BAB 9
"Fei, bangun. Kita dah sampai."
Sayup-sayup, kedengaran di telingaku suara seorang lelaki menyuruhku bangun. Serius, aku teramat mengantuk dan semestinya, aku tidak mahu bangun lagi. Lagipun, badanku masih berasa sengal-sengal.
"Fei..."
Kali ini, suara itu kedengaran agak menekan pula. Hish, kacau betullah. Tak boleh tengok orang senang sikit ke? Mahu saja aku menyepak jauh orang yang cuba mengejutkanku daripada lena yang tidak berapa lena ini. Bising, tahu tak?
"Fei!"
Ya Allah, malaun manakah yang tak reti-reti bahasa memanggil-manggil namaku ini, hah? Membengang, aku mencelikkan mata seraya mencerlung tajam kepada figura lelaki yang tersenyum penuh 'kelembutan' di hadapanku.
"Kau nak apa?" soalku geram.
"Kita dah sampai, sayang. Nak abang dukung ke?" Tersengih-sengih, Chang membuat muka gedik.
"Pergi mampus." Dua patah perkataan, aku menyumpah geram kepada lelaki gemuk itu.
Tidak mahu melayan ulah gediknya, aku terus mencapai beg galasku lalu keluar dari kereta. Terbakar betul rasa hatiku, mujur tidak rentung saja. Itu pun, nasib baik aku sudah masak dengan perangainya.
Chang, dia adalah sejenis manusia yang akan bertukar gedik hanya kepada aku. Itu pun, jika aku buat hal dengan tidak mendengar arahannya. Yalah, dia kan mentorku sejak dalam latihan lagi.
Dan... dari kejauhan aku dapat mendengar suara mengekek-ngekeknya mentertawakanku. Cis, kurang ajar! Sekarang, siapa bos, siapa anak buah? Parah betul, dunia ini sudah terbalik rupanya.
"Fei Yang... tunggulah abang datang. Laju-laju tu nak pergi mana?" laungnya lagi sambil ketawa keras.
Mendengarkan itu, aku semakin annoying. Serius, aku geram dengan lelaki gemuk itu. Malas mahu mengambil pusing, aku meneruskan langkahku ke pintu rumah perlindungan dengan hati mendongkol geram.
Sumpah, tak kuasa aku melayan perangai gila-gila si Chang. Perangai tiga sukunya itu sangatlah membuatkan aku berasa ingin melemparnya ke laut saja agar lelemaknya dimakan oleh ikan jerung!
Kreak... bum!
Sesampainya di perkarangan rumah, tanpa salam aku terus menolak kasar pintu rumah tersebut. Bukanlah niatku tidak mahu memberi salam, tetapi buat apa memberi salam jika penghuni rumah itu bukan Islam?
"Heyyo bro!"
Prang!
Berkecai pasu terhentak ke dinding, berderai serpihan tanah liat bertaburan di lantai. Fuh, nasib baik aku sempat mengelak balingan pasu bunga oleh seorang budak lelaki berusia lebih kurang 25 tahun tersebut. Jika tidak, pasti pecah muka aku!
Serius, budak Cina itu memang tak reti-reti menyambut tetamu walaupun sudah berkali-kali diajar. Nampaknya, aku perlu mengajarnya lagi supaya lebih beradab dengan orang lain. Haih, tidak fasal-fasal, bertambah kerjaku.
"Neo Hau!" Aku mengetap bibir.
"Fei. Gusti jom," ajaknya sambil tersengih-sengih.
"Mental." Tidak mempedulikannya, aku bergerak menuju ke anak tangga tingkat atas.
Namun, sebaik sahaja kakiku melangkah ke anak tangga pertama, Neo menghadang laluanku dengan badannya. Semakin aku memberikan isyarat kepadanya supaya ke tepi, semakin galak pula dia menghalang laluanku.
Cis! Semakin berasap pula hatiku melihatkan ulah keanak-anakan budak ini. Serius, memang perangai Neo ini lebih kurang sama saja macam Akmal. Annoying. Ah, penat aku memikirkannya!
"Brother, jomlah main," rengeknya lagi.
"Ke tepilah. Aku penat," balasku perlahan.
Sungguh, aku penat dan aku tidak berbohong. Dengan tanganku yang berdenyut-denyut dek luka terbuka semula, serius aku mahu berehat dan kembali menyambung tidur yang tergendala tadi.
"Fei. Alah tak bestlah kau tak ada. Akmal dan Chang join, Raja pun join juga. Tak cukuplah kalau kau tak ada." Tidak berputus asa, Neo mengajak lagi.
Aku? Ya Allah, sumpah aku bengang dengan budak-budak ini dan juga bapak budak bernama Chang. Patutlah ketika aku sedar tadi, aku tidak ternampak kelibat Akmal. Rupa-rupanya, sudah 'diculik' oleh mereka bertiga.
Malas mahu mempedulikan Neo, aku menolak tangannya yang sengaja didepakan untuk menghalang aku naik ke tingkat atas. Budak ini tidak faham ke yang aku berasa sangat letih sekarang?
Sudahlah solat pun belum lagi kutunaikan. Serius, aku penat dan apa yang bermain-main di mataku sekarang hanyalah katil, bantal serta selimut. Itu pun susah ke nak mengerti, budak? Haih.
"Fei..." Neo membuat muka kasihan.
"Aku nak tidur," putusku seraya laju menapak naik ke atas.
Betul, aku tak ada rasa mahu bermain dengan dia orang. Badanku memerlukan rehat yang secukupnya sebelum malam nanti, aku akan kembali bertugas sebagai penggodam.
Walaupun kerjaku malam nanti bukan tugas rasmi, namun akan menjadikannya sebagai tugas wajib. Aku mahu mendapatkan info mengenai Red Beauty, atau Adra Diyana palsu. Aku nak tahu identitinya!
*****
Jam menunjukkan tepat pukul satu pagi. Setelah membuat apa yang patut, aku terus menghadap komputer yang tersedia di bilik yang didudukiku. Plug dipasang, suis ditekan.
Pendrive yang berisi virus bernama Yang: Fei dicucuk ke slot USB. Lantas, skrin komputer terus bekerja memaparkan kod-kod binari 1 dan 0 berwarna merah sebelum sebuah tetingkap berwarna hitam dengan abjad dan digit biru muncul di ruangan skrin.
Yang: Fei. Enter.
Tidak sampai sesaat, jari jemariku terus lincah menari-nari di atas papan kekunci komputer. Laju kutekan pelbagai jenis abjad dan nombor demi mencari maklumat berkenaan gadis tersebut. Namun, nasib seolah-olah tidak menyebelahiku.
Error. Access failed.
Berkali-kali aku cuba memecah masuk ke dalam sistem dark web milik kumpulan Grey Wolf, namun hampa. Padahal, aku sudah mencipta akaun palsu yang sama dengan identiti salah seorang ahli mereka.
Serius, dinding pertahanan maya peringkat pengurusan tertinggi kumpulan itu sangat kebal dan ampuh sehinggakan tidak memungkinkan sembarangan orang boleh mengaksesnya. Seketika, termenung aku memikirkan solusinya.
Dalam termenung, aku menyedari bahawa suasana tengah malam itu sungguh sunyi. Senyap tanpa suara orang-orang bawahanku dan Akmal, serta sunyi daripada suara unggas yang biasanya bersahut-sahutan di kawasan itu.
Pelik. Ke mana semua burung-burung tersebut pergi? Kebiasaannya pada waktu itu, bising saja mereka semua bernyanyi sesama sendiri. Kadang-kadang, gaya mereka ketika bermelodi melebihi konsert rock kapak pun ada.
'Haih, apa-apa sajalah labu...' bisik hatiku sendiri.
Berasa bosan, aku bangun dari kerusi lalu mencapai baju hoodie hitam yang disangkut di paku dinding. Setelah baju itu disarungkan ke tubuh, perlahan-lahan aku membuka pintu bilik lalu turun ke bawah.
Aku mahu mencari ketenangan dan penyelesaian di sebalik perkara yang berlaku sejak semalam. Dalam keadaan itu, pemandangan alam menjadi pilihanku untuk melepaskan segala kekusutan di dalam fikiran.
Dapat melihat bintang-bintang yang bertaburan di langit yang mana kadang kala membentuk buruj, itu sudah cukup menenangkan aku. Dengan dibelai pula oleh angin malam, ia menjadikan fikiranku seolah-olah kosong tanpa masalah.
Alhamdulillah, indah sungguh ciptaan Allah. Cuba saja jika semua manusia menghargai nikmat kecantikan alam, sudah pasti semakin bertambah perasaan syukur dipanjatkan kepada Yang Maha Kuasa atas ciptaan-Nya yang sungguh indah ini. Masya-Allah.
Krak!
Bunyi ranting patah seperti dipijak oleh seseorang dari arah belakang serta-merta mengaktifkan mod siagaku. Dalam diam, aku menajamkan pendengaran kepada bunyi derapan tapak kaki yang sedaya upaya melangkah sesenyap mungkin.
"Kau nak apa, Neo?" soalku dengan senyuman sinis terzahir di bibir. Lantas, aku memusingkan badanku menghadap manusia tersebut.
"Hish!" Neo melemparkan batang kayu di tangannya ke tanah sambil mendengus kasar.
Melihatkan reaksi Neo, si ejen lapangan yang turut ditugaskan melindungi Akmal, sekali lagi aku menayangkan senyuman sinis. Serius, budak itu belum cukup mahir dalam membuat serangan hendap dan semestinya, latihan yang lebih padu diperlukan.
"Fei, jom lawan." Budak itu menggenggam buku limanya lalu membuka langkah.
Air mukanya kelihatan sangat serius sehinggakan timbul rasa kasihan dalam diriku kepadanya. Aku rasa, dia ini kekurangan kasih sayang dalam bertumbuk. Maklumlah, partnernya adalah si Mohan Raja, seorang pegawai perisik yang sudah agak berusia.
Mohan Raja atau mesra dipanggil Raja sudah berpangkat pak cik bagi seorang Neo. Beza umur mereka pula adalah 20 tahun, maka normallah jika budak ini berasa bosan tidak ada teman berlawan. Kasihan juga budak Neo Hau ini.
"Okey." Aku turut membuka langkah lalu bersedia dalam posisi bertahan.
"Thank you, brother!" ucap Neo lalu meluru laju ke arahku.
'Heh!' Aku menarik senyuman sinis lalu mengelak serangannya dengan relaks dan bersahaja.
Dia menendang, aku mengundur. Dia menumbuk, aku menepis. Dia menyepak, aku menahan. Bertubi-tubi serangan dilancarkan kepadaku, namun aku tetap hanya mengelak dan berusaha mematahkan seragannya semampu mungkin tanpa membuat serangan balas.
"Lembik," ujarku sepatah kepada Neo.
"Aku tahu." Tercungap-cungap budak itu melepaskan lelah.
Serius, tiada satu pun serangannya berjaya mengenai poin penting badanku. Baik dari segi sepakan, tumbukan, tendangan ataupun hantukan, skil budak ini dalam seni mempertahankan diri masih belum cukup kuat untuk mengalahkanku.
"Sebab tulah aku nak kau test skil aku, sifu," ujarnya lagi.
Usai mengucapkan perkataan tersebut, dia terduduk melepaskan lelah. Berjejeran peluh keluar dari kulit melalui liang romanya, namun tidak pula dia mahu menyekanya. Pelembab semula jadi, katanya.
"Aku bukan sifu kau," kataku perlahan. Lantas, aku turut duduk di atas tanah dalam posisi mendepaninya.
"Aku tak kira. Aku nak kau yang latih aku, Fei Yang." Dengan wajah serius, dia menentang anak mataku.
"Kenapa?" soalku seraya turut menentang anak matanya.
"Sebab kau cool," jawabnya selamba.
Mendengar jawapannya, aku menarik senyuman nipis. Kaki bodek betullah budak ini, rasa nak bagi penyepak free saja ke mulut biar terus bisu tak boleh membodek sampai bila-bila.
Sudahnya, aku hanya menggeleng kepala sebelum tiba-tiba, kedengaran satu bunyi letupan maha kuat disertai dengan api menjulang keluar dari tingkap bilik yang diduduki Akmal.
Melihatkan itu, serta-merta darahku berderau dan jantungku seolah-olah berhenti berdenyut. Apa yang berlaku? Macam mana keadaan budak itu? Ah, aku perlu selamatkan dia!

Done!
Tayangan tengah malam gais, saya sibuk tapi saya cuba siapkan juga part ni. Huhu. Di bawah, saya letak cast Neo Hau. 🙈
Btw nak 🌟 boleh?
➖➖➖➖➖➖➖➖➖➖➖➖➖➖
💡TAHUKAH ANDA?💡
➖➖➖➖➖➖➖➖➖➖➖➖➖➖
Kod Binari (Binary Code)
Digunakan untuk mengubah sesuatu data ke dalam kod yang boleh dibaca oleh komputer. Ia hanya mempunyai dua nombor iaitu 0 dan 1.

➖➖➖➖➖➖➖➖➖➖➖➖➖➖
18 January 2021
12.10 pagi.
.
Jom, kenal watak baru.
Hai, Neo Hau !

Fei merenung langit.

Dahlah, goodnight.
❤️🤭
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro