Belantara
"La… la… la…." Gadis kecil bermantel merah itu segera menarik perhatian Niels. Dia tahu, dia tidak sepatutnya mencampuri urusan manusia, namun ada sesuatu berkenaan gadis itu yang mengganggu Niels.
"Awak hendak ke mana, gadis kecil?" Niels menyapa.
Gadis kecil itu terkejut, namun apabila melihat wajah Niels dia kembali tersenyum. Jawab gadis itu, "Saya mahu ke rumah nenek menghantar makanan."
"Nenek awak tinggal di mana? Hutan belantara ini terlalu merbahaya buat awak." Jelas terlukis kebimbangan di wajah Niels. Sesekali dia menoleh ke arah sekeliling.
"Nenek saya tinggal di dalam hutan!" Jawapan penuh ceria itu membuatkan Niels mengetap gigi. Gadis itu dibiarkan pergi.
Sebaik sahaja gadis itu hilang dari pandangan, Niels bertukar menjadi serigala dan berlari laju menuju ke satu arah. "Jaga kau orang tua!"
++++
Langkah Niels terhenti di sempadan halaman rumah. Ada dinding sihir yang menghalangnya daripada maju dan dia hanya boleh berlegar-legar di situ.
"Hei orang tua!" Niels yang telah bertukar menjadi manusia, membaling batu ke arah pintu rumah. "Keluarlah!"
Setelah beberapa ketika, pintu rumah pun terbuka. Seorang wanita tua keluar. Senyumannya melebar sehingga ke telinga. "Oh, serigala muda rupanya. Jemputlah masuk, kalau boleh," ejek wanita tua itu.
"Bila kau nak berhenti, orang tua? Berapa ramai lagi cucu bermantel merah yang kau ingini?"
"Oh, dia telah tiba!" Wanita tua itu bertepuk tangan. "Gretel, pergi jemput cucu nenek masuk." Tiba-tiba sahaja, muncul seorang gadis dari dalam rumah untuk menyambut si mantel merah. Wanita tua itu hanya tertawa, lalu masuk ke dalam rumah.
Perbuatan wanita tua itu hanya membuatkan Niels marah. Gigi taringnya mulai keluar dan dia menggenggam penumbuk. Dia tidak dapat berbuat apa-apa selagi dinding sihir itu masih ada.
Gretel, gadis suruhan itu hanya melirik ke arah Niels. Dia membimbing si mantel merah melepasi sempadan sambil kakinya mengalih serbuk-serbuk sihir. Gretel tidak berkata apa-apa, namun senyuman penuh muslihat yang diukir membuatkan Niels faham. Niels segera bertukar menjadi serigala dan masuk melalui sempadan yang terbuka.
"Arghhhh!!!!"
+++++
"Ahli sihir itu telah mati." Gretel membuka kurungan Hansel. "Serigala tolak dia ke dalam kawah yang akan merebus abang. Kawah sama tempat gadis-gadis bermantel merah lain menemui ajal."
Soal Hansel kebingungan, "Mengapa mereka sukarela ke sini?"
"Mantel merah itu sudah disihir. Setiap pemakainya akan dipukau. Sebab itulah mereka tidak takut untuk masuk ke hutan ini." Gretel memasukkan roti yang dibawa gadis bermantel merah tadi ke dalam karung beg. "Serigala suruh kita pergi dari sini dengan segera sebelum malam menjelma. Ahli sihir itu ada banyak pesuruh gelap lain. Mereka akan datang mencari tuan."
"Bagaimana dengan serigala itu?"
Soalan Hansel membuatkan Gretel terdiam seketika. "Dia telah melanggar pantang dengan membunuh manusia. Itu sahaja yang dicakapkan, sebelum dia pergi."
++++
"Awak hendak ke mana Gretel?" Laung Hansel dari dalam rumah yang dibina di pinggir hutan. Sudah lima tahun berlalu daripada peristiwa itu.
Gretel hanya tersenyum. "Saya mahu jumpa kawan lama." Dia terus melangkah masuk ke dalam hutan belantara.
Tiba-tiba langkah Gretel terhalang oleh seekor serigala. Sapa Gretel, "Helo Niels!"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro