Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Superhero

Nur Nilam Sari berdiri di atas runtuhan bangunan. Gadis itu mengenakan kebaya labuh berwarna putih berhias keronsang tiga serangkai, dipadan dengan kain batik jawa. Selendang warna sedondon yang panjang dibuai angin. Sepasang kasut manik melengkap gaya.  Pandangannya menyorot sayu ke arah bandaraya Kuala Lumpur yang telah pun musnah.

Bunyi tembakan dan meriam daripada pihak tentera menjadi latar. Namun makhluk berupa udang lipan sebesar bangunan sepuluh tingkat itu seperti tidak terkesan. Makhluk yang muncul secara tiba-tiba. Malahan ia semakin marah dan mengamuk. Pasukan artileri tentera dimusnahkan dengan mudah, seperti memijak-mijak tin kosong.

Bingit dari ruang udara menarik perhatian sang gadis. Pesawat tentera udara telah tiba. Misil dilepaskan menuju tepat ke arah makhluk itu. Ia menggelitik sakit. Tiba-tiba sahaja, makhluk itu mengembangkan sayap yang tersembunyi di belakang kulit yang keras. Kali ini ia benar-benar marah.

Mulut makhluk itu terbuka luas. Giginya tersusun ke tepi. 'Zapp!!' Pancaran laser dari dalam badan makhluk, dilancar tepat membelah sebuah pesawat. Kemudian, ia melancarkan laser ke semua arah. Membakar dan memusnahkan kawasan sekeliling.

Nur Nilam Sari mengetap gigi dan memegang erat batang cokmar berbatu nilam hijau.

"Saya perlu akhiri semua ini!"

Gadis itu melangkah terapung di langit. Seperti ada laluan halimunan di bawah kaki. Dia melangkah perlahan, kemudian semakin laju, seperti meluncur di udara terus ke arah makhluk yang sedang menggila.

Tanpa sebarang amaran, Nur Nilam menghalakan batang cokmar ke arah udang lipan gergasi. Permata nilam hijau di hujung cokmar, mengeluarkan cahaya mengenai makhluk itu seperti renjatan elektrik sehingga ia mengeluarkan bunyi menghilai yang nyaring.

'Zapp!' Pancaran laser dihalakan, namun gadis itu mengelak dengan gerakan seakan tarian zapin.

Kemudian dia menghilangkan diri, lalu muncul semula untuk menghayun cokmar mengenai badan makhluk udang tadi. Pukulan Nur Nilam kelihatan perlahan, tetapi impaknya begitu dahsyat sehingga raksasa itu terhempas dan membentuk kawah yang besar.

Belum sempat ia bangun, Nur Nilam memukul lagi beberapa kali dengan batang cokmar sehingga ia terperosok jauh ke dalam tanah. Meskipun begitu, wajah Nur Nilam semakin mendung. Seperti dia tidak suka dengan apa yang sedang berlaku.

"Maafkan saya." Perlahan dia berbicara.

Batang cokmar diangkat tinggi. Permata nilam hijau berkilauan, lalu memancarkan cahaya menyelubungi raksasa udang. Mengangkat ia keluar dari lubang di tanah dengan kaki yang masih berkutik.

Mantera dibaca. Tiba-tiba muncul rekahan di langit. Perlahan-lahan membuka pintu ke dimensi lain. "Kembali kau ke tempat asal!" Raksasa udang lipan itu dihantar melepasi pintu yang dibuka. Kemudian, pintu itu tertutup kembali, meninggalkan langit dalam keadaan asal.

"Ia masih belum berakhir. Siapakah yang membuka laluan ini?" Kening Nur Nilam berkerut. Pandangan Nur Nilam beralih ke arah bandaraya Kuala Lumpur yang telah musnah.

Batang cokmar diangkat tinggi dan dipusingkan. Seperti rakaman video yang dipusing kembali, runtuhan bangunan dan tanah berkawah kembali seperti asal. Hanya manusia yang telah terkorban sahaja yang kekal tidak bernyawa. Ketika semua orang yang terselamat berada dalam kebingungan, Nur Nilam Sari terus menghilangkan diri.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro