Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 11

                      “KENAPA suka-suka hati buat keputusan sendiri? Kenapa tak tanya Eva dulu? Papa ni memang dari dulu tak pernah berubahkan? Suka atur hidup Eva!" Dingin Eva berkata-kata, pen dihentak kuat ke atas meja. Tidak jadi dia ingin menandatangani fail kerja itu. Stress! Langsung Eva bangkit dari kerusi, melangkah ke arah cermin besar yang menampakkan pemandangan bangunan pencakar langit di luar sana.

Tengok bangunan lagi sejuk hati, daripada lihat wajah Tan Sri Khalid yang hanya akan menghangatkan hatinya. Adakah patut papa pergi atur temu janji untuk dia? Kalau berkenaan dengan kerja tak apa juga, ini cinta!

"Kamu juga yang cakap dekat papa haritu, kan? Kalau papa jumpa calon yang sesuai, kamu akan terima. Tak ingat ke?" Balas Tan Sri Khalid, mengingatkan semula pada Eva tentang janji yang pernah ditaburkan dahulu.

Tatkala Eva menjuling anak mata ke atas penuh menyampah. Dia cakap begitu pun kerana malas hendak panjangkan cerita. Tapi lain pula yang jadi.

"Eva cakap macam tu supaya papa mengalah dengan semua ni. Kenapa ek?" Eva pusing ke belakang, memandang Tan Sri Khalid.

"Kenapa papa tak habis-habis nak Eva kahwin? Eva dah ada rumah sendiri, kerja sendiri dan semuanya. Eva tak perlukan suami!"

"Sebab Eva tu perempuan! Sampai masa kamu perlukan seseorang juga untuk jaga kamu, Eva. Sampai bila huh? Sampai bila kamu nak jadi macam ni? Jangan terlalu berlagak sombong sangat hanya kerana kamu ada segala-galanya. Kalau arwah Iris hidup pun, dia tak suka tengok perangai bongkak kamu yang sekarang!"

"Dan kalau arwah Iris masih hidup, dah sah-sah Eva takkan jadi macam ni!" Bentak Eva, kuat. Terus membuatkan orang tua itu terdiam. Turun naik nafasnya mengikut dada yang berombak. Amarahnya sudah tidak dapat ditahan lagi.

Sakit. Terlalu sakit apabila terkenangkan kembali peristiwa pahit itu.

"Papa cakap apa? Nak Eva kahwin supaya ada orang yang boleh jaga? Habis Iris tu? Dijaga atau dipergunakan?"

"Eva, boleh tak...sekali sahaja papa minta supaya jangan samakan semua lelaki dalam dunia ni berniat jahat! Cubalah fikir positif!"

"Fikir positif?" Eva menjuih bibir. Kepala tergeleng-geleng. Rasa hendak terbelahak dia mendengar permintaan Tan Sri Khalid itu. Terlalu lucu untuknya.

"Macam mana Eva nak fikir positif, kalau contoh pun dah ada depan mata?" Soal Eva, mengejek. Anak mata memandang Tan Sri Khalid penuh hina.

Semerta orang tua itu terkesima. Kata-kata Eva jelas menuju kepada dirinya. Pedih. Menusuk ke dada. Bahkan  dia juga manusia biasa yang pernah melakukan kesilapan sewaktu muda dahulu, tetapi semua itu telah pun berlalu. Malah dia pun telah menebus kesalahan itu kepada isterinya sendiri. Dengan berjanji untuk setia dan berubah ke arah yang lebih baik.

Dan syukur, isterinya memberi peluang kedua serta kemaafan.

"Papa pun lebih kurang aje. Cuma nasib papa baik sebab mama tu senang memaafkan. Tapi bukan Eva."

"Kenapa nak kena ungkit benda yang lama?"

"Sebab benda yang lama itulah yang tinggalkan parut dalam hati ni." Kata Eva dengan bibir terketap-ketap menahan geram. Sungguh, dia rasa hendak menjerit sahaja di hadapan muka orang tua itu. Melepaskan segala amarah yang ditahan, cukup masa akan meletop juga.

Langsung Eva berpaling ke lain. Makin lihat wajah papanya, makin rasa meluat.

Kepala Tan Sri Khalid terangguk-angguk. Tak sangka, begini Eva sekarang. Kalau dahulu dia seorang yang sangat menghormati ibu bapa, kini dialah yang merendah-rendahkan maruah mereka. Mungkin gelaran ayah itu, cuma berada di kaki Eva. Bila-bila masa sahaja bakal dipijak.

"Itu ajekan yang kamu mampu? Hina papa semata-mata tak nak kahwin..." Tan Sri Khalid bersuara penuh kecewa.

Eva tidak berpaling. Namun, telinganya masih mendengar. Sedangkan dalam hati turut merasakan kekecewaan yang sama kerana melemparkan kata-kata seperti itu.

"Kamu kena ingat Eva, apa yang kamu ada sekarang tak akan kekal lama. Perasaan ego, bongkak dan berlagak yang kamu tanamkan sekarang itulah yang akan merosakkan hidup kamu suatu hari nanti." Ujar Tan Sri Khalid.

Eva tidak membalas apa-apa. Hanya diam berpeluk tubuh.

"Sekarang, kamu asyik ingatkan orang tentang kisah silamnya yang dah ditinggalkan. Tapi jangan nanti, orang itu pula yang ingatkan kamu tentang kesilapan yang kamu dah buat. Dan baru waktu itu kamu akan tahu, tak semua benda yang dah lepas perlu dibangkitkan semula."

Teguran Tan Sri Khalid benar-benar menyentap hati Eva. Seolah-olah ada panah petir yang menyambar di hadapan mata. Bila-bila masa sahaja akan disambar.

Kemudian, Tan Sri Khalid melangkah mendekati meja kerja. Meletakkan satu kad disitu, khas untuk temu janji yang telah ditetapkan.

"Kalau kamu nak datang temu janji tu, datanglah. Kalau tak nak, buat aje ikut suka hati kamu. Cuma papa nak pesan, jangan asyik pentingkan diri. Fikir sama perasaan orang lain terutama sekali Aliya." Ujar Tan Sri Khalid, mengingatkan Eva kembali. Tanpa menunggu Eva menghalaunya, dia sendiri berlalu keluar daripada bilik itu. Meninggal wanita muda itu seorang diri. Memberikan privasi untuk dia berfikir semula.

Tatkala Eva masih tidak bersuara. Setelah kelibat Tan Sri Khalid menghilang, barulah dia memusing tubuh ke belakang. Melihat kad yang diletakkan di atas mejanya. Lama.













DISEBUAH kelab malam terkemuka di ibu kota, muzik rancak dimain menghidupkan suasana. Tidak kira lelaki mahupun perempuan, tanpa ada batasan menari mengikut rentak muzik yang merasuk jiwa. Sehinggakan lupa akan dunia yang cuma sementara. Ada yang menikmati minuman haram sampai mabuk. Dan mulalah kerja syaitan untuk menghasut mereka melakukan dosa-dosa yang lebih besar.

"Minum! Minum! Minum!" Sorak gadis-gadis yang ditempahnya. Melayani setiap jam dia berada disini. Ditemani dengan dua orang lagi rakan lelaki yang turut memiliki wanita murahannya sendiri.

Zahrin langsung menyahut cabaran. Menunjuk lagak hebat di hadapan wanita-wanita yang berada disitu. Meneguk air kencing syaitan buat entah kali ke berapa. Muka terus berkerut. Saat merasakan panas di bahagian tekak ketika dia menelannya.

"Hebat, Rin! Hebat!" Airil menepuk-nepuk tangan.

"Kau memang tak pernah nak mengaku kalah. Pantang dicabar sungguh. Sebagai hadiah, aku belanja kau malam ni. Cakap aje kau nak apa? Aku bagi." Kata Hadri yang berada di sebelah.

Tatkala bibir Zahrin tersenyum senget. Gelas kecil itu diletakkan ke atas meja sebelum kedua-dua belah tangannya bergerak menjalar ke belakang pinggang gadis-gadis yang berada di kiri dan kanannya.

"Betul ke kau boleh bagi apa aje yang aku nak?" Soal Zahrin, penuh mengejek.

Terjuih bibir Hadri mendengarnya.

"Engkau ni, cakap macam kita baru kenal sebulan pula. Macamlah aku tak pernah tunaikan apa-apa permintaan kau sebelum ni?"

Zahrin tersenyum sinis. Anak mata melilau ke segenap ruang yang dipenuhi manusia itu. Kemudian, berhenti di satu sudut bar kecil yang berada di penjuru sana. Ada seorang wanita yang sedang menikmati air seorang diri. Cantik. Maka mulalah jiwanya dirasuk nafsu.

Lantas berpaling memandang Hadri di sebelah.

"Macam biasa. Aku nak kau pujuk perempuan tu untuk aku. Boleh?" Soal Zahrin, sambil anak mata menunjuk-nunjuk ke arah wanita yang berada di bar itu. Cukup untuk Hadri faham akan niatnya.

Dan kemudian Hadri ketawa penuh sinis.

"Itu aje? Celah gigi aku ajelah nak dapatkan dia. Korang tunggu sini." Katanya, angkuh. Langsung dia bangkit menuju ke arah wanita itu. Memulakan rancangan nakalnya.

Tatkala kepala Airil tergeleng-geleng daripada tadi.

"Zahrin... Zahrin... kau ni memang tak pernah berubahkan? Tak ada benda lain yang kau minta selain perempuan. Tapi bila keluarga kau sebut pasal kahwin, kau pula yang menghilangkan diri dulu." Ujar Airil, sempat lagi mengutuk rakan sendiri. Air meminum syaitan yang berada di atas meja dicapai lalu diteguk.

"Eh, tentulah. Kahwin kut? Nak kena setia pada yang satu. Bosanlah! Kalau macam sekarang, aku boleh pilih aje mana perempuan yang aku nak. Bukan hadap isteri aku yang asyik duduk rumah aje. Kalau muka cantik tak apa juga, ini lepas kahwin tahu-tahu muka macam orang gaji." Sinis Zahrin tanpa rasa bersalah.

Tergelak Airil mendengarnya.

"Yang jadi muka macam orang gaji tu kalau dapat suami macam kau." Ejek Airil dengan nada bergurau.

"Apasal pula?"

"Yalah. Kau tu tahu melepak dengan kitaorang aje. Jarang duduk rumah. Kerja pun tak ada. Duit pun masih minta dekat mak ayah kau. Kalau kau ada isteri, alamatnya mati kering dia dekat rumah." Ujar Airil.

Zahrin menjuih bibir.

"Sebab itulah aku malas nak kahwin. Leceh! Semua benda nak harapkan suami." sinisnya. Malas hendak berbual tentang topik kahwin. Cukuplah Datin Shima dan Dato' Hanif sudah bertanya tentang soal itu berkali-kali. Kalau kahwin itu boleh menyebabkan dia kaya tak apa juga, ini makin menanggung beban!

"Kau ni lain betul dengan adik kau, kan?" Tegur Airil. Gelas minuman syaitan itu diletakkan semula ke atas meja.

"Kenapa?" Zahrin menyoal. Kening turut berkerut.

"Yalah. Abang dia masih nak menikmati hidup bujang, tapi dia pula kalau boleh nak kahwin cepat-cepat. Aku dengar cerita dia siap keluar rumah sebab nak buktikan dekat mak ayah kau yang dia boleh bawa balik seorang calon isteri." Ujar Airil. Itulah yang dia dengar daripada buah mulut orang yang membawa cerita kepadanya.

"Dia tu tak betul. Apa aje yang dia tahu tentang kahwin? Dia ingat kahwin ni macam main pondok-pondok masa kecil dulu. Silap hari bulan isteri sendiri lari rumah sebab tak tahan nak jaga dia."

"Kalau tak betul sekalipun, dia masih ada rasa nak pikul tanggungjawab. Mak aku bagitahu yang ayah kau siap aturkan temu janji untuk dia lagi.  Agak-agaknya perempuan macam mana yang dia akan dapat?"

"Adik aku tu, kau bagi mak cik kantin pun dia nak. Kau tengoklah masa temu janji nanti, mesti semua perempuan tak tahan dengan dia." Kutuk Zahrin.

Airil mendecik kecil. "Ceh! Yalah tu, jangan nanti dia dapat isteri cantik. Kau cuba nak sailang pula?"

"Tak hingin aku. Daripada aku rampas isteri dia, baik aku goda perempuan-perempuan dekat sini. Lagi cantik!" Kata Zahrin begitu berlagak. Langsung dia mengangkat gelas berisi air minuman syaitan itu bersama menuju ke arah gadis-gadis yang sedang menari di bawah cahaya lampu disco.

Airil sekadar menggeleng kepala dan ketawa. Zahrin... Zahrin...

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro