FH | سِتَّةٌ وَعِشْرُوْنَ ٢٦
(Apa yang disebutkan hanyalah rekaan dan tidak benar-benar wujud)
SEPERTI yang telah dirancang, pasukan tentera Islam dipecahkan kepada 3 bahagian. Dan diletakkan di bahagian yang berlainan di sekitar Madinah.
Pada waktu malam, rancangan dijalankan. Sekeliling kawasan Kota Madinah telah dipasang dengan obor-obor api yang sangat banyak. Bagi memberikan tanda bahawa tentera Islam datang dengan jumlah yang ramai.
Fawwaz keluar dari khemah bagi memerhati keadaan luar. Sebegitu banyaknya obor yang telah dipasang, sehingga Fawwaz dan Izzuddin yang berada di bahagian hadapan Madinah dapat melihat utara dan barat kota itu dipenuhi dengan cahaya-cahaya api.
Sebegitu banyaknya obor yang telah diletakkan. Sedangkan jarak mereka berpuluh-puluh batu dan tidak mendekati langsung Kota Madinah.
Lalu surat balas sampai ke tangan Fawwaz dari Talhah, Zubair dan Muaz. Namun, surat daripada Zubair mengatakan bahawa Talhah dalam perjalanan ke pasukan Fawwaz yang berada di bahagian hadapan Madinah.
"Wahai Talhah. Mengapa engkau datang ke sini? Bukankah sepatutnya engkau berada di pasukan kalian bersama Zubair?" Izzuddin mengerutkan kening melihat kehadiran Talhah di situ.
"Aku ingin berjumpa Amirul Mukminin. Ada sesuatu yang penting untuk aku bercakap dengan dia."
Izzuddin tidak menolak, dia membenarkan Talhah untuk pergi menemui Fawwaz.
"Ya sahabatku?"
"Amirul Mukminin, bolehkah engkau mengizinkan aku untuk memasuki Madinah terlebih dahulu?"
"Mengapa begitu?" Fawwaz melirik wajah Talhah. Baru dia perasan wajahnya kelihatan tidak senang hati dan seolah-olah ada sesuatu yang mengganggu fikiran.
"Aku baru sahaja mendapat berita, bahawa sahabat-sahabat aku yang berada di Madinah telah diserang oleh Raziq dan orang-orang fasik itu."
"Begitu ya... siapakah sahabat-sahabat kamu itu?"
"Ada tiga orang sahabatku di sana, bernama Anas bin Nu'man, Usamah bin Zahar, dan Khalid bin Maslamah. Anas merupakan keturunan dari sahabat Nabi manakala Khalid berketurunan dari Bani Hasyim. Apa yang membuatkan aku berang dan tidak dapat menahan marah ialah, Anas dan Usamah telah diseksa oleh Raziq sehingga cedera."
Fawwaz merasa kagum, dia sangat kenal dengan seseorang lelaki yang bernama Khalid bin Maslamah itu. Dia pernah datang berdagang di Kota Al-Badriyah namun Fawwaz tidak pernah bertemu muka dengan tuan empunya badan.
"Masya-Allah... keturunan sahabat dan Rasulullah... beraninya Raziq berbuat demikian terhadap mereka. Baiklah sahabatku, dengan senang hatinya saya mengizinkan kamu untuk pulang ke Madinah. Namun, adakah kamu inginkan peneman untuk melindungi diri kamu?"
"Tidak perlu, aku bersendirian juga sudah cukup. Aku menyerahkan tugas mengawal pasukan kepada sahabatku Zubair." Talhah baru sahaja ingin beredar sebelum Fawwaz menahan.
"Talhah, saya mempunyai satu cara bagaimana kamu ingin memasuki Kota Madinah." Fawwaz tersenyum sebelum memberikan petunjuk mengenai cara dia memasuki kota Madinah tanpa perlu risau diapa-apakan oleh orang musyrikin itu.
❀❀
12 Ramadhan, 990 Masihi...
Di tengah kesunyian malam, ada seorang lelaki menunggangi kudanya dengan laju menghampiri benteng Kota Madinah. Di tangan sebelah kanannya, terdapat seekor singa yang telah mati. Dia baru sahaja pulang dari berburu binatang selama hampir 5 hari.
Rasa janggal menyelubungi diri, kota yang selalunya sibuk dengan hiruk pikuk manusia menjadi sunyi sepi tanpa suara. Malahan hanya 2 atau 3 orang sahaja yang dilihat berlegar dan berjalan di luar benteng Madinah.
"Sunyi... nampaknya mereka memang benar-benar menguasai Madinah..." Gumamnya sendirian. Ini di luar kebiasaan, dia semakin menghampiri benteng Kota Madinah sebelum ada seorang wanita tua berhampiran menegur dia.
"Wahai Tuan! Engkau sudah pun pulang. Ini merupakan satu kegembiraan buat kami!" ujar wanita tua itu dengan penuh kegembiraan.
"Mengapa engkau berkata begini wahai ibu? Apakah yang telah terjadi di Madinah?" Dia memang suka menggelarkan perempuan yang penuh tua daripadanya dengan gelaran ibu. Kerana usia mereka sudah hampir sama dengan ibunya sendiri.
"Mereka telah mengancam seluruh penduduk Madinah dan dengan angkuhnya mereka mencerca Rasulullah di khalayak ramai!"
"Mereka memperlakukan kami seperti anjing yang diikat dengan tali oleh tuannya... mereka dengan beraninya menumpahkan darah penduduk Madinah! Mereka menghina Rasulullah, menghina Allah!" Kata perempuan tua tersebut sambil menangis.
Air matanya mengalir tanpa henti sehingga kain yang menutupi kepalanya basah di bahagian bawah kerana tadahan air mata perempuan tua itu. Jika diikutkan perasaan, mahu saja dia melawan Raziq, tetapi apakan daya, dia hanyalah orang yang sudah tua dan tidak berdaya.
"Di mana mereka." Talhah menyoal tanpa menunggu. Kemarahannya hampir sahaja meledak, namun dia sedar dia perlu mengikut rancangan Fawwaz agar semuanya berjalan dengan lancar. Singa di pangkuan digenggam dengan erat.
❀❀
Hari ini merupakan hari yang ke-11 setelah Kota Madinah diserang, Raziq telah menggunakan pengaruh jahatnya untuk menindas penduduk Madinah dengan kejam.
"I-itu sahaja wang yang kami ada untuk makan... tolonglah pulangkan kepada kami semula!" rayu seorang lelaki tua yang merupakan peniaga di kawan Madinah. Wang milik lelaki itu telah diambil kesemuanya oleh tentera Ruh al-Haqq sambil disaksikan oleh Raziq.
"Engkau lupakah... aku pemerintah di sini! Jangan melawan cakap aku kalau engkau dan keluarga engkau mahu selamat. Wang ini diambil sebagai bayaran kepada kami. Setiap hari engkau wajib membayar kepada kami! Faham!" Raziq menendang wajah lelaki tua itu sehingga dia jatuh dalam keadaan melutut.
"Raziq, lepaskan lelaki tua itu!" Khalid mendatangi Raziq. Lelaki tua itu dipermalukan dengan sebegitu rupa di tengah Kota Madinah. Kesemua penduduk melihat kejadian ini, namun tidak dapat melakukan apa-apa.
"Haa... penyelamat kita berada di sini ya? Apakah lagi ganjaran yang ingin kau berikan kepada aku?"
Khalid mengetap bibir. Raziq memang sengaja mencari pasal dengan penduduk-penduduk Madinah ini. Dengan tangan yang menggigil kerana menahan amarah, dia mengeluarkan satu uncang wang emas dari jubah lalu dilemparkan kepada tentera Ruh al-Haqq.
Inilah apa yang Khalid lakukan sepanjang hampir dua minggu Madinah ditawan oleh musuh. Dia akan berlegar-legar di sekitar kota untuk memberikan wang kepada setiap anggota tentera yang cuba mengapa-apakan penduduk Madinah.
"Haha! Baik betul hati engkau ya. Terima kasih kerana telah banyak kali 'mendermakan' harta engkau kepada kami."
"Itulah beza orang fasik seperti engkau dengan kami, penduduk Madinah..." Khalid mengeluarkan sindiran halus sebelum membantu lelaki tua itu untuk bangun dan kemudian, Khalid memberikan satu lagi uncang wang kepada dia dan menyuruhnya untuk segera beredar.
"Apa yang engkau cakap!" Raziq berjalan ke arah Khalid, "Engkau sedar? Yang aku masih lagi sedang berbaik dengan engkau, kalau aku tidak fikirkan mengenai wang-wang yang telah engkau serahkan, sudah lama engkau aku-"
"Bunuh? Engkau fikir, aku hairan dengan ancaman engkau? Dengar sini orang fasik, aku merupakan keturunan dari Rasulullah SAW. Nabi akhir zaman! Orang-orang di Madinah ini semuanya merupakan orang yang rela berjuang dan mati di jalan Allah! Kami tidak pernah takut akan ancaman kalian!"
"Celaka!" Tangan Raziq dihayun ke atas mahu menampar wajah Khalid.
Khalid memejamkan matanya, dia tidak merasakan apa-apa sakit. Mata dibuka dan dia melihat tangan seseorang menahan Raziq dari menamparnya.
"Talhah? Bila engkau-" pertanyaan Khalid dipotong oleh Raziq yang berang akan perbuatan Talhah.
"Engkau siapa! Beraninya engkau menyentuhkan kulitmu dengan kulitku yang mulia ini!" Raziq merentap semula tangannya dari dipegang oleh Talhah.
Talhah tidak merasa takut, dia menatap Raziq dengan tatapan yang tajam.
(1116 Words)
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro