Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Naylea Ku. (Bahagian 1)

Penulis : Mimi Ellyya
Team : Unicorn

X X X X X

Hari berganti hari, bulan berganti bulan, aku masih penunggu setia di tepi jendela. Apabila malam menjelma, jendela itulah peneman setiaku. Jauh aku melontar pandangan memandang langit yang dipenuhi dengan berjuta bintang. Angin yang menghembus perlahan membuatkan aku tetap mengigil kesejukan. Biarpun begitu, aku tetap degil kononnya mahu menunggu keajaiban yang aku harapkan untuk menyembuhkan penyakitku ini.

Aku tinggal di sebuah kampung yang terpencil, tetapi rumahku jauh di dalam hutan. Aku juga tidak tahu mengapa rumahku jauh dari yang lain, dari pandanganku keluargaku ini seperti dipulau. Atas sebab apa aku tidak tahu, hendak bertanya pada ibubapaku atas kemusykilan aku ini, terasa tidak patut pula. Maklumlah aku seorang anak yang menurut kata. Malah tidak suka bertelingkah, aku lebih suka mengikut kata apa sahaja ibubapaku suruh atau membuat keputusan untuk kehidupanku. Aku pula anak tunggal, siapa lagi mahu menjaga perasaan ibubapaku, kalau bukan aku.

Sudah berbulan-bulan aku sakit, doktor mengesahkan aku keracunan makanan. Badanku sudah susut, tidak sihat seperti dahulu. Mahu lakukan kerja rumah atau membantu ibuku bercucuk tanam pun tidak mampu lagi. Bermacam ubat sudah aku telan, sehinggakan lidah ini tidak dapat menerima makanan lagi sebab takut untuk aku telan dan kembali muntah. Perut juga sudah pedih, mungkin sudah tidak diisi dengan makanan yang sihat. Aku terima semua ini dengan alasan mungkin antibodi aku tidak kuat maka sakit ini akan berterusan. Ibubapaku juga sudah puas berusaha dengan ubat tradisional, tetapi keadaanku masih sama.

Setiap malam jendela inilah peneman mendengar luahanku, angin yang sepoi-sepoi itulah membawa tangisanku yang sakit ini pergi jauh ke dalam hutan sana. Tetapi aku tenang, dan suka melihat hutan yang rimbun dan menghijau, cukup tenang sehingga ke dalam jiwa. Sungguh aku betul-betul berharap agar ada keajaiban yang akan menyembuhku dari kesakitan ini. Aku tidak kuat, dan aku tidak mahu keluargaku risau keadaanku ini.

Aku terlelap di jendela bilikku itu.

Terdengar geseran daun hutan yang seperti memberi laluan kepada sesuatu binatang. Dengkuran halus dan mendamaikan, berserta hembusan nafas menyapa telingaku. Aku memejam mata makin rapat, takut akan sesuatu yang mungkin membuatkan aku terkejut, dan ngeri untuk lihat.

Tetapi bisikan halus di dalam hati memaksa aku untuk membuka mata dan melihat sekarang apa dihadapan mataku. Aku masih tidak ikuti bisikan itu. Terasa bulu yang halus dan wangi bergesel di wajahku, dan menyondol perlahan kepalaku. Adakah ini binatang buas? Aku masih lagi takut.

Lama aku menunggu agar binatang itu pergi. Tetapi binatang itu masih tidak berganjak, malah ligat mengeselkan bulunya ke wajahku. Tiada bunyi darinya, cuma angin sahaja yang sepoi-sepoi itu galak membuatkan bulunya itu rimas mengenai wajahku.

Aku membuat keputusan untuk membuka mataku dan melihat secara realiti. Sungguh aku terkejut apabila melihat apa yang berada dihadapanku kini. Seekor kuda yang berwarna putih, bulu diatas kepalanya berwarna biru, ungu cair. Ekornya juga bewarna yang sama. Mempunyai tanduk di kepalanya yang terang bersilau. Terang benderang di kawasan hutan itu, aku tersenyum lalu menghulurkan tanganku untuk menyentuhnya. Dan ia menyambut huluran tanganku dengan memberikan gosokan di wajahnya.

Aku tahu binatang ini bukannya seperti haiwan lain. Ia adalah binatang yang jarang manusia dapat lihat atau mungkin yang terpilih sahaja. Ya ia adalah unicorn. Unicorn yang sangat cantik, aku tidak mampu ungkapkan kata-kata, hilang rasa takut di tengah malam yang pekat itu. Jam tepat menunjukkan pukul 2 pagi.

Unicorn itu masih lagi mengeselkan kepalanya seperti mahu aku ikutnya. Aku pula seperti memahami apa yang unicorn itu cuba sampaikan. Aku bersusah payah bangun dan cuba untuk melompat dari tingkap itu. Unicorn itu membantu aku supaya tidak jatuh ke tanah. Aku disambut oleh badannya, dan aku bersandar lemah pada badannya.

Aku tersenyum dan mengusap perlahan badannya. Ekornya mengurai panjang mencecah tanah. Dan tanah itu akan bercahaya apabila terkena bulu ekornya. Unicorn itu melangkah perlahan membawa aku menuju ke dalam hutan. Hutan rimbun di situ memberi laluan pada unicorn itu. Setiap kali tapak kaki unicorn itu memijak tanah, keluar dari tanah itu bunga yang mekar bewarna-warni dengan rumput hijau yang segar dan bercahaya.

Bagaikan mimpi yang bukan di dunia nyata, aku memandang keindahan itu dengan penuh menghayati supaya aku masih lagi ada masa untuk lihat lagi di masa akan datang. Aku membisikkan kata-kata di telinga unicorn itu.

"Mana kamu hendak membawa saya? Adakah ini keajaiban yang saya minta. Kamu dengar segala rintihanku?"

Unicorn itu hanya mengangguk dan berbunyi perlahan. Aku memandang sekeliling, hutan itu bagaikan memberi hormat pada unicorn yang aku tunggang itu. Aku memeluk erat lehernya.

Kini unicorn itu berhenti dan menurunkan aku dengan perlahan di sisi tasik jernih yang berwarna biru cair. Aku bersimpuh di tepi tasik itu. Unicorn itu juga sama dengan rela memberi aku tempat bersandar yang selesa. Aku tersenyum kelat memandang wajahku yang cengkung dan kusut di bayangan air tasik itu.

Unicorn itu memandangku dan tanpa disuruh ataupun dipaksa ia menunduk dan membiarkan tanduknya terendam ke dalam air tasik itu. Lantas tasik itu mengeluarkan cahaya pelangi dan muncul binatang-binatang dari dalam hutan itu mendekati tasik itu. Aku melihat kejadian itu hanya mampu melihat dengan mulutku terlopong disebabkan aku tidak terfikir bahawa aku dapat melihat keajaiban ini. Mereka meminum air tasik itu, ada juga yang berdiri sebelahku seekor tupai kecil. Jinak sungguh, aku mengusap bulunya dan mereka tidak lari melihat aku di situ. Arnab dengan mempunyai ekor yang panjang seperti kucing berbulu kembang, ada juga burung kecil yang berekor seperti merak. Kancil yang berkaki belang, rusa yang berbulu putih seperti salji.

Semua binatang ini membuatkan aku kagum, mereka mungkin ada kelebihan tersendiri. Unicorn tadi menolak aku hampir ke tasik itu. Aku memandang tingkah lakunya. Lalu aku mengambil air itu dengan kedua telapak tanganku dan menghirupnya perlahan.

Saat air itu mengalir ke dalam badan, sejuk dan aku sedikit terasa kejutan, air itu sungguh segar. Nafsu makan ku seakan kembali pulih, aku berasa lapar. Aku berasa sihat dan semangat. Antara aku mampu atau tidak sahaja untuk bertahan. Unicorn itu memandangku lalu menghembuskan nafasnya kewajahku. Unicorn itu memantulkan cahaya pada sebuah pohon yang berbuah lebat. Lalu pohon itu mengerakkan dahan dan menghulurkan buah yang besar kepadaku. Berwarna ungu pekat, berkilat.

Aku mengambilnya dan mengucapkan terima kasih kepada pohon tersebut. Binatang lain juga turut dapat merasai buah di pohon itu, kerana buahnya tidak pernah habis. Aku mengigit perlahan, nikmat yang tidak dapat aku gambarkan, kesedapan buah itu.

"Terima kasih menolong aku unicorn. Aku ingin meletakkan nama kepadamu, Naylea. Indah bukan? Sesuai dengan rupamu yang cantik dan sikapmu membantu yang lain. Kamu setuju?"

Unicorn itu mengangguk laju bagaikan faham apa yang aku cakapkan. Aku gagah bangun dan dipimpin oleh Naylea, aku menapak perlahan, bunga-bunga yang mekar itu aku hidu dan memetiknya untuk meletakkan di dalam bilikku. Indah betul di dalam hutan ini tanpa aku ketahui.

Naylea menundukkan tubuhnya untuk aku naik duduk di atas badannya. Sudah tiba masa untuk aku pulang, aku melambai tangan pada penghuni di hutan itu menandakan aku akan datang lagi.

Mereka menunduk faham dan Naylea membawa aku pergi, sampai sahaja di jendela bilikku. Terlihat ibubapaku sudah menunggu dan merenung aku tanpa berkelip di dalam bilikku. Aku tergamam, aku tidak tahu apa yang patut aku lakukan dan bagaimana aku mahu terangkan kepada mereka. Naylea pula seperti tahu itu salahnya, kerana membawa aku pergi tanpa meminta izin kepada mereka.

Lalu aku diturunkan perlahan, dan bunga tadi aku letak di dalam pasu dan mengantikan bunga yang layu. Ibubapaku masih lagi memandangku dan bulat mata mereka seperti mahukan penjelasan.

Naylea pula sudah pergi tanpa sempat aku melambai padanya. Aku tahu Naylea pasti akan datang lagi apabila malam menjelma dan aku pula berada di jendela itu, mengenang nasib tubuh badanku. Selepas Naylea melangkah pergi, tanah yang bercahaya dan hutan itu kembali gelap semula.

Dan aku...

Bersambung...

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro