FH | سِتَّةَ عَشَرَ ١٦
(Apa yang disebutkan hanyalah rekaan dan tidak benar-benar wujud)
BEBERAPA hari berlalu. Surat yang dihantar akhirnya sampai di istana khalifah. Orang yang terlebih dahulu melihat isi kandungan surat ini ialah Izzuddin.
"Kakanda. Tekaan kakanda memang tepat, kaisar Byzantine telah menghantar surat ancaman kepada kerajaan kita!" kata Izzuddin dengan tangan menggeletar menahan kemarahan yang meluap.
Hampir sahaja dikoyakkan surat itu, namun ditegah oleh Fawwaz dengan meminta Izzuddin untuk menyerahkan surat itu kepadanya untuk dibaca.
Isi suratnya begini;
Dari Konstantinopel, di bawah naungan Kaisar Agung Theodorus Niketas, kepada pemimpin Kerajaan Nazariyah,
Dengan nama kuasa Empayar Byzantine dan kebesaran takhta yang direstui Tuhan, aku ingin memberi engkau satu amaran.
Tanah yang kau kuasai selama ini bakal menjadi hak Empayar Agung kami. Kelangsungan kerajaan engkau hanyalah belas kasihan daripada kami. Masa kelembutan telah berakhir. Panji-panji Byzantine bersedia untuk berkibar di atas kota-kotamu.
Kami tidak akan bertolak ansur dengan pemerintah yang tidak tunduk kepada kuasa kami. Keingkaranmu hanya mempercepatkan kejatuhanmu. Tentera kami yang gagah akan meruntuhkan tembok batu istana engkau.
Tiada benteng yang mampu menahan serangan kami, dan tiada doa yang dapat menyelamatkanmu daripada belenggu penjajahan kami.
Serahkan wilayah engkau dan akui kekuasaan Empayar Byzantine, atau terima akibatnya. Pilihlah kebijaksanaan daripada kehancuran. Jika enggan, maka bersedia menyaksikan kehancuran rakyat, diri, dan segala yang engkau anggap suci.
Kejayaan, kekuasaan, keadilan ada di pihak kami.
Ditandatangani,
Manuel Argyros,
Wakil Kaisar Empayar Byzantine.
Fawwaz faham mengapa Izzuddin marah dengan isi kandungan surat ini. Faham benar Fawwaz akan sifat adindanya itu yang tidak boleh menahan kemarahan.
"Sabar... jangan terlalu cepat mengeluarkan amarah." Fawwaz menepuk-nepuk bahu Izzuddin bagi menenangkan dia.
Kadang-kadang pelik benar Izzuddin dengan Fawwaz. Dia seorang khalifah, manakala Izzuddin penasihat dan orang kanannya. Tetapi amarah yang dilihat membuak-buak datang dari penasihat dan bukannya khalifah sendiri.
Itulah betapa besarnya tahap kesabaran yang dimiliki oleh Fawwaz, membuatkan dia layak menjadi khalifah negara dan kerajaan ini.
"Tidak apa... janganlah kamu bimbang adindaku. Jika kamu boleh teliti isi surat ancaman ini... kaisar ini sengaja ingin mengancam kerajaan kita kerana menyangka bahawa kakanda seorang yang lemah."
"Sebelum ini, kaisar ini tidak ubah seperti seorang pengecut. Hanya ingin merampas tanah ini semasa kakanda menjadi khalifah. Jika benar kaisar Rom ini seorang yang berani, mengapa tidak diganggu keamanan Kerajaan Nazariyah semenjak diperintah oleh ayahanda lagi?"
"Tetapi... amat berbahaya sekiranya Byzantine cuba menjajah kerajaan kita. Umum mengetahui, Kerajaan Byzantine amat memusuhi Islam semenjak ratusan tahun silam lagi... jika kita tidak bertindak, habislah Islam."
"Benar kata kamu. Kakanda rasa, dia memang berniat ingin menjajah tanah Islam ini. Dan tidak semudah itu kakanda akan biarkan Theodorus menjajah Kerajaan Nazariyah." ujar Fawwaz dengan senyum kecilnya.
Surat itu digenggam sebelum Fawwaz memerintahkan kepada Diwan al-Insha’¹ untuk menulis satu surat balasan kepada Kaisar Theodorus.
"Apa yang kakanda ingin lakukan?"
"Kakanda akan membalas surat Theodorus."
"Apakah kakanda mahu menyerahkan wilayah kita kepada kaisar tak guna ini?"
"Mengarut! Kakanda tidak mahukan wilayah Islam diserahkan kepada Kerajaan Byzantine. Mereka bukan seagama dengan kita bahkan menentang Islam. Tidak, tidak... kakanda hanya ingin mengajak beliau untuk datang ke sini dan mengadakan perbincangan secara halus."
Fawwaz tersenyum selepas puas menjawab soalan Izzuddin. Dia pun memikirkan sepatah dua kata yang hendak dihantar kepada Kaisar Theodorus di yang berada di Kota Konstantinopel.
❀❀
Manuel membawa surat yang telah diterima dari Kerajaan Islam Nazariyah setelah sebulan menghantar surat ancaman.
"Tuanku, khalifah telah menghantar surat balasan."
"Bacakanlah kepada beta. Beta hanya ingin mendengar segala isi-isi ketakutan yang datang daripada seorang budak hingusan kerajaan Islam ini." kata Kaisar Theodorus dengan ketawa besarnya. Menyangka bahawa dia akan menerima beratus kata pujian dari Fawwaz.
Namun. Isi surat yang diterima;
Dari Istana Agung Al-Nasir,
Kepada Theodorus Niketas, Kaisar Byzantine,
Dengan nama Allah Yang Maha Kuasa, yang mengangkat kebenaran dan menjatuhkan kebatilan, saya membalas surat kamu yang penuh dengan keangkuhan.
Surat ancamanmu telah sampai ke tanganku, penuh dengan kebanggaan dan khayalan tentang kejayaan kamu yang tidak berlaku. Kamu menggertak dengan seribu tombak dan perisai bersinar, namun saya hanya melihat cerminan ketakutanmu sendiri.
Kamu mengutuk kerajaan saya dan menghina keteguhan kami, sedangkan kamu tidak sedar bahawa ada tuhan yang akan memberikan balasan setimpal terhadap kamu dan kerajaan kamu.
Jika kamu fikir ancamanmu akan membuat kami takut, ketahuilah bahawa hati kami lebih keras daripada batu, dan semangat kami lebih tajam daripada pedang. Tentera kami tidak datang dengan kemegahan kosong, tetapi dengan keimanan yang akan meranapkan keangkuhanmu.
Engkau mahu menundukkan tanah ini? Datanglah! Kami akan menyambutmu dengan panah yang tidak akan tersasar. Setiap langkah tenteramu akan tenggelam dalam lumpur kekalahan. Jangan bermimpi untuk meratakan kota kami.
Ketahuilah, wahai Kaisar, bahawa kami bukanlah budak suruhan yang kamu boleh perintahkan sesuka hati. Kami adalah kerajaan Islam yang bebas.
Jadi, sebelum kamu berbicara tentang menjajah dan menakluk, pastikan mahkotamu sendiri tidak jatuh dari kepalamu itu. Datang dan bertemu dengan saya jika berani, atau kekallah dalam wilayahmu.
Ditandatangani oleh Amirul Mukminin,
Khalifah Hamzah Amrullah,
Penguasa Kerajaan Nazariyah
Kaisar Theodorus menghempaskan hiasan emas dari meja jatuh ke lantai dengan kuat, "Sial! Nampaknya mereka memang benar-benar mahu berperang. Kerahkan beberapa orang wakil kerajaan, jumpa dengan orang-orang Islam yang lemah ini. Dan pastikan mereka menerima kata-kata hinaan!"
(845 Words)
Istilah
Diwan al-Insha’¹ - "Jabatan Surat Menyurat" dalam bahasa Arab.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro