Bab 8
BANTAL sofa itu dihempaskan ke sebelah Ezran. Dengan laju dia mengelak ke tepi. Kepala masih tertunduk-tunduk apabila dimarahi. Muka berkerut menahan bebelan Datin Shima. Bingit. Rasa macam nak sumbat kapas dalam telinga tapi apakan daya, dia yang melakukan kesalahan, tidak mahu tidak terpaksa juga menadah telinga mendengar kata-kata maknya.
"Abang ni dah gila ke huh?! Kalau tak ada perempuan tadi tu, mak tak tahulah apa akan jadi dekat abang! Kamu buat mak risau tahu tak?! Ni! Tengok muka ni! Sampai lebam macam orang baru masuk gusti! Kenapa? Nak masuk gusti betul-betul ke? Kalau nak meh mak daftar masuk sekarang!"
"Tak nak..."
"Ha, tahu pun tak nak!"
Ezran mencebir bibir. Tangan tak henti duduk diam. Asyik mencarik-carik hujung baju dengan muka bersalah. Tatkala Dato' Hanif sudah memicit kepala duduk di sofa sebelah. Nak masuk campur, tapi risau pula dia sekali terjebak kena marah.
Sesekali anak mata melirik ke jam di dinding. Hampir pukul 11 malam. Sepatutnya rumah ini sunyi kerana semua orang sedang tidur. Tapi hari ini, lain sedikit.
"Apa? Abang ingat nak cari isteri ni macam cari ikan dekat pasar? Main beli aje ikut suka hati? Kalau diri abang sendiri pun, abang tak boleh nak jaga. Macam mana nak jaga anak orang?!"
Ezran hanya diam tidak membalas apa-apa.
Sedangkan Dato' Hanif mengeluh. Tangan dijatuhkan dari memicit kepala.
"Sudahlah tu, Shima... dia tu dahlah sakit sebab kena pukul. Lepastu kamu pula marah dia? Sampai bila nak habis?" Sampuk Dato' Hanif. Kasihan pula melihat anaknya yang terpaksa menahan bebelan daripada isterinya.
"Abang diam ek. Ini urusan saya dengan Ezran. Dia ni dah melampau sekarang! Dah berani keluar rumah tanpa izin!" Herdik Datin Shima.
Dato Hanif terdiam. Kan dah kata tadi, bakal kena marah juga.
"Ezran tahu tak kenapa mak tak pernah bagi Ezran keluar dari rumah ni sorang-sorang? Sebab Ezran tak pandai langsung nak berdikari! Tengoklah. Baru sehari keluar apa dah jadi?"
"Tapi ni bukan salah abang..." rungut Ezran. Dia melangut kepala memandang wajah tegang Datin Shima.
"Menjawab!"
Ezran tunduk kepala.
"Apa yang ada dekat fikiran abang pasal isteri ni huh? Sampai sanggup buat kerja gila macam ni? Abang dah ada mak, dah ada ayah... apalagi yang tak cukup? Nak kata kasih sayang kurang, Ezranlah yang mak dengan ayah paling manjakan dalam rumah ni!" Bentak Datin Shima. Turun naik nafasnya.
Memang. Memang semuanya cukup bagi Datin Shima. Tapi bukan dia. Dia Juga manusia biasa. Ada hati, perasaan dan keinginan sendiri. Dan Ezran pasti, Datin Shima dan Dato' Hanif takkan pernah faham...
"Cuba cakap dengan mak? Apa yang abang terfikir sampai nak sangat ada isteri? Cakap!"
"Sebab abang..."
"Abang apa?!" Datin Shima mencekak pinggang. Sudah sedia memasang telinga mendengar penjelasan dari anaknya.
"Sebab abang mula terfikir kalau mak dengan ayah tak ada nanti, macam mana abang nak berdikari." Balas Ezran. Perlahan. Namun cukup untuk Dato' Hanif dan Datin Shima menangkapnya.
Mereka terdiam. Saling berpandangan antara satu sama lain. Jawapan Ezran buatkan mereka turut sama terfikir, apa yang akan jadi jika mereka tiada suatu hari nanti. Maka timbul rasa bersalah dihati. Namun apa yang mereka lakukan sekarang bukan atas kemahuan sendiri. Mereka cuma bimbang jika Ezran tidak mampu melakukan tanggungjawab dengan sempurna.
Apatah lagi hendak mendapatkan seorang isteri yang ikhlas dan sabar dizaman sekarang? Ia terlalu mustahil untuk Ezran.
"Sekurang-kurangnya bila Mak dengan ayah dah tak ada, abang ada isteri. Dia boleh sayang abang pula. Dan sampai bila mak dengan ayah nak Kurung Ezran dalam rumah ni? Abang pun nak keluar, abang pun nak kenal dengan dunia luar sana..."
"Abang..."
"Setiap kali abang tengok Zahrin keluar. Mak dengan ayah langsung tak pernah halang dia. Mak selalu percayakan dia, tapi mak tahu ke apa yang abang Zahrin buat dekat luar sana? Hanya sebab dia tak bodoh macam Ezran, dia pandai jaga diri lebih dari Ezran, mak dengan ayah terus percayakan dia seratus peratus? Macam tu?"
Dato Hanif menggeleng kepala menafikannya. Dia tidak mahu Ezran salah faham. Lantas, Dato' Hanif bangun dari duduk di atas sofa. Memandang Ezran yang daripada tadi tunduk melihat ke lantai.
"Ezran... mak dengan ayah, tak pernah anggap Ezran bodoh. Kalau Ezran macam tu, Ezran takkan mampu buka kelas tusyen setiap petang. Tapi kami cuma risaukan Ezran, kami takut Ezran tak mampu tunaikan tanggungjawab seberat itu. Dunia perkahwinan dan cinta ni tak seindah yang kita lihat dalam televisyen. Lagi perit, lagi banyak ujiannya yang tak semua orang mampu untuk bertahan." Ujar Dato' Hanif.
Datin Shima angguk kepala tanda setuju.
"Betul. Dan kalau suatu hari nanti Ezran dapat isteri yang tak reti menghargai cinta Ezran macam mana? Apa yang mak dengan ayah boleh buat masa tu? Hanya Ezran sahaja yang boleh keputusan sendiri. Kami sebagai mak bapak dah tak boleh nak masuk campur."
"Jadi bila mak dengan ayah boleh percayakan Ezran untuk pegang tanggungjawab tu?" Soal Ezran. Dia kembali mendongak kepala memandang kedua orang tuanya.
Mereka diam. Tidak punya jawapan.
Perlahan-lahan kepala Ezran mengangguk. Baiklah, dia faham. Mereka takkan pernah meletakkan kepercayaan terhadapnya. Lantas, Ezran bangun dari sofa. Beg galas yang berada di sebelah dipeluknya.
"Baiklah. Ezran takkan minta untuk kahwin lagi. Mungkin mak dengan ayah lebih tahu apa yang terbaik. Ezran nak masuk tidur dulu..."
"Abang..." Datin Shima ingin menghalang Ezran daripada pergi. Namun Dato' Hanif terlebih dahulu menarik lengannya kembali berundur ke belakang. Kepala digeleng. Sekarang bukan masa yang sesuai untuk memujuk Ezran.
Datin Shima mengeluh berat. Hanya mampu melihat Ezran yang melangkah naik ke tingkat atas. Jelas riak wajahnya penuh kecewa.
"Bagi dia masa untuk tenangkan fikiran." Kata Dato' Hanif.
HARI berganti pagi, bijiran coklat dituang ke dalam satu mangkuk sebelum air susu di masukkan bersama. Mangkuk diangkat. Sambil melangkah menuju ke arah meja makan, sebelah tangan mengacau air susu di dalam mangkuk itu.
"Aliya! Mari turun makan. Sarapan. Dah lambat ni! Kejap lagi nak pergi tadika pula." Jerit Eva. Mangkuk itu diletakkan ke atas meja.
Dia memusing ke belakang, melihat ke arah tangga. Aliya sedang melangkah turun dengan ceria. Siap lompat-lompat lagi. Entah apalah yang menggembirakan dia di pagi hari ini.
Tergeleng-geleng kepala Eva. Ada-ada sahaja budak kecil ini.
"Cepat, makan." Arah Eva. Kemudian, melangkah ke arah dapur kembali. Menyimpan balang berisi bijirin dan kotak susu itu ke tempat asal.
Beg Dora diletakkan ke kerusi sebelah. Dengan berhati-hati Aliya memanjat kerusi untuk dia melabuh punggung. Mangkuk makanan itu ditarik mendekat, mula menjamah.
"Mama..." Panggil Aliya meletet.
"Apa dia?" Soal Eva tanpa menoleh. Dia membuka peti ais, mengambil jus oren yang berada di dalam sebelum ditutup semula.
"Agak-agaknya abang Ezran tu tengah buat apa ya?" Sengaja Aliya buat-buat tanya.
Bahkan kening Eva berkerut.
"Ezran? Ezran mana pula ni? Sejak bila Liya ada kawan lelaki?"
"Ish, abang Ezran yang semalam tulah. Takkan mama dah lupa kut?" Aliya mendengus. Cepat betul mama lupa pasal dia!
Eva mencebir bibir sambil menjongket bahu. Entah. Dia rasa tiada yang penting pun untuk ingat nama lelaki itu. Lagipun, kenapa Aliya perlu tanya tentang lelaki itu kepadanya?
"Kenapa tanya pasal lelaki tu? Mama bukannya isteri dia pun nak tahu semua benda yang dia tengah buat sekarang."
"Isteri?" Bersinar mata Aliya apabila mendengar perkataan itu. Inilah peluang keemasan yang dia ada!
"Betul jugakan? Mama bukan isteri dia. Macam mana mama nak tahu dia tengah buat apa, kan?"
Eva anggukkan sahaja kepala.
"Abang Ezran pun mesti tak tahu mama tengah buat apa. Sebab dia bukan suami mama."
"Apa yang Liya cuba nak cakap ni? Mama bukan isteri Ezran, Ezran bukan suami mama... peninglah." Kata Eva. Dia kembali melangkah ke arah meja makan bersama segelas air oren ditangan. Kerusi yang berada di hadapan Aliya ditarik lalu melabuh punggung di situ.
Aliya tersenyum menyeringai.
"Jadi, kalau mama dengan abang Ezran nak tahu perbuatan antara satu sama lain. Kena kahwinlahkan?" Soal Aliya.
Mata Eva terus mengecil.
"Apa benda Aliya merepek ni? Aliya tu kecil lagi tau. Sepatutnya tak cakap pasal topik kahwin ni semua."
"Aliya dah selalu sangat dibesarkan dengan soalan bila mama nak kahwin, sebab itulah Aliya bercakap pasal kahwin." Balas Aliya. Petah menjawab sungguh!
Eva sekadar menjeling. Ingatkan orang dewasa sahaja yang akan tanya bila nak kahwin, rupa-rupanya budak kecil pun ada? Heh, budak zaman sekarang ni baru tadika dah tahu macam-macam benda.
Eva geleng kepala. Malas hendak melayan. Dia mencapai gelas air oren itu lalu diteguk.
"Tapi abang Ezran tu kacak jugakan? Sesuai dengan mama. Mama garang. Abang Ezran tu baik."
PAP!
Gelas air oren itu dihentak ke atas meja. Membuatkan bahu Aliya sedikit terhinjut akibat terkejut. Langsung Eva bangun dari tempat duduk.
"Berhenti cakap pasal lelaki tu. Mama tak nak dengar nama dia lagi. Faham?" Kata Eva, memberi amaran. Dia kemudian melangkah ke arah tangga. Ingin menyiapkan diri sebelum bertolak ke tempat kerja. Namun, langkahnya terhenti apabila loceng rumah tiba-tiba sahaja berbunyi.
Lantas Eva mematikan hasratnya menuju ke tingkat atas. Malah beralih turun semula menuju ke arah pintu utama.
Tombol pintu dipulas lalu ditarik. Jelas figura Alif tercongok di hadapan mata.
"Kenapa Alif?"
"Saya lupa nak bagitau Cik Eva semalam. Telefon lelaki tu tertinggal dalam kereta. Saya baru sedar masa kita dah sampai rumah." Katanya, sambil menunjukkan telefon canggih milik Ezran yang tertinggal malam semalam.
Eva mengeluh kecil. Baru sekejap tadi dia kata tidak mahu ada kena mengena dengan lelaki itu, tahu-tahu ada lagi yang datang menyebut tentangnya. Dari jauh Eva dapat menangkap gelak tawa halus dari belakang. Kening berkerut.
Langsung dia memusing ke belakang melihat kearah meja makan. Cepat-cepat Aliya tunduk ke bawah. Menyuap bijiran coklat itu masuk ke dalam mulut.
"Macam mana ni Cik Eva? Nak saya pulangkan ke?" Soal Alif.
"Tak perlu. Biar saya sendiri pulangkan telefon dia." Ujar Eva. Telefon yang berada ditangan Alif terus dirampas. Dia mempunyai rancangan yang lain.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro