Urban Legend
Semenjak menerima jemputan reunion itu, hati Irdina tidak tenteram. Pelbagai halangan terpaksa ditempohi untuk dia sampai ke chalet yang ditetapkan. Seperti ada sesuatu yang tidak membenarkan dia pergi.
"Eh, bila lagi kita nak berjumpa? Lagi pun selepas ini Farah akan berhijrah ke luar negeri untuk beberapa tahun." Panggilan telefon daripada Ariana akhirnya membulatkan tekad Irdina.
"Baiklah," jawabnya ringkas, namun kerutan di dahi semakin bertambah.
Ariana, Farah, Syuhada, Lili dan Irdina sendiri merupakan sahabat baik semasa di sekolah menengah. Akan tetapi, sebaik sahaja tamat sekolah, mereka mengorak langkah yang berbeza hala. Masing-masing terlalu sibuk dengan urusan sendiri sehingga tidak berpeluang untuk bertemu. Hanya khabar yang menghiasi media sosial sahaja yang menjadi penyambung.
Lima belas tahun. Suatu tempoh yang cukup panjang untuk mengubah seseorang. Irdina menghadapinya dengan mata kepala sendiri. Telah hilang sahabat yang lemah-lembut dan manis. Pelajar terpintar di kalangan mereka semua. Berdiri di hadapan Irdina, seorang wanita dengan pandangan meliar, rambut menggerbang dan mengorak senyuman mengejek dalam keadaan berlumuran darah. Sabit di tangan diacah-acah ke muka Irdina.
"Kenapa? Apa yang berlaku kepada kau Farah? Kenapa jadi begini?" Soal Irdina dengan nada yang bergetar. Sesekali dia melirik ke arah rakan-rakan yang telah bergelimpangan, bermandi darah sendiri.
Dia hanya terlewat lima minit, kerana tudung bawalnya tidak menjadi. Berkali-kali dibetulkan, namun tudung tetap senget. Kononnya untuk mengimbau zaman dahulu yang berakhir dengan kepasrahan. Irdina melangkah keluar bilik hanya untuk dipertemukan dengan pesta reunion berdarah.
"Mereka tinggalkan aku," lirih suara Farah. Sabit diacu ke arah Irdina. "Kau juga tinggalkan aku!"
"Kami tidak tinggalkan kau!" Irdina mencari-cari senjata yang boleh digunakan.
"Bohong!" Farah meluru ke arah Irdina. Sabit dihayun, namun pantas juga Irdina mengelak. Meja hiasan kecil yang terletak berhampiran, dijadikan pelindung.
"Dia tidak pernah tinggalkan aku!" Farah menggila. Sabit dilibas beberapa kali sehingga melukai Irdina. "Dia tidak pernah pergi! Dia ganggu aku. Sepatutnya aku juga boleh berjaya seperti kalian. SPM aku jauh lebih cemerlang. Aku patut masuk ke universiti dan menjadi doktor. Tapi semuanya tidak menjadi. Dia sentiasa ada. Teman lelaki aku mati. Tunang aku mati. Suami aku juga mati! Kenapa dia pilih aku? Kenapa bukan kau semua?"
"Siapa 'dia' yang kau maksudkan?" Irdina cuba bertahan di sebalik meja. Kedua-dua lengannya telah tercedera, namun luka tidak terlalu dalam. Dia menggigit bibir menahan sakit.
"Dia… dia yang kita panggil du…." Belum sempat Farah menghabiskan kata, Ariana yang tercedera di bahu, memukul Farah di kepala.
"Siapa dia?" Soal Irdina.
"Dia…."
+++++
Lima belas tahun dahulu. Lima orang pelajar sekolah duduk dalam kumpulan. Di tengah-tengah mereka, ada kertas bertulis abjad. Jari setiap orang diletakkan pada sekeping syiling. "Spirit… spirit of the coin…."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro