Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

FH | ثَلَاثَةٌ ٣

SUASANA pada petang hari itu agak kurang menyenangkan.

Khalifah Nazeer telah mengadakan satu perjumpaan tergempar antara para pembesar menteri dan juga para ulama negara Raudhah¹, negara yang menjadi tapak berkembangnya Dinasti Kerajaan Nazariyah itu.

"Wahai Amirul Mukminin, apakah sebab kami dipanggil datang ke mari? Sedangkan waktu-waktu begini belum sampai waktu ijtima'² secara bulanan lagi," soal Muawiyah Syarif Al-Aziz, wazir agung negara Raudhah.

Khalifah Nazeer mendiamkan diri untuk seketika sebelum beliau bersuara dengan tenang, "Beta faham, pertemuan ini mencetuskan kekeliruan dalam kalangan para wazir, amir³ dan ulama. Baiklah, beta akan singkatkan apa yang beta ingin sampaikan kepada kamu semua."

Khalifah Nazeer menayang senyum lebar sebelum dia membuat keputusan,

"Bismillahirrahmanirrahim, di hadapan para ulama, wazir dan amir...beta dengan ini melantik putera beta, iaitu Fawwaz Hamzah Amrullah sebagai Khalifah Kerajaan Nazariyah yang baharu bagi menggantikan beta yang secara rasminya akan mengundurkan diri dari menyandang jawatan khalifah."

Terkejut para alim ulama, amir dan wazir yang berada di situ. Disangkakan cuma perjumpaan yang sekadar ingin mengumumkan sesuatu yang remeh, rupanya merupakan pengumuman pertukaran pemimpin yang sangat mustahak.

"Tuanku, mengapa tiba-tiba sahaja ingin mengundurkan diri. Apakah tuanku sakit?" tanya Wazir Muawiyah dengan perasaan tertanya-tanya dan sangat pelik.

Muawiyah yang merupakan wazir agung negara antara yang paling rapat dengan Khalifah Nazeer, tetapi dia sedikit pun tidak diberitahu mengenai hal ini.

"Jangan risau, beta tidak sakit. Beta cuma merasakan...sudah sampai masanya untuk beta berehat panjang. Sudah cukuplah hampir 30 tahun beta memimpin kerajaan ini,

biarlah kepimpinan beta diserahkan kepada akal fikiran seorang yang lebih muda berbanding beta. Mungkin Fawwaz akan berjaya menjadi lebih hebat dari beta dalam meluaskan lagi empayar Kerajaan Nazariyah ini,"

Khalifah Nazeer tidak teragak-agak dalam membuat keputusan. Kerana selama ini pun memang keputusan yang dilakukannya sentiasa tepat dan tidak tersalah langkah. Itulah kenyataannya yang harus diakui oleh para pembesar.

❀❀

Hari ini merupakan hari pertama Fawwaz akan menjadi khalifah, ini merupakan satu tugas yang amat berat. Di samping menjaga nama baik ayahandanya, Fawwaz juga perlu menyambung hasrat Khalifah Nazeer untuk meluaskan tanah jajahan Islam itu dengan lebih jauh.

Dari kejauhan, terdengar bunyi telapak sandal yang dikenakan oleh Fawwaz berjalan menghampiri dewan utama istana khalifah tersebut. Fawwaz kemudiannya berjalan menerusi para pembesar dan duduk di atas singgahsananya.

Pakaiannya sangat biasa, jika pakaian Khalifah Nazeer terbuat dari kain sutera mahal yang dihantar dari negara luar.

Fawwaz jauh dari segala kemewahan itu. Jubah yang dipakainya sangat sederhana, berwarna putih murni, manakala serbannya berwarna hijau zamrud dan tidak diletakkan apa-apa perhiasan di tubuh badannya,

Hanya iman sahaja yang dibawa oleh Fawwaz ke mana-mana sahaja.

"Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh⁴,"

Salam pemuda itu dibalas oleh semua pembesar dan juga ulama,

"Baiklah tuan-tuan sekalian, untuk pengetahuan semua, saya tidak akan menggunakan gelaran kebesaran untuk diri seperti 'beta' dan sebagainya. Saya hanya akan menggunakan kata 'saya' dan 'aku' sahaja untuk membahasakan diri."

"Tetapi Amirul Mukminin, bahasa diri itu melambangkan kemegahan. Membuktikan tuanku adalah seorang pemimpin yang hebat! Bukankah itu lebih baik?" Salah seorang pembesar bersuara memberikan pendapatnya.

"Benar, apa yang dikatakan tuan itu benar. Tetapi perlu diingat, di hadapan Allah pada hari akhirat kelak, kita semua sama sahaja. Baik tuan pembesar, wazir mahupun ulama di hadapan saya ini. Kita semua manusia yang sama, tidak lebih dan tidak kurang. Hanya Allah SWT yang paling sempurna sifat-Nya."

Seluruh dewan senyap sunyi tanpa membalas. Apa yang dikatakan khalifah muda itu sangatlah benar.

"Baiklah, siapa wazir di sini? Saya ingin mengetahui siapakah pembesar utama di sini," soal Fawwaz meminta pembesar utama untuk memperkenalkan diri.

"Hamba merupakan wazir agung negara Raudhah, Muawiyah Syarif Al-Aziz." Wazir Muawiyah memperkenalkan dirinya bersama senyuman. Memang benarlah keputusan Khalifah Nazeer untuk melantik anakanda sulungnya ini. Ternyata memang bijak orangnya.

"Baiklah, saya percayakan kamu  untuk menjadi penasihat saya, seperti yang telah kamu lakukan kepada ayahanda saya."

Wazir Muawiyah tunduk hormat dan menerima tugas itu buat kali kedua. Kebiasaannya jika jawatan khalifah bertukar kepada orang lain, ada kemungkinan bahawa penasihat utamanya sekali akan ditukar kepada orang lain. Namun dia sedikit lega kerana tidak perlu bersara dari jawatan itu.

Fawwaz menambah, "Selain dari kamu, izinkan saya untuk melantik adinda tercinta saya, iaitu Ahmad Izzuddin Al-Hadi sebagai penasihat bagi membantu saya ketika dalam urusan luar."

Pembesar lain juga tidak membantah dengan perkara itu dan hanya membiarkan sahaja Fawwaz membuat keputusan. Mereka tidak ada masalah dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh pemuda itu.

"Wahai wazir, saya ada satu permintaan." Fawwaz berkata kepada Wazir Muawiyah.

"Apakah itu wahai Amirul Mukminin, katakanlah. InshaAllah jika tidak keberatan, hamba akan cuba menunaikannya."

"Tidak banyak, cumanya tolong kembalikan jawatan Syeikh ul-Islam kerajaan ini kepada Syeikh Abdullah Al-Hakim."

"Syeikh Abdullah? Bukankah dia sudah pun bersara? Khalifah Nazeer sendiri yang menyuruhnya untuk bersara 7 tahun lalu."

"Benar...dan saya meminta kamu untuk memasukkan dia semula ke dalam jawatan ini. Hanya dia orang yang layak untuk menjadi Syeikh ul-islam Kerajaan Nazariyah..." ujar Fawwaz dengan cukup yakin. Dia sangat yakin bahawa orang yang telah memberikannya nama yang cukup mulia itu mampu memberikan kesan baik kepada pentadbiran negara Islam itu.

(860 Words)

Istilah

Raudhah¹ - Taman atau kebun dalam bahasa Arab.

Ijtima'² - Bermaksud pertemuan, mesyuarat, atau perhimpunan.

Amir³ - Gabenor negeri

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh⁴ - "Semoga keselamatan serta rahmat Allah dan juga keberkahannya terlimpah untukmu."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro