Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 3

                  “BYE! Esok jangan lupa datang bawa buku sains!" Jerit Ezran sambil melambai-lambai tangan ke arah pelajar-pelajarnya yang sudah melangkah keluar dari pagar rumah.

"Baik, bang Ezran!" Sahut mereka serentak.

Setelah kelibat mereka berempat hilang dari pagar elektrik itu, Ezran pun kembali melangkah masuk ke dalam rumah. Kaki terus melencong ke arah tempat pembelajarannya tadi. Dikemas semula alat-alat yang telah digunakan, papan putih yang terconteng itu turut dipadam hingga bersih.

Selesai.

Dia mendongak memandang jam dinding. Dah tiba waktu makan.

"Mak, mak dah masak ke?" Soal Ezran, perutnya pun dah terasa lapar. Dia terus menuju ke dapur ingin melihat sama ada masakan sudah terhidang ataupun belum.

"Mak..." baru sahaja dia hendak memanggil Datin Shima, suaranya terhenti tatkala melihat wajah orang tuanya berubah masam mencuka. Dato' Hanif turut ada disitu. Mempamerkan riak yang sama. Adakala bapanya mengeluh. Berat sekali bunyinya. Lantas, dia mematikan niat untuk terus masuk ke dapur. Hanya berdiri di tepi dinding, cuba mendengar topik apa yang mereka berdua bualkan dari jauh.

"Saya kesiankan Ezran tu, bang. Tadi saya terdengar pelajar-pelajar dia tu semua tanya bila dia nak kahwin? Muka Ezran nampak berubah. Nampak sangat dia terasa dengan soalan diaorang..." Rungut Datin Shima.

"Habis awak nak saya buat apa? Carikan dia perempuan? Awak sedar tak perempuan-perempuan yang nakkan dia selama ni hanya kerana dia tu anak saya? Kalau dia tu anak orang biasa, tiada siapa pun sudi nak bersuamikan lelaki yang tak reti berdikari macam dia." Balas Dato'Hanif.

Tertunduk kepala Ezran apabila mendengar kata-kata itu. Perlahan sebelah tangan naik menyentuh dada. Entah mengapa, hatinya terasa seperti dihiris dengan pisau yang tajam. Pedih sekali. Kenapa? Kenapa dia perlu rasa perasaan seperti ini?

"Habis sampai bila dia nak hidup bujang,bang? Dia tu dah 27 tahun. Kalau Zahrin tu lainlah cerita, dia tu normal. Tahulah bila dia nak cari pasangan nanti. Tapi Ezran tu, keluar rumah pun bila dengan kita aje. Jumpa perempuan lagilah tak pernah."

"Habis awak nak dia jaga isteri dia nanti macam mana? Macam anak kucing? Jaga diri sendiri pun belum pandai lagi, apatah lagi nak jaga anak orang."

"Tapi kitakan dah janji dengan dia masa hari jadi dia minggu lepas? Abang tak ingat ke permintaan dia?"

"Tak semua permintaan perlu ditunaikan. Selagi dia tak pandai nak berdikari, selagi itu abang takkan benarkan dia kahwin. Biarlah dia hidup bujang sampai ke tua pun. Selagi kita masih hidup, kita boleh jaga dia. Dia tak perlukan orang lain." Ujar Dato' Hanif. Tegas bunyinya.

Melihat Dato Hanif yang sudah bangun dari kerusi, cepat-cepat Ezran berlari menuju ke ruang tamu. Alat kawalan jauh yang berada di atas meja, dicapai. Televisyen dibuka. Dia terus melompat baring ke atas sofa. Konon-konon sedang tumpu menonton rancangan kartun yang ditayangkan.

"Ha, Zahrin! Kamu nak ke mana pula hari ni? Tak sampai lima minit balik dah nak keluar semula?" Tegur Dato' Hanif saat melihat anak lelakinya yang sedang menuruni tangga dengan tergesa-gesa. Zahrin Noah namanya.

Dia tersengih-sengih sambil menggosok belakang kepala.

"Rin, nak keluar jumpa kawan kejap. Pukul 10 nanti Rin balik." Katanya.

"Kamu ni satu hal lagi. Tak habis-habis pergi keluar. Jangan selalu sangat bawa anak dara orang ke hulu ke hilir, tak elok!"

"Alah, Rin tahulah semua tu. Dah lambat ni. Pergi dulu ek. Bye, ayah!" Tanpa menyalami tangan orang tua itu terlebih dahulu, dia terus pergi begitu sahaja. Kelihatan kereta BMW berwarna hitam sudah terparkir di luar pagar rumahnya. Pasti kawan-kawannya sudah lama menunggu.

Sedangkan Ezran hanya mampu melihat dari sebalik cermin. Abangnya sudah masuk ke dalam perut kereta sebelum pacuan empat roda itu bergerak pergi. Bebas sungguh kehidupan Zahrin. Boleh pergi ke mana-mana sahaja yang dia mahu. Manakala dia pula? Jangan harap Datin Shima dan Dato'Hanif bakal benarkan.

"Bila agaknya aku dapat rasa semua tu?" Soal Ezran kepada dirinya sendiri. Perlahan. Dia mengeluh.











                        HARI berganti malam,  angin diluar agak sejuk. Adakala terdengar bunyi guruh berdentum, menandakan bakal turunnya air hujan sekejap lagi. Suasana bilik dibiarkan gelap. Hanya membiarkan cahaja lampu meja yang menerangi ruang kecil.

Eva cuba mengamati suasana seperti itu. Sunyi. Dan mula kedengaran setitik demi setitik air hujan turun mengena bumi. Bermula dengan perlahan akhirnya berubah deras. Biarpun bingit ditelinga, namun tenang dijiwa.

"Eva, look at this! So cute! Muka dia macam youlah!" kedengaran suara wanita dari rakaman video yang dipasangkan pada projector itu. Jelas terpapar wajah seorang wanita muda yang begitu cantik. Sedang memegang anak patung beruang gebu ditangan sambil digoyang-goyang ke arah Eva yang sedang merakam video waktu itu.

Dia masih ingat lagi. Video ini diambil beberapa tahun yang lepas, sewaktu mereka sama-sama bercuti diluar negara. Korea. Terlalu banyak memori yang tercipta pada waktu itu. Semuanya bahagia sehingga dia tidak dapat untuk lupakan satu pun.

"Comellah patung ni! I nak beli satulah. I nak hadiahkan untuk you. Janji jaga betul-betul ek! Dia terkoyak, siap you Eva!"

Tergelak Eva mendengar ugutan itu buat sekian kalinya. Biarpun bibirnya melepaskan tawa namun anak matanya jelas berkaca saat menatap wajah yang sangat dirindukan itu. Sekilas dia menoleh ke tepi, melihat ke arah katil. Patung beruang yang dibeli oleh Iris masih elok dijaga sampai sekarang.

Apabila ada bahagian yang terkoyak, dia akan jahit sehingga nampak sempurna.

"Okay, dah bayar! Nah! Namakan dia Coco okay? Jangan nak tukar-tukar!"

"Thank you, Iris."

"No. I yang patut ucap perkataan tu dekat you. Sebab you seorang sahaja yang sudi berkawan dengan minah gedik yang seorang ni. Janji jangan cari kawan lain tau. I love you so much!" Ucapnya sebelum dia menarik Eva ke dalam pelukan.

Video tamat.

Eva mengangguk kepala. Air mata yang tak dapat ditahan akhirnya perlahan mengalir ke pipi. Sebak mencengkam dada. Ayat itu amat bermakna buatnya sekarang. Malang sekali, ia takkan terdengar lagi.

"I love you too, Iris." ucap Eva. Biarpun dia sedar Iris tidak akan mendengarnya, namun cukuplah dia sendiri sahaja yang tahu bagaimana sayangnya dia kepada wanita itu sebagai sahabat baiknya.

Krekkk...

Pintu bilik kedengaran ditolak perlahan. Cepat-cepat Eva mengesat air matanya. Video ditutup. Kemudian, barulah dia memusing kerusi ke belakang memandang Aliya yang melangkah masuk ke dalam bilik.

"Aliya, kenapa tak tidur lagi?" Soal Eva. Sesekali dia mendongak melihat jam. Sepatutnya sekarang waktu Aliya dah tidur.

"Liya tak boleh tidurlah, mama." Adunnya.

Kening Eva berkerut. Mengapa pula tiba-tiba tidak boleh tidur? Langsung Eva mengangkat budak kecil itu duduk di atas ribanya. Rambut yang sedikit serabai itu dirapikan.

"Kenapa Liya tak boleh tidur? Hmm?"

"Liya teringatkan kata Naufal pagi tadi." Luahnya.

Eva terdiam sejenak.

"Kenapa kawan-kawan Liya yang lain semua ada ayah tapi Liya tak ada? Mak Iris tak pernah cakap ke kenapa Liya tak ada ayah?"

"Aliya..."

"Haritu, waktu hari sukan. Liya tengok semua lari dalam guni dengan ayah mereka. Lepastu mama diaorang akan tunggu dekat hujung garisan."

"Tapi bukan ke mama pun lari dengan Liya waktu tu?"

"Tapi tak ada siapa pun yang sambut kita waktu tu." Rungut Aliya.

Eva kematian kata. Matanya langsung tak berkelip. Terkedu.

Kemudian Aliya memusingkan sedikit tubuhnya, menatap wajah Eva penuh harapan.

"Mama tak nak ke bagi Aliya ayah? Aliya tak sukalah kawan-kawan dekat sana tanya mana Ayah Liya..." Adunya lagi.

Eva mengeluh sesaat.

"Aliya, ada atau tidak... itu semua tak penting. Tak semua ayah dalam dunia ni baik. Ayah tu cuma gelaran aje. Atok kan ada? Atok boleh jadi ayah Liya."

"Tapi Atok kata... mama yang tak nak bagi Liya ayah." Rungutnya.

Eva merengus perlahan.  Anak mata menjuling ke atas penuh menyampah. Mengapa papa perlu beritahu pada Aliya tentang perkara itu?

"Mama bukan tak nak bagi... tapi... mama tak nak Liya sengsara. Bukan ke kita dah bahagia sekarang? Kita tak perlukan mereka."

"Mama selalu kata kita bahagia. Tapi mama tak pernah tanya Liya bahagia ke tak selama ni bila selalu kena ejek..."

"Liya... kenapa cakap macam itu?"

Aliya tidak menjawab. Budak kecil itu terus turun dari pangkuannya. Tanpa memandang Eva, dia berjalan menuju ke pintu keluar. Separuh pintu ditarik, dia berhenti seketika.

"Liya cuma nak kita ada keluarga yang lengkap aje. Mama ada atok, ada nenek. Tapi Liya tak ada... Liya pun nak merasa  perasaan macam itu." Luah Aliya, bergetar suaranya serupa hendak menangis.

Eva mahu membuka mulut, namun budak kecil itu terlebih dahulu berlalu keluar dari biliknya. Pintu ditutup rapat. Dibiarkan bilik yang luas itu dihuni sepi. Membuatkan Eva termenung seketika memikirkan kata-kata anaknya.

Kejam sangatkah dia jika permintaan itu tidak ditunaikan?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro