Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Matahari Mati

Semangkuk sup panas disuakan kepada tetamu yang baru tiba. "Jemput makan seadanya."

Sup itu segera dihirup rakus oleh sang tetamu. Entah berapa lama dia berada di luar, di bawah suhu beku dan angin yang kuat.

"Di mana kau dapat sumber tenaga?" Soal lelaki itu kasar. "Bukankah semua minyak mentah dunia telah dimuatkan dalam kapal-kapal angkasa yang mereka bina?" Dia yang mahu dikenali sebagai Joga itu tak dapat menyembunyikan rasa kecewa. "Kapal yang pergi sebulan lalu?"

Kening Hazim terangkat. "Petroleum dan gas asli bukan satu-satunya sumber tenaga di dunia ini." Hazim menambah sup lagi ke dalam mangkuk Joga. "Bumi kita kaya dengan pelbagai sumber."

"Tapi bumi kita dah mati! Matahari dah mati! Mereka bina kapal angkasa, mencari bumi lain di luar Bima Sakti! Kapal ekslusif untuk manusia baru yang kaya, cantik, tinggi, kurus dan berkulit cerah! Bukan macam aku dan kau! Kulit gelap seperti kita tak layak hidup!"

Hazim menghirup supnya perlahan. Setelah beberapa ketika, Hazim berkata, "Bukan mereka yang tentukan hidup mati kita. Belum tentu juga mereka akan selamat di sana."

"Tetapi bumi dah mati!" Ayat itu diulang dengan penegasan.

"Bumi masih beredar seperti biasa."

"Mana kau tahu? Bukannya ada siang dan malam untuk dibezakan. Semenjak matahari mati dan jadi bintang hitam, kita cuma ada waktu malam sahaja."

"Perubahan pada kedudukan bintang."

Ada sedikit perubahan di wajah Joga. "Oh?"

Joga yang telah kekenyangan, baru berpeluang melihat keadaan sekeliling. Bilik itu kecil, tetapi telah ditebat dengan baik. Dapur kayu yang diletakkan di tengah bilik membekalkan sumber haba. Terdapat bekas tanaman hidroponik disusun bertingkat di tepi dinding.

Soal Joga, "Mana kau dapat makanan lain?"

Hazim mengangkat bahu. "Saya cari di rumah-rumah jiran."

"Kau curi?"

"Semua orang di sini telah berpindah ke Pusat Bandar, dengan harapan dapat menaiki kapal angkasa terakhir. Mereka tidak pernah kembali."

"Mengapa kau tidak ikut sama?"

"Saya fikir, tentu tambangnya mahal. Saya tidak punya wang yang banyak. Jadi, saya memilih untuk tinggal."

Tiba-tiba sahaja lampu LED yang digunakan terkelip-kelip. Hazim bingkas bangun menuju ke almari. Dia mengeluarkan sebuah basikal yang disambung dengan motor. "Tadi kau tanya, bagaimana saya mendapat sumber tenaga? Pertama, basikal ini boleh menjana sedikit elektrik."

Hazim terus mengayuh basikal sekuat-kuatnya. Lampu yang malap tadi semakin terang. "Tenaga dari basikal, saya simpan ke dalam bateri yang bersambung dengan lampu. Tapi, kalau nak harapkan basikal ini sahaja, nanti saya tiada masa untuk buat benda lain. Jadi, saya bina kincir angin di luar untuk menggerakkan turbin di bilik sebelah. Juga saya salurkan ke bateri simpanan."

"Kau bina ini semua sendiri?" Wajah Joga penuh kekaguman.

Hazim hanya tersenyum tipis. "Kalau kau mahu tinggal di sini, saya alu-alukan. Boleh kita bertukar-tukar kayuh basikal."

Joga tertawa kecil lalu bangun dan meminta giliran di basikal. "Kau tinggal berseorangan, tetapi mengapa kau masih begitu positif? Berapa lama lagi kau boleh bertahan begini?"

Senyuman masih tidak luput dari bibir Hazim. "Entah? Tetapi saya tahu, dunia belum kiamat. Jadi, hidup ini masih ada harapan."

"Kenapa kau begitu yakin?"

"Matahari belum terbit dari barat."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro