Bab 7
“TERIMA kasih ya." Ucap Eva setelah membuat pembayaran di kaunter. Ubat sapu yang dibeli dibawa menuju ke arah Ezran dan Aliya yang duduk di tempat menunggu. Mujurlah doktor kata tiada luka yang parah. Cuma disapu sedikit ubat penghapus kuman, dan ditampal plaster pada bahagian yang terluka. Malah doktor juga memberi ubat sapu untuk kegunaan malam sebelum tidur. Katanya untuk bagi luka itu rawat dengan lebih cepat.
"Nah. Jangan lupa sapu dekat luka setiap malam." Kata Eva, menyerahkan plastik ubat itu kepada Ezran tanpa berpaling memandang wajahnya.
Lambat-lambat Ezran mencapai. Isi di dalam dilihat sekejap. Kemudian dia melangut kepala memandang Eva semula.
"Terima kasih." Ucap Ezran.
Eva tidak membalas apa-apa. Dia memandang Aliya yang duduk di sebelah.
"Mama dah tolong diakan? Jom, balik." Kata Eva, langsung menarik tangan anaknya mengekor dia menuju ke luar pintu hospital.
Tatkala Ezran pula sudah terkulat-kulat apabila ditinggalkan seorang diri ditempat menunggu. Dia pandang sekeliling. Orang-orang disitu hanya sibuk dengan hal mereka. Cepat-cepat dia bangun dari kerusi, mengejar langkah wanita itu yang semakin jauh daripadanya.
"Awak! Awak tunggu kejap!" Halang Ezran. Terus berdiri di hadapan pintu, menghalang Eva dan Aliya daripada pergi.
Langkah mereka terhenti.
"Apalagi yang awak nak?" Soal Eva agak dingin.
"Takkan awak nak tinggalkan saya dekat sini? Sorang-sorang?" Soal Ezran.
Eva mengeluh kecil. Sebab itu sahaja Ezran kejar dia tadi? Sebelah tangan sudah naik memicit kepala.
"Dekat luar sana ada teksi. Naiklah teksi tu. Takkan itu pun awak nak saya ajar?" Balas Eva acuh tak acuh. Malas hendak melayan, dia kembali menyambung langkah ingin pergi. Kini, dia gunakan laluan di sebelah kiri. Namun Ezran lebih laju bertindak menghalang jalan. Turut bergerak ke sebelah kiri.
Eva mengatup mata sesaat. Betul-betul menguji kesabaran sungguh!
"Sa... Saya tak ingat alamat rumah saya. Macam mana saya nak naik teksi? Lagipun, saya takut kalau balik dalam keadaan macam ni. Nanti mak saya mesti marah. Dia ingat saya bergaduh..."
"Habis awak ingat saya tahu ke rumah awak dekat mana?" Soal Eva kembali.
Ezran terdiam. Ya tak ya jugakan? Kalau dia sendiri pun tak tahu alamat rumah, apatah lagi Eva yang baru sahaja mengenalinya? Habis, takkanlah dia harus tercongok dekat sini sampai esok pagi?
Masing-masing diam tidak mengeluarkan suara. Memikirkan cara.
Eva mengeluh lagi.
"Awak ada telefon?" Soal Eva. Serius.
Ezran angguk kepala. Laju. Lekas dia membawa beg galasnya ke hadapan, mengeluarkan telefon canggih yang dibawa bersama sebelum diserahkan pada Eva.
Tangan Aliya dilepaskan sekejap. Matanya dijatuhkan ke skrin telefon yang bercahaya. 15 miss call? Telefon pula dalam silent mood. Memang takkan dengarlah jawabnya. Tergeleng-geleng kepala Eva saat ini.
Nak hubungi semula nombor yang menelefon itupun, tiada kredit yang mencukupi. Eva mengeluh lagi.
Tiada cara lain nampaknya.
Lantas Eva kembali mengangkat muka.
"Alif!" Panggil Eva. Sedikit menjerit. Tidak sampai beberapa saat, muncul figura seorang lelaki berpakaian serba hitam menuju ke arahnya. Pemandu peribadi.
"Tolong jejak alamat nombor telefon ni, boleh?" Soal Eva, menyerahkan telefon canggih itu kepada Alif. Dia memang pakar dalam bab itu.
Kepala lelaki itu mengangguk.
"Boleh, Cik Eva."
"Pergilah hidupkan enjin kereta. Kita pergi ke tempat tu. Hantar lelaki ni."
"Baik, Cik Eva." Dia menurut. Tanpa menunggu lama, kaki terus bergerak pergi keluar daripada hospital itu.
"Cepatlah. Saya hantar awak balik." Kata Eva, masih dingin. Tangan Aliya kembali digapai.
"Betul ke ni?" Soal Ezran seolah-olah tidak percaya.
"Dah tu? Apalagi yang saya boleh buat? Kalau tidak sampai hujung bulan pun awak masih halang jalan saya. Saya tak ada pilihan lain." Balas Eva, sinis. Dia kembali menyambung langkah yang tergendala tadi. Bahu Ezran dilanggarnya begitu saja. Siapa suruh berdiri tengah-tengah jalan?
"Yes!"
Ezran tersengih menyeringai. Ada juga yang sudi menolongnya. Tanpa membuang masa, dia pun mengekor Eva dari belakang.
“TOLONGLAH, encik polis. Anak saya tu bukannya pandai sangat. Dia tu memandai aje yang tahu pun! Saya dah risau sangat ni. Sampai sekarang dia tak balik-balik lagi!" Luah Datin Shima, berjurai-jurai air mata mengalir penuh kerisauan. Hatinya daripada tadi rasa tak tenteram. Entah apalah yang terjadi kepada Ezran diluar sana.
Daripada pagi sampailah ke malam, mereka mencari Ezran di seluruh Mall yang ada di bandar ini. Siap tayang lagi muka Ezran kepada orang awam, bertanya jika ada nampak atau tidak? Namun semuanya menggeleng.
Maka Dato'Hanif membuat keputusan untuk kembali berbincang dirumah. Menghubungi pihak polis untuk membantu mereka.
"Sabar, Datin... mungkin dia pergi jalan-jalan? Kalau dalam masa 24 jam anak datin masih belum pulang. Datin boleh buat report polis di balai." Kata Polis itu.
"Apa pula tunggu 24 jam? Macam mana kalau dalam masa 24 jam tu anak saya dah kena culik? Orang bawa dia pergi Thailand?! Tolonglah, polis... pergi cari dia sekarang."
"Kita tunggu lagi sekejap, Datin. Saya pasti dia akan balik semula."
"Maaflah mencelah, Encik. Tapi anak kami tu dia istimewa sedikit. Dia takkan ingat jalan pulang kalau dah keluar." Celah Dato' Hanif.
"Betul tu! Anak saya tu, saya suruh pergi beli barang dekat kedai runcit depan sana pun dia dah tak ingat jalan balik. Apatah lagi kalau dah keluar sampai ke bandar? Bang! Abang tolonglah pujuk polis ni cari anak saya, bang... hati saya tak sedap daripada tadi tahu tak?" Luah Datin Shima.
Dato' Hanif hanya mendiam. Tak mampu berkata apa-apa. Ditarik bahu isterinya rapat. Digosok-gosok lengan itu agar kembali bertenang.
"Sabar, Shima... Insyaallah, Ezran tak apa-apa." Pujuk Dato' Hanif.
Suasana menjadi sepi buat seketika. Hanya tangisan kecil yang kedengaran dari bibir Datin Shima. Dia tidak dapat berhenti menangis. Selagi tidak nampak figura Ezran dihadapan mata, selagi itulah dia rasa tak tenang.
'Ya Tuhan, tolonglah bawa pulang Ezran dengan selamat. Hanya padaMu sahaja aku mampu berserah.' Bisiknya di dalam hati. Penuh Pasrah.
"Assalamualaikum." Sampuk satu suara wanita, mengalihkan perhatian mereka.
Buat seketika Dato Hanif dan Datin Shima saling berpandangan. Kening mereka sama berkerut sebelum kembali memandang ke arah wanita berpakaian dress hitam itu. Cantik orangnya.
Anak siapa tu?
"Ini rumah Encik Ezran ke?" Soal Eva. Dia melangkah melepasi pagar rumah. Lebih dekat.
Dengan pantas Datin Shima mengangguk kepala. Air mata terus dikesat menggunakan belakang tangan.
"Ya! Ini rumah dia!" Balas Datin Shima.
Eva angguk kepala. Nampaknya dia tak silap rumah. Kemudian, perlahan kepala menoleh ke belakang, memandang ke arah kereta Bentley yang terparkir di hadapan rumah.
Datin Shima dan Dato' Hanif turut memerhatikan ke tempat yang sama. Jantung kembali berdegup dengan laju. Seolah-olah bakal ada kejutan yang keluar menyambut mereka.
Perlahan-lahan pintu penumpang dibahagian belakang itu dibuka. Seorang budak kecil keluar daripada situ. Sedang memujuk seseorang untuk keluar daripada perut kereta.
"Cepatlah keluar. Kitakan dah sampai?"pujuk Aliya.
"Takutlah..."
"Tak apa. Aliyakan ada."
Takut-takut Ezran menjenguk kepala, apabila memastikan semuanya selamat barulah dia keluar dari perut kereta itu. Beg galas dipeluk, kepala menunduk menikus seperti seorang pesalah. Takut untuk bertentangan mata dengan maknya.
"Ya Allah! Anak aku!" Terus kedua-dua belah tangan naik menutup mulut yang terlopong. Terkejut. Serupa tak percaya bahawa Ezran berada di hadapan matanya sekarang.
Tapi... kenapa badan Ezran penuh lebam dan luka? Mata terus mengecil. Riak wajah terus bertukar singa.
"Bertuah punya budak!!!" Tak tunggu lama, Datin Shima terus berlari ke arah Ezran. Siap ditarik-tarik lagi pergelangan bajunya sampai ke siku. Bersedia untuk memberi cubitan terhangat yang dia ada.
"Awak! Tolong saya awak!" Terus Ezran berlari ke arah Eva. Takut bakal dicubit, bahu Eva ditarik agar berdiri di hadapannya sebagai pelindung.
Mata Eva membulat terkejut. Apa yang sudah jadi ni? Dia pun turut sama terpusing-pusing apabila Ezran menarik bahunya. Menyorok di belakang.
"Sini kamu, Ezran! Oh, dah berani pegang anak dara orang pulak ya?! Nak kena betul kamu ni!" Makin geram pula Datin Shima dibuatnya. Dia cuba menarik baju Ezran daripada berselindung di belakang wanita tak dikenali itu. Malang sekali Ezran lebih laju melarikan diri. Ditarik Eva sama-sama mengikutnya berpusing.
Dah macam permainan musang dan ayam. Dimana musangnya ialah Datin Shima, manakala ibu ayam pula Eva dan anak ayamnya Ezran.
Tergelak-gelak Aliya menonton adegan kejar-mengejar itu.
"Awak! Tolonglah terangkan dekat mak saya yang saya tak buat apa-apa pun! Mak saya lagi garang daripada lelaki tadi..." Adu Ezran.
"Lelaki mana yang kamu kata garang tu huh?! Kamu tahu tak mak sampai dah print gambar kamu nak tampal dekat sekitar kawasan ni!"
"Sabar, Datin... Sabar!" Eva cuba menghentikan tindakan Datin Shima. Kepalanya sudah terasa pening akibat terpusing-pusing daripada tadi. Selagi orang tua itu mengejar, selagi itu Ezran akan melarikan diri. Dia perlu hentikan permainan ini.
Tercungap-cungap nafas Datin Shima dibuatnya. Penat sungguh kejar si Ezran ni! Dia berhenti mengejar. Namun pandangan masih tajam mencerlung ke arah Ezran yang berdiri di belakang wanita itu. Siaplah budak tu nanti!
Eva menarik mengambil nafas buat beberapa saat sebelum memulakan cerita.
"Sebenarnya Ezran tak kemana-mana pun. Dia pergi ke Mall saya. Kebetulan waktu tu, saya dengan Aliya ke sana untuk beli buku. Tiba-tiba anak saya nampak Encik Ezran dah kena pukul dengan seorang lelaki..."
"Kena pukul?!" Mata Datin Shima terbeliak. Patutlah lebam satu badan!
"Iya. Tapi Datin janganlah marah dia. Dia tak buat salah pun. Lelaki yang pukul dia tu yang salah. Dia cuma tolong lapkan bibir budak yang tercomot kena aiskrim tapi orang lain salah faham. Dia ingat Encik Ezran cuba nak ambil kesempatan. Dan kami lambat sedikit balik sebab singgah ke hospital kejap untuk rawat luka dia." Terang Eva, panjang lebar.
Datin Shima mengetap bibir. Sejujurnya dia masih marahkan Ezran kerana keluar rumah tanpa izin. Tapi apabila mendengar cerita daripada wanita itu, timbul rasa bersalah pula hendak memarahi anaknya.
"Sorry, mak..." Rayu Ezran, perlahan.
"Apa sorry sorry huh? Kamu tengok kamu dah menyusahkan berapa orang sekarang ni? Pak cik polis ni tunggu kamu dari pukul 8 malam tadi tau! Kamu dah bazirkan masa dia. Nak kena tangkap dengan polis ke?"
Pantas Ezran gelang kepala. Tidak mahu.
"Dah tu? Kenapa buat perangai?! Haih, kamu ni Ezran... kalau sehari tak buat masalah, memang tak sah!" Herdik Datin Shima.
"Mak cik..." Panggil Aliya, meleret. Ditarik-tarik hujung baju Datin Shima agar menunduk melihat dia di bawah.
"Janganlah marah, abang Ezran... dia tak salah..." pujuk Aliya. Siap kelip-kelip mata lagi menayang muka comelnya. Manalah tahu hati panas Datin Shima boleh surut dengan kecomelannya.
Datin Shima mengetap bibir. Ish, comellah pulak budak ni! Tak jadi dia hendak mengamuk. Nafas dilepaskan kasar.
Baiklah. Dia takkan marah. Riak wajah kembali bertukar. Tenang tetapi serius.
"Fine! Ezran... masuk rumah sekarang. Kita bincang dekat dalam." Arah Datin Shima dengan suara mendatar. Jari menuding ke arah pintu masuk yang terbuka luas.
Ezran angguk kepala. Perlahan-lahan bahu Eva dilepaskan. Tanpa menunggu lama, dia pun melangkah menuju ke arah pintu masuk.
Datin Shima mengeluh kecil. Nasib baiklah tiada apa-apa yang teruk berlaku pada Ezran. Dia bersyukur sangat. Wajah wanita yang sedang memperbetulkan dressnya yang berkedut itu dipandang.
"Kamu ni... nama siapa?" Soal Datin Shima. Baru sekarang dia mempunyai kesempatan untuk bertanya.
Eva tersenyum mesra. Sebelah tangan dihulur ingin berjabat.
"Saya Eva Inaya. Panggil Eva sahaja." Ucap Eva, memperkenalkan diri. Lambat-lambat Datin Shima menyambut huluran itu.
"Eva Inaya?" Suara Dato' Hanif menyampuk. Dia melangkah mendekati mereka berdua. Rasa macam pernah dengar nama itu.
"Anak Tan Sri Khalid ke?" Tegur Dato' Hanif, cuba untuk meneka.
Kening Eva sedikit terangkat. Terkejut. Tidak sangka mereka kenal dengan ayahnya?
"Ya, saya anak Tan Sri Khalid. Macam mana Dato' tahu?"
"Tentulah saya tahu. Awak satu-satunya anak perempuan yang dia ada. Kaya tanpa bantuan dia. Payah nak cari anak muda yang macam itu. Berjaya tanpa pertolongan mak dengan ayah dia sendiri." Ujar Dato' Hanif, siap memuji lagi.
Tersenyum Eva mendengarnya.
"Anak kamu pun comel, Eva. Apa-apa pun, nama saya Datin Shima. Panggil auntie Shima je pun tak apa. Ini pula suami saya, Dato' Hanif Mustafa." Ujar Datin Shima, giliran dia pula untuk memperkenalkan diri.
Semerta riak wajah Eva berubah apabila mendengar nama yang disebut. Senyuman terus mati.
"Dato' apa?" Soal Eva. Mahu orang tua itu mengulanginya.
"Dato' Hanif."
Eva terkedu.
"Bye, esok jumpa lagi! Aku call kau balik nanti!" Tiba-tiba suara itu kedengaran ditelinga. Fikiran Eva terus melayang ke video jijik yang pernah dilihat dahulu. Suara itu, sama seperti perogol yang merakam video Iris semasa dia dirogol tanpa belas kasihan. Laju kepala Eva memusing ke belakang.
Melihat lelaki yang sedang melambai tangan ke arah pacuan empat roda yang berlalu pergi. Dan apabila lelaki itu turut memusing hendak masuk ke dalam halaman rumah. Lebih jelas wajahnya kelihatan.
Zahrin Noah...
Terus hatinya rasa dibakar. Amarah merasuk jiwa apabila video itu terbayang-bayang dimata. Kejam! Dia mahu bunuh lelaki itu kalau boleh!
Tanpa sedar kedua-dua belah tangannya sudah mengenal membentuk buku lima. Sedaya upaya cuba menahan perasaan amukan yang menggila di dalam badan.
"Kamu baru balik Zahrin? Tak sedar ke sekarang ni dah pukul berapa?!" Soal Dato' Hanif, garang.
"Alah, Rin bukannya perempuan kena balik ikut waktu. Ini apahal ada kereta polis bagai ni? Rumah kena rompak ke macam mana?" Soal Zahrin.
"Rompak apanya? Adik kamu tu keluar rumah tanpa izin tadi. Itupun mujur ada orang tolong bawa balik dia. Kamu tu sebagai abang pun bukannya nak tolong carikan Ezran tadi!" Herdik Datin Shima.
Hendak tergelak Zahrin mendengarnya. Ezran keluar rumah? Dah gila ke apa budak tu?
"Keluar rumah? Itulah mak... dia nak kahwin tapi mak degil tak nak bagi. Itu yang sampai dia cari sendiri. Dah tak tahan sangat kut nak tahan nafsu?"
"Hei, mulut kamu tu jaga sikit ya Zahrin! Jangan nak melampau sangat!" Tegur Datin Shima, geram.
Zahrin sekadar menjeling meluat. Apa? Salah ke apa yang dia cakap tadi? Ceh, dia menjuih bibir. Anak mata beralih pula melihat wanita yang diam berdiri di sebelah.Dipandang dari atas hingga ke bawah, cantik betul orangnya. Berbadan solik, kulit putih, bibir mungil. Rambut panjang beralun sampai ke paras pinggang. Bulu mata lentik. Solekan yang dikenakan nampak lebih menawan. Betul-betul menepati cita rasa yang dia mahukan pada seorang perempuan.
"Ini siapa pula? Tak pernah tengok pun? Takkan calon isteri untuk Ezran kut? Macam tak layak aje..."
"Kamu jangan nak merepek, Zahrin. Masuk rumah sekarang!" Dato' Hanif menegur.
Malah Zahrin abaikan sahaja. Dia melangkah mendekati Eva. Sebelah tangan dihulur ingin berkenalan.
"Hai. I'm Zahrin abang Ezran. You?"
"Saya minta diri dulu, Dato'. Datin. Jom, Aliya." Pamit Eva. Tanpa memandang wajah Zahrin, dia terus menarik tangan Aliya mengekornya pergi ke kereta. Sempat Aliya menoleh ke belakang melihat lelaki itu, tak tahu kenapa dia rasa ada satu perasaan aneh saat memandang mukanya. Hmmm, mungkin cuma mainan perasaan?
"Ceh, sombong..." sinis Zahrin. Malas hendak melayan, dia pun masuk ke dalam rumah. Menuju ke bilik tidur.
Tatkala Ezran pula masih berdiri di tepi pintu. Menjenguk dari sebalik pintu gelangsar, melihat ke arah Aliya dan Eva yang memasuki ke dalam perut kereta. Agaknya, mereka dapat berjumpa lagikah selepas ini?
"Bye, Aliya..."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro