktor itu kepada ibu Khaidir yang tak henti-henti mengelap air mata. Hazwan sendiri hairan. Dia merenung Khaidir yang menutup mata, tak ubah seperti tidur. Nak kata Khaidir ada masalah? Dia tiada masalah apa-apa. Sebab dadah? Rokok pun dia tak pernah sentuh. Doktor tak dapat mengesan langsung apa masalah Khaidir. Bantuan pernafasan? Tak perlu pasang, Khaidir walaupun tidak sedar, dia bernafas seperti biasa. Kadar oksigen beliau normal.

Dia tidur tak bangun-bangun!

"Wan, kau dah lama kawan dengan Dir. Apa jadi sebenarnya dengan dia? Sejak dia balik Pulau Kapas hari tu, dia berubah betul. Cuba kau ceritakan." ayah Khaidir memegang bahu Hazwan.

Hazwan menunduk. Terbit rasa kesal dia tak ceritakan hal Khaidir histeria di Boardwalk Setiu itu hari.

Dia menarik nafas.

"Begini pakcik..." Hazwan memulakan bicara.

***

Pok Mang merenung tajam kelibat ekor ikan keli gergasi di celah pokok bakau. Ia meligas ganas, sebelum hilang sementara. Matanya bersinar merenung Pok Mang, ekornya bergulung-gulung menahan marah.

Kemudian, ia timbul kembali, merangkul sesuatu.

Duyung itu membalas renungan Pok Mang. Dia menyeringai, mempamerkan barisan gigi tajam, setajam ikan yu.

"Sampai bila mung nak simpan dia? Dia makhluk darat!" jerkah lelaki tua itu.

Duyung itu berbunyi bingit, sebelum terjun bising ke dalam air. Menarik samar-samar sesuatu yang kelihatan seperti Khaidir.

Pok Mang mendengus. Telefon Nokia oren terangnya digenggam erat. Baru tadi dia berbual dengan ayah Khaidir. Mereka setuju mahu ke Terengganu.

Kalau terlalu lama si duyung itu 'menyimpan' Khaidir, nyawa lelaki muda itu menjadi taruhan!

***

"Assalamualaikum. Pok Mang...!" laung Hazwan. Dia menjeling ke belakang, ke kereta milik ayah Khaidir. Khaidir terbaring di tempat duduk belakang. Tidur nyenyak. Ayah Khaidir terjenguk-jenguk, menanti pintu rumah lelaki tua itu terbuka. Azan Asar berkumandang di surau berdekatan.

"Ada tak dia tu, Ayahnya?" ujar ibu Khaidir bimbang.

"Ada. Saya baru telefon dia tadi. Awak tak payah bimbang." ujar ayah Khaidir. Perempuan setengah abad itu menggigit bibir. Dia berpaling ke belakang, melihat anak terunanya terbaring lemah di tempat duduk belakang kereta. Sempat tangannya membetulkan tiub makanan yang di masukkan melalui hidung Khaidir. Tiap tiga jam, dia akan alirkan susu melalui tiub itu. Itu sahajalah punca tenaga Khaidir sekarang.

Sekali lagi, air matanya jatuh.

"Sudah-sudahlah tu Maknya. Naik tekanan darah awak, susah nanti." tegur suaminya. Ibu Khaidir menyeka air mata dengan hujung lengannya. Terhinggut-hinggut bahunya menahan sedu.

Baru sahaja suaminya membuka mulut mahu memujuk - tingkap kereta diketuk.

Hazwan menunding ke arah rumah kayu berdekatan pantai itu. Pintunya terbuka luas, dengan seorang lelaki tua tegap berdiri di muka pintu.

***

Khaidir dibaringkan di tengah-tengah ruang tamu rumah. Anak Pok Mang yang kebetulan sedang bercuti, turut membantu. Cucu-cucunya di dalam bilik dengan anak menantu Pok Mang. Ibu Khaidir turut diminta untuk beredar ke bilik. Wanita itu nampak keberatan, namun menurut.

Sebaik pintu bilik dikatup, Pok Mang memulakan bicara.

"Nampak apa-apa, berlaku apa-apa, jangan tegur. Diam je. Ingat Allah itu Maha Berkuasa." tegas lelaki tua itu. Hazwan dan anak lelaki Pok Mang mengangguk.

Lelaki tua itu bersila kemas. Dalam, suaranya melantunkan istiazah.

Sebaik sahaja nama Allah dilafaz, rumah kayu itu bergegar hebat!

Hazwan mulai panik, namun Pok Mang menjelingnya tajam. Mulutnya masih lancar menyebut ayat-ayat suci Al Quran. Sedaya-upaya, Hazwan mengikut sama.

Petang redup segera bertukar suasana. Langit memerah garang, laut bergulung ganas. Senja melabuhkan tirai dengan pantas, dan sayup-sayup Hazwan terdengar suara perempuan menyanyi lirih.

Ulek mayang.

Suara itu mengalun, dari perlahan, kepada makin kuat, seakan mahu berlawan dengan suara Pok Mang. Hazwan yang duduk di hujung kaki Khaidir menggeletar hebat.

GANG!

Pintu rumah kayu itu terbuka luas!

Hazwan tanpa sengaja terpandang.

Di laut sana - ya, di atas laut yang sedang bergelora, ada seorang perempuan sedang menari lembut. Pakaiannya persis puteri Siam - dengan kuku emas panjang, mahkota mempersona di kepala. Sebagaimana lembutnya ombak beralun di waktu laut tenang - begitulah lembut wanita persis dewi itu menari.

Perlahan, makhluk itu menghampiri pantai!

Mulut Hazwan masih mengikut ayat-ayat suci Al Quran yang dibacakan Pok Mang, namun matanya tak lepas memandang makhluk berupa manusia itu. Cantik. Sangat cantik! Namun ada sesuatu yang aneh padanya.

Hazwan tak pasti, adakah disebabkan jari jemari runcingnya, ataupun...

Sesuatu yang terbelah di kiri kanan tengkuknya, seperti insang?

Kakinya mencecah pantai, dan ia terus menari. Menari mengikut rentak Ulek Mayang. Dari jauh, berbalam-balam di tengah lautan, Hazwan nampak bayang beberapa susuk perempuan menghampiri. Tiap satunya berpakaian lagi indah. Tiap satu yang muncul berpakaian lebih gah.

Ini bukan seperti apa yang biasa dilihat di kaca televisyen. Perhiasan yang disarungkan puteri-puteri itu berkilau, bertatah mutiara, nilam, zamrud dan permata. Satu demi satu mencecah pantai, menari serentak, seiring. Tersenyum manis.

Tak.

Mereka kesakitan.

Hazwan nampak, walau betapa lembut mereka menari, kaki mereka terjingkit-jingkit menahan sakit. Seperti berjalan di atas bilah-bilah pisau tajam.

Tanpa disangka, Khaidir bangkit.

Pantas, Pok Mang memegang Khaidir yang meluru mahu keluar. Hazwan turut membantu. Ayah Khaidir pucat lesi, namun dia tidak berhenti berzikir.

Puteri pertama yang muncul itu mendepakan tangan, seperti menggamit Khaidir ke pelukannya. Walau dengan tenaga empat orang lelaki, Khaidir segagah kerbau naik minyak!

"Bertahan!" laung Pok Mang.

Waktu kudrat Hazwan terasa mahu koyak, nyanyian puteri-puteri itu berhenti. Khaidir tiba-tiba diam, membatukan diri.

Senja memerah tiba-tiba bertukar. Ombak ganas berhenti, laut kembali tenang.

Di tengah laut - satu objek berkilau muncul. Hazwan memicingkan mata.

Bukan, itu... susuk manusia?

Puteri ketujuh yang muncul ini, berpakaian persis maharani Siam. Berpakaian kuning diraja dari hujung rambut ke hujung kaki. Rambut hitam berkilatnya mengurai, beralun seperti dielus air.

Dagunya di angkat angkuh - sewaktu kakinya mencecah pantai. Tangannya dikilas senang di dada, memegang sesuatu yang kelihatan seperti keris.

Keenam-enam puteri yang lain menikus. Sembah di angkat separas dahi, wajah ditunduk. Tiada yang berani mengangkat muka. Tiada yang berani bersuara.

Dia memandang sekeliling - sebelum matanya tertancap pada wajah Khaidir.

Puteri ketujuh itu mengangkat kening. Dia memandang puteri-puteri lain yang masih diam, mengangkat sembah.

"Kerja adik-adik mung la ni." pendek Pok Mang bersuara.

Puteri itu menggeleng.

"Dia persis nelayan yang adinda-adinda beta jumpa di tengah lautan." puteri itu akhirnya bersuara. Suaranya lembut, halus, umpama dentingan loceng.

Dia mendekat.

"Khaidir, beta tahu asal-usulmu. Biarlah yang laut balik ke laut, yang darat balik ke darat." titahnya.

Lantas, badan Khaidir mengendur, sebelum terjelepuk jatuh dalam pangkuan ayahnya.

Puteri-puteri di pesisir pantai itu menangis teresak-esak, namun tiada yang berani menyanggah. Semua masih kekal mengangkat sembah, walau puteri serba kuning itu sudah mula menapak ke arah laut.

Puteri serba kuning itu terjun, berubah menjadi duyung. Puteri yang lain menurut kakanda mereka bertukar menjadi duyung - setiap satunya berbeza dari yang lain. Ada yang seperti ikan laut dalam. Ada yang berekor keli. Ada yang berwarna-warni seperti ikan-ikan jinak di terumbu karang.

Perlahan, mereka hilang di balik buih lautan.

Khaidir terbatuk, sebelum membuka mata lemah.

"Allahuakbar, Dir! Pah... Khaidir dah sedar Pah!" laung ayah Khaidir. Pintu bilik terbuka, dan ibu Khaidir meluru merangkul anaknya dalam tangisan. Khaidir kelihatan lemah, namun terpinga-pinga. Cucu-cucu Pok Mang mengintai dari tirai langsir, ingin tahu.

"Khaidir takkan kena lagi kan?" tanya Hazwan.

Pok Mang menggeleng.

"Dengan syarat, dia tak boleh pergi mana-mana sungai, paya, laut dan sebagainya." ujar Pok Mang. Anak lelaki Pok Mang terduduk kepenatan.

"Apa berlaku ayah, ibu?" soal Khaidir serak. Dia membelek tiub di hidungnya kehairanan. Sempat dia mengangkat kening kepada Hazwan.

"Panjang ceritanya Dir. Aku boleh cerita, tapi dengan syarat, kau tak boleh ikut aku pergi pulau dah lepas ni." senyum Hazwan lega.

Ombak di luar memukul pantai; tenang-tenang sahaja. Di celah-celah terumbu karang - duyung itu berenang lincah, menanti masa manusia mula alpa.

Mereka akan menjengah.


TAMAT

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro