Paya (Bahagian 1)
Penulis : Nil
Kumpulan : Mermaid
X X X X X
Bau sesuatu yang hanyir, mereput, menyapa hidungku. Awalnya aku abaikan, namun ia semakin kuat.
Tak mungkin. Aku di rumah sewaku sekarang. Di tengah-tengah Shah Alam. Jauh dari paya di Setiu, Terengganu.
Tak mungkin. Ini cuma mimpi.
Aku menarik selimut, namun jantung aku kian berdegup kencang. Terutamanya bila aku menjeling ke tingkap, aku nampak sesuatu yang aneh.
Kabus.
Aku bingkas bangun, meluru ke pintu rumahku. Pintu aku sentak, dan ia terbuka luas. Bau air paya memenuhi rongga hidung. Kabus bertempiaran menyusup masuk.
Aku melorot jatuh, terduduk. Lantas, tekak aku terasa kering, kesat.
Kenapa? Bagaimana paya ini boleh muncul di tengah-tengah Shah Alam?
Paya ini memang berpuaka!
***
Namaku Khaidir. Aku akui kisah aku agak pelik. Mungkin sahaja kalian boleh katakan aku gila. Namun aku berani katakan - ini kisah yang benar-benar berlaku padaku.
Kalian sudah baca kisah di atas? Ya. Paya yang tiba-tiba muncul di tengah-tengah perumahan seksyen 18, Shah Alam. Orang lain nampak? Tak. Aku seorang sahaja. Aku seorang sahaja yang menghidu bau air paya, bau tanah, bau reput banir kayu, kabus tebal yang menyesakkan rongga hidung.
Hanya aku.
Kau bayangkan sahajalah imej projektor. Lebih kurang. Ia wujud, namun sekadar bayangan. Namun paya ini lebih legap. Lebih benar. Aku memberanikan diri menyentuh pokok di tepi paya itu, namun tanganku tembus. Aku kutip batu, aku lempar ke dalam paya.
Tiada bunyi deburan. Hanya bunyi hentakan batu kerikil tersebut di jalan raya.
Aku terpinga-pinga.
Makin aku tergamam, apabila bas sekolah jingga lusuh melalui paya tersebut seperti tiada apa-apa.
Hanya fatamorgana?
Jadi mengapa aku boleh 'bau' paya puaka ini?
Paya itu kecil - hanya sebesar kolam renang dengan beberapa pokok di sekelilingnya - namun aku kenal paya tersebut. Apatah aku baru balik dari Terengganu beberapa hari lepas. Banyak kali aku melalui paya ini. Banyak peristiwa berlaku di paya ini, hinggakan tiap akar pokok bakau, tiap rumpun daun - aku hafal.
Terutama sekali, peristiwa bertembung puaka tersebut. Aku menggeletar, mengingat kembali apa yang aku jumpa.
"Khaidir." suara Hazwan membuatkan aku tersentak. Aku berpaling.
Hazwan sedang terpisat-pisat, memandang aku hairan.
"Apa dia?" tegasku, kedengaran lebih kasar dari aku mahukan. Mungkin aku sedang menggelabah. Entahlah.
"Hari ni kau cuti kan? Kau nak pergi mana? Jemur baju ke?" ujar Hazwan pelik.
Aku terdiam.
"Kau nampak tak?" aku menguji.
"Nampak apa?"
"Tu." aku menunding ke arah paya kecil, aneh; seperti hiasan laman rumah yang pelik.
Hazwan merenung aku dengan kening berkerut.
"Aku nampak jalan je. Kau mengigau ke ni?" tebaknya tanpa belas kasihan.
Aku menggigit bibir. Sah! Hanya aku seorang nampak.
"Dah, tutup pintu. Baru pukul 6.15 pagi. Ni kau dah solat Subuh belum? Pergi solat sekarang." bebelnya, sebelum menguap panjang.
Sempat aku intai paya kecil, yang hanya wujud di mataku, sebelum aku tutup pintu rapat.
***
(Beberapa hari sebelum.)
"Umbuk, mayang di umbuk..."
Suara halus itu bergema. Aku yang sedang leka mengambil gambar langit petang di Boardwalk Setiu tergamam seketika.
"Umbuk dengan jala-jemala...
Ulek, mayang diulek...
Ulek dengan puterinya satu..."
Suara itu menyambung lirih. Perlahan, lembut, namun lunak. Tiap perkataan disebut jelas kedengaran.
Aku terpinga-pinga. Ni bukan ke lagu Ulek Mayang?
Seraya kakiku melangkah. Aku terus terlupa pesanan lelaki tua yang sedang mencari lokan tadi.
"Balik cepat. Sini tempat baru buke. Dok tahu bende ada sini!" tegasnya, menjeling kamera yang tergantung di tengkuk aku.
Sejujurnya, aku sendiri tak tahu wujud tempat tarikan paya bakau ini di Setiu, Terengganu. Aku, Hazwan dan beberapa budak pejabat bercuti di Pulau Kapas selama dua hari. Balik dari Pulau Kapas, Hazwan ajak kami tidur di rumahnya, berdekatan kampung Permaisuri, Setiu, Terengganu.
Kebetulan hari ni aku keluar seorang. Hazwan dan yang lain lepak di Pantai Penarik. Aku sengaja tak mahu ikut. Saja, mahu cuba mengembara dengan Waze. Tahu-tahu aku sampai di sini.
Aku ralik mengambil gambar dengan telefon awalnya, aku hantar pada Hazwan.
"Weh bila masa tempat ni ada hahahaha." dia membalas mesej aku.
Aku tersengih. Ya, hasil bacaan aku di Google, tempat ini baru dibuka. Bulan Februari tahun ini pelancaran pembukaan tempat ini kepada orang ramai. Boardwalk Setiu ini merupakan jambatan yang mengunjur di atas paya bakau. Cantik. Bukan selalu kita boleh meneroka dalam hutan bakau.
Matahari kian gelap, dan suara sayup-sayup kedengaran itu diam. Anehnya, aku sepatutnya takut. Tapi tak. Aku anggap sahaja mungkin penduduk kawasan sini yang datang mengutip lokan dan kerang.
Tapi suara itu sangat mendayu. Sangat lirih...
"Umbuk, mayang di umbuk..
Umbuk dengan jala-jemala.
Jika sambut, mayang disambut...
Sambut dengan puterinya dua..."
Suara itu berbunyi lagi. Kian kuat. Aku dengar deburan air, dan tergamam apabila melihat bawah kiri kanan jambatan yang hanya berlumpur tadi - mula digenangi air.
Air kian pasang.
"Siapa tu?" laung aku. "Air dah pasang ni. Bahaya." sambung aku lagi, bersahaja. Macho kononnya.
Diam.
Tak nak jawab sudah. Aku mengangkat bahu.
Aku dengar bunyi air mengalir laju, dan bercadang sudah masa aku pulang. Aku belek gambar dalam kamera. Ada gambar ikan belacak aku sempat ambil. Gambar burung. Gambar penduduk sedang mengutip lokan dan kerang. Ada budak tu berlumpur dari kepala sampai ke hujung kaki! Dia tersengih bangga waktu aku ambil gambar.
Aku tersenyum sendiri membelek gambar-gambar tersebut, dan aku terasa sesuatu yang aneh.
Aku belum sampai ke pintu keluar.
Langkahku terhenti. 'Boardwalk' ni tak adalah jauh mana. Kenapa nak keluar terasa jauh?
Aku sudah tidak sedap hati. Langkah aku cepatkan. Dari berjalan pantas, aku berlari anak.
Aku masih di dalam 'Boardwalk!'
Aku lantas menelefon Hazwan, tapi gagal. Hanya desiran dahsyat kedengaran. Aku mulai panik, peluh dingin merembes membasahi dahi aku. Aku pandang kiri kanan.
"Tolong!" laungku tanpa segan silu.
"Tolong!!!" aku melaung lebih kuat. Manakala siang kian melabuhkan tirai, langsung tidak ambil kisah tentang aku yang ketakutan. Tak logik! Tadi baru pukul 4.35 pm!
Aku berlari laju. Jambatan ini seakan memanjang, tiada belas ihsan, seperti tidak membenarkan aku keluar.
Aku terperangkap!
Lantas, aku melaungkan azan dalam ketar. Tiga kali aku azan. Kali ketiga, cuaca berubah cerah. Dari senja merah bertukar petang yang membiru lembut.
Aku lantas berlari, namun aku terdengar bunyi deburan air dahsyat.
Spontan, aku berpaling ke arah pantai.
Satu lembaga - dengan rambut mengurai ke pinggang merangkak di lumpur.
Pinggang?
Tidak. Makhluk ini tiada kaki.
Ia berekor ikan! Lagi aneh, ekornya seperti ikan keli!
Duyung???
"Khaidir..." panggilnya lirih.
Aku menjerit panik. Petang membiru lantas bertukar warna - menjadi senja dengan langit merah. Garang.
"Khaidir..." dia merangkak. Meraih lumpur ke dada. Mengesot sukar. Tangannya berselaput, berkuku tajam.
Aku tidak nampak wajahnya kerana ia ditutup rambut panjang. Ekor anehnya meligas bising di tanah lecak, merangkak kepayahan.
"Pergi kau! Aku tak kacau kau!" aku menempik garang, walaupun suaraku menggigil.
Aku terdengar sayu suaranya menangis, dan tiba-tiba - laungan garang seorang lelaki mengejutkan aku.
Senja merah bertukar deras. Sekelilingku berpusing ligat, dan bila aku kian sedar, aku di pintu masuk.
Aku di kelilingi pekerja sana - dan seorang lelaki tua. Mereka memandang risau. Cuma lelaki tua itu sahaja memandang aku bengis. Dia sedang duduk di hadapan ku, merenungku dalam.
Dia menggeleng.
"Aku kabo doh kan, balik awal?" ujarnya tegas. Aku menelan air liur.
"A... apa yang berlaku?" ujarku.
"Mung histeria. Guling-bating atas lantai. Mung ada nampak bende ke?" tanya beliau.
Aku teringat puaka aneh itu, dan aku terdiam.
Aku menggeleng.
Lelaki tua itu tidak bertanya. Cuma memilih merenungku.
"Mung kawan anok Hajah Zaiton kang? Aku telefon doh ke dia. Suruh kawan mung mari ambil."
"T... terima kasih pakcik."
"Panggil aku Pok Mang."
"Terima kasih Pok Mang." ujarku gugup.
"Hm." dia menjawab pendek sebelum bangun.
***
Aku diambil Hazwan dan kawan-kawan aku selepas itu. Menggigil tak payah cakap. Betul kata pakcik tu, aku berguling atas lantai. Penuh kesan tanah di bajuku.
Bukan aku tak nak cerita, tapi tiap kali aku buka mulut... tekak aku seperti terkunci!
Hari ini hari ketiga kewujudan paya itu. Aku lari tidur di hotel, dan teka apa berlaku?
Paya itu muncul di dalam hotel!
Hari ini aku balik rumah. Sudah malam waktu aku sampai. Aku pergi kerja naik Grab, aku takut bila aku undur kereta - kereta aku tenggelam ke dalam paya. Orang lain okay, tak ada apa. Paya puaka itu tidak kisah. Ingat tak aku cerita pada awalnya ia kelihatan sekadar seperti imej projektor sahaja?
Kini tidak. Ia makin legap. Makin benar. Aku dengar bunyi kocakan air. Aku nampak kelibat ekor ikan keli gergasi meligas lembut di permukaan sebelum hilang. Kadang-kadang ia berkocak kuat - dan airnya terpercik ke arah aku.
Basah!
Malam ini, puaka itu merangkak keluar dari paya. Ya, aku nampak tangan bersiripnya - menggagau jalan raya.
Aku tak takut. Dia makhluk air. Bukan dia boleh berjalan atas darat! Aku nekad. Kayu sebesar lengan yang jiranku buat penanda parkir kereta aku kutip. Aku mahu pecahkan kepala puaka ini!
Namun sangkaan ku meleset.
***
"...dan walaupun kini kau anggun dan cantik, setiap langkah yang diambil kau pada kaki manusia ini - dirasakan seolah-olah kau memijak bilah pisau-pisau tajam, yang menembus kulit ketika kau berjalan..."
Aku tak kisah.
Aku mendepakan tangan. Kekasihku. Cinta hati ku, Khaidir. Kau muncul akhirnya.
Aku bertatih lemah ke arahnya dengan kaki baruku yang menggeletar kesakitan. Khaidir ternganga, wajahnya jelas ketakutan. Tak apa sayangku, kau sudah lupa. Tak apa, aku akan bantu kau ingat!
"Khaidir..." aku menyeru.
Bersambung....
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro