Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

FH | ثَمَانِيَةٌ ٨

(Apa yang disebutkan hanyalah rekaan dan tidak benar-benar wujud)

ZUBAIR dibawa berjumpa dengan Fawwaz keesokan harinya. Fawwaz memerhatikan tingkah laku pemuda yang lebih kurang seumuran dengannya.

Orangnya kasar, badannya tidak begitu kekar. Namun dapat dilihat dari ekor mata Fawwaz, bahawa pemuda yang bernama Zubair ini merupakan seorang yang berhati baik.

"Siapakah nama kamu?" Fawwaz memulakan bicara dengan ramah. Tidak mahu terlalu bernada seperti khalifah dengan hamba. Biarlah nadanya rendah seperti rakyat berbicara dengan rakyat.

"Zubair, Zubair Hilmi Al-Amin. Apakah yang engkau mahukan dari aku?" Zubair bersuara, menyoal Fawwaz dengan nada yang kasar. Memang benarlah sangkaan Fawwaz tadi, orangnya agak kasar.

Namun boleh dibentuk.

"Saya yakin, adinda saya Izzuddin mempunyai sebab menyebut nama kamu sebagai orang yang sesuai. Begini, saya ingin melantik kamu sebagai perisik untuk jabatan risikan kami yang bernama Jihaz al-Istikhbarat."

"Oh, begitu rupanya. Jadi mengapa aku perlu berkhidmat di bawah engkau? Sedangkan bapa engkau pun aku tidak hiraukan ketika dia meminta aku menjadi askar bantuannya." Balas Zubair dengan sedikit kurang beradab dan selamba tanpa menghiraukan dengan siapa dia sedang berbicara ini.

Fawwaz tidak mampu menahan senyum,

'Boleh tahan keras kepala juga sahabat adindaku ini. Memang sesuailah mereka berkawan baik.'

"Beginilah wahai sahabat, bagaimana jika saya menggajikan kamu. Setiap, bulan kamu akan menerima ganjaran daripada Baitulmal¹ mengikut keperluan seharian kamu. Wang akan diberikan apabila kamu bersetuju untuk berkhidmat dengan kami, syaratnya kamu harus setia dan tidak akan mengkhianati kami. Bagaimana?"

Pada mulanya, Zubair tidaklah mendengar dengan teliti pun. Tetapi apabila diceritakan mengenai ganjaran yang akan diraih setiap bulan, mungkin ini peluangnya. Dia pun sudah bosan asyik berburu singa dan menjualnya di pasar.

Daripada dia bersusah payah begitu, lebih baik dia menerima pekerjaan ini. Tidak perlulah dia bekerja terus-menerus.

"Baiklah, aku terima." Tanpa berfikir panjang terus Zubair menyetujui syarat yang ditawarkan Fawwaz kepadanya.

"Baiklah. Muaz, bawakan sahabat kita ini ke pangkalan tentera kita untuk diberikan maklumat dan sebagainya." Arah Izzuddin kepada Muaz. Tanpa membuang masa terus Muaz menjalankan tugas.

Mereka berdua meninggalkan Izzuddin dan Fawwaz,

"Adinda, mengapa kamu yakin dia akan setia dengan kita?"

Izzuddin pantas menjawab, "Kerana dia mempunyai iman dan takwa yang kuat terhadap Allah SWT. Cumanya, sudah memang sifatnya kasar sebegitu. Tetapi hatinya baik, tunggu sahaja nanti. Dia pasti akan berubah setelah beberapa ketika."

Fawwaz mengangguk mendengar jaminan Izzuddin, dia sangat yakin dengan rancangan adindanya tersebut.

❀❀

"Jadi, engkau inginkan aku menjadi perisik untuk menyiasat kumpulan Za'if Al-Mahdi itu?"

Muaz mengangguk setuju, "Begitulah rancangannya. Disebabkan engkau telah pun bersetuju, maka semuanya akan menjadi mudah."

"Haih...bumi ini memang sangat kecil. Secara kebetulan, aku memang mengenali ketuanya. Untuk pengetahuan engkau, ketua mereka diberikan gelaran Abu Saqr."

Mengejutkan kerana Zubair mengenali ketua kumpulan yang licik itu, Muaz lantas menaruh sedikit rasa curiga. Disebabkan perasan akan perubahan riak wajah Muaz, Zubair pantas mencelah,

"Bersabar wahai kawan. Aku tidak bersekongkol dengan mereka. Sesungguhnya jika aku bersubahat dengan mereka, aku rela mati diazab oleh Allah SWT."

Zubair dengan perlahan-lahan mendudukkan dirinya di atas bangku kayu yang ada di kawasan sekitar pangkalan tentera tersebut,

"Sebenarnya, aku dahulu merupakan orang yang bukan seagama dengan kalian. Aku seorang Arab jahiliyyah yang meminum arak dan juga berjudi. Namun kerana mendengarkan bacaan ayat Al-Quran dari Masjid Raudhah, aku tergerak hati untuk masuk Islam,

Dan ketika aku belum Islam, aku memang mengenali Abu Saqr ini. Aku sudah pernah berjumpa dengannya dan juga kumpulan dia dahulu. Memang kasar dan bahkan melebihi orang kafir perbuatan mereka itu."

Muaz mendengarkan dengan teliti, sesekali dia mengangguk memahami cerita yang disampaikan Zubair.

"Usahlah engkau risau wahai...Muaz bukan?" soal Zubair kerana baru mengetahui nama Muaz ketika bertemu tadi.

Muaz mengangguk.

"Usahlah engkau merasa risau mahupun gelisah. Aku tidak akan pernah mengkhianati sang khalifah. Aku tahu batas diri dan aku tahu mengenai akibat mengkhianati saudara sesama Islam."

Zubair menambah lagi, "Aku berjanji akan membantu kalian menumpaskan Abu Saqr. InshaAllah kafir laknatullah itu akan menemui akibatnya. Itulah janji aku kepada kalian dan kepada Allah SWT."

(678 Words)

Istilah

Baitulmal¹ - institusi kewangan dan pengurusan harta dalam Islam yang mentadbir pelbagai hasil seperti dana zakat, harta wakaf, cukai-cukai (kharaj dan jizyah) yang dikumpul dan digunakan untuk kepentingan masyarakat dan negara.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro