Vampira
"Adakah kau terlalu mahu hidup lama?"
Soalan Vlad itu langsung tidak berjawab. Perempuan itu datang merayu, menyerahkan jiwa untuk keabadian, kini lebih sibuk meratah tubuh seorang budak lelaki yang keluar malam membeli rokok. Darahnya disedut sehingga tidak tinggal setitik pun. Daging leher disiat dengan gigi taring yang tajam.
Selama beberapa ratus tahun, Vlad tidak memilih pengantin. Semenjak dia meninggalkan kota sepi Transylvania dan sampai ke London menggunakan kapal, dia terlalu sibuk berperang dengan Van Helsing dan keturunannya.
Pandangan beralih ke arah perempuan yang ditemui di hospital itu. Lebih mudah menghapus jejak dengan membunuh pesakit kronik, berbanding pembunuhan secara rawak. Tetapi perempuan itu berbeza.
"Saya mahu hidup lagi! Saya masih muda. Saya jemu berjuang menghadapi kanser. Dua kali dibuang, dua kali saya berharapan tinggi, kini ia kembali dan lebih agresif!"
Perempuan itu langsung tidak serupa seperti pengantin yang ditinggal di Transylvania. Mereka cantik dan manja. Dia pula lebih berani dan bersemangat. Hanya kulit putih pucat yang menjadi persamaan. Setelah beberapa ratus tahun, lelaki bangsawan itu jatuh cinta lagi. Namun kali ini, dia menyesali tindakan yang diambil.
Setiap pengantin yang baru mengecapi alam keabadian akan kelaparan darah. Mereka akan makan tidak berhenti selama beberapa hari. Jika di Transylvania dulu, Vlad menjamu pengantinnya dengan kuda. Di bandar serba moden ini, hanya anjing dan kucing liar sahaja yang ada. Tidak cukup untuk memenuhkan perut serta selera. Tambahan pula, sebaik sahaja menyentuh darah manusia, ia tidak akan mahu lagi darah haiwan.
Perempuan itu langsung tidak mahu mengikut saranan Vlad. Dia menyerang orang awam sehingga menimbulkan ketakutan di bandar itu. Sesuatu yang bakal mendedahkan kedudukan Vlad.
"Adakah kau telah kenyang?"
Soalan Vlad disambut dengan jelingan tajam. Mayat budak lelaki tadi dicampak ke tepi. "Aku belum puas!"
Perempuan itu cuba terbang tetapi dihalang oleh Vlad lalu mengamuk dan menunjukkan gigi yang tajam. Kabus malam semakin pekat menyelubungi mereka. Suhu di sekeliling bertukar dingin.
"Adakah kau benar-benar mahu hidup lama?" Soalan itu diulang lagi.
"Aku mahu hidup lebih lama!" Perempuan itu menjadi gelisah. Darah mangsa yang keenam masih belum dapat memuaskan hati.
"Kau mahu hidup atau kau mahu puas hati? Beratus tahun aku hidup dalam pelarian. Aku tidak mahu kerana perbuatan kau, cucu Van Helsing boleh datang mencari aku!" Leher sang pengantin dicekik kasar.
"Aku mahu hidup!" Air mata jatuh membasahi pipi. Sekali lagi Vlad tertipu. Dia melepaskan tangan dan perempuan itu segera melarikan diri.
Perempuan itu terbang melayang. Tiba-tiba perhatiannya tertarik kepada seorang gadis yang sedang bermain buaian di taman permainan. Senyuman si pengantin terukir sehingga ke telinga. Dia sengaja mendarat di hadapan sang gadis. Seperkara yang dia pelajari dalam tempoh singkat itu adalah, darah dari jiwa yang ketakutan lebih lazat dinikmati.
Akan tetapi, bukan ketakutan yang terlukis di wajah gadis itu. Sebaliknya senyuman riang yang mengelirukan.
"Abang, pontianak ini benar-benar wujud!"
Sang pengantin menoleh, namun belum sempat dia memberi reaksi, sebutir peluru perak menembusi jantungnya. Seorang remaja lelaki melompat keluar dari balik semak.
"Siapa ka… kalian?"
"Abraham dan Wilhelmina Van Helsing."
Vlad Dracula memerhati dari kejauhan, kepala pengantinnya dipenggal. "Bodoh!"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro