Amirah Ishak (fb)
Nama Pena : Nur Amirah Ishak (Mira Ishak)
Tajuk : Ratu Malum Bahagian Akhir
Kumpulan : Dragon
*Cerpen ini diterbitkan tanpa ubahsuai dari pihak admin.
***************
Gelanggang tiba-tiba bergegar. Muncul satu penghadang besar yang keluar dari perut tanah. Penghadang besar itu ibarat pagar yang memisahkan gelanggang kepada dua bahagian.
"Apa pula kali ini?" soal Puteri Mermaid yang tunduk teresak mengenangkan apa yang telah terjadi kepada adiknya itu.
Putera Naga meliarkan pandangannya ke pelosok gelanggang. Hanya ada mereka berempat sahaja.
"Putera Unicorn dan Puteri Phoenix di sebelah sana. Dan, kita berdua di sini. Ini bermakna, lawan aku adalah kau, Puteri Mermaid. Aku tidak boleh lawan kau. Kau seorang puteri!" Tampak riak gusar pada wajah Putera Naga.
Puteri Mermaid mengangkat kepalanya sambil merenung tajam, "Jangan sesekali pandang rendah atas gelaran puteri ke atas aku ini! Jika dengan mengalahkan kau, kita semua dapat kembali semula ke tempat kita, ayuh, jangan tunggu lama, Putera Naga!"
Puteri Mermaid menarik kuat rantai lehernya kemudian digenggam erat. Matanya terpejam rapat.
"Adik aku dibakar begitu sahaja tanpa aku sempat buat apa-apa. Aku tak nak adik aku yang lain pula terkorban. Mari, Putera Naga! Tunjukkan kepada aku legasi pertempuran kau itu!" Rantai leher yang digenggamnya memancarkan cahaya biru laut dan kelihatan rantai itu merubah menjadi satu sabit besar tajam melengkung.
"Sabit Biru? Senjata lambang kerajaan Mermaid. Tapi bagaimana? Kita bukannya punyai sebarang kuasa di sini." Putera Naga terpinga-pinga.
"Aku gunakan separuh tenaga aku untuk tukarkannya. Sudah! Jangan banyak bicara lagi!"
Puteri Mermaid terus menerpa ke arah Putera Naga. Senjata biru itu diayunkan beberapa kali seolah-olah sedang mengumpul kekuatan sendiri buat senjatanya. Putera Naga menelan liur.
"Tidak! Nanti dulu! Kita bincang dulu." Teragak-agak dia melangkah ke belakang. Sungguh dia tidak menyangka Puteri Mermaid akan bertindak begitu.
"Argh! Maut sahaja jawapannya!"
Puteri Mermaid mengayunkan lebih kuat Sabit Biru apabila sudah tiba betul-betul di hadapan Putera Naga. Ayunan pertama berjaya dielak. Putera Naga melompat ke belakang. Jika tidak berbuat begitu, sudah pasti kepalanya tercabut.
Dia cuba memikirkan strategi lain untuk berhadapan dengan Puteri Mermaid yang seakan gila dirasuk itu. Dengan kuasanya yang sudah dikunci oleh Ratu Malum, sukar untuk dirinya bertarung dengan tangan kosong. Dia sepenuhnya bergantung kepada kuasa magis yang ada dalam diri. Jika kuasa itu tiada, maka, memang maut adalah sahabatnya. Melainkan...
Puteri Mermaid semakin lincah. Dia bertempiaran lari mengelilingi gelanggang bagi mengelirukan Putera Naga. Melihat Putera Naga mula termakan umpan dengan rentak larinya itu, Puteri Mermaid terus mengayunkan semula senjatanya. Kali ini lebih pantas.
Cukup lincah gerak Puteri Mermaid sama seperti lincahnya dia berenang dalam air. Sama sahaja darat dan air buat kaum Mermaid begini. Sekelip mata sahaja dia sudah semakin menghampiri Putera Naga tanpa disedari oleh Putera Naga sendiri.
"Argh!" Putera Naga terpelanting ke belakang. Ayunan Sabit Biru yang diterima itu telah berjaya merobek tangan kanannya. Darah merah likat mengalir laju. Putera Naga mengerutkan dahi menahan pedih dek koyakan isi tangannya itu.
Puteri Mermaid tersenyum puas. Sabit Biru tidak pernah menghampakannya. Dalam dua atau tiga serangan lagi, Putera Naga akan kecundang. Dengan itu, dia boleh pulang semula ke istananya dan tiada lagi adiknya yang akan menjadi korban.
Melihat Putera Naga terkial-kial bangun, Puteri Mermaid mulakan lariannya lagi. Diangkat dan dilibas-libasnya senjata biru itu sekali lagi dengan lebih pantas.
Putera Naga membesarkan matanya cuba membaca gerak lari Puteri Mermaid. Segera dia melompat dengan menggunakan kudrat yang masih berbaki bagi mengelak libasan senjata maut tersebut. Puteri Mermaid mendengus geram. Dikejarnya Putera Naga dengan deras.
"Itu sahaja yang kau ada? Elak dan terus elak? Lagi mudah aku bunuh kau begini!" Puteri Mermaid menjerit kuat. Geram betul melihat Putera Naga hanya mengelak sahaja.
"Jika benar kau mahu bertempur mati-matian dengan aku, baik, aku terima," balas Putera Naga yang mula termengah-mengah berlari.
Tanda diduga, Putera Naga tiba-tiba melompat ke belakang dan terus menyepak belakang badan Puteri Mermaid sekuat hati. Puteri Mermaid tersungkur jatuh. Sepakan Putera Naga menyebabkan dia terseret beberapa meter ke depan. Wajahnya yang mulus tergaris darah biru dek seretan itu.
"Tahu pula nak balas," ujar Puteri Mermaid sinis sambil mengelap darah yang mengalir di pipi.
Putera Naga tidak menunggu lama. Dalam termengah Puteri Mermaid bangun, Putera Naga sudah pun mengatur langkah mendekati. Satu lagi sepakan menghinggap tubuh kecil itu dan membuatkannya terpelanting beberapa meter lagi ke belakang.
"Argh! Biadap kau, Putera Naga!" Puteri Mermaid semakin menggila. Dilibasnya Sabit Biru beberapa kali dan terus berlari menuju ke arah Putera Naga.
Putera Naga hanya tersengih mengejek. Padanya, Puteri Mermaid bukanlah lawannya. Puteri Mermaid tidak berputus asa mengayun beberapa serangan, tetapi, Putera Naga berjaya mengelak. Sesekali kedengaran Putera Naga ketawa kecil seakan terhibur melihat kesungguhan Puteri Mermaid bertarung dengannya tika ini.
"Kita bersahabat cukup lama. Tak kan kau sudah lupa apa kekuatan semula jadi kaum Naga?" soal Putera Naga sembari menyusup ke belakang Puteri Mermaid ketika menyedari Puteri Mermaid terlalu asyik melontarkan serangan membabi buta. Tindakan Putera Naga itu benar-benar mengejutkannya. Serta-merta langkahnya mati.
Putera Naga tidak menunggu lama. Diletak tangannya di bawah leher Puteri Mermaid dan kakinya pula digunakan untuk mengunci gerak kaki puteri tersebut.
Puteri Mermaid meronta untuk melepaskan diri namun gagal. Dia tidak punyai tenaga yang cukup kuat untuk melawan semula pasungan yang telah dikenakan oleh Putera Naga ke atas dirinya itu.
"Kaum Naga punyai kekuatan semula jadi tersembunyi untuk mengawal dan menundukkan senjata pihak lawan. Nampaknya memang tiada sesiapa pun yang tahu tentang itu," bisik Putera Naga perlahan di tepi telinga Puteri Mermaid seraya memegang Sabit Biru yang masih berada dalam genggaman puteri itu.
"Apa?!" Puteri Mermaid terbeliak mendengar. Putera Naga makin menyengih.
Sekelip mata sahaja Putera Naga dapat merampas Sabit Biru dari tangan Puteri Mermaid dan mengawalnya dengan baik. Dia kemudiannya terus menikam tepat dada puteri itu.
"Haaaaa..." Puteri Mermaid menghela nafas panjang dan tersekat-sekat melepaskan nafasnya kembali. Putera Naga menekan lagi dalam senjata itu. Wajahnya cukup membengis tanpa ada sekelumit belas kasihan melihat rakannya ditikam begitu.
"Maafkan aku, Puteri Mermaid. Ini yang kau pinta awal tadi. Aku hanya kabulkan permintaan kau itu." Buat kali ketiganya, Putera Naga menekan habis Sabit Biru hingga menembusi tubuh Puteri Mermaid sendiri. Kemudian, dijatuhkannya Puteri Mermaid ke tanah. Menggelupur Puteri Mermaid menahan sakit maut seperti menggelupurnya seekor ikan duyung yang terlalu mahukan air untuk hidup. Putera Naga hanya melihat.
Seketika kemudian, Puteri Mermaid berubah menjadi abu biru. Dengan itu, tahulah Putera Naga bahawa Puteri Mermaid sudah mati. Sabit Biru juga sudah merubah ke bentuk asalnya, iaitu rantai. Putera Naga mendekati abu biru yang masih tersisa darah rakannya itu dan duduk melutut. Diambil rantai leher lalu disimpan ke dalam kocek seluarnya. Rantai itu tidak boleh lagi bertukar menjadi Sabit Biru sekiranya tuannya sudah tiada. Itulah perjanjian senjata tersebut. Dilapnya darah Puteri Mermaid yang tersisa di atas tanah sambil mengenangkan rakannya itu.
"Ratu Malum! Aku sudah kotakan permainan kau! Keluar! Tunjukkan diri kau pada aku!" Putera Naga mendengus geram. Barulah dia faham akan kata Puteri Mermaid, salah seorang dari mereka harus mati, kemudian itu, harus diselesaikan pula si pemilik gelanggang ini.
Ratu Malum ketawa terbahak-bahak melihat pertempuran Putera Naga dan Puteri Mermaid. Hatinya cukup puas. Malah, dia ketawa lebih besar apabila namanya dipanggil-panggil oleh Putera Naga sendiri. Ternyata, pertempuran mereka itu lebih menarik daripada pertempuran yang satu lagi. Putera Unicorn dan Puteri Pheonix membosankan. Masing-masing mereka masih berlawan. Bila nak mati entah!
Ratu Malum mencapai tongkatnya, kemudian memetik jari.
"Bagus. Kau dengar cakap aku. Bodoh macam rakyat aku juga. Aku suka!" Ratu Malum menapak mendekati Putera Naga yang masih melutut.
"Sekarang ni, kau harus tunggu yang dua tu lagi. Siapa yang menang kat sana tu harus berlawan pula sesama sendiri. Aku nak tengok siapa yang menang! Kalau degil, orang yang tersayang akan mati!" sambung Ratu Malum berbaur ugutan. Kedengaran bongkak juga.
"Tapi sebelum tu, kau harus aku bekukan." Tongkat dihunus rapat kepada Putera Naga.
"Ternyata, Ratu Malum yang hebat pun tidak pernah tahu apa kehebatan aku, kan?" Putera Naga memanggung kepala seraya memegang mata tongkat yang terhunus tepat di kepala, dengan tangan kanannya. Ratu Malum tergamam cuba menaksir kata-kata Putera Naga itu.
Melihat tindakan Putera Naga begitu, Ratu Malum cepat-cepat mahu memetik jarinya bagi melarikan diri semula ke istana.
"Nak lari dengan petik-petik jari lagi?" Putera Naga dapat membaca gerak Ratu Malum dan pantas menghalangnya dengan menggenggam erat menggunakan tangan kirinya pula. Kemudian, dihantukkan kepalanya sendiri sekuat hati mengenai kepala Ratu Malum, serta dilayangkan satu sepakan kuat tepat ke perut baginda.
Tindakan lincah tidak diduga Putera Naga itu menyebabkan Ratu Malum terpelanting beberapa meter. Tongkatnya terlepas dan dirampas oleh Putera Naga.
"Aku punyai satu kekuatan semula jadi yang tidak boleh disihir oleh sesiapa pun. Kaum Naga berupaya menjadikan senjata lawan menjadi senjata mereka sendiri. Sebab itulah, kami tidak pernah memiliki apa-apa senjata khas melainkan kuasa magis kami sendiri. Sekarang, rasakan sendiri segala sihir kau ini akan memakan diri kau, Ratu Malum!"
Putera Naga mengayunkan tongkat ke udara dalam bentuk bulatan. Serta-merta cahaya hitam kelihatan mengelilingi ayunan tersebut, menukarkan sama awan menjadi hitam. Puteri Pheonix dan Putera Unicorn di bahagian sebelah terhenti bertarung. Mereka terkejut dengan perubahan awan yang menghitam itu. Putera Naga pula tersengih nakal.
"Wahai tongkat, aku tau kau kekuatan utama Ratu Malum. Hapuskan segala sihir ke atas kami. Hapuskan kekuatan sihir utama yang ada pada Ratu Malum! Hapuskan kerajaan ini bagi mengakhirkan kezaliman melampau yang mereka miliki. Hapuskan semua!" Satu pusaran awan hitam besar berarak bersatu dengan cahaya hitam yang dilepaskan oleh tongkat itu tadi seraya Putera Naga menghabiskan katanya.
Seluruh gelanggang bergegar kuat seakan dilanda gempa bumi. Ratu Malum terbelalak saat mendengar apa yang dilafazkan oleh Putera Naga. Dia tidak menahu sama sekali yang Putera Naga punyai kekuatan semula jadi sebegitu.
Pusaran angin hitam semakin menebal. Cahaya hitam yang masih kelihatan mengeluarkan wap secara tiba-tiba dan terus terhala membenamkan tubuh Ratu Malum. Baginda menggelupur kepanasan. Ya, cahaya hitam itu ibarat api yang dimiliki oleh kaum Naga. Cukup panas. Putera Naga tersenyum puas melihat Ratu Malum yang teramat kejam menggelupur seperti ikan di hadapannya.
"Matilah kau, Ratu Malum! Ini pembelaan dua puteri kerajaan Mermaid yang telah terkorban dalam permainan jijik kau ini! Aku seru seluruh kekuatan yang kaum Naga dan tongkat ini miliki untuk hapuskan kau, Ratu Malum!" jerit Putera Naga sekuat hati.
Sebaik sahaja Putera Naga berkata begitu, cahaya hitam yang menghentam tubuh Ratu Malum semakin membesar dan bahangnya memenuhi segenap ruang. Ratu Malum menjerit gila. Badannya terbakar sedikit demi sedikit.
"Argh! Argh!" Akhirnya, jeritan baginda sayup-sayup menghilang diikuti cahaya dan awan hitam. Cahaya itu telah membakar seluruh tubuhnya dan hanya tinggal rangka tulang hitam di tanah.
Putera Naga mengetuk beberapa kali tongkat ke tanah. Satu portal terbuka luas beberapa meter tinggi di atas kepala. Putera Naga tersenyum bahagia. Ternyata, tongkat ini istimewa, meskipun tuannya sudah tiada, kuasa yang ada padanya masih hidup.
"Putera Unicorn! Puteri Phoenix! Sihir sudah hapus dan Ratu Malum sudah mati. Lompat ke dalam portal sekarang. Kita akan pulang." Jerit Putera Naga kepada dua rakannya itu.
Mereka berdua mengangguk serentak dan terus melompat dan terbang masuk ke dalam portal. Syukur juga dipanjatkan kerana mereka tidak perlu lagi bertempur dan orang-orang yang mereka sayang selamat.
Melihat dua rakannya sudah menghilang ke dalam portal, Putera Naga turut melompat sama. Sebelum dia menghilangkan dirinya ke dalam portal, dipandangnya gelanggang maut itu dengan pandangan yang kosong.
"Wahai tongkat, aku akan alirkan tenaga Naga aku pada kau. Hancurkan gelanggang ini dan semua sisa kerajaan milik Ratu Malum, termasuklah rakyatnya sekali. Jangan tinggal satu pun," ujar Putera Naga seraya mengayunkan tongkat itu sebanyak dua kali.
Beberapa dentuman besar kedengaran di bawah. Gelanggang merekah dan terbalik sendiri menjadi tanah lapang yang kosong. Pada waktu yang sama, kedengaran juga suara-suara menjerit sambil bertempiaran lari. Tahulah Putera Naga, itu adalah rakyat Ratu Malum yang sedang dibinasakan.
"Mereka harus dimusnahkan agar tiada lagi kekejaman berbaki di dunia ini," bisiknya sendiri.
"Dan, tongkat ini, aku akan simpan dalam galeri senjata aku selepas aku pulangkan rantai Puteri Mermaid kepada warisnya. Mereka perlu tahu kisah sebenar dan tongkat ini mampu memaparkan semuanya."
Putera Naga terus lenyap bersama portal tersebut. Masing-masing mereka telah kembali ke kerajaan sendiri dengan membawa kenangan pahit yang akan diingat sampai bila-bila.
Istana Ratu Malum hancur sepenuhnya. Malah, nama kerajaan Ratu Malum beserta rakyatnya juga sudah terpadam dalam sejarah dunia mereka. Tiada sesiapa lagi pernah mendengar nama Ratu Malum serta mengenalinya sehingga ke hari ini.
Tamat.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro