Bangkita Dari Abu (Bahagian 1)
Penulis : Mohd Hafizuddin Mohd Ghazali
Team : Phoenix (FB)
X X X X X
Suasana di sepanjang pantai selat negeri Volkano tenang. Angin bertiup lembut diikuti dengan nyanyian burung-burung. Langkah Laksamana Ipa perlahan menuju ke gigi pantai. Mata Laksamana Ipa merenung jauh laut di hadapan. Di seberang laut ada sebuah negeri yang ditadbir oleh raja yang baik dan berpengaruh.
Laksamana Ipa bermain-main air laut dengan kakinya sendiri. Petang itu, ramai kanak-kanak bermain dan bermandi di pantai. Laut Selat Volkano. Selat Volkano adalah selat utama yang menjadi laluan antara timur dan barat, laluan terpenting bagi perdagangan. Kebanyakkan negeri mahu menjalinkan persahabatan dengan negeri Volkano kerana pelabuhan yang sangat strategik.
Tiba-tiba beduk berbunyi di sebelah utara negeri Volkano. Nyaring dan kuat sekali. Laksamana Ipa bergegas ke arah utara dengan menunggang serigala putih. Negeri Volkano menggunakan serigala putih sebagai pengangkutan untuk pegawai tertinggi kerajaan.
Larian serigala putih deras, membelah angin. Lompatannya tinggi. Laksamana Ipa merasakan ada sesuatu yang buruk berlaku di sebelah utara. Dalam masa yang sama, bunyi beduk sudah tidak kedengaran lagi.
Sampai sahaja di utara negeri, Laksamana Ipa mendapati pengkalan pertahanan di utara musnah sekelip mata. Tiada yang tinggal, melainkan tapak kubu sahaja yang tinggal. Tiada tanda-tanda serangan dari pihak musuh yang ada hanya air laut yang membanjiri kawasan utara.
Seratus meter dari tempat berdirinya Laksamana Ipa, dia melihat ada sebuah kapal perang lama yang beroleng-oleng di permukaan air. Tiada sesiapa di atas kapal tersebut. Sunyi dan sepi sekali kapal perang tersebut.
Lantas, Laksamana Ipa menunggang semula serigala putih menuju ke istana Raja Erif. Dia perlu memaklumkan bahawa negeri Volkano sudah diserang oleh pihak musuh yang tidak diketahui dari negeri mana. Sememangnya Laksamana Ipa tidak pernah melihat kapal perang seperti itu sebelum ini. Seolah-olah kapal perang lama.
Laju serigala putih berlari pulang ke istana. Segala semak-samun, duri dan pokok-pokok renek diredah. Luka kecil pada kaki serigala putih dan Laksamana Ipa tidak diendahkan. Maklumat terkini perlu disampaikan dengan segera.
Tidak berapa lama kemudian, Laksamana Ipa sampai ke perkarangan istana Raja Erif. Raja Erif ketika itu sedang berkumpul bersama panglima-panglima perang mengenai struktur pertahanan di setiap sisi negeri. Laksamana Ipa melompat dari serigala putih dan terus menghadap Raja Erif.
Laksamana melutut dan kepala ditundukkan ke bawah sebagai tanda hormat kepada raja. Lalu bertitahlah Raja Erif, "Wahai, laksamana bijaksana beta. Ada hal apa, laksamana terkocoh-kocoh menghadap beta?"
Laksamana Ipa yang menundukkan kepala tadi, mula mengangkat sedikit kepala sambil menyembah, "ampun, tuanku. Negeri kita di sebelah utara telah dilanda badai, tetapi tiada tanda-tanda ombak besar pun. Yang ada hanya adalah sebuah kapal perang lama yang tersadai. Sebelum ini, patik sendiri tidak pernah melihat kapal perang lama seperti itu. Seakan-akan kapal perang 100 tahun lalu, tuanku."
Raja Erif mengurut dagu yang berjanggut panjang. Dia sepertinya pernah mendengar kisah kapal perang lama tersebut melalui kitab-kitab lama nenek moyangnya dahulu.
"Laksamana Ipa, adakah kapal perang tersebut mempunyai apa-apa tanda yang mencurigakan?" titah Raja Erif.
Panglima-panglima perang yang lain sudah pun berbisik sesama sendiri. Mereka juga risau jika peperangan akan berlaku. Sudah 100 tahun lebih negeri Volkano aman dan makmur.
Laksamana Ipa membalas titah Raja Erif, "hanya patik nampak hanya kain layar yang sudah koyak dan lusuh. Di kepala kapal terdapat rangka manusia yang digantungkan, tuanku."
Membuntang mata Raja Erif dengan kata-kata Laksamana Ipa. Raja Erif bangun dari takhta. Lantas panglima-panglima perang yang lain juga bangun dari sila, kecuali Laksamana Ipa.
Dengan nada tegas, Raja Erif bertitah, "Laksamana Ipa, sediakan sepuluh ribu soldadu dan meriam beserta peluru emas, segera!"
"Tuntutan dipatuhi, tuanku," Laksamana Ipa menurut perintah Raja Erif.
Belum pun sempat Laksaman Ipa beredar dari serambi istana, datang pula seorang Panglima Uba tercungap-cungap menahan lelah. Panglima perang lain melihat Panglima Uba dengan kehairanan.
Panglima Uba melutut dan menundukkan kepala. Dia duduk melutut di sebelah Laksaman Ipa yang masih teguh melutut.
Panglima menarik nafas panjang. Raja Erif yang sedang berdiri, kembali duduk di takhta. Lalu bertitah, "Panglima Uba, apa perkhabaran hamba pada beta?"
"Ampun tuanku, di sebelah barat negeri, Gunung Volkano sudah menandakan akan meletuskan larva, tuanku. Sudah 100 tahun gunung itu tidak aktif, tetapi hari ini Gunung Volkano kembali aktif, tuanku," Panglima Uba memohon sembah.
Laksamana Ipa menoleh pada Panglima Uba. Dia tidak mengerti apa yang berlaku pada hari ini. Dua bencana dalam masa yang sama. Tidak pernah lagi berlaku sebelum ini. Degupan jantung Laksamana Ipa semakin berdegup kencang.
Panglima Uba hanya memandang kosong sahabat di sebelahnya itu. Dia juga tidak mengerti apa yang berlaku. Tetapi melihat pada riak wajah Raja Erif, Raja Erif mesti mengetahui sesuatu.
Raja Erif bertitah pada Panglima Uba, "Sudah lama gunung itu tidak aktif. Dia kembali aktif pada ketika negeri kita mengalami bencana."
Panglima Uba dan Laksamana Ipa hanya mendiamkan diri. Kepala masih ditundukkan ke bawah. Panglima perang lain sudah pun kembali sila masing-masing.
"Beta perintahkan suku dari soldadu Laksamana Ipa membantu Panglima Uba memindahkan penduduk ke tempat yang selamat. Untuk Laksamana Ipa, biar beta sendiri yang akan berhdapan dengan musuh tersebut. Negeri beta dicabar, beta tidak akan berdiam diri," titah Raja Erif.
Laksama Ipa memohon sembah, "ampun tuanku, negeri kita mempunyai ramai pahlawan yang hebat, tuanku. Tuanku tidak perlu bermandi peluh untuk berhadapan dengan musuh."
Raja Erif mula murka sambil berkata dengan keras, "Laksamana Ipa, hamba tidak tahu kekuatan musuh. Musuh lama negeri Volkano kembali datang membalas dendam. 100 tahun musuh terkubur di bawah laut. Hari ini, cukup 100 tahun, mitos nenek moyang kita sudah bercerita. Musuh kita kali ini, bukan musuh biasa. Lebih ganas dan lebih kejam. Biar beta yang bantu laksamana."
Laksamana Ipa dan Panglima Uba terkejut dengan titah Raja Erif. Lebih ganas dan lebih kejam. Sedangkan yang Laksamana Ipa nampak tadi hanya sebuah kapal perang lama sahaja. Tiada apa yang menarik pada pandangan Laksamana Ipa.
Raja Erif sudah pun bangun dari takhta dan menyarung pakaian perangnya yang diperbuat dari bulu beruang putih. Baju perang turun-temurun dari nenek moyang Raja Erif. Baju perang yang memberikan semangat juang ada setiap pemakainya.
Raja Erif bertitah kepada Laksama Ipa dan Panglima Uba, "sediakan kesemua soldadu, kita bertolak sekarang. Semua panglima yang berada di serambi istana beta, kumpulkan sekali soldadu kalian. Kita akan berperang demi tanah air dan waris kita."
***
Raja Erif dan angkatan perang negeri Volkano sudah pun berada di utara negeri. Meriam-meriam yang diisi dengan peluru emas sudah pun bersedia. Raja Erif memegang sebatang pedang kristal hijau. Pedang kristal itu diletakkan di atas bahu kanan Raja Erif.
Tiba-tiba di sebelah kiri Raja Erif diserang satu peluru air yang datangnya tidak diundang dan tidak diketahui dari mana. Sedangkan kapal perang lama masih teguh beroleng-oleng di permukaan air. Laksamana Ipa terkejut melihat soldadunya tewas sekelip mata.
Raja Erif menitahkan meriam berpeluru emas melepaskan tembakan ke arah sekitar kapal perang lama. Soldadu-soldadu terpinga-pinga kerana tiada musuh di hadapan mereka.
Sekali lagi dengan murka Raja Erif menitahkan soldadu-soldadu melepaskan tembakan kepada musuh yang tidak kelihatan. Tanpa berfikir panjang, kesemua meriam melepaskan tembakan ke arah selat.
Tiba-tiba, berpuluh-puluh ribu kapal perang muncul dari dasar laut. Berpuluh-puluh ribu peluru air menyerang angkatan perang Raja Erif.
Manakala di sebelah barat negeri Volkano, gunung berapi Volkano mula memuntahkan larvanya dan keluarlah seekor burung yang sangat besar berwarna oren dan disaluti dengan larva gunung berapi. Jeritan burung tersebut nyaring dan membingitkan telinga penduduk di sekitar pergunungan. Burung tersebut mengibas-kibas kepaknya dan terus terbang menuju ke utara.
Panglima Uba yang melihat kejadian itu memandang aneh, tidak pernah dia melihat burung sebesar itu dan keluar pula dari gunung berapi. Panglima Uba merasakan dia sedang bermimpi. Tetapi tidak mungkin dia bermimpi di siang hari.
Tatkala angkatan Raja Erif sedang bertungkus-lumus membalas serangan dari kapal perang lama, Raja Erif terdengar nyaringan jeritan seekor burung dari sebelah barat. Raja Erif memandang ke arah barat.
Raja Erif melihat seekor burung lagenda datang menghampiri angkatan soldadu Raja Erif. Seekor burung berwarna oren dan masih disaluti dengan larva gunung berapi. Kepak yang lebar dan ekor yang panjang, sedang terbang tinggi.
Lalu, burung lagenda yang dipanggil phoenix emas oleh kitab-kitab lama tinggalan nenek moyang negeri Volkano. Kemunculannya sudah dijangkakan oleh kitab-kitab lama.
Burung phoenix emas mula melepaskan batu-batu larva gunung berapi ke arah kapal-kapal perang lama. Sekelip mata beberapa buah kapal perang lama hancur dan tenggelam ke dasar selat.
Soldadu-soldadu Raja Erif bersorak riang, namun sorak mereka itu tidak bertahan lama. Kapal yang tenggelam tadi, muncul kembali. Membalas balik dengan peluru air ke arah burung phoenix emas.
Tembakan itu langsung mengenai kepak sebelah kanan phoenix emas, lalu phoenix emas terhoyong-hayang dan terus mendarat ke gigi pantai. Bergolek-golek di atas pasir. Raja Erif yang menunggang serigala putih terus menuju untuk membantu phoenix emas tersebut dengan pantas.
Raja Erif membantu burung phoenix emas tadi yang sudah pun menjelma sebagai seorang lelaki untuk bangun. Namun Raja Erif terkejut dengan lelaki tersebut.
Raja Erif terjatuh dari tunggangannya. Pedang kristal yang digenggamannya turut terlepas ke atas pasir lalu tercacak. Dia sendiri terkejut dengan lelaki di hadapannya itu. Tidak mungkin dia orangnya.
BERSAMBUNG...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro