Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

FH | سَبْعَةٌ ٧

(Apa yang disebutkan hanyalah rekaan dan tidak benar-benar wujud)

KHABAR angin mengenai kumpulan pemberontak Za'if Al-Mahdi tersebar luas di seluruh Kota Al-Badriyah dan juga kota lain negara Raudhah. Ada yang menentang dan tidak kurang juga yang menyokong kumpulan tersebut.

Kerana dirasakan bahawa kumpulan tersebut mengamalkan ajaran Islam yang lebih agung berbanding akidah Ahli Sunnah Waljamaah¹. Sedangkan mereka ini telah lama menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar dan tergolong sesat.

Bahkan fahaman Islam mereka ini juga pernah diharamkan sendiri oleh Sheikh Abdullah Al-Hakim yang merupakan Sheikh ul-Islam Kerajaan Nazariyah ketika itu. Dan malangnya pengharaman itu lenyap ketika Syeikh Abdullah bersara dari menjadi Sheik ul-Islam 7 tahu lalu.

Maka ada juga sebahagian rakyat negara Raudhah yang sesat dan menganuti fahaman Islam ini.

Sangat berbahaya.

Di istana khalifah, Fawwaz sedang mencari ilham bagaimana ingin melaksanakan rancangannya bersama Muaz dan Izzuddin. Rancangan telah dibentangkan, namun tidak dapat dilaksanakan lagi kerana satu kekangan.

"Bagaimana wahai Amirul Mukminin? Sudahkah mendapat ilham yang kamu inginkan." soal Muaz dengan perasaan risau.

Dia telah mendengar perkhabaran mengenai kumpulan itu yang semakin lama semakin kuat pengaruhnya. Terutamanya ketika Khalifah Nazeer turun dari jawatannya.

"Belum lagi, tiada orang yang sesuai untuk dijadikan perisik kerajaan." Fawwaz menyapu tangan ke seluruh muka. Hampir buntu memikirkan siapakah calon yang sesuai.

Rancangan Fawwaz ialah untuk menubuhkan jabatan risikan yang digelarkan sebagai Jihaz al-Istikhbarat². Bertujuan untuk menyiasat sesuatu perkara yang besar melibatkan negara dan pemerintahan secara bersembunyi.

Izzuddin senyum simpul, dia perlahan bangkit membawa cadangan, "Aku mempunyai satu cadangan kakandaku."

Fawwaz melirik ke arah adindanya, dengan penuh rasa percaya dia menantikan cadangan dari Izzuddin. Tidak perlu lagi dinilai sama ada boleh dipercayai ataupun tidak. Kerana Fawwaz tahu bahawa Izzuddin juga bijak dalam memikirkan cadangan.

"Kakanda, aku mempunyai seorang rakan yang mungkin handal dalam melakukan sesuatu penyamaran dan risikan. Apa kata kita mengambil dia sebagai ahli Jihaz al-Istikhbarat yang pertama?"

"Bagus cadangan kamu. Siapakah orangnya itu? InshaAllah kakanda akan mempertimbangkannya."

"Sahabat aku sendiri. Nanti akan aku bawa tuan yang empunya badan berjumpa dengan kamu wahai kakandaku." Izzuddin menunduk tanda hormat kepada sang khalifah sebelum dia meminta diri ingin ke suatu tempat lain.

Muaz melihat perbualan mereka, lantas bertanya kepada Fawwaz dengan senyuman ringkas, "Amirul Mukminin, bagaimana engkau begitu yakin dengan saudaramu itu?"

Fawwaz ketawa kecil, "Muaz...kamu, saya dan adinda saya itu sudah menjadi sahabat sedari kecil. Sudah tentulah kerana dia seorang yang bijak. Bagaimana, cukupkah jawapan itu?"

Muaz menggaru kepala yang tidak gatal sambil tersengih kerana malu. Lupa pula dia akan perkara itu, sudah tentulah kerana Izzuddin seorang yang bijak dan tegas dalam membuat keputusan.

Apalah!

❀❀

Sunyi dan gelap, itulah yang dapat digambarkan keadaan malam itu.

Sahra' al-Hurub³, padang pasir yang terletak di kawasan utara negara Raudhah, sunyi dan bebas dari kesibukan dan hiruk pikuk manusia.

Di tengah kesunyian dan kegelapan, dapat dilihat satu hamparan pasir berukuran 4 hasta⁴ bergerak dengan sendirinya. Hanya itulah satu-satunya yang permukaan yang bergerak.

Kemudian berdirilah satu figura dari permukaan pasir tersebut, tubuhnya tidak terlalu kekar dan tidaklah terlalu kurus. Bangkitnya dia dari permukaan pasir, jatuh berderaian butir pasir yang memenuhi serban, dan seluruh jubahnya yang berwarna hitam.

Matlamatnya hanyalah satu,

Untuk membunuh singa⁵ yang berdiri tidak beberapa jauh di hadapan. Bulu-bulu yang mengembang di bahagian kepala sang singa berterbangan ditiup angin malam. Tidak menyedari kehadiran figura lelaki di belakangnya yang ingin menerkam dan membunuhnya.

Tidak sampai 10 saat, pemuda itu berlari dengan pantas. Tangannya meraih senjata tajam berupa sebilah pisau belati yang mempunyai lengkung terselit di sabuk pinggang bahagian belakang.

Sinaran cahaya bulan memancar menyerlahkan lagi ketajaman pisau belati tersebut, dan sekilas!

Zass!

Darah merah yang dilihat gelap dan pekat mengalir membasahi permukaan pasir. Sekelip mata sahaja, darah memancut dari kawasan leher singa daripada badan menjadikan haiwan itu sebagai makhluk yang tidak lagi bernyawa.

"Hahaha! Hasil yang lumayan buat kali ke-5 pada malam ini," pemuda itu dengan gembira dan terujanya melapah kulit sang singa.

Tidak dilupakan juga dagingnya turut dipotong kepada beberapa bahagian sebelum disimpan ke dalam kulit unta sebelum dibungkus. Tujuannya untuk dijual kepada rakyat di pasar.

Ketika sedang leka melapah daging singa, muncul sebilah pedang dari belakang cuba menikamnya.

Ting!

Dielak tikaman tersebut tanpa melihat ke belakang. Dia sudah tahu mengenai kedatangan seseorang dari belakangnya hanya dengan mendengar derapan tapak kaki di atas pasir.

"Siapa engkau."

"Engkau memang pandai dalam mengesan seseorang. Masih lagi tidak berubah engkau, wahai Zubair." Izzuddin menyimpan semula pedang yang dihunus sambil ketawa kecil.

Itulah dia nama pemuda tersebut,

Zubair Hilmi Al-Amin...

(824 Words)

Istilah

Ahli Sunnah Waljamaah¹ - Kumpulan majoriti umat Islam yang memahami dan berpegang pada Al-Quran dan As-Sunnah menerusi para sahabat dan tabi'in serta tabi' tabi'in dalam prinsip aqidah, syariah dan akhlak.

Jihaz al-Istikhbarat² - bermaksud "jabatan perisikan" dalam bahasa Arab.

Sahra' al-Hurub³ - "Padang Pasir Peperangan" dalam bahasa Arab.

4 hasta⁴ - bersamaan dengan sekurang-kurangnya 178 Sentimeter (Cm) tinggi manusia.

Singa⁵ - merujuk kepada singa Asia (Panthera leo persica). Kawasan seperti Iraq, Syria, dan Semenanjung Arab pernah menjadi habitat singa ini.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro