Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Frekuensi

Meskipun malam telah pun lewat, Sufi masih kekal berjaga. Matanya kuyu, separuh terbuka namun perasaan mengantuk dilawan bersungguh-sungguh. Apabila terlelap seketika, dia akan terjaga dengan nafas yang laju dan dada berombak.

Adakalanya dia tidak tidur sehingga beberapa hari sehingga akhirnya tidur kelelahan untuk suatu tempoh yang lama.

"Kau sakit," Tegur seorang rakan.

Dia langsung tidak membantah. Pantulan imej di cermin jelas menunjukkan keadaannya yang semakin buruk. "Aku takut."

"Apa yang kau takut?"

"Aku takut kalau aku tertidur, aku tak akan bangun kembali!" Dia penghidap somniphobia, penyakit takut tidur. Tabiat yang timbul setelah mengalami mimpi berulang-ulang semasa di universiti dahulu. Ketika terjaga, Sufi melihat teman sebiliknya Farah, mempunyai dua kepala, sedang menghisap darah di tangan Sufi. Apabila Sufi menjerit, Farah berkepala dua terbang keluar melalui ruang udara di atas pintu.

Kali ini Sufi bertambah sukar tidur. Terutama selepas televisyen menyiarkan saluran baru, tepat jam 3.00 pagi. Bukan bayang bergerak di skrin itu yang mengganggu, tetapi bunyi latar yang tidak ketara  menimbulkan kegelisahan dalam diri Sufi, kerana ia mirip nada yang sering dinyanyikan Farah.

Pelajar perubatan yang langsung berhenti selepas kejadian menimpa Sufi. Gadis yang kerap bercakap sendirian, seperti ada 'sesuatu' yang mendamping.

"Farah ditangkap kerana membunuh rakan-rakan sekolahnya dengan sabit." Berita yang langsung tidak menggembirakan. Tambahan pula apabila sambungannya berbunyi, "Dia berjaya meloloskan diri."

"Adakah siaran tv ingin memberitahu sesuatu?" Sufi melemparkan pandangan ke luar tingkap yang dibiar terbuka. Dia lebih takutkan tidur daripada rumah dimasuki pencuri.

Angin malam menyapa wajah Sufi. Namun ada aura aneh yang membuatkan Sufi mengerutkan dahi. Entahkan sebab kurang tidur atau dia telah membangunkan kuasa tersembunyi, semenjak kejadian itu Sufi seperti mempunyai deria keenam. Dia dapat menghidu sesuatu yang tidak disedari orang lain. Sejujurnya, dia langsung tidak gembira dengan suasana di bandar. "Angin ini membawa sesuatu yang jahat."

"Ya." Seorang gadis berkebaya labuh berdiri terapung di luar tingkap.

Jika orang biasa, pasti akan menjerit ketakutan. Namun Sufi bukan biasa-biasa. Apalah sangat seorang gadis terapung. Sekurang-kurangnya, kepala gadis itu masih satu.

"Nur Nilam Sari." Gadis itu memperkenalkan diri.

"Sufi Amani."

"Saya perlukan bantuan awak untuk mencari pembuka kunci."

"Kunci apa?"

"Kunci ke dimensi lain. Tentu awak sedar, kebelakangan ini udara semakin 'kotor'?"

Sufi pantas mengangguk.

"Ada seseorang cuba membuka terowong dimensi untuk membebaskan makhluk. Setakat ini pintunya hanya kecil dan mampu membebaskan makhluk bersaiz bilis. Namun begitu, apabila terowong dimensi dibuka nanti, makhluk bersaiz besar akan melintas ke dunia ini dengan lebih mudah. Ketika itu dunia akan berakhir."

"Bagaimana saya dapat membantu awak? Rupa pembuka kunci itu pun tidak saya ketahui."

"Asalnya mereka berlima, namun seorang yang dipengaruhi makhluk itu berjaya membunuh empat orang yang lain. Kini tinggal seorang."

"Kenapa pula saya yang perlu membantu?"

Nur Nilam Sari membetul-betulkan letak selendang. Kemudian dia memerhatikan Sufi atas bawah, lalu mengangguk. "Hanya awak yang boleh mengesan pembuka kunci, kerana awak sahaja yang pernah digigit, disedut darahnya dan masih hidup."

Penerangan Nur Nilam Sari seterusnya hanya seperti memantul di cuping telinga, kerana Sufi sibuk mengingati semula kejadian yang berlaku dahulu. Bisiknya, "Farah."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro