Makhluk di Bilik Bawah Tanah
"Lily-Rose sayang, pulang dari bekerja nanti, mohon singgah di rumah Makcik Begonia. Kemaskan apa yang patut. Ganti selimut dan cadarnya, supaya apabila makcik keluar dari hospital nanti, dia boleh terus berehat."
Mesej daripada ibu itu membuatkan Rora mendengus. "Berapa kali mahu beritahu, nama saya bukan Lily-Rose!"
Meskipun begitu, petang sebaik sahaja tamat bekerja, Rora terus memandu ke rumah Makcik Begonia. Kakak ipar ayah yang sangat perengus dan bermulut neraka. Tiada siapa pun dalam adik-beradik Rora yang menggemari Makcik Begonia.
Makcik Begonia tinggal berseorangan di rumah dua tingkat di hujung pekan. Suaminya telah meninggal dunia, manakala satu-satu anak lelakinya, Will telah pergi entah ke mana. Beberapa tahun lalu, mereka berdua bergaduh besar atas sebab yang tidak diketahui. Keesokkan harinya, Will pergi begitu sahaja. Tidak pernah kembali sehingga ke hari ini.
Makcik Begonia juga tidak mesra dengan jiran. Hanya ibu Rora yang rajin menjenguk. Semalam, apabila makcik Begonia tidak mengangkat telefon, ibu Rora datang ke rumah dan mendapati wanita itu telah tidak sedarkan diri di dapur. Ambulans segera dihubungi untuk membawanya ke hospital.
Melangkah sahaja ke dalam rumah, Rora tidak terkejut dengan hiasan yang kekal seperti pada hari jenazah Pakcik Adam diusung keluar. Gambar-gambar lama masih tergantung cantik. Senyuman di wajah Makcik Begonia terukir indah. Sesuatu yang sudah lama Rora lihat.
Pesanan ibu segera dilunaskan. Cadar dan selimut di bilik, segera diganti baru. Bilik yang kemas tanpa sebarang habuk itu, divakum sekadarnya. Setelah itu, Rora membawa selimut serta sarung bantal ke tingkat bawah. Apabila tidak menemui mesin basuh, Rora membuat keputusan untuk turun lagi ke tingkat bawah tanah.
Sehelai demi sehelai kain dimasukkan ke dalam mesin basuh. Bilik bawah tanah itu hangat dan kemas, namun ada sesuatu yang menyebabkan Rora kurang selesa di situ. Sesekali dia menoleh ke arah sekeliling. Seperti ada yang memerhatikannya. "Siapa di situ?"
Serentak dengan itu, kedengaran bunyi yang sangat bising. Bunyi sesuatu yang sangat besar cuba keluar daripada sangkar besi. Meronta-ronta dan menghentam diri pada dinding.
Peluh dingin menitis di dahi Rora. Sebatang kayu yang berada berhampiran, dipegang kejap di hadapan badan. Biarpun lutut menggeletar, Rora tetap mencari punca bunyi. Kemudian, langkah Rora terhenti, matanya terbeliak dan lidah terkaku. Di hadapannya terdapat sebuah sangkar yang besar. Di dalam sangkar itu, ada suatu makhluk yang berbulu lebat, kurus kering dan kuku-kuku hitam yang panjang. Mata mereka bertentangan.
"Ya Tuhan!" Jerit Rora. Kayu tadi dicampak ke tepi. Rora segera membuka langkah, berlari ke atas semula.
Namun begitu, langkah Rora terhenti apabila terdengar suara garau merayu, "Bunuhlah saya! Bunuhlah saya, Lily-Rose!"
++++
Berita itu menggemparkan seluruh pekan. Rumah Makcik Begonia dipenuhi polis, bomba, paramedik dan wartawan. Rora telah membuat laporan kepada polis berkenaan makhluk berbulu itu. Ketika polis tiba, wajah Rora benar-benar terganggu. Dia menunjukkan jalan ke bilik bawah tanah.
Pihak bomba memotong sangkar besi. Manakala paramedik bersedia untuk memberi rawatan. Ketika makhluk berbulu itu diusung keluar, ahli paramedik bertanya, "Encik tahu nama encik?"
"Will… William Richard Hardy."
"Encik tahu berapa lama encik di situ?"
"Tidak."
"Siapa yang kurung encik?"
"Emak saya… saya nampak emak tuang racun dalam makanan ayah."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro