Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

14 Tahan Reman

Semalaman Mahfuz tidak melelapkan mata. Dia kekal duduk memeluk lutut di dinding dan termenung. Zikir menemani detik yang berlalu. Tindakan Khairul yang sebegini menandakan lelaki itu tidak bergurau. Apa yang ditutur pasti akan ditunaikan. Kes rogol ini bukan gurauan. Seorang anak dara sanggup dirogol syaitan itu buat memerangkap Mahfuz di lokap. Kemudian, Fatihah pula akan dihidu lelaki durjana itu.

Mahfuz menurunkan kelopak mata. Dada kirinya disentuh. Dia tidak tahu yang malam telah berganti siang. Waktu subuh berlalu begitu sahaja, tak siapa solat di sini. Persekitaran yang hancing dan menjijikkan yang terbentang tidak pantas buat menjadi tempat beribadah. Pandangan kosong dijatuhkan pada tirai besi.

Hatinya yakin Arif sedang melindungi keluarganya. Barangkali peguambela akan diusahakan. Sungguh dia terlalu banyak berhutang dengan segala budi Arif. Arif kawan yang baik, amat baik. Susah dan senang ditempuh bersama-sama selama persahabatan terjalin dari zaman hingusan lagi.

Polis penjaga lokap melangkah ke laluan antara sel dengan bawaan makanan. Mahfuz melihat sahaja pegawai itu yang diumpama sebagai warden penjara. Dia tidak punya selera. Tahanan reman yang lain sedang menikmati makanan percuma itu dengan lahap sekali. Mungkin di sini mereka tidak perlu gusar memikirkan lauk kais pagi. Mahfuz tahu ada yang bernasib kurang baik setelah terjebak dengan dunia dadah. Mereka dibuang keluarga dan menghadapi getir kehidupan berseorangan.

Hantaran makanan pagi dipandang sepi. Air mineral sahaja yang diambil lelaki itu. Langsung selera tidak ada dalam keadaan hancing dan tengik bau badan tahanan. Lagipun Mahfuz memang tidak boleh menikmati makanan dengan tenteram jika isterinya tiada di hadapan mata.

Mata hazelnya memerhatikan langkah seorang pegawai polis yang membelanya semalam. Mujurlah dia tidak dipaksa berbogel. Maruahnya sedang dipelihara Tuhan.

Pegawai polis itu berhenti benar-benar berdekatan pintu keluar sel.
Dia mencatat sesuatu ke dalam buku. Kemudian, kehadirannya ke pintu tirai besi diperhati warden tadi.

“Ustaz, sinilah,” panggil polis itu.

Mahfuz bangkit segera. Hatinya bertaut lega, dapat pun beredar dari tempat kotor itu. Gerangan polis berbudi itu tidak pun diketahui hinggalah dia memerhatikan tag nama yang tertera.

Hassan.

Nama yang indah maknanya iaitu baik. Mahfuz menghampiri polis itu tatkala pintu sel terbuka.

"Dah boleh keluar ke?" soal Mahfuz polos. Dia yang tidak tahu menahu prosedur tahanan hanya inginkan kebebasan segera. Inilah kali pertama dirasakan sekatan kebebasan, ternyata itulah nikmat yang selama ini lupa untuk disyukuri.

Hassan mengeluarkan gari besi daripada simpanan.  "Belum lagi, ustaz. Kita nak ke tempat lain dan sambung siasatan. Nanti ustaz tahulah."

Kedua-dua tangan dihulurkan Mahfuz memberi kerjasama. Namun, sebelah sahaja yang digari lalu dia diiring ke suatu ruangan di luar. Sehelai baju berwarna unggu diberikan buat menutup badannya yang terdedah semenjak semalam. Dia pun menyarungkan baju sebelum sebelah pergelangan tangan lagi tergari.

Warna ungu ini merujuk kepada banduan reman yang akan menjalani proses perbicaraan mahkamah. Selagi hukuman tidak diputuskan, kumpulan ini akan kekal direman kecuali jika diikat jamin.

Mahfuz mengunci mulut dan membuka mata. Dia menjadi pemerhati di sekeliling. Langkah Hassan diikutnya hingga ke kawasan luar balai. Di situ, satu pacuan telah menunggu Mahfuz. Di dalam perut kereta terdapat tiga orang pegawai polis berpakaian lengkap dan kemas. Salah seorang daripadanya barangkali berpangkat inspektor jika dilihat pada pangkat di bahu.

Hassan membawa Mahfuz ke pintu belakang yang mana di kerusi itu sudah terdapat seorang pegawai polis. Mahfuz diapit dengan tangan yang tergari di antara dua orang pegawai polis. Hassan kekal di sebelahnya. Ketat sungguh kawalan ini. Walaupun Mahfuz tahu dirinya tidak bersalah, namun situasi sebegini benar-benar meletakkan dia seperti perogol bersiri.

“Kita nak bawa ke mana tuan? Mahkamah atau pejabat daerah?” tanya anggota polis yang memandu kenderaan pada inspektor polis disebelahnya.

Mahfuz masih terpinga-pinga di belakang. Keningnya sedikit berkerut.

“Ke pejabat polis daerah. Majistret tak ada hari ni,” jawab inspektor tersebut mendatar.

"Kenapa nak ke pejabat polis daerah?" bisik Mahfuz pada Hassan.

"Sebab majistret tak ada. Jadi tak boleh bawah ustaz ke mahkamah hari ni... Ustaz akan dibawa ke pejabat polis daerah pula untuk permohonan tahan reman." Jawapan Hassan sedikit sebanyak memberikan Mahfuz gambaran situasinya. Dikira kebebasan itu semakin dekat, namun hakikatnya dia akan ditahan di sel kembali selepas pulang dari pejabat polis daerah.

"Oh." Mahfuz menundukkan pandangan. Baju ungu yang tersarung pada tubuh akan menemaninya hingga keesokan hari. Dia mula rindukan kedua-dua orang tuanya, ummi dan walid.

Tiba sahaja pejabat daerah, Mahfuz yang bergari dibawa masuk ke bangunan pejabat polis yang lebih besar.

“Nak mohon tahan reman tuan,” khabar  inspektor polis di sebelah pada seorang pegawai daerah.

“Atas kes apa?” tanya tuan pegawai daerah. Matanya tajam menilik Mahfuz atas dan bawah.

“Kes rogol.”

“Apa keterangan mangsa dan saksi?” soal polis itu lagi pada sang inspektor.

Inspektor polis itu kemudiannya membaca satu per satu laporan yang telah dibuat pada tanggal semalam.

“Saya Sabrina telah dirogol oleh seorang lelaki yang mengajak bertemu atas urusan kerja. Lelaki itu merogol saya dengan kejam tanpa mengira keadaan saya yang sedang haid di sebuah hotel berdekatan tempat yang dijanji temukan. Sebaik sahaja dia merogol, saya dihantar ke sebuah klinik untuk mendapatkan rawatan dengan keretanya. Saya pengsan di kaki lima klinik dan tidak sedarkan diri selama satu hari. Pihak klinik telah mengesahkan bahasa saya dirogol tapi tiada DNA perogol pada badan saya kerana saya telah dipaksa untuk menghapuskan segala bukti sebelum melangkah keluar hotel. Dia memeras ugut saya dengan kekerasan semata-mata untuk menghapuskan bukti.”

“Jadi inilah perogolnya?” Tuan pegawai daerah memandang ke arah inspektor yang memohon tahan reman ke atas Mahfuz.

Inspektor itu pun mengangguk. "Mangsa menyabitkan seorang ustaz sebagai suspek utama."

“Oh, ustaz... Berapa hari nak tahan reman ni? ”tanya tuan pegawai daerah.

“Tujuh hari tuan.”

Tersentak Mahfuz seketika. Tujuh hari itu suatu tempoh yang amat lama baginya. Sehari direman pun sudah mampu membuatkan dia gila memikirkan isteri di rumah, inikan pula seminggu.

Allahuakbar.

"Ya Allah, sepanjang ketiadaan aku di sisi Fatihah... Engkau lindungilah dia... Jauhkan dia daripada kejahatan manusia... Aku cintakan isteri aku, tapi aku tak mampu untuk pertahankan dia jika terjadinya bahaya. Aku hanya mampu berdoa kepada Engkau..." bisik hati Mahfuz. Keadaan menekan emosinya saat itu.

Dia kemudiannya dibawa semula ke balai setelah mendapat perintah reman daripada pegawai daerah. Setibanya di balai polis, Mahfuz sekali lagi dimasukkan ke sebuah bilik ketua inspektor. Inilah tempat di mana dia disoal siasat.

“Dah dapat tahanan reman tuan," lapor Hassan kepada inspektor polis.

“Sekarang ni kau diberi pilihan untuk mengaku atau tidak... Kalau kau berdegil, tahulah nasib kau hari ni,” ugut ketua inspektor. Senyuman sinisnya mahu menakutkan Mahfuz.

“Saya nak mengaku macam mana... Bukan saya yang rogol...” jawab Mahfuz. Semalam pun dia kekal mengulangi jawapan 'tidak tahu' hingga ke senja.

"Dah, bawa dia ke sana, " arah ketua inspektor kepada Hassan yang berada di sebelah Mahfuz.

Lelaki tidak bersalah itu terus dibawa ke sebuah bilik asing. Dikira, Mahfuz tidak pernah melangkah ke situ lagi. Sudah terdapat dua orang lelaki berbadan tegap menanti kehadirannya.

"Kenapa susah sangat nak mengaku ni?" kata pegawai polis itu.

"Sebab bukan saya yang buat. Penjenayah yang sebenar tengah merayap dekat luar," ujar Mahfuz.

Tidak semena-mena satu penyepak hinggap pada tulang betis kanan. Mahfuz mengetap bibir menahan kesakitan.

"Berdiri elok-elok," sergah anggota polis yang menyepaknya tanpa secebis perasaan simpati.

Dengan kaki yang lebam, Mahfuz meluruskan posisi badan. Dia ditanya soalan yang sama bertubi-hubi. Herdikan dan tengkingan menggertak hati. Kasar layanan mereka seolah-olah hendak memaksa Mahfuz mengaku kesalahan yang tidak pernah dilakukan.

Sejam lamanya lelaki itu menghadap anggota polis berkenaan. Tangannya tergari dan dikawal Hassan. Mujur saja Hassan ada di situ menemani. Jika tidak, pasti ada penyepak yang melayang lagi oleh dua pegawai itu.

Akhirnya, mereka berhenti bertanyakan jenayah rogol itu. Mahfuz sedikit lega. Sakit juga telinganya menerima tempikan.

Hendak berikan apa-apa pengakuan pun dia tidak mampu. Siapakah mangsa bernama Sabrina itu? Mahfuz tidak pernah bergemu dengan gadis yang telah dirogol Khairul.

Sekembalinya Mahfuz ke lokap, tempat berdekatan tirai besi dipilih. Kaki seluar disinsing hingga ke lutut buat dia memeriksa bekas sepakan kuat tadi.

Membiru kesannya, ternyata sudah lebam.

“Dia buat apa dekat abang?” ramah mulut seorang tahanan. Remaja itu datang dan berlabuh di sebelah Mahfuz.

"Kena soal siasat lagi," balas Mahfuz. Bibir terlekuk hambar.

"Abang kena tangkap sebab apa?" Remaja itu menyoal.

"Kes rogol. Abang kena tahan petang semalam... Atas tuduhan fitnah. Ya, tapi mereka takkan percaya apa yang abang cakap. Abang memang tak tahu menahu tentang ni... Buang masa je nak gertak bazirkan tenaga," sayu Mahfuz. Kedua-dua lutut dirapatkan sedikit ke badan.

"Itu... Kena sepak?" Mata tahanan itu memandang sebelah betis Mahfuz yang terdedah.

"Ya..."

"Esok akan jadi lagi teruk kalau abang tak mengaku. Lebih baik abang mengaku je. Sekurang-kurangnya, abang takkan kena belasah teruk nanti," pesannya.

"Abang tak pernah sentuh mana-mana perempuan kecuali isteri abang," nafi Mahfuz. Ikutlah apa pun yang bakal terjadi, mulutnya akan terus menyatakan perkara haq dan batil.

***

Fatihah berdiri di hadapan cermin bilik. Pantulan imej seorang gadis ayu dalam sepersalinan telekung putih ditatap lama. Dia hampir tidak percaya ini rupanya yang mahu berhijrah.

Senyuman itu tidak lama.

Dia tidak pandai solat dan mengambil wuduk. Punggung pun berlabuh di birai katil. Buntu barangkali.

"Ya Allah... Dari mana aku patut mula?" bisik Fatihah.

Sesaat dua termenung, bunyi notifikasi telefon pula sedang masuk. Dia terbaring di tengah-tengah katil dengan telekung baharunya. Sanggup mengikat perut dan mengutamakan yang itu.

Apabila terbukanya peti perbualan, seorang lelaki sedang menghantar imej. Gambar tidak senonoh itu terpampang luas pada skrin.

Fatihah menelan liur kesat. Cepat-cepat telefon itu diletak ke tepi. Sudah dikata hijrahnya sukar. Di mata orang lain, Fatihah tak ubah seperti gadis murahan pemuas nafsu.

Telekung itu dicabutnya segera lalu dicampakkan ke tepi.

Gadis itu melinangkan air mata apabila dapat merasakan alat sulitnya berair. Ransangan gambar tadi memberikannya impak dan menaikkan syahwatnya. Tidak pasti air mazi atau mani yang terkeluar. Fatihah tak mahu ambil tahu.

"Fatihah, kau kena lawan," ujarnya sendiri. Tak mahu tewas ke dalam lembah maksiat. Dia berkeras buat berdiri dan menghala ke bilik air.

Kepala paip dipulas lalu pancuran air jernih mengenai hujung kaki. Ekor mata melirik kain telekung yang dicampakkannya tadi.

Usai sahaja berthaharah dan mengambil wuduk yang dikiranya mencukupi, dia mengutip telekung putih itu. Fatihah tahu sahaja dia buat semberono, rukun wuduk pun tunggang langgang. Namun niatnya ikhlas mahu wajah dibasahi air wuduk. Dia terduduk di atas lantai bersandarkan tiang katil.

Hujung jemari kesejukan apabila senaskhah yassin dipegang.

Menitis-nitis air mata mencium buku yang terkandung ayat suci itu. Sungguh mulut munggilnya tidak mampu membacakan ayat Al-Quran.

Huruf 'ya' dan 'sin' dilihat sahaja. Kalaulah Tuhan membukakan jalan, akan dilalu tanpa menoleh ke belakang lagi. Deritanya dalam kehidupan lalu terlampau sakit. Seronok itu memang seronok, namun selama mana keseronokan akan bertahan?

Masih merangkak pada setiap kalimah AlQuran. Mereka yang fasih mampu menghabiskan satu surah yassin dalam kadar tempoh setengah jam. Namun, tidak buat dirinya.

Fatihah bersimpuh di atas sejadah kesayangan Mahfuz. Kata Mahfuz, corak sulaman kain baldu itu ditempah khas dari Madinah. Ia diinspirasikan daripada sejadah yang terbentang di Masjid Nabawi.

Ayat terakhir bacaan surah Yassin meniti di bibir. Tidak sedar masa berlalu dengan pantas sekali. Seharian suntuk Fatihah berkurung di dalam bilik dan tidak melakukan apa-apa. Puan Munirah pun menyuruhnya berehat. Suasana rumah sungguh senyap seperti tanah perkuburan. Mereka sekeluarga jadi tidak lalu makan. Tanpa Mahfuz di situ, segalanya tidak lengkap.

Kulit naskhah yassin dikatup Fatihah. Hanya yang bodoh sahaja akan memikirkan tentang kemaksiatan di saat suami terhumban ke dalam penjara. Sebolehnya dia mahu detik-detik ini digunakan sebaik mungkin untuk beribadah. Fatihah mahu Allah memakbulkan doanya terhadap Mahfuz, insan yang telah banyak membimbing atas jalan ketaatan ini. Dia luluh tanpa lelaki itu di sisi.

Baru minggu kedua bergelar isteri kepada Mahfuz, bermacam dugaan telah terjadi. Bunga cinta yang hendak mekar tersepit di celahan duri.

Gadis itu mendekati rak buku berdekatan dan meletakkan naskhah yassin. Susunan hadiah Mahfuz tempoh hari ditatapnya lama.

Kitab-kitab itu warnanya merah jambu. Penuh dengan panduan seorang muslimah. Tempoh hari, Fatihah sengaja menyelak kitab Dunya Ibu. Impian mahu mempunyai zuriat bersama lelaki kesayangannya hadir semenjak kebelakangan ini. Dia harus cepat mengkhatamkan pengajian kitab adab perempuan. Nanti, dapatlah pelajari adab menjaga kandungan pula walaupun mereka baru pernah sekali  mencampuri.

Tok tok

Bahu Fatihah sedikit terhinjut. Lamunannya pecah.

"Fatihah, Arif dan walid dah balik," khabar ummi. "Jomlah ke ruang tamu."

Fatihah menangguk faham. Kain telekung tidak ditanggalkan. Dia selesa dalam persalinan itu. Hatinya sedikit tenang dengan banyaknya masa di luangkan buat beribadat.

Terkadang Fatihah menoleh ke wajah Puan Munirah, mahu memastikan bonda Mahfuz baik-baik sahaja. Sofa tiga serangkai menjadi hentian langkah. Wajah serius Arif dan walid seperti tiada khabar gembira.

Dia selaku menantu dalam rumah itu memohon izin ingin ke dapur sebentar. Air hendak dibancuh buat walid dan Arif.

"Fatihah, Mahfuz kirim salam." Ayat Arif memberhentikan tingkah Fatihah.

Belum sempat bangkit, gadis itu terduduk di sisi ummi. Matanya yang berkaca memandang sahabat Mahfuz itu. Nafas hangat bermain di sekitar wajah pucatnya. Lihatlah betapa dia lemah dengan patah nama suami.

"Dia kena tahan reman buat beberapa hari sebab hari ni majistret tak ada. Malam ni Mahfuz akan bermalam di lokap lagi," sambung Arif.

***
votexkomen
***

sabarlah, nanti kan ada pelangi buatmu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro