FH | سَبْعَةٌ وَأَرْبَعُوْنَ ٤٧
(Apa yang disebutkan hanyalah rekaan dan tidak benar-benar wujud)
26 Syawal, 995 Masihi...
SEPARUH daripada penduduk Kota Al-Badriyah berkumpul di pasar yang ditutup pada hari itu, bagi memberi ruang untuk mereka bertemu dengan Amirul Mukminin.
"Baiklah, kita lakukan saja begini. Biar aku sendiri, pergi ke pintu kota untuk meninjau sama ada Zubair sudah sampai ataupun tidak. Manakala kalian, berangkat ke rumah Amirul Mukminin dengan segera. Aku akan sampai di sana segera." menariknya, kali ini mereka disertai oleh Izzuddin yang merupakan penasihat Fawwaz sendiri.
Dia merasakan sudah tiba masanya mereka melakukan sesuatu dan tidak boleh hanya mendiamkan diri. Fawwaz terlalu baik untuk ditindas dan dipijak seperti ini. Biarlah kakandanya itu tersinggung dengannya, asalkan dia tidak dizalimi sebegitu rupa lagi.
"Meskipun kita tidak terlalu ramai, ingatlah kalian bahawa ini adalah usaha kita melindungi Amirul Mukminin! Ingat, kita bukan mahu berperang melainkan mahu berunding dengan mereka!" Izzuddin berpesan kepada mereka dengan lantang.
"Baiklah wahai Izzuddin!"
"Sekarang, kita berpecah."
Kumpulan penduduk yang seramai 80 orang telah dipecahkan, 10 orang diminta menunggu di pintu kota, manakala selebihnya mengikuti Izzuddin ke rumah Fawwaz.
Alasan mengapa tidak ramai, kebanyakan penduduk kota sudah pun berkeluarga dan orang-orang tua. Jadinya Izzuddin tidak mahu melibatkan ramai pihak, takut nanti berlaku sesuatu di luar kawalan. Tentera-tentera kerajaan juga terpaksa tidak dilibatkan kerana tiada arahan daripada khalifah, jadi tidak dapat nak membantu.
❀❀
Izzuddin menunggu di hadapan pintu kota dengan penuh sabar. Dia berfikir jika dalam masa satu jam Zubair tidak datang, maka dia akan terus bergerak ke rumah Fawwaz.
Namun harapan bersinar kembali apabila dia melihat bayangan seseorang dari jauh, dapatlah dia mengenal pasti bahawa itu adalah Zubair, "Zubair sahabatku!"
Izzuddin pantas berlari dan memeluk tubuh sahabatnya, "Allah sahaja yang mengetahui betapa gembiranya aku apabila bertemu dengan engkau. Maafkan aku kerana terpaksa mengganggu engkau ingin melaksanakan haji."
Zubair tersenyum, "Janganlah berkata begitu, aku berkhidmat di bawah Amirul Mukminin. Tidakkah aku ini dikatakan mementingkan diri sekiranya aku lebih memilih melaksanakan ibadah haji berbanding membantu khalifah?"
"Baiklah, di manakah orang lain? Tidakkah ada orang yang mengiringi engkau untuk pulang ke sini sepanjang daripada Madinah?"
"Tiada, hanya aku berseorangan. Perjalanan aku juga lebih cepat jika dibandingkan dengan pulang bersama rombongan, yang lain ada bersama Talhah, barangkali masih ada di Madinah." Balas Zubair selamba, dia juga tidak kisah pulang berseorangan. Dia mampu bertahan tanpa makanan dengan hanya minum air selama lebih dua minggu.
Itu bukan satu masalah buatnya.
"Izzuddin, kata engkau. Amirul Mukminin ditindas penduduk kota? Benarkah?"
"Tidak juga. Katanya, kebanyakan datang daripada luar dan daripada dalam kota terdiri daripada orang-orang muda yang masih mentah pemikiran dan akalnya."
"Mentah ataupun tidak, sekiranya mereka boleh terfikir untuk memberontak terhadap Amirul Mukminin yang telah berjasa kepada mereka, makanya sama sahaja dengan orang berakal. Mari, aku nak memburu syaitan-syaitan bermuka dua ini..." Zubair mengeluarkan pedangnya.
"Janganlah terlalu kasar, kami cuma nak berbincang dengan mereka. Amirul Mukminin tidak mahukan pertumpahan darah berlaku."
"Fawwaz, Fawwaz..." Zubair mengeluh dengan nada kasar, "Baiklah, lihat pada keadaan. Marilah!"
Mereka berdua berjalan masuk ke dalam Kota Al-Badriyah dan menuju ke rumah Fawwaz.
❀❀
Kumpulan para penduduk Kota Al-Badriyah sedang menuju ke rumah Fawwaz, apabila mereka sampai di sebuah kawasan tanah lapang sedikit dekat dengan luar kota, mereka melihat sesuatu.
"Siapakah mereka itu? Adakah kalian kenal?" soal salah seorang penduduk yang bernama Sahir kepada mereka.
"Tidak, kami tidak pernah nampak kelibat mereka itu."
Mereka melihat sekumpulan orang berjalan kaki dalam jumlah yang agak ramai, melebihi sedikit kumpulan penduduk Kota Al-Badriyah.
"Mereka menutup muka, di tangan mereka... pedang!"
Semua mereka terkejut melihat kejadian tersebut, "Mereka menuju ke rumah Amirul Mukminin! Kalian! Pergi beritahu Izzuddin agar dia mendatangi rumah Amirul Mukminin dengan cepat! Ada pemberontak yang mahu mengapa-apakan beliau! Lekas!"
Seorang daripada mereka yang bernama Harim berlari dengan pantas ke arah utara Kota Al-Badriyah tempat di mana pintu kota berada.
"Yang lain! Kita pergi rumah Amirul Mukminin!"
❀❀
"Penduduk kota! Penduduk kota! Pemberontak mahu membunuh Amirul Mukminin! Keluarkan segala senjata kalian dan perangilah mereka habis-habisan!"
Harim berlari-lari dengan wajah yang cemas, mengumumkan ke seluruh pelusuk kota mengenai perkara ini.
Kebetulan, Zubair dan Izzuddin mendengar laungang pemuda itu, lantas mereka pergi mendapatkannya, "Harim! Apakah yang berlaku?"
"Izzuddin! Lekas, mereka mahu membunuh Amirul Mukminin! Mereka datang beramai-ramai membawa pedang dan menutup wajah mereka dengan kain hitam, Amirul Mukminin dalam bahaya!"
"Ya Allah! Semoga Allah melaknati mereka! Mari Zubair!" Izzuddin mengeluarkan pedangnya dan segera berlari mengikuti Harim dan beberapa orang penduduk.
Penduduk-penduduk mendengar laungan Harim, langsung keluar dengan membawa senjata-senjata di tangan mereka. Ini sudah melebihi jangkaan, mereka ingin membunuh Fawwaz! Tidak boleh dibiarkan!
❀❀
Mujurlah, ketika kumpulan penduduk kota sampai di kediaman Fawwaz, tiada sesiapa yang berada di situ. Bermakna mereka tidak sampai lagi.
"Lindungi kediaman Amirul Mukminin!"
Tepat pada masanya, Izzuddin dan Zubair sampai ke kediaman Fawwaz. Mereka berdua mengetuk pintu tembok hadapan rumah khalifah itu.
"Siapakah- Izzuddin? Zubair! Bukankah kamu berada di Mekah?" Pintu tembok yang diperbuat dari kayu itu dibuka memperlihatkan wajah Fawwaz yang dalam keadaan keliru.
Mereka berdua terus masuk ke dalam, melihat-lihat sekitar rumah, tiada sesiapa.
"Kakanda! Kamu berada dalam bahaya, pemberontak yang selama ini telah mengepung kamu, dalam perjalanan ke sini. Mereka membawa pedang dan menutup wajah mereka, kamu rasa apakah lagi tujuan mereka selain dari ingin membunuh kamu!"
Fawwaz mengerutkan dahi, sedangkan awal Subuh tadi dia tidak melihat sesiapa di luar. Ingatkan mereka sudah meninggalkan kediaman, rupa-rupanya mereka ingin melaksanakan rancangan yang lebih ganas!
"Amirul Mukminin! Mereka telah sampai!" Terdengar jeritan keras dari para penduduk yang berjaga-jaga di luar kediaman.
Izzuddin dan Zubair berpandangan sesama sendiri, "Sekarang ini kakanda, kamu masuk ke dalam. Biarkan kami memerangi mereka."
"T-tetapi keselamatan penduduk-"
"Amirul Mukminin! Engkau jangan hendak menentang. Sebagai panglima perang engkau, aku yang akan berkuasa sementara dalam situasi ini. Engkau masuk ke dalam, kami akan cuba melindungi engkau sehabis daya."
"Z-Zubair, jangan apa-apakan rakyat..."
"Masuk Amirul Mukminin, masuk!" Zubair mengarahkan Fawwaz untuk masuk yang kemudiannya akur.
(981 Words)
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro