FH | أَرْبَعَةٌ وَأَرْبَعُوْنَ ٤٤
(Apa yang disebutkan hanyalah rekaan dan tidak benar-benar wujud)
25 Ramadan, 995 Masihi...
HAMPIR 2 bulan telah berlalu sejak mula-mula rumah Fawwaz telah dikepung. Pengepungan telah dibuat bermula dari awal bulan Rejab sehingga bulan Ramadan. Sudah hampir menghitung hari ke bulan Syawal.
Sejak kejadian Permaisuri Saffiyah menghantar makanan kepada Fawwaz, terus mereka menyekat sesiapa sahaja yang datang untuk mengunjungi Fawwaz. Mereka ingin bertindak lebih jauh, namun Fawwaz berdetik tidak mahukan sebarang kekecohan besar berlaku.
Kumpulan rakyat muda dan orang luar ini telah berkumpul untuk mengadakan perbincangan yang penting.
"Hamzah masih lagi tidak mahu menyerahkan jawatan khalifah kepada orang lain. Apakah yang patut kita lakukan seterusnya?"
"Kita teruskan pengepungan sehingga dia menyerah. Kita harus menghargai bantuan yang diberikan oleh sahabat-sahabat dari Basrah itu. Jika mereka tidak membantu kita, maka kita akan terus menerus ditipu oleh Hamzah."
Perbincangan mereka terhenti apabila salah seorang pemuda berlari mendapatkan mereka dengan wajah yang cemas, "Berita penting! Zubair... Zubair dalam perjalanan pulang dari Madinah!"
Mereka semua terkejut bukan kepalang, "Bagaimana pula dia boleh bergerak pulang? Sedangkan dia bersama Talhah dalam perjalanan mengerjakan haji di Mekah!"
"Talhah masih berada di Madinah, sedangkan Zubair dalam perjalanan pulang daripada sana. Kita akan berada dalam bahaya jika terus dibiarkan begini."
"Kita perlu mencari cara bagaimana hendak mempercepatkan Hamzah untuk melepaskan jawatan khalifahnya."
Pemimpin pengepungan itu tampak seperti berfikir, "Baiklah..."
❀❀
1 Syawal, 995 Masihi...
Hari lebaran disambut dengan sangat meriah oleh seisi penduduk Kota Al-Badriyah. Mereka pergi ke mengunjungi Masjid Agung Al-Raudhah untuk mengimarahkan masjid. Namun lain pula yang berlaku di rumah Amirul Mukminin...
Kawasan itu sunyi dan sepi, tidak ada sesiapa yang mendatangi kawasan tersebut. Hanya ada tentera pemberontak yang terlibat dalam dalam pengepungan itu sahaja, mereka memang tidak memberi peluang langsung untuk Fawwaz. Bahkan untuk solat sunat hari raya pun mereka tidak membenarkannya.
Rumah Fawwaz tidaklah sebesar mana, rumahnya terletak sedikit jauh dari kawasan rumah penduduk, namun tidak begitu jauh dari Telaga Jauhar. Rumahnya mempunyai satu tembok yang menghalangi rumahnya dengan kawasan luar. Tentera pemberontak diletakkan di kawasan berhampiran tembok tersebut.
Namun hari yang mulia itu sedikit berbeza, apabila ada yang mengunjungi rumah Fawwaz. Tembok pagar yang diperbuat dari lumpur yang dikeringkan bawah cahaya matahari itu diketuk pintunya.
Fawwaz memasang senyuman manis sebelum dia membuka pintu pagar.
"Assalamualaikum, Walid! Selamat hari raya!" terdapat 5 ke 8 orang kanak-kanak berada di situ. Mereka sangat ingin melawati Fawwaz kerana sudah lama tidak melihat lelaki itu di masjid.
"Anak-anak Walid!" Fawwaz memberikan mereka pelukan yang erat seorang demi seorang. Rindunya dia terhadap anak-anak itu hanya Tuhan sahaja yang tahu.
"Walid... mana Walid pergi? Kami sudah lama tidak melihat Walid bersolat di masjid, kami kekurangan teman bermain tahu?"
Fawwaz tergelak kecil, "Maafkan Walid kerana tidak dapat bersama dengan kamu semua. Walid... sibuk dengan beberapa urusan."
"Kami faham..." Kanak-kanak itu mengangguk dengan wajah yang polos, menyembuhkan luka di hati Fawwaz serta-merta.
Mereka dipelawa masuk dan diberikan layanan yang sangat istimewa seolah-olah mereka ialah anak kandung Fawwaz sendiri. Selama beberapa jam, kehadiran anak-anak itu sedikit sebanyak menghilangkan tekanan yang bersarang di hati.
"Walid... kami hendak beransur pulang dahulu."
"Sudah mahu pergi ya? Sekejap, Walid ingin memberikan kamu semua ganjaran kerana sudah berbaik hati ingin mengunjungi Walid. Tunggu ya!" Fawwaz membawa diri ke dalam kamar yang digunakan untuk menyimpan beberapa barang.
Sudah tiada apa lagi, Fawwaz sudah lama kehabisan wang. Matanya mencari-cari jika ada sesuatu yang boleh diberikan, kemudian dia terlihat sesuatu. Dengan senyum simpul dia mencapai bekas yang di dalamnya ada,
Kurma yang sudah tinggal sedikit untuk dirinya sendiri untuk beberapa hari. Tanpa berfikir panjang, dia mengeluarkan semua isinya.
"Baiklah anak-anak Walid! Beratur!" Fawwaz bersuara dengan nada yang ceria.
Seorang demi seorang diberikan kurma sebanyak dua biji. Setelah diberikan kurma, dipeluk seorang demi seorang anak-anak itu.
"Ingat pesan Walid ya, jadilah anak-anak yang baik dan taat kepada pemimpin... Walid sayang semua anak-anak Walid."
"Baiklah Walid! Kami akan ikut segala pesanan Walid. InshaAllah!"
Fawwaz menggosok kepala setiap seorang anak dengan penuh kasih dan sayang. Kemudian dicium ubun-ubun mereka dengan lembut.
'Alhamdulillah, terima kasih hadirkan mereka untukku Ya Allah.'
❀❀
Fawwaz menadah tangannya untuk berdoa setelah selesai mengerjakan solat Isya'.
"Bismillahirrahmanirrahim... Ya Allah, Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, dengan penuh kerendahan hati, aku datang menghadap-Mu, mengakui segala kelemahan dan kekhilafanku, memohon keampunan atas segala dosa yang telah aku lakukan... baik yang sengaja mahupun yang tidak aku sedari,
Ya Allah, selamatkanlah rakyatku, yang kini sedang dilanda kerisauan dan pemberontakan, berikanlah ketenangan di hati mereka. Hentikanlah api perpecahan dan sengketa yang membara agar kami dapat hidup dalam rahmat-Mu yang melimpah."
Tanpa disedari air mata berlinangan jatuh membasahi pipi, Fawwaz merasa dirinya sangatlah kerdil dan tidak berdaya.
"M-mereka... mereka telah membenciku kerana fitnah. Aku tidak meminta banyak... cuma aku berharap bahawa pelaku yang mula menyebarkan perkara ini dapat diketahui oleh rakyatku. Agar menjadi pengajaran buat mereka dan juga buat diriku sendiri Ya Allah..."
"Aamiin Ya Rabbal Alamin..."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro