Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

FH | اِثْنَانِ وَثَلَاثُوْنَ ٣٢

(Apa yang disebutkan hanyalah rekaan dan tidak benar-benar wujud)

KEKALAHAN tentera Ruh al-Haqq ini mengundang rasa risau pada diri Raziq Al-Fasid. Tentera yang berada di dalam Madinah berbaki lagi 16,000 orang. Manakala lagi 10,000 diberitakan terbunuh oleh tentera terakhir yang berjaya melarikan diri ke dalam Kota Madinah.

"Benar! Kita bukanlah tandingan mereka! Mereka terlalu hebat... Zubair orang yang paling kami takut hendak bertarung. Dialah orang yang bertarung dengan ketua panglima dan berjaya membunuhnya hanya dengan tangan kosong."

Kesemua tentera terkejut, Zubair seolah-olah sedang membunuh tentera Ruh al-Haqq dari segi jiwa dan roh mereka sendiri. Berjaya menggetarkan hati mereka hanya dengan mendengar namanya sahaja.

"Celaka... mereka memang sudah bertekad ya. Baiklah! Hantarkan lagi 10,000 orang tentera kita ke luar kota Madinah. Biarkan mereka rasa akibatnya melawan kita."

"Tetapi wahai Waliyullah, bagaimana pula dengan tentera yang menjaga kita di dalam kota ini? Tidakkah nanti jumlahnya hanya tinggal 6,000 orang sahaja?"

"Janganlah engkau bimbang. Hampir 6,000 orang tentera Islam berlawan dengan 10,000 orang tentera kita sebentar tadi. Sudah tentulah ramai dalam kalangan mereka sudah mati. Inilah masanya untuk kita membunuh mereka. Cepat kumpulkan tentera dan terus menyerang mereka." Raziq memerintah dengan angkuh dan yakin bahawa kumpulan Ruh al-Haqq akan memenangi peperangan ini.

Akan dia pastikan hajat Abu Saqr untuk menjatuhkan khalifah tercapai.

'Beraninya engkau menentang aku... tunggulah wahai Hamzah, akan aku penggal kepala engkau seperti mana tentera engkau memenggal kepala Abu Saqr ketua kami...'

❀❀

"Hmph, lemah betul tentera mereka itu. Hanya sekali tebasan mereka terus mati begitu sahaja. Tak mencabar betul." Zubair berkata dengan rasa bangganya itu.

Izzuddin tersenyum melihat Zubair yang begitu bersemangat menceritakan kisahnya melawan tentera Ruh al-Haqq tadi.

"Wah, sahabatku ini memang hebat. Tidak sia-sia aku memilih engkau sebagai panglima perang. Dan aku yakin Muaz juga akan berkata benda yang sama disebabkan dia juga dipilih oleh kakandaku sebagai panglima perang."

"Mestilah! Engkau lebih mengenali aku sebagaimana kakandamu mengenali Muaz. Islam akan memenangi peperangan ini. Itu janji aku kepada Allah dan juga Rasulullah!" Zubair menepuk dadanya beberapa kali tanda janjinya pasti dipenuhi.

Izzuddin mengangguk apabila mendengar kata-kata Zubair, dia tahu sahabatnya itu memang seorang yang berpegang pada janji. Tidak akan pernah dimungkiri sebarang janji yang telah dibuat oleh Zubair. Itu prinsip hidupnya.

"Jadi bagaimana selepas ini? Apakah rancangan Amirul Mukminin?" Soal Zubair ingin tahu mengenai rancangan Fawwaz yang seterusnya.

"Kakandaku menyuruh aku untuk bertanya kepada kau, berapa jumlah tentera Islam yang syahid. Disebabkan Amirul Mukminin memilih engkau untuk memimpin kesemua tentera Islam yang ada."

Zubair menundukkan sedikit kepalanya, dia sedar perkara kematian ini bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan sangat. Walaupun mereka syahid, namun ianya tetap menyedihkan.

"Jika dihitung, kesemuanya berjumlah hampir 4,000 orang tentera kesemua yang telah syahid..."

"Innalillahiwainnalillahirajiun... tentera Raziq itu berbaki lagi 16,000 orang. Semoga Allah mengizinkan mengalahkan mereka dengan jumlah tentera yang ada."

"Sekarang ini, pasukan Muaz sahaja yang boleh kita harapkan, jika mereka sempat melancarkan serangan, mereka akan bergabung dengan kita dan menghentam benteng Madinah." Kata Zubair dengan keluhan.

"InshaAllah, sekarang ini, kita teruskan rancangan yang sedia ada. Kita tunggu sahaja dia bertindak."

"Mereka hanya golongan yang bermulut besar. Mereka fikir, jumlah mereka ramai mereka hebat? Oh tidak... tidak. Akan aku buru seekor demi seekor keldai kafir ini..." Zubair mengepal penumbuk bersedia untuk sekali lagi menggempur dan mengetuai serangan.

❀❀

"Tentera Ruh al-Haqq! Lancarkan serangan dan heret mayat tentera Islam!" Sorak ketua panglima tentera yang baharu telah dilantik oleh Raziq bagi mengetuai 10,000 orang tentera baharu mereka.

"Ruh!" Ketua panglima itu bersorak meminta mereka untuk menyambung sorakan itu.

"al-Haqq!"

"Ruh!"

"al-Haqq!"

"Ruh!"

"al-Haqq! Serang!"

Pintu benteng Kota Madinah dibuka dan sekali lagi tentera Ruh al-Haqq keluar dari pada kota menuju ke arah padang pasir. Pusingan kedua peperangan bermula.

Namun pelik, ini bukan apa yang diceritakan oleh tentera yang berjaya melarikan diri tadi.

"Ketua! Aku tidak pasti sama ada ini hanyalah bayangan mahupun tidak, mengapa kawasan sekitar padang pasir ini sunyi sahaja?" tanya salah seorang tentera sambil menunggang kuda keluar dari benteng Madinah.

Memang benar, yang ada hanyalah mayat tentera Islam dan tentera Ruh al-Haqq yang bergelimpangan di atas padang pasir yang dibasahi darah-darah mereka sendiri.

"Cari mereka sampai dapat! Pastikan kita berjaya balaskan dendam tentera yang telah gugur! Aku pasti mereka telah mula takut dan melarikan diri." Arah ketua panglima tentera Ruh al-Haqq.

Semua tentera Ruh al-Haqq keluar dari benteng itu, kesemuanya telah keluar dari benteng pertahanan yang telah dikawal ketat tersebut.

Tiba-tiba,

"Tentera Islam! Rempuh benteng Madinah sekarang!" Zubair, Izzuddin, Fawwaz dan pasukan mereka yang berbaki 2,000 orang dengan pantas menunggangi kuda merempuh benteng kota yang pintunya telah separuh terbuka. Mereka bersembunyi di bahagian sebelah kiri

"Sial... al-Haqq! Patah balik ke arah pintu!"

Tidak sempat mereka hendak berpatah balik, Muaz datang dengan bala tentera Islam mengepung tentera Ruh al-Haqq.

"Jangan harap kalian boleh terlepas kali ini! Tentera Islam! Kemenangan milik kita, sesungguhnya Allah bersama dengan kita! Syurga buat kita! Allahuakbar!" Muaz memimpin tentera dengan garang dan tegas.

Takbir yang dilaungkan oleh Muaz dan pada tentera Islam menggetarkan hati tentera Ruh al-Haqq, tidak pernah mereka bertemu dengan tentera yang berani mati begini.

"al-Haqq! Jangan mengalah! Serang!"

❀❀

"Waliyullah! Tentera Islam telah memecah masuk ke dalam kota!"

"Tak guna! Apa yang kalian buat? Aku suruh kalian pertahankan Ruh al-Haqq bukannya suruh kalian mencuri tulang!" Raziq pantas bangkit dan mencapai pedangnya, bersiap sedia untuk berlawan.

"Bagaimana dengan tentera kita di luar benteng?"

"Berita masih tidak diterima. Barangkali tentera kita tengah berlawan dengan tentera Islam di luar sana"

"Ah! Kalian semua memang sial!" Raziq berlari keluar dari markasnya menaiki kuda, ingin memimpin tenteranya. Tiba-tiba dia mendengar suara yang paling lantang pernah di dengar.

"Raziq! Bersedialah engkau kerana malaikat maut ini sudah datang menjemput engkau!" Zubair berteriak dengan kuat sehingga seolah-olah telah mencipta satu angin kuat meniup ke arah tentera Ruh al-Haqq.

"Umatku sekalian! Adakah kalian benar-benar menganggap aku sebagai utusan Tuhan?"

Kesemua tentera membalas anggukan kepada Raziq.

"Jika begitu! Lindungilah pemimpin kalian ini dan pastinya syurga menanti kalian. Pergilah! Pergilah!" Raziq menggesa mereka untuk berperang melawan tentera Islam sementara dia melindungi dirinya.

"Penakut!" Zubair melihat cubaan Raziq untuk melarikan diri. Pantas dia melirik ke arah Izzuddin dan Fawwaz.

Fawwaz meminta tentera Islam untuk berhenti tepat di hadapan dengan tentera Ruh al-Haqq yang berjumlah 6,000 orang. Dapat dilihat wajah mereka masing-masing penuh ketakutan dan tidak berani hendak berlawan dengan tentera Islam.

Fawwaz perlahan-lahan turun dari kudanya. Dilihat ke kiri dan kanan, inikah tanah Madinah? Mengapa terlalu menyedihkan keadaannya. Fawwaz baru perasan betapa banyaknya tiang-tiang yang terpacak di tengah Kota Madinah.

Lalu dilirik ke aras dan alangkah terkejutnya dia.

"Ya Allah..." Air mata Fawwaz terus mengalir tanpa ditahan lagi. Betapa hibanya hati dia apabila melihat betapa banyaknya kepala-kepala yang telah dipenggal dan dipacak di puncak tiang kayu tersebut.

"Engkau telah lihat bukan? Inilah akibatnya menentang orang yang mulia sepertiku! Kalian semua akan menerima nasib yang sama jika cuba menentang aku!" Raziq menunjuk ke arah berpuluh-puluh tiang.

Buat kali pertama dalam hidupnya selama hampir 26 tahun, dia merasai perasaan marah yang amat sangat seperti ini. Dengan air mata yang tidak berhenti mengalir, dia menjerit dengan lantang suaranya,

"Ya 'iikhwanal qiradah!¹ Tidakkah kamu ingat bahawa Allah telah menghinakan golongan yang memerangi agama dan kekasih-Nya dan telah menimpakan kemurkaan dan bencana-Nya kepada mereka! Tidakkah kamu berasa bersalah dengan apa yang kalian lakukan terhadap penduduk Madinah!"

"Sesungguhnya kalian telah mencemarkan tanah Rasulullah! Celakalah buat orang-orang yang telah melakukan ini! Kami tentera Islam akan memerangi kalian habis-habisan!" Fawwaz menghalakan jari telunjuknya ke arah Raziq. Satu perkara yang tidak sopan dan buat kali pertama Fawwaz melakukan ini.

"Allah akan memberikan balasan yang setimpal buatmu Raziq..."

(1285 Words)

Istilah

Ya 'iikhwanal qiradah¹ - "Wahai saudara-saudara kera" dalam bahasa Arab.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro