FH | ثَمَانِيَةٌ وَثَلَاثُوْنَ ٣٨
(Apa yang disebutkan hanyalah rekaan dan tidak benar-benar wujud)
FAWWAZ puas bermain dengan anak-anak kecil yang ada di situ. Dari hanya 5 orang menjadi 9 orang dan mereka sangat menyukai Fawwaz.
"Walid kalah!" sorak mereka semua beramai-ramai. Akhirnya Fawwaz kalah dengan mereka, begitu susah hendak menang apabila berlawan dengan lelaki itu.
Permainan yang mudah, meneka panjang ranting yang bakal dilemparkan. Fawwaz sudah menang lebih dari beberapa kali, kerana tangan anak-anak kecil itu agak kecil sehingga ternampak hujung ranting tersebut. Jadi mudahlah untuk dia meneka.
Disebabkan itu juga Fawwaz selalu menang. Dan pada akhirnya, puas disembunyikan supaya Fawwaz tidak tahu dan akhirnya dia kalah!
"Baiklah, baiklah... apa yang perlu Walid lakukan?" soal Fawwaz sedikit menyesal kerana setuju dengan syarat mereka, iaitu ada hukuman menanti sekiranya kalah.
"Hukumannya... Walid harus menjadi unta dan kami naik di belakang Walid!" cadangan anak itu dipersetujui oleh semua kanak-kanak di situ. Menyebabkan Fawwaz menggaru kepalanya.
"Baiklah... tetapi jangan-" belum sempat Fawwaz menghabiskan kata, terus anak-anak itu memanjat belakang badan Fawwaz. Bukannya sedikit, hampir 6 orang serentak di belakangnya. Fawwaz tidaklah terlalu kuat, namun dia boleh menahan mereka.
Fawwaz terpaksa menunduk ke bawah dan bergerak seolah-olah unta. Sama seperti yang selalu dilakukan oleh seorang bapa ketika bermain dengan anak kecil.
"Wah! Kuatnya Walid! Hahaha! Jalan ke hadapan dan kemudian belok ke kiri!"
Fawwaz patuh tanpa berkata panjang, "Baik Tuanku. Ayuh!"
❀❀
Izzuddin sama seperti Fawwaz, kadang-kadang akan berjalan untuk bersama dengan rakyat. Walaupun dia hanya penasihat khalifah, namun dia masih perlu menjalankan tanggungjawabnya.
Jika ada penduduk yang dalam kesusahan, dia akan menyampaikan masalah itu kepada Fawwaz untuk membantu mereka.
Tetapi berbeza sedikit dengan Fawwaz di mana semua rakyat gembira. Apabila Izzuddin yang berjalan di sekitar Kota Al-Badriyah, mereka semua akan senyap.
Kerana mereka takut dengan wajah dan aura dari Izzuddin. Keras, tegas, garang, batu dan sebagainya. Semua itu menggambarkan apa yang ada pada Izzuddin.
Semua kanak-kanak yang bertemu dengan Izzuddin akan berlari sambil berkata;
"Larikan diri, Pakcik Izzuddin si singa sudah datang!"
"Singa padang pasir!"
"Pakcik garang sudah datang, larikan diri kalian!"
"Tolong saya! Harimau!"
Ketika Izzuddin sedang berjalan, dia terlanggar tubuh seorang anak perempuan yang berusia lingkungan 6 tahun. Tubuhnya kecil, matanya bulat dan berwarna coklat terang, namun pakaiannya terlihat lusuh.
"Wahai orang yang garang... adakah sedikit makanan untukku makan?"
Bergetar hati Izzuddin apabila mendengar budak perempuan itu meminta makanan daripadanya. Bukanlah kerana budak itu tidak lari dari dirinya, tetapi kerana budak itu lapar dan meminta makanan daripadanya.
"Kamu... tidak makan lagi?" Izzuddin memandang wajah anak itu dan bertanya dengan suara yang sentiasa terdengar tegas.
"Bagaimana saya mahu makan... ibuku bekerja namun tidak mempunyai wang yang cukup dan saya diminta oleh ibuku untuk ke pekan dan meminta sedekah setiap seorang daripada mereka. Jika mereka memberi makanan, maka dapatlah kami makanan. Jika sebaliknya, berlaparlah kami sehingga keesokan harinya."
"Masya-Allah..." Mata Izzuddin berkaca apabila mendengar luahan anak itu. Sedikit pun tidak terlihat apa-apa keluhan, dia hanya meluahkan masalahnya sahaja.
"Bagaimana pula dengan ayahmu?"
"Ayahku... dia..." Budak itu teragak-agak mahu menjawab. Seperti menahan perasaannya dari terus meneruskan kata.
Izuddin mengangkat budak perempuan itu dan meletakkan di atas bahunya, "Mari kita ke rumahmu. Tunjukkan jalan. Janganlah panggilku lelaki garang, panggil saja diriku Abi."
❀❀
Izzuddin berjalan hanya dengan mengikut arah yang ditunjukkan oleh gadis bermata bulat itu,
"Nama kamu siapa?"
"Layla."
"Umur kamu?"
"6 tahun."
Senyap.
Ini antara masalah yang dihadapi Izzuddin. Dia tidak begitu pandai hendak berkomunikasi dengan seseorang. Bahkan budak kecil sekalipun.
Tanpa sedar, mereka sampai di rumah milik keluar gadis itu. Sadis, berada di pinggir kota dan sangat miskin. Seolah-olah tidak terurus, dinding yang diperbuat daripada lumpur hampir luntur, bumbung pula dibuatnya menggunakan pelepah kurma yang sudah lama.
Izzuddin terkedu, mengapa dia tidak tahu langsung mengenai perkara ini?
Baru separuh perjalanan, Izzuddin mendengar suara keributan dari rumah tersebut.
"Janganlah diambil wang itu! Itu sahaja yang saya ada untuk hari ini..."
"Diam tahukah engkau bahawa aku hari ini kalah lagi? Aku sangat inginkan wang dan engkau tidak layak untuk bercakap denganku soal ini!"
Mata Izzuddin terbuka luas apabila mendengar lelaki itu mencerca isterinya sendiri. Dia memandang gadis kecil itu, seolah-olah ingin bertanya.
"Abi, kalau kamu mahu tahu, itulah bapaku, Naufal, ibuku pula bernama Ruhaila. Saya sudah kerap mendengar mereka bergaduh, bapaku selalu meminta wang dari ibuku... manakala ibuku bekerja sebagai penjual kurma di pekan Al-Badriyah..."
"Bapamu itu... selalukah dia pulang."
"Tidak, seminggu baru dia pulang ke rumah. Kadang-kadang satu bulan, namun dia akan memukul ibuku seperti itulah... kadangkala juga dia akan menamparku..."
"Apa?" Izzuddin tersentak dari fikirannya.
"Apa yang bapamu lakukan? Ulang sekali lagi?"
"Dia... tampar wajahku sekiranya saya membela ibuku. Salahkah wahai Abi? Saya cuma nak membela ibuku sahaja... dia jahat. Bagaimana ibuku yang cantik boleh berkahwin dengan dia... saya sendiri pun tidak tahu." luah gadis kecil itu dengan biasa. Seolah-olah telah biasa dengan apa yang dia lalui itu.
"Cukup." Izzuddin meletakkan Layla di bawah, dan memimpin tangannya menuju ke rumah tersebut.
"Jangan pegang tangan aku!" Naufal, dengan marahnya melayangkan tangannya ke wajah isterinya. Ruhaila rebah dengan tangan memegang wajahnya yang sakit dan air mata yang tidak dapat ditahan lagi.
"Suamiku... tolonglah! Itu sahaja wangku untuk aku dengan Layla. Jika engkau mengambil itu, tiada lagi makanan buat kami! Kasihankan kami wahai suamiku..."
"Assalamualaikum..."
"Waalaikumsalam... Izzuddin sang penasihat khalifah..." Ruhaila memandang ke arah pintu, dia melihat Izzuddin dan dengan cepat mengenali siapa dia.
Namun Naufal tidak mempedulikannya, dia memasukkan wang tersebut ke dalam kocek jubahnya sebelum dia ingin berlalu keluar.
Tangan Izzuddin menahan tubuh Naufal dari pergi, "Hoi! Engkau siapa? Nak menghalang aku pergi dari sini? Ini rumah aku, berambus!"
"Engkau tahu... apa masalah engkau?"
Naufal terpinga-pinga kerana tidak memahami soalan Izzuddin, "Apa yang engkau cakap ini! Aku tidak faham! Pergilah engkau dari sini! Jangan sibuk urusan rumah tangga orang lain."
Pang!
Izzuddin semakin berang selepas dia menampar wajah Naufal, "Suami dayus... tidak akan cium bau syurga seorang suami seperti engkau yang dayus terhadap seorang isteri dan anak engkau!"
Dush!
Izzuddin membalas dengan satu lagi tumbukan pada badan Naufal, "Akan aku kerahkan tentera kerajaan untuk menangkap engkau... beraninya engkau berjudi di negara Raudhah ya! Tunggulah nasib yang bakal menimpa engkau nanti!"
Naufal melarikan diris sejurus Izzuddin selesai memukulnya.
"Engkau... namamu Ruhaila bukan?"
"Ya Tuanku..."
"Jangan memanggilku begitu. Aku bukannya khalifah. Panggil sahaja aku Izzuddin..." Izzuddin segan apabila digelar sebegitu oleh rakyat. Sedangkan dia bukanlah berjawatan besar.
"Menurut anakmu. Engkau dan dia tidak mempunyai wang untuk makan seharian?"
Ruhaila hanya mengangguk, "Itu sahaja yang saya mampu demi menyara anak saya... bahkan hendak makan sekali dalam sehari pun saya tidak mampu... kami kadangkala hanya makan serbuk roti sahaja. Kerana kekurangan wang..." Ruhaila menitiskan air mata kerana mengenangkan nasib keluarganya yang susah.
Izzuddin juga tidak dapat menahan air mata. Berdosanya diri ini kerana tidak pernah mengetahui bahawa masih ada keluarga yang susah dan perlu dibantu.
"Janganlah engkau risau wahai Ruhaila... akanku pastikan kebajikan keluargamu terjaga. Baitul Mal pasti akan membantu kalian, juga nanti tolong masukkan anakmu ke madrasah. Layla... sangat berkebolehan dalam kata-kata. Dapatku lihat semua itu bila aku terjumpanya di pekan sebentar tadi."
Ruhaila menangis kerana terharu, "Ya Allah! Doaku selama ini makbul... Wahai Tuan, semoga Allah merahmatimu dalam segala hal dan dikurniakan usia yang panjang... Aamiin."
(1195 Words)
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro