Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

27 Tahnik


Rasulullah ﷺ bersabda mahfhumnya,
“Nanti akan datang kepada kamu seseorang bernama Uwais bin ‘Amir bersama serombongan pasukan dari Yaman. Dia berasal dari Murad, dari Qaran. Dia menghidap penyakit kulit, kemudian dia sembuh daripadanya kecuali sebesar satu dirham. Dia memiliki seorang ibu dan sangat berbakti kepadanya. Sekiranya dia bersumpah kepada Allah, maka akan diperkenankan yang dia pinta. Jika kamu mampu agar dia memohon pada Allah keampunan bagimu, maka lakukanlah.”

Riwayat Muslim (2542)

Salah satu sahabat Nabi Muhammad ﷺ yang hidup di zaman Nabi tetapi tidak pernah bersemuka dengan Baginda (Tabi'in) bernama Uwais Amir Al-Qarni. Uwais seorang pemuda yang begitu zuhud semasa hayatnya. Sosok lelaki ini terkenal namanya di langit bahkan dikagumi penduduk langit berasbabkan perilaku mulia.

Uwais memiliki seorang ibu yang buta dan lumpuh. Namun itu sedikit pun tidaklah membuat Uwais berasa kesal saat mengurus ibunya. Malah dengan senang hati pemuda ini mengurus sang ibu seorang diri dan merelakan zaman remajanya dihabiskan buat berbakti pada insan yang telah melahirkannya. Dua beranak ini hanya hidup berdua. Disebabkan kepentingan untuk menjaga sang ibu, Uwais juga terpaksa melupakan hasrat tuk bertemu dengan Nabi Muhammad ﷺ.

Pernah suatu ketika, hampir kepada hujung riwayat sang ibu, ibunya meminta untuk menunaikan haji pada Uwais. Mulianya pemuda ini, sanggup digendong sang ibu di atas belakang,  dari Yaman hingga ke Makkah dengan hanya berjalan kaki. Sebelum tiba hari perjalanan membopong ibunya untuk menunaikan haji, Uwais sudah berlatih kekuatan segala otot sepanjang hari yakni dengan menggendong seekor unta. Mudahlah ia memasuki syurga, keredhaan bonda sentiasa berada bersama.

Secebis kisah di sebalik nama seorang bayi lelaki yang sihat tubuh badan. Begitu kuat menyusu siang dan malam hinggakan sekejap sahaja berat bertambah menghampiri 4kg. Putera sulung Mahfuz diam di tengah-tengah katil, barangkali sudah dihinggap mengantuk. Dalam masa sehari, hanya sekitar tiga jam sahaja bayi itu mencelikkan mata bulatnya. Lebihan 21 jam pula digunakan untuk beradu bertemankan kembung perut dengan susu ibu. Wajah memerah beransur pulih sendiri. Di dunia, tak seperti di alam rahim. Jauh sungguh bezanya. Dalam kantung rahim, terasa hangat sahaja. Namun, di dunia pula sekejap sejuk sekejap panas berpeluh. Si kecil ini masih belum biasa akan keadaan sekeliling.

Lelehan air liur bercampur susu tirih melalui hujung bibir kecilnya. Mata terpejam celik melihat wajah Fatihah yang begitu dekat. Satu tepukan pada sisi badan seakan-akan mahu melenakan si Uwais. Lama kelamaan, terkatup rapatlah kelopak mata sang pewaris mata hazel tiga keturunan.

Fatihah tersenyum kecil. Kening anak lelakinya diletakkan celak berwarna hitam pekat. Dihirup bau badan bayinya, lalu tersimpullah senyuman. Sakit pada tempat peranakan sudah beransur sembuh. Setiap malam sebelum tidur, ummi akan menyuruhnya meminum air rebusan akar kayu buat mengetatkan rahim kembali kepada sedia kala. Walaupun rasanya tidak enak, diminum saja tanpa banyak soal.

Gadis itu bingkas berdiri. Sepersalinan jubah hitam yang tersangkut pada almari baju dicapai. Dia menyarungkan tangan kanan disusuli tangan kiri dengan suatu jubah hitam. Terbiasa memakai baju dua lapis sebegini. Dalamnya tshirt dan kain, luar pula sepersalinan abaya yang terkadang ada sulaman di hujung lengan. Fatihah perlahan-lahan berlabuh di birai dan mengambil selendang hitam pula. Dia berlamaan di bilik tadi kerana mahu menyusukan Uwais hingga kekenyangan sebelum majlis tahnik sebentar sahaja lagi. Sementara Mahfuz sedang berwuduk di kamar mandi, sempatlah Fatihah mempersiapkan diri.

Tetamu khas pada hari itu dikatakan sedang dalam perjalanan untuk ke rumah pengajian Balawi.

"Sayang dah siap?" Menitis air wuduk dari rahang lelaki itu. Jambangnya menumbuh nipis dah sudah dielokkan agar tampak kemas.

"Dah, abang," jawab Fatihah. Perjalanan hidup Mahfuz yang begitu asing perlahan-lahan diselami Fatihah sejak mengikat ijab kabul. Tak biasa bertemu orang alim, namun ke sana ke mari Mahfuz membawanya bertemu asatizah yang begitu terpuji dan tinggi ilmu. Bayi sulung mereka akan dibawa kepada seorang sahabat walid buat ditahnikkan yang mana tetamu ini juga orang alim dan soleh. Setiap hari, gadis itu tidak henti belajar suatu perkara baharu di samping Mahfuz.

"Lama tak cakap arab ni... Habislah abang tersasul..." gumam Mahfuz tika melilit kain serban pada kopiahnya.

Fatihah tersenyum kecil. Dilihat sahaja tingkah sang suami yang leka di hadapan sebilah cermin panjang. "Abang tak malu ke bawa perempuan macam saya jumpa kawan-kawan walid?" Fatihah terdetik perkara itu. Susur jalur ketururnan kawan walid semuanya mulia. Dia ini pula hanyalah gadis stesen minyak yang yatim piatu.

Tiada balasan Mahfuz. Barangkali Mahfuz tidak mendengar soalannya. Hati Fatihah membungkam kesedihan. Wajah dipalingkan melihat tubuh berisi Uwais di tengah-tengah katil. Perkara kecil sebegini pun boleh menggoreskan hati gadis berpantang itu.

Sudah siap dengan pakaian baharu, wajah pula tiada serinya.

"Hensem tak abang?" Mahfuz menoleh ke belakang. Dia yang berjubah putih menghampiri Fatihah sambil meletakkan suatu haruman pada nadi pergelangan tangan. Fatihah kekal menyepi di birai katil, hujung jari runcingnya sedang mengusap ubun-ubun Uwais.

Botol minyak wangi itu disentuhkan pada pucuk hidung Fatihah. Gadis kesayangannya sedikit tersentak daripada lamunan. Harum wangi semerbak di sekeliling wajah lalu Fatihah mendongak sedikit.

"Apa lagi yang mengganggu hati Fatihah?" soal Mahfuz lembut. "Ada sakit di mana-mana?"

"Tak ada..." Fatihah menggeleng.

"Abang dengar soalan Fatihah tadi... Buat apa abang nak malu bawa Fatihah? Fatihah kan isteri abang... pakaian abang... Mestilah abang akan bawa ke mana saja," kata Mahfuz.

Wajah mendung Fatihah ini tidak lagi terubat. Mahfuz mendaratkan punggung bersebelahan isterinya.

"Kita berasal dari tanah... hidup di atas tanah... akan pulang ke tanah. Maka kenapa perlu bersikap langit? Semua manusia sama sahaja. Abang pun diperbuat daripada tanah, Fatihah pun sama... Jangan bersedih, ya? Nanti abang akan berduka juga..." Bertaut pandangan mata, Fatihah memandang lama. Lama-lama senyuman kecil terkoyak di bibir Mahfuz diikuti si gadis manja itu.

Fatihah mengangguk faham. Pandai Mahfuz bermain mata hendak memujuk tanpa sebarang sentuhan. Dia pun tak mahu membatalkan wuduk Mahfuz.

Badan bayi mula didukung Fatihah. Pasangan suami isteri itu hendak ke rumah pengajian Balawi yang terletak di hujung simpang sana.

Tiba sahaja di ruang utama Balawi, banyak mata pelajar yang memandang dan cuba mencuri intai wajah anak Mahfuz dalam dakapan isterinya. Pasti anak didik Mahfuz juga hendak menggendong tubuh comel Uwais. Sayang sekali, Uwais tidak diizinkan didukung siapa-siapa lagi selain ahli keluarga kerana tulangnya masih lembut. Di pertengahan perjalanan hendak ke bahagian hadapan, Fatihah menyerahkan tubuh si kecil kepada Mahfuz. Langsung Uwais terjaga dan mencelikkan bebola mata hazelnya.

Fatihah beransur ke Puan Munirah juga di bahagian hadapan berdekatan tetamu istimewa hari itu. Gadis berabaya hitam berkenaan bersalaman dengan beberapa kaun muslimat, dikira itu isteri kepada sahabat-sahabat walid yang turut hadir ke majlis kecil-kecilan Uwais. Para pelajar Mahfuz pula diizinkan untuk turut serta, bergembiralah mereka dapat melihat wajah zuriat ustaz kesayangan.

Dalam dukungan Mahfuz, Uwais mengelipkan mata. Masih mengantuk. Wajah sucinya disapu dengan air zam-zam sedikit supaya segar.

Sebiji kurma Ajwa hitam dibuang biji dan dilenyekkan di suatu pinggan. Sedikit air zam-zam digaulkan bersama-sama sebelum cebisan kurma disapukan ke lelangit bayi berkenaan. Lidah merah Uwais dapat merasakan kemanisan kurma hitam itu. Bergerak-gerak bibir dikira sudah tiba waktu meminum susu lagi.

***

Derupan angin lebuh raya menerpa sisi pipi kiri dan kanan. Kayuhan selaju keinginan hati. Makin jauh dikayuh, hatinya terasa lega. Level dopamine melonjak naik memberikan kepuasan pada diri meskipun tidak melayan kemaksiatan minggu itu. Khairul lebih selesa menjalani kehidupan tanpa kemudaratan pada diri. Dia mendapati tubuhnya makin bertenaga berbanding bulan lepas. Tidur malam kian teratur, bangun subuh pun tidak menjadi satu masalah. Lama-kelamaan, diri hina itu mampu mengorak langkah mengejar kebahagiaan sendiri.

Mana-mana gadis rupawan tidak lagi dipandang Khairul. Dia punya hati yang terisi kasih pada anak sendiri. Beberapa gambar puteri kesayangan dihadiahkan Haji Daud kepadanya atas kesudian solat berjemaah bersama-sama. Orang tua itu memang suka bermain tarik tali dengan Khairul. Hingga kini pun, Khairul belum lagi diizinkan tuk menyentuh bayi perempuan bermata almond itu. Tak apalah, ditanam kesabaran dalam hati kelak berbuah juga hasilnya. Akur sahaja pada aturan Haji Daud itu. Hari ini diberikan nama si kecil, esok pula dihadiahkan gambar.

Khairul begitu yakin akan tiba saat yang mana dia mampu mengucup anak sendiri seperti bapa yang lain.

"Apa nama anak saya, pak cik?"  Sejadah pada tangan diletakkan ke atas meja kopi. Usai solat dengan tuan rumah, Khairul mahu menuntut janji kelmarin. Isteri Haji Daud meminta izin ke dalam untuk membancuhkan air minum.

Apakah gelaran buat puteri teristimewanya? Hati Khairul ternanti-nanti.

"Nama dia Zahra. Fatimah Azzahra binti Abdullah..." Puteri sulung Khairul tidak berbinkan ayah kandung, Alya melahirkannya tanpa suami yang sah.

Khairul sedikit tenang mendengar keindahan nama yang pantas buat si pipi merah itu.  "Boleh saya nak jumpa dia malam ni sekejap? Lima minit pun jadilah..." pinta lelaki itu. Dia ingin sentuh bayinya yang telah berusia sebulan lebih.
Dikhabarkan berat bayi Alya tika lahir hanyalah 2.2kg. Tubuhnya kecil, mahu digendong Khairul tidak lepas andai diberi peluang sekali.

"Belum lagi... Kau belum boleh sentuh cucu aku," halang Haji Daud yang berlabuh di sebuah kerusi kayu. Sedikit keras layanan dengan lelaki itu dek takut pisang berbuah dua kali. Setelah ditanyakan pada Alya tentang keterlanjuran dengan kekasih lama, Alya mensahihkan tanpa berdalih. Memang pun anak daranya sudah ditebuk oleh seorang lelaki durjana hingga mendatangkan penyakit kelamin sebelum dirogol pula si Khairul. Haji Daud sungguh terkesan dan khuatir untuk melepaskan amanah Alya kepada lelaki lain. Anak perempuannya telah banyak mengalami derita.

"Bila saya boleh jumpa puteri saya? Esok?"  soal Khairul. Dia jadi tidak sabar, malah teruja berpaut pada rindu. Lelaki itu tidak duduk melainkan diizinkan Haji Daud. Kekallah dia berdiri bak anak. murid yang diheret ke bilik disiplin tuk bertemu ketua warden.

"Anak aku tengah tidur dengan cucu aku. Kau tak boleh masuk bilik dia."

"Oh..." Ada benarnya, Alya dalam tempoh berpantang lagi. Darah nifas gadis itu mengalir dan masih dalam proses pemulihan. Khairul tidak mampu membantah akan arahan orang tua itu. Seorang ayah lebih mengetahui mana yang terbaik buat anak daranya meskipun Alya sudah ditebuk dua orang lelaki.

"Tapi aku boleh beri kau tengok beberapa  gambar bayi tu. Kau nak atau tak?" pelawa Haji Daud pula.

"Boleh, pak cik. Itu pun jadilah..." Khairul bersetuju sahaja.

"Duduklah."

Lelaki lewat 20-an itu segera berlabuh berhampiran Haji Daud. Matanya terpana pada skrin telefon pintar milik orang tua itu.

Hati dibaluti sebuah rasa aneh. Sebaknya hadir di kala rindu mencengkam perit. Tiba-tiba sahaja mata menjatuhkan mutiara. Tak dinafikan bahawa anaknya menghidap sindrom down, suatu penyakit lebihan chromosome yang akan mencacatkan segala tumbesaran. Redup mata almond si pipi merah itu tercelik memandang kamera.

"Doktor tak bagi Alya pegang anak dia buat dua tiga hari lepas lahir... Ada banyak sangat prosedur yang dijalankan sebab Zahra cacat jantungnya. Doktor kena pastikan dahulu keadaan Zahra... Alya pula tak henti menangis. Baru minggu ni Alya reda sedikit gelora emosi. Tambahan pula Alya kena bedah, badan dia tak kuat...Darah tinggi Alya naik dan kena tahan beberapa hari di wad padahal Alya tak pernah hidap penyakit darah tinggi. Mungkin sebab Alya terlalu tertekan... Dengan payu dara bengkak... Kau faham kan kenapa aku tak bagi kau bersua muka dengan Alya? Alya takut kau akan bawa lari bayi dia. Aku harap kau bersabar... Insya Allah, aku dan isteri aku akan pulihkan Alya... Buat masa ni kau datanglah selalu ke rumah aku biar Alya tak rasa terkejut kalau nanti tiba-tiba kau pegang bayi dia... Kalau niat kau betul-betul baik nak jaga anak dan cucu aku, aku juga akan sudikan Alya untuk bernikah dengan kau." Haji Daud tersenyum nipis melihat tangis pemuda di sebelahnya. Dia memegang bahu Khairul lalu berkata,"aku hantar gambar ni pada kau, ya? Buat peneman tidur malam ni..."

"Sekeping je?" Sudah beri betis, dah tentu ingin peha.

"Ya, sekeping sajalah. Kalau kau nak gambar lagi, kau kena datang rumah aku esok..." Sempat dijeling wajah Khairul. Jangan berharap bahawa hatinya mudah dilembutkan selagi mana hijrah Khairul belum mencukupi 40 hari 40 malam.

Khairul ketawa halus mendengar itu. Ada-ada saja syarat orang tua berkenaan dalam membuat rantaian ganjaran. Ternyata dia akan lebih menghargai segala pemberian dengan cara begini.

Tanpa sedar, terdapat lubang di permukaan jalan laluan yang tak disedari Khairul. Dia tak sempat mengelak lalu dihentak ke bumi oleh kelajuan kayuhan tadi. Lelaki itu memejamkan mata erat, menitis-nitis darah daripada lekukan tulang penumbuk. Jersi baju juga terkoyak di bahu dan menampakkan isi daging bercampur darah dan batu-batu kecil jalan tar. Basikal jenama Pinarello milik Khairul tersadai beberapa meter ke belakang. Dia lekas menanggalkan sarung tangannya untuk menilik kedalaman luka. Setelah itu, barulah pemuda berkenaan menguatkan diri untuk memeriksa keadaan basikal mahalnya.

"Papa teringatkan puteri sampai jatuh..." bisik Khairul sendiri. Basikal rangka hitam itu ditolak ke bahu jalan lalu dia terduduk kepenatan di atas rumput bumi. Luka tadi dibiarkan sahaja.

Senyuman nipis terbit di bibir tatkala mata disajikan jarak berbasikalnya pada petang itu. Rasa seronok hadir menjengah. Kepuasannya terbalas melalui ini biar pun mengalami sedikit kecelakaan.

***
votexkomen
***

Bahagianya Fatihah dan Mahfuz, Khairul je kena bersabar. hehe!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro