Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

FH | أَرْبَعَةٌ وَعِشْرُوْنَ ٢٤

(Apa yang disebutkan hanyalah rekaan dan tidak benar-benar wujud)

USAMAH cuba meleraikan pegangan tangan yang kuat pada Anas. Tentera pemberontak itu nampaknya memang ingin bertindak kasar dengan mereka kerana berkata buruk pada Raziq.

"Lepaskan dia! Dia sahabatku, beraninya kalian ingin mengapa-apakan dia! Ini Anas bin Nu'man Al-Akbar, nasab keturunannya bersambung dengan sahabat Nabi yang hebat! Anas bin Malik R.A. Aku tidak akan membenarkan engkau sentuh dia!"

Mendengar hal ini, Raziq tersenyum sinis. Perlahan-lahan dia bangkit, menghampiri Anas yang usianya 37 tahun itu. Tangannya naik menyentuh tangan Anas.

"Engkau...keturunan dari para sahabat?"

Anas tidak teragak-agak menjawab, "Ya, aku keturunan daripada sahabat Rasulullah. Moyang aku bernama Anas bin Malik."

"Oh! Sungguh... satu kehormatan untuk bertemu dengan... Engkau!" Raziq mencekik leher Anas dengan kuat. Usamah dengan berang mencuba menggigit tangan Raziq untuk cuba melepaskan sahabatnya dari dicekik.

"Lepaskan sahabat aku!"

"Engkau... memang menyusahkan!" Raziq menendang dengan kuat dada Usamah sehingga dia jatuh terduduk atas tanah. Dadanya dipegang dengan kuat kerana rasa sesak memenuhi nafasnya sehingga dia tercungap-cungap.

"Engkau pula... heh, engkau ingat dengan jika engkau orang dari keturunan sahabat Nabi engkau tu boleh membuatkan aku lembut hati? Heh, engkau silap..." Raziq masih lagi tidak melepaskan cengkaman kuat tangannya dari leher Anas.

"Y-ya... Ya Allah..."

"Sebutlah nama Tuhan kalian! Haha! Sebutlah, seru Dia untuk datang dan membunuhku! Kalian tidak akan memperoleh apa-apa melainkan seksaan neraka daripada aku jikalau kalian semua tidak tunduk di bawah kakiku!"

"Y-ya Rasulullah..."

"Huh, masih lagi mencuba? Nabi kalian yang telah menjadi mayat itu? Panggillah! Panggil Nabil kalian datang untuk membantu dia! Jikalau tidak, aku sendiri yang akan ke kuburnya dan menggali jasadnya untuk dipertontonkan pada kalian. Dimana Nabi yang kalian selalu junjungi itu!"

Beberapa penduduk Kota Madinah itu cuba menyerbu dan menahan Raziq dari terus cuba membunuh pemuda itu. Namun mereka terlebih dahulu ditahan oleh para tentera Ruh al-Haqq.

"Lepaskan dia!"

"Dia keturunan sahabat Rasulullah! Engkau tidak layak menyentuh dia!"

"Celakalah kalian semua!"

"Neraka tempat bagi kalian kerana berani mencerca Rasulullah!"

"Islam akan sentiasa menang!"

"Semoga kalian dilaknat oleh Allah!"

Beberapa penduduk Madinah mengeluarkan kata cacian kepada Raziq dan para tenteranya. Walaupun mereka tidak berdaya melawan dari segi senjata dan kekuatan, namun mereka tetap berusaha mempertahankan agama dan tanah suci yang telah dicemari oleh orang yang sesat.

Usamah masih tidak berputus asa, dia berdiri dan terus melompat ke atas Raziq telinganya digigit sehingga putus cupingnya. Darah memenuhi kawasan mulut Usamah, lalu diludah kembali darah yang memasuki mulutnya itu. Jijik.

"Argh! Celaka engkau!" Dek kerana terlalu sakit, dia melepaskan cengkamannya pada leher Anas. Pemuda dari keturunan sahabat Rasulullah itu pun perlahan melemah dan jatuh ke tanah, namun disambut oleh Usamah.

"Pengawal! Tangkap kesemua orang yang berani melawanku! Pancung kepala mereka! Manakala dua ekor keldai ini, kurung mereka dan berikan seksaan yang menyakitkan... biar mereka rasakan akibat cuba menentangku."

Usamah dan Anas ditangkap oleh tentera Ruh al-Haqq. Mereka diseret sejauh setengah batu lalu akhirnya dikurungkan dalam sebuah kandang kuda yang telah dirantai.

Perbuatan zalim Raziq ini diterima oleh Khalid bin Maslamah Al-Zuhri, salah seorang sahabat Anas dan Usamah yang berasal dari keturunan Bani Hasyim yang tinggal di Mekah. Bezanya, Khalid telah lama tinggal di kota Madinah setelah bermastautin di sini selama 10 tahun.

Mendengar berita yang tidak enak menimpa sahabatnya, Khalid dengan segera menyuruh hambanya membawa beberapa karung guni untuk bertemu dengan Raziq.

"Assalamualaikum." Khalid memberikan salam apabila sampai di markas utama Raziq dan para tenteranya. Hanya diri dia berseorangan bersama seorang hamba sahaja yang berada di situ.

"Engkau siapa." Soal tentera Ruh al-Haqq dengan kasar.

"Aku ialah Khalid, Khalid bin Maslamah. Keturunan Bani Hasyim dari Mekah yang merupakan keluarga Rasulullah SAW. Benarkan aku masuk berjumpa dengan ketua kalian."

Tanpa berfikir panjang, tentera itu membenarkan Khalid untuk masuk dan bertemu dengan Raziq.

"Ah! Seorang lagi yang mengaku sebagai keturunan yang mulia ya."

"Assalamualaikum."

"Engkau tidak semulia aku. Aku tidak ingin menjawab salam darimu." Raziq dengan angkuhnya memalingkan mukanya dari melihat wajah Khalid.

Pintu hatinya telah tertutup rapat, sedangkan orang-orang Madinah dan Mekah sangat ingin melihat wajah Khalid yang merupakan keturunan Rasulullah kerana ketampanannya yang memikat hati serta akhlaknya yang baik terhadap semua orang tidak mengira golongan usia.

"Memang aku tidak mulia. Bahkan aku hanyalah makhluk yang tidak berdaya kerana Allah yang lebih berkuasa. Namun, bukan kerana ini aku bertemu dengan kamu. Sahabatku, Anas dan Usamah. Bebaskan mereka, mereka tidak bersalah."

"Haha! Bebaskan mereka? Tidak! Mereka berlaku biadap terhadap aku. Akan aku seksa mereka sehingga tinggal nyawa-nyawa ikan."

Khalid sudah dapat mengagak apa yang akan dikatakan oleh Raziq. Oleh itu dia telah bersedia awal. Guni yang dibawa oleh hambanya diarahkan oleh Khalid untuk diletakkan di hadapan Raziq.

Kemudian tali ikat guni itu dilonggarkan dan isinya ditunjukkan kepada Raziq. Syiling-syiling emas yang banyak, berkilauan menarik perhatian Raziq.

"Bebaskan sahabat-sahabatku dan ambillah wang ini." Khalid menawarkan ganjaran ini kepada Raziq. Dia bukanlah orang biasa, Khalid juga merupakan seorang peniaga yang sering berdagang di bermacam-macam negeri dan daerah seperti Syam, Yaman bahkan di kota Mekah sendiri.

"Bagus! Inilah yang aku mahukan! Engkau memang sangat memahami orang seperti aku. Terima kasih! Pengawal, bebaskan keldai-keldai itu."

Tentera Ruh al-Haqq mengheret dua orang sahabat Khalid tanpa belas kasihan. Wajah mereka dipenuhi dengan lebam dan berdarah di tubuh badan mereka. Namun yang paling nampak teruk adalah Usamah. Belakang badannya dipenuhi dengan birat akibat dilibas dengan cambuk kulit binatang.

"Ya Allah... maula¹, dapatkan sahabatku dan papah dia untuk bangun." Khalid dengan segera mengarahkan hambanya untuk mendapatkan Anas dan Usamah.

"Terima kasih atas wang ini. Kali ini aku akan berbuat baik dengan engkau." Raziq berkata dengan nada yang penuh dengan ketamakan.

Khalid menggenggam kedua tangannya, hampir sahaja dia melayangkan tumbukan kepada Raziq. Namun dia sedar, kekuatannya tidak akan sama seperti tentera Ruh al-Haqq mahu pun Raziq sendiri.

"Raziq... masanya akan tiba. Demi Allah... demi Rasullullah moyangku, aku berpijak di bumi Madinah ini! Di bawah langit Allah yang aku junjung... kamu semua akan menerima pembalasan yang setimpal dengan apa yang kalian lakukan..."

Raziq tersenyum sinis, "haih... Aku ingatkan engkau ini lebih bijak berbanding sahabat engkau itu. Rupanya engkau juga termasuk dalam kalangan orang-orang yang bodoh ya.."

Raziq menghampiri Khalid, tangannya menyentuh lengan lelaki itu, "Dengar sini ya, sekali lagi... sekali lagi engkau hina aku... aku akan benar-benar mengorek jasad Nabi mu dan mengeluarkannya dari makamnya lalu dipersembahkan kepada penduduk Madinah..."

Raziq mengepal tangannya lalu melepaskan tumbukan di perut Khalid. Khalid terbatuk-batuk kerana menahan sakit, hampir dia terjatuh namun dipegang dan ditahan oleh Usamah dan Anas.

Usamah yang masih lagi lemah mencelah mempertahankan Khalid, "Aku bersumpah... engkau akan melutut memohon ampun kepada Rasulullah atas dosa yang telah engkau lakukan. Dan pada masa itu, kepala engkau akan dipenggal. Ingat pesan aku wahai Raziq... al-Fasiq!"

Lalu ketiga orang sahabat itu bersama hamba Khalid beredar dari situ. Meninggalkan Raziq yang sedang bergembira kerana harta dunia yang tidak akan bertahan lama.

(1175 Words)

(Sekali lagi saya cakap, ini hanyalah rekaan ya. Janganlah pula korang percaya dengan apa yang ditulis, ini hanyalah fiksyen untuk memberikan pengajaran kepada pembaca. Segala garis keturunan dan salasilah hanyalah rekaan ya ❤️)

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro