Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Paranormal

Jam di telefon bimbit menunjukkan pukul 9.00 malam.

Sufi duduk di tubir katil, menggosok-gosok mata. Baru sepuluh minit dia terlelap. Hari ini dia benar-benar keletihan. Jadualnya penuh sehingga ke petang. Sampai sahaja ke bilik, dia terus terlena.

"Oh ya, Manisah pesan suruh beritahu Kak Ram, minta bawa buku yang hendak difotostat esok."

Bilik Kak Ram berada di tingkat bawah kolej kediaman. Manakala bilik Sufi pula di tingkat atas. Dia cuba bangun, namun badannya terasa sungguh berat. Tiba-tiba Sufi membuka mata. Dia masih berada di atas katil. "Oh, saya bermimpi rupanya."

Sufi duduk di tubir katil, menggosok-gosok mata. Pesanan Manisah masih perlu disampaikan kepada Kak Ram. Dia bangun dan menuju ke arah pintu.

Sebaik sahaja tangan menyentuh tombol pintu, Sufi terjaga. Dia masih di atas katil. "Apakah?"

Sufi bingkas bangun. Kali ini dia tidak berlama-lama di tepi katil. Dia bangun menuju pintu, memulas tombol dan melangkah keluar bilik. Dia terjaga.

Mata Sufi terbuka besar. Dia masih di atas katil. Jam masih menunjukkan pukul 9.00 malam. "Apa yang berlaku?" Dia betul-betul kebingungan.

Pesanan Manisah masih jelas dalam ingatan. Sufi menggeleng-geleng, lalu bangun dan mengulangi rutin tadi. Namun ketika memegang tombol pintu, Sufi terhenti seketika. "Adakah aku masih bermimpi?" Cerita berkenaan roh yang tidak dapat kembali ke badan, terngiang-ngiang di telinga. "Ah, mustahil!"

Sufi keluar dan terus menuju ke tangga. Aneh, tiada yang berpapasan dengannya. Sebaik sahaja menuruni anak tangga pertama, dia terjaga.

Peluh dingin mengalir di dahi Sufi yang sedang terkebil-kebil di atas katil dengan jantung berdegup kencang. Rutin diulang dan akhirnya dia tiba di tangga. Pemegang tangga dipegang kuat-kuat. Dia berjaya menuruni tangga sehingga ke tangga terakhir. "Tolong jangan mimpi lagi!"

Langkah terakhir di tangga seperti terawang-awang. Sufi terjaga.

Mengapa dia melalui perkara yang sama berulang-ulang? Lama dia duduk di tepi katil, cuba menghadam apakah yang sedang berlaku. Setelah yakin bahawa dia benar-benar terjaga, Sufi bingkas menuju ke bilik Kak Ram.

Ketika menuruni tangga terakhir, kaki Sufi terjejak ke lantai. Dia berjalan menuju bilik Kak Ram dengan senang hati. "Kak Ram!" Sufi menyentuh tombol pintu bilik Kak Ram. Dia terjaga.

Mata Sufi terbeliak. Dia masih di atas katil, berbaring di bantal empuknya. "Ya Tuhan! Aku sebenarnya tidur atau jaga?"

Nafas Sufi semakin laju. Dia menampar pipi berulang-kali. "Barangkali jika aku tidak ke bilik Kak Ram, aku akan keluar daripada ini semua!"

Namun begiti, Sufi tetap juga keluar dari bilik, turun tangga dan sampai di depan pintu Kak Ram. Tombol pintu itu direnung lama. "Ini bukan mimpi. Bukan mimpi!"

Tombol pintu Kak Ram dibuka. "Kak Ram…" Sufi menjenguk di celah pintu. Sebaik ternampak kelibat Sufi, Kak Ram segera menyambut.

"Ada apa Sufi datang ke bilik kakak?"

Pesanan Manisah disampaikan dan Kak Ram mengangguk faham. Sufi tersenyum riang.

Pintu bilik Kak Ram ditutup kembali. Sufi melangkah pergi dengan perasaan puas hati, dan dia terjaga!

Jam di telefon bimbit menunjukkan pukul 9.00 malam.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro