Jurnal
'Sudah tiga hari Zahiruddin tidak pulang. Noraini tampak tertunggu-tunggu. Anak-anak pula langsung tidak peduli. Hanya makan sahaja yang mereka tahu.'
Sebenarnya Firaz tidak berniat pun untuk membaca jurnal yang ditemui di dalam tren. Dia hanya mahu menyimpan jurnal, sementara mencari tuan empunya. Kemudian, jurnal itu terjatuh dan membuka satu halaman yang menarik perhatian Firaz.
'Kelmarin, Zahiruddin bergaduh dengan Kamaruzzaman. Dahsyat pergaduhan mereka, sehingga terpaksa dileraikan. Setelah itu, Zahiruddin pergi tidak kembali lagi.'
'Hari keempat, barulah Zahiruddin pulang. Wajahnya bersahaja seperti langsung tidak bersalah. Meninggal Noraini terkontang-kanting mengurus anak. Nasib baik aku ada untuk menjaga Noraini. Kalau nak harapkan Zahiruddin, mati kering Noraini tidak bernafkah. Harapkan muka sahaja kacak.'
Sehelai demi sehelai halaman jurnal biru muda itu diselak. Firaz hanya berhenti apabila trennya sampai ke destinasi. Jurnal itu disimpan ke dalam beg untuk disambung baca apabila sampai ke rumah.
++++
'Zahiruddin sakit. Dia langsung tidak mahu makan biarpun dipujuk. Entah apa yang dia makan di luar? Pagi tadi Zahiruddin muntah. Cadangnya mahu bawa Zahiruddin ke klinik, tetapi Tuhan sahaja yang tahu betapa sukar mengurus abang sado yang satu ini.'
Sedikit sebanyak, Firaz merasa gembira apabila watak yang dicoret penuh ego dan sombong itu jatuh sakit.
'Keadaan Zahiruddin tidak bertambah baik. Badan yang sado itu semakin kurus. Dia lebih banyak tidur. Rupanya sudah seperti gelandangan. Tidak terurus dan serabut. Semalam aku paksa juga Zahiruddin makan ubat, tetapi dimuntahkan kembali. Apa yang baiknya adalah, dia tidak bergaduh lagi dengan Kamaruzzaman. Tapi Noraini pun tidak pedulikan dia juga. Rasa kasihan pula.'
Jurnal itu dibaca sambil Firaz menyediakan juadah makan malam. Sebungkus megi, sebiji telur, beberapa biji cili dan sedikit sayur. Tambahan sayur supaya kelihatan seperti makanan yang sihat. Dilengkapkan pula dengan secawan besar air Milo ais.
'Aku benar-benar bimbang. Adakah Zahiruddin akan menerima nasib yang sama seperti kembarnya Zaharuddin? Bertemu Tuhan ketika usia masih muda?'
Catatan itu berselang beberapa hari.
'Sibuk sungguh kebelakangan ini. Semalam dapat juga aku curi masa untuk membawa Zahiruddin ke klinik Dr. Lam. Itupun terpaksa menggunakan kekerasan. Mujur sahaja badan yang sado itu sudah menjadi kurus kering. Tenaga juga tidak ada. Dapatlah ku sumbat juga Zahiruddin ke dalam kereta. Ah, aku benci rutin ini.'
Usai makan, Firaz mengambil tempat di hadapan tv. Tv dihidupkan sekadar memeriahkan suasana.
'Apa yang aku takuti akhirnya berlaku! Pulang dari kerja, aku jumpa Zahiruddin terbaring di dapur. Nafasnya tercungap-cungap. Zahiruddin semakin nazak. Aku mahu bawa Zahiruddin ke klinik, tetapi dihalang kakak. Kata kakak, "Biarkan Zahiruddin pergi." Aku tak setuju dan aku menangis semahu-mahunya.'
Firaz semakin tidak senang duduk.
'Akhirnya, Zahiruddin tewas. Tiada lagi abang sado aku. Tiada lagi makhluk yang akan menunggu aku balik kerja. Tiada lagi yang akan bermanja-manja dan mengiau minta makan.'
"Huh? Mengiau?" Firaz terjeda sebelum ketawa terbahak-bahak. Bahagian butiran peribadi disemak. "Aku nak jumpalah perempuan ni!"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro