Nil (fb)
Nama Pena : Nil
Tajuk : Ratu Malum Bahagian Akhir
Kumpulan : Mermaid
*Cerpen ini diterbitkan tanpa ubahsuai dari pihak admin.
***************
Putera Naga itu terpinga-pinga. Merenung gelanggang luas. Di hadapannya, Puteri Duyung berpakaian persis maharani Siam itu sedang menangis teresak-esak. Menekup mukanya hiba. Air mata yang gugur berubah menjadi mutiara.
Naga berupa manusia dengan rambut seputih salju, mata biru cemerlang itu - memandang ke gelanggang seberang. Puteri kaum Phoenix dan Putera kaum Unikorn itu masih ternganga-nganga. Jam matahari berdetik, tiada belas ihsan.
Celaka, Ratu Malum penyembah syaitan! Kini 'kuasa' mereka dikembalikan. Tetapi mengapa mereka masih tidak dapat keluar?
Putera Naga itu mengerutkan dahi. Dia harus berfikir sesuatu.
"Adinda Puteri, beta rasa -"
ZASS!
Pantas, naga muda itu mengelak pancaran cahaya silau - yang dibidik tepat ke jantungnya. Sisik-sisik biru berkilau muncul di sisi wajah, di lengan dan jari jemari. Anak matanya meruncing, seperti ular. Bersedia untuk menyerang si penyerang.
Namun langkahnya terhenti, mata birunya dibulatkan.
"Adinda Puteri...? Apa yang adinda lakukan ni?" ujarnya terkejut.
Wajah ayu puteri sulung kaum Duyung itu berkerut penuh emosi. Matanya bersinar menggila; nekad! Tangan kanannya membentuk cakar beracun; dihujung jari jemarinya keluar cahaya putih berbahaya.
Sekali lagi, cahaya putih itu disasarkan kepada sang Putera. Kali ini, Putera Naga itu mengibarkan sayapnya yang bersisik biru gemilang - terbang rendah mengelak panahan cahaya si Puteri. Kibasan gagahnya membuatkan rambut hitam pekat Puteri Duyung itu terbang mengurai ke belakang, beralun hebat.
"Adinda Gusti Ambarsari!" seru Putera Naga itu lirih. "Apakah adinda disihir Ratu syirik penyembah syaitan itu juga? Ini kekanda, Putera Nilam Al-Azroq!" sambung naga muda berupa manusia itu.
"Ya, kekanda Putera Nilam. Beta sedar sepenuhnya. Kerana inilah, beta terpaksa mengambil keputusan ini. Kekanda harus mati!" jeritnya. Sekali lagi, cahaya silau itu terbang laju - menyerang Putera Naga itu.
"Adinda! Adinda jangan terpengaruh dengan kata-kata Ratu Malum itu. Kita boleh sama-sama mencari jalan keluar!" balas Putera Naga. Dia masih di udara, mengelak serangan demi serangan oleh si Puteri yang sudah ditelan emosi.
"Tidakkah kekanda Putera melihat apa si Ratu itu lakukan pada adinda beta, Mayang? Adinda tidak sanggup kekanda. Nyawa adinda beta yang lain terancam!" Puteri itu membalas sayu. Air matanya berlinangan, menitis menjadi mutiara berharga.
"Itu tipu muslihat Ratu Malum. Dengar kata kekanda!" pujuk Putera Naga.
"Diam! Hunuskan pedangmu!" jerkah puteri yang seakan kerasukan itu. Gusar, Putera Naga itu terbang tinggi, namun terhantuk sesuatu.
Gelanggang mereka dikelilingi bebola lutsinar, seakan menghalang mereka keluar.
Naga muda itu menyumpah seranah. Namun dia berhenti, tatkala dia mendengar letusan hebat dari bawah kaki puteri sulung kaum Duyung itu. Dia memandang ke bawah, dan melihat air membuak-buak keluar dari lantai.
Kedua belah tangan puteri diangkat. Dihala ke arahnya.
Putera Naga itu terbelenggu. Mahu menyerang atau diserang?
Tapi mana mungkin dia menyerang si permaisuri hati. Allah, dia harus berfikir pantas.
Deruan air kian deras, dan belenggu bulatan mereka dipenuhi air menggila. Naga muda itu menarik nafas sebanyak mungkin, sebelum bulatan mereka tenggelam sepenuhnya.
Hening. Dingin. Sunyi.
Air jelmaan puteri ini bukan biasa-biasa. Airnya gelap, keruh. Putera Naga itu meraba dalam dingin air.
"Diiiiiih!" satu suara lelaki bergema. Putera Naga itu tersentak, mencari-cari.
"CHIIIAAAT!"
"Chak-chak-chak-chak-chak-chak..."
Suara beratus lelaki mengulang perkataan sama. Dari perlahan, ritmanya makin laju, makin laju, makin laju. Dalam gelap sesak air, Putera Naga itu cuma mampu menanti tindakan seterusnya.
"CHAK-CHAK-CHAK-CHAK-CHAK-CHAK-CHAK-CHAK!"
Dia masih ingat irama ini. Ini tarian yang dipersembahkan oleh Kaum Duyung waktu kerajaannya bertandang ke sana, waktu dia dan Puteri Duyung masih kecil. Itulah kali pertama dia melihat si manis Puteri Duyung itu. Mereka baru sahaja menginjak umur lapan tahun - dan waktu mereka diperkenalkan, mereka terus rapat.
"Anakanda, agama mereka berlainan. Tapi itu tak bermaksud kita tidak boleh menyantuni mereka." Ayahandanya menjawab, waktu putera itu terpinga-pinga melihat Tarian Kecak. Keliru, dia cuma mengangguk. Menonton dengan senyap.
Waktu orang-orang tua mereka berbual, si cilik Puteri Duyung itu menggamitnya dengan tangan di sebalik tiang, tersenyum manis. Perlahan-lahan, anak bongsu Raja Naga itu meninggalkan ayahandanya dan para pembesar - juga Raja Duyung, untuk menyertai puteri itu.
"Siapa namamu?" ujarnya, waktu mereka jauh.
"Nilam. Nilam Al-Azroq. Kamu?" ujarnya malu-malu.
"Gusti Ambarsari. Panggil sahaja aku Sari. Dari bahasa apa namamu itu?" tanya puteri itu petah. Mereka di bawah laut, namun anehnya, di istana Duyung itu, persekitaran mereka kering. Ia amat cantik, dengan batu karang pelbagai warna, mutiara pelbagai saiz dan rona, dan istana itu sentiasa disuluh cahaya kebiruan.
"Dari bahasa Arab. Al-Azroq itu biru. Nilam itu permata." sambungnya, menurut langkah puteri itu menapak batu-batu leper di taman luas. Makhluk laut purbakala yang gergasi, berenang bebas di udara, meligas tenang, walaupun tiada air.
Puteri itu berpaling, mendekatkan muka. Mendongak nakal. Menatap mata Putera Naga itu lama, sehingga wajah putera itu dirasakan terbakar malu. Lantas, putera kecil itu menunduk.
"Aku tahu dari mana asal-usul namamu. Dari mata biru cemerlangmu, bukan?" senyumnya.
Nilam mengangguk, mengalihkan pandangan.
"Mari! Aku mahu tunjukkan sesuatu." ujarnya riang, menarik tangan Nilam.
ZASSS!
Serangan keris-keris terbang itu dielak pantas oleh Nilam, dan bayangan tadi lenyap. Bayangan wajah manis Sari yang kecil molek, berambut pendek paras dagu sewaktu kecil itu hilang, diganti air pekat gelap.
"Allahuakbar!" pekik Nilam, namun yang keluar cumalah buih-buih. Segera dia mengatup mulut. Menahan nafas. Sebegitu sahaja, dia membazir udara berharga. Dia menyumpah dirinya dalam diam.
Suara ratusan lelaki itu masih kedengaran. Mengulang 'chak-chak-chak' tanpa nada, tanpa henti. Ratusan keris tiba-tiba melayang terbang kepadanya di dalam air, dan si naga muda mengelak dengan lincah. Dia kenal taktik si Sari. Puteri Duyung itu ampuh dalam bermain sihir sebegini, namun dia lemah apabila berlawan kekuatan fizikal.
Namun mampukah dia beradu kekuatan dengan Sari? Mahu menepuk bahu Sari pun dia tidak sanggup, apatah mencederakannya.
Satu keris menggores lengannya, dan naga muda itu menggigit bibir. Bisa terasa bukan kepalang. Sekejap sahaja, seluruh lengannya kebas!
Pantas, naga muda itu menekup lengannya yang cedera. Segera, dia teringat ajaran Ayahandanya. Kisah Nabi Yunus ditelan ikan Nun menerpa ke ingatan, dan dia mula berzikir.
"Laailahailaanta subhanakainni kuntum minazzalimin!"
Dia mengulang berulang kali, waktu dia berusaha mengelak keris berterbangan dalam air gelap pekat. Kali ke empat puluh zikirnya, dia mendengar bunyi sesuatu berderak dahsyat.
Bunyi kecak itu berhenti, dan dia terasa seperti di sedut pusaran air. Dia berpusing ligat dibawa arus, dan menyedari dia sudah boleh bernafas.
Tatkala itu, wajah Sari yang baru berusia lapan tahun menerjah ke memori.
"Nah. Aku jumpa waktu aku berenang bersama dayang-dayangku tempoh hari." Sari menghulurkan sesuatu. Nilam menyambut.
"Ini... permata nilam biru!" teriaknya teruja. Sari tersenyum-senyum comel melihat reaksi Nilam.
"Ambillah." ujarnya.
Senyuman di wajah Nilam lenyap sedikit. "Tapi ini kamu yang jumpa. Aku tak mampu terima."
"Kalau kau tak mahu, aku buang sahaja." ugut Sari. Nilam tergamam.
"Eh, jangan. Ya, ya, aku ambil."
Sari tersenyum, nakal. Kepalanya dimiringkan ke kanan, merenung Nilam. Nilam membelek permata biru sebesar telur puyuh itu penuh minat.
"Terima kasih, Sari." ujar Nilam. Sari tidak menjawab, cuma berlalu, menyanyi perlahan.
"Gegaraning wong akrami,
Dudu bandha, dudu rupa
Amung ati, pawitané..."
"Bahasa apa itu, Sari? Apa maksudnya?" tanya Nilam yang mengekori Puteri Duyung itu dari belakang.
Sari tersenyum nakal.
"Rahsia!"
Nilam terguling di tengah gelanggang, terbatuk-batuk menggila. Lengannya terasa pijar, berdenyut bisa. Sempat dia menyentuh kalung berloket nilam biru, menggenggamnya erat.
Sari!
Naga muda itu mendongak. Puteri Duyung itu turut terbaring, menggigil. Pasti mantera tadi memakan sebahagian besar tenaganya.
Sedaya upaya, mereka berdua bangun.
***
Ratu Malum mengekeh seronok. Sudah lama dia tak bersuka-suka begini, semenjak dia membunuh pemerintah manusia dan keluarganya satu demi satu - bermula dengan bayi paling kecil, dia sudah lama tidak bergembira sebegini. Terbayang-bayang di mata wajah Sultan yang cuma mampu memandang ngeri, tatkala anak baru pandai merangkak itu dirobek ususnya ganas oleh Ratu Malum. Ratu itu mengilai.
Dia tidak menyangka Puteri Duyung dan Putera Naga ini menaruh hati antara satu sama lain! Oh seronoknya dia. Dia menepuk-nepuk peha sambil mengilai nyaring. Hamba sahayanya yang terdiri dari manusia - kaum paling lemah, cuma menunduk, menikus ketakutan.
"Kesini!" arahnya pada seorang lelaki manusia. Lelaki itu menurut, mengheret rantai berat di tengkuk.
"Bawa aku air tuak terhebat kalian. Aku mahu nikmati perlawanan ini secukupnya." Ratu Malum menyeringai.
Lelaki itu mengangguk, sebelum menghilangkan diri.
Sempat, dia menjeling rakannya yang berdiri di balik pintu. Wanita itu memandangnya sekilas, sebelum memandang Ratu Malum yang sedang mengilai gembira.
Dia merenung tongkat sakti Ratu Malum yang tergeletak di sisi ratu kejam itu, sebelum menunduk kembali.
***
Dalam kebas lengan yang tercedera, Nilam masih sedaya upaya mengelak serangan Sari.
"Lawan aku, Nilam!" jerit Sari. Air menghujani Nilam – yang berubah menjadi bilah-bilah pisau tajam. Ada yang berjaya menembusi kulit naga muda itu, dan Nilam meraung.
Buat seketika, Nilam lihat wajah Sari berubah. Seketika cuma. Wajahnya bengis kembali.
"Lawan, Nilam!" pekik Sari. Nilam menggeleng.
"Tidak!"
Nilam tidak sedar bila mereka 'menggugurkan' panggilan kata hormat adinda dan kekanda itu. Nilam juga tidak tahu bila dia mula menyukai Sari, walaupun tidak pernah dia nyatakan kepada puteri laut tersebut.
Sari menghunus kerisnya, sebelum menerpa ke arah Nilam. Pantas, Nilam menghadang dengan pedang yang masih tersarung. Puteri itu menyerang bertubi-tubi, dan Nilam masih berdegil, cuma mengelak dan menghadang dengan pedang yang masih tersarung. Bunyi laga besi keris dan sarung pedang membingitkan telinga.
"Gegaraning wong akrami,
Dudu bandha, dudu rupa
Amung ati, pawitané..."
Nilam tiba-tiba teringat suara lirih Sari menyanyi, di atas batu pantai. Waktu mereka menginjak belasan tahun.
"Kau tak pernah beritahu apa maksud lagu itu, Sari." Nilam menarik muncung. Sari tertawa, mengirai-ngirai hujung rambutnya yang panjang.
"Rahsia." Ujarnya nakal. Nilam menggeleng, berpeluk tubuh. Merenung laut yang luas.
"Kau biasa terbang, kan Nilam?" tanya Sari tiba-tiba.
Nilam mengangguk.
"Aku adalah naga. Sudah tentu aku pandai terbang."
"Apa rasa terbang itu, Nilam?" sambungnya.
Nilam terdiam sebentar, sebelum tersenyum.
"Mahu aku tunjukkan?"
"Maksud kau?"
"Kau tunggang aku. Aku berubah menjadi naga."
Sari menggeleng.
"Masakan ikan boleh menyentuh langit. Tempat aku hanyalah layak di dasar laut, Nilam." Ujar Sari, nadanya tidak mampu dibaca. Namun Nilam terlebih dahulu berubah, bertukar menjadi naga bersisik biru cemerlang.
Sari tergamam. Dia tidak pernah melihat Nilam bertukar menjadi naga sebelum ini.
"Ayuh Sari! Aku bawa kau ke awan." Naga itu bergema.
Sari tersenyum. "Kau memang tak faham kiasan." Ujarnya penuh misteri, namun dia tetap memanjat belakang bersisik Nilam.
Nilam menggigit bibir. Kenapa dia harus mengingati semua ini?
Sari masih menyerang. Rambut ikalnya yang panjang beralun dengan tiap serangan. Pantas, mencari ruang kosong untuk mencederakan Nilam.
Tatkala keris Sari dihala ke dada Nilam – Nilam dengan pantas mengeluarkan pedang. Dilagakan dengan keris Sari. Sarung pedang tergolek jatuh, dan Nilam terpana.
Sari melepaskan pegangan kerisnya – dan memegang tangan Nilam erat. Pantas, ditusuk pedang Nilam ke dadanya sendiri.
"SARI!" Nilam menjerit. Darah merah pekat keluar membuak. Dia menyambut tubuh Sari yang jatuh terkulai, seperti anak patung.
Sari memandangnya sayu.
"Air tadi... beracun. Penawarnya ada di bilah keris... yang mencederakan kekanda Nilam." Ujarnya payah. Nilam tergamam.
"Kenapa kau bertindak bodoh, Sari?!?" tangis Nilam.
"Muslihat Ratu Malum tak akan terhapus. Selagi salah seorang dari kita tidak mati... orang yang kita sayang akan mati... biarlah Sari yang pergi." Sambungnya.
"Maafkan Sari..." Puteri Duyung itu menangis. Nilam turut menangis. Bebola kaca yang mengurung mereka retak, hancur menjadi keping-keping pasir halus. Dari jauh, terdengar riuh-rendah di istana Ratu Malum. Hamba manusia keluar bersorak.
"Ratu Malum sudah mati! Mati diracun air tuak!" mereka menjerit gembira. Nilam nampak samar-samar seorang manusia yang dijulang, memegang kepala Ratu Malum yang dipenggal. Berbalam-balam di udara, Nilam lihat wakil Kaum Phoenix, Unikorn, kaumnya sendiri dan Kaum Duyung yang menunggang kuda menghampiri. Wajah berduka Kaum Duyung yang melihat nasib puteri sulung mereka jelas kelihatan.
Nilam cuma mampu merangkul tubuh Sari yang kian dingin. Tangisnya kian hebat, dan dia tahu Sari tak akan membuka matanya lagi.
"Gegaraning wong akrami,
(Pedoman orang berumah tangga)
Dudu banda, dudu rupa
(Bukan harta, bukan penampilan)
Amung ati pawitane
(Modalnya hanya hati)."
Tamat.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro