Bab 10
“EVA dah sampai office ke?" Soal Tan Sri Khalid, tatkala pekerja yang duduk kaunter pertanyaan itu menggeleng sebagai jawapan.
"Belum, Tan Sri." Katanya.
Sekejap Tan Sri Khalid menunduk melihat ke jam di pergelangan tangan. Buat pertama kali, Eva datang lambat ke Iris Hotel. Entah kemanalah dia pergi agaknya? Malas hendak berdiri lama, lantas Tan Sri Khalid pun membuat keputusan ingin pulang. Mungkin petang nanti dia akan kembali.
"Tan Sri Khalid!"
Langkah Tan Sri Khalid automatik terhenti apabila terdengar namanya diseru. Langsung kepala menoleh ke tepi, melihat seorang lelaki sebaya umur dengannya menghampiri. Pada mulanya dia tidak mengecam siapa nama siempunya suara itu. Namun bila diperhatikan lama-lama, barulah dia sedar itu adalah Dato' Hanif. Sahabat lamanya.
Terus bibir mengukir senyuman mesra. Dia juga bergerak menghampiri lelaki itu.
"Eh, Hanif! Lama sungguh tak nampak muka kau." Kata Tan Sri Khalid, mereka berjabat tangan buat seketika. Kemudian, terlerai.
"Tentulah. Sibuk dengan urusan kerja. Engkau pun dah nampak lain sekarang." Ujar Dato' Hanif. Sedangkan Tan Sri Khalid ketawa.
"Mana ada lain. Sama aje. Eh, jomlah kita duduk dekat situ. Boleh berbual sekejap." Ajak Tan Sri Khalid, alang-alang sudah berjumpa. Apa salahnya untuk meluangkan waktu bersama buat beberapa minit. Lantas mereka pun sama-sama menuju ke arah ruang menunggu yang tersedia di sana. Ada beberapa buah sofa dan meja yang diletakkan majalah untuk tetamu hotel duduk merehatkan diri.
"Apa kau buat dekat sini, Hanif?" Soal Tan Sri Khalid, tertanya-tanya.
"Aku ada perjumpaan dengan VVIP dari luar negara. Dia menginap di sini lima malam. Nak bincang pasal projek makanan luar negara untuk dibawa masuk ke Malaysia." Ujarnya.
Terangguk-angguk kepala Tan Sri Khalid mendengar.
"Oh, begitu..."
"Kau pula?" Giliran Dato Hanif pula yang menyoal.
"Aku nak jumpa anak aku. Eva. Sepatutnya dia dah datang tapi pekerja dia cakap belum sampai lagi. Entah pergi mana budak tu."
"Eva yang rambut panjang tu ke?"
"Haah. Kau pernah jumpa dia ke?"
Dato' Hanif mengangguk kepala.
"Baru semalam kami berjumpa. Anak perempuan kau tolong hantar anak aku si Ezran balik rumah. Risau sungguh aku dan isteri semalam, seharian dia menghilang. Hampir saja nak buat report polis. Tahu-tahu si Eva tu dah bawa dia ke rumah." Ujar Dato' Hanif, menceritakan apa yang berlaku malam semalam.
Spontan sepasang kening Tan Sri Khalid terangkat serupa tak percaya. Eva tolong hantarkan lelaki balik rumah? Memang sukar untuk terima dek akal. Anak perempuannya itu, jarang sekali akan tolong makhluk berjantina lelaki.
"Kau pasti ke anak aku yang hantar?" Soal Tan Sri Khalid, seakan-akan tidak percaya.
"Iya. Dia sendiri yang kenalkan nama dia Eva. Dan ada anak perempuan seorang. Comel budaknya."
Kalau ada anak perempuan, tak lain tak bukan memang Evalah jawabnya. Tak sangka, baik hati juga anak aku ni.
Tapi...
Kening Tan Sri Khalid kembali berkerut. Memikirkan cerita yang dia dengar tadi. Mengapa Eva perlu menghantar anak Dato' Hanif pulang ke rumah? Apa anaknya tak reti hendak pulang sendiri ke?
"Sekejap. Tadi kau cerita, Eva tolong hantar Ezran balik rumah. Seharian dia menghilang? Kenapa? Macam mana boleh jadi macam tu? Seingat aku, Ezran tu lagi tua dari Eva."
"Alahai kau ni, takkan kau dah lupa? Anak aku si Ezran tukan tak berapa sempurna. Dia kena demam panas masa kecil-kecil dulu."
"Ya tak ya, aku lupa pula... almaklumlah dah lama tak jumpa." Kata Tan Sri Khalid, siap tersengih sambil garu kepala. Malu.
Kemudian, Dato' Hanif mengeluh tatkala teringatkan tentang malam semalam. Timbul rasa serba-salah dihati. Riak wajah bertukar kesal. Dia sudah tidak tahu dengan siapa ingin meluah, mungkin Tan Sri Khalid adalah pendengar yang terbaik yang ada buat masa sekarang.
"Sebenarnya, Khalid. Anak aku hilang semalam sebab dia keluar rumah nak cari isteri. Waktu hari jadi dia minggu lepas, dia ada minta nak kahwin. Tapi aku dengan isteri ni pula yang ada rasa tak percaya kepada dia. Yalah, kau pun tahukan? Dunia perkahwinan ni bukannya macam kita main kahwin-kahwin masa kecik dahulu. Banyak ujian dan rintangan yang perlu kena tempuh."
Terangguk-angguk kepala Tan Sri Khalid, menyokong.
"Dan anak aku tu pula, bukannya macam lelaki lain. Dia istimewa. Aku takut kalau dia dapat isteri yang salah. Selepas itu dia tak tahu macam mana untuk uruskan rumahtangga tu. Tapi dalam masa yang sama, aku kesian tengok dia sorang-sorang. Tak ada tempat nak bermanja." Keluh Dato' Hanif.
"Aku faham. Kita sebagai bapa ni kalau boleh nak yang terbaik untuk anak. Tapi sampai bila kau nak biarkan Ezran macam tu? Sesekali kau kena juga biarkan dia pilih tujuan hidup dia sendiri. Kalau tak cuba, macam mana kita nak tahu anak kita tu mampu atau tidak?" Ujar Tan Sri Khalid, memberi seberapa nasihat yang dia mampu.
Dato' Hanif mengangguk kepala tanda faham. Memang tak dinafikan, apa yang Tan Sri Khalid katakan itu betul. Ezran sudah dewasa. Dia harus memilih jalan cerita hidupnya sendiri.
"Engkau kira bernasib baik, anak kau masih lagi nak kahwin. Nak beri cucu kepada kau. Anak aku pula? Jangan kata cucu, menantu pun dia tak nak bagi." Kutuk Tan Sri Khalid. Alah, bukannya Eva ada di sini pun.
Tatkala kening Dato' Hanif berkerut tidak berapa faham. "Kenapa pula?"
"Sejak kematian arwah kawan dia, terus si Eva tu bertukar watak. Dengan aku sekali dia pandang sebelah mata. Dia ingat semua lelaki dalam dunia ni merendahkan martabat wanita. Aku pun sampai pening kepala nak betulkan dia semula."
"Astaghfirullahalazim... macam mana boleh jadi sampai macam itu sekali? Apa jadi pada arwah kawan dia?" Soal Dato' Hanif, tertarik ingin tahu cerita selanjutnya.
"Dia kena rogol." Ringkas Tan Sri Khalid berkata.
Dato' Hanif sudah terdiam. Lidah terkelu.
"Bekas teman lelaki si arwah tu tipu, katanya nak ajak pergi keluar jalan-jalan. Akhirnya dia bawa ke hotel dan buat benda terkutuk tu dengan kawan-kawan dia. Sampai mengandung arwah. Evalah yang jaga arwah tu dari mula sampailah ke penghujung nafas. Masa bersalin pun, Eva juga yang teman. Dia sendiri tengok, kawannya meninggal di hadapan mata." Panjang lebar Tan Sri Khalid bercerita penuh emosi.
Dato' Hanif diam tidak bersuara. Bersimpati dengan kisah yang dia dengar. Jika dia berada ditempat Eva pun, mungkin dia juga akan berfikiran yang sama. Bukan mudah untuk seorang wanita, melupakan sesuatu yang berkait dengan maruah yang dicalar.
Tidak sepatutnya lelaki itu melakukan perkara terkutuk kepada arwah.
"Sampai sekarang aku tengah fikir macam mana nak ubah pemikiran anak aku tu. Untuk buktikan dekat dia, masih ada lagi lelaki yang baik dalam dunia ni. Aku tak nak, biarkan dia hidup macam tu sampai bila-bila. Anak kecil tu pun berhak dapat kebahagiaan dia."
"Aku faham, Khalid. Anak kita berdua ni lebih kurang aje. Cuma beza seorang percaya pada cinta manakala seorang lagi tidak."
"Betul tu."
Dan kemudian mereka sama-sama mengeluh memikirkan nasib anak masing-masing. Bagaimana hendak selesaikan? Seorang mahu kahwin, seorang lagi menolak perkahwinan. Ibarat air laut bertemu air sungai, mahu berpisah sahaja. Kan lebih baik, disatukan sahaja mereka berdua ini.
Eh? Sekejap.
Dato' Hanif dan Tan Sri Khalid saling berpandangan. Serupa ada mentol menyala di tepi kepala. Ada perancangan menarik muncul dikotak pemikiran mereka.
"Anak kau single?" Entah dari mana soalan itu terpacul keluar dari mulut Tan Sri Khalid.
“ITU sahaja pembelajaran kita hari ni. Korang boleh balik." Kata Ezran sebaik sahaja kelas tambahan sampai ke penghujungnya. Pen maker ditutup. Contengan pada papan putih dipadam. Tatkala empat orang pelajar lelaki dan perempuan itu saling berpandangan pelik. Ada yang menunduk melihat jam tangan yang dipakai. Ada lebihan masa lagi 20 minit. Awalnya kelas tamat?
"Biar betul, bang? Masa banyak lagi ni." Kata Intan.
"Saja. Abang bagi korang rehat. Peperiksaan nak dekatkan? Banyakkan buat ulang kaji dekat rumah." Kata Ezran tanpa menoleh ke belakang. Selesai membersihkan papan putih, dia mencapai buku nota sains yang berada di atas meja. Ingin pergi.
"Kenapa semalam abang tak ada dekat rumah?" Soal Danial. Mematikan langkah Ezran daripada pergi.
"Haah. Semalam kami tunggu abang lama sangat. Tapi Auntie Shima kata abang hilang. Abang pergi mana?" Giliran Haura pula untuk menyampuk.
Ezran mengeluh kecil. Mata terpejam sesaat. Mengapa dan kenapa? Setiap kali dia hendak lari daripada semua soalan itu, pasti ia akan kedengaran juga ditelinga. Dia cuba untuk lupakan segalanya, bahkan payah sekali.
Sudah puas dia menahan semua perasaan ini daripada keluar. Namun tak terdaya. Dia harus luahkan juga. Ezran kembali ke tempat duduknya. Buku teks itu diletakkan ke meja. Wajah-wajah pelajarnya itu dipandang.
"Korang rasa... abang ni tak layak ada isteri ke?" Soal Ezran. Dia memandang setiap wajah itu, menantikan jawapan.
Malahan mereka menggeleng kepala.
"Mana ada. Siapa cakap abang tak layak?" Soal Haura.
"Mak dengan ayah, abang."adunya. Menunduk kepala ke bawah.
"Kalau macam itu buktikanlah yang abang layak." Kata Intan.
Terjuih bibir Ezran mendengarnya. Buktikan? Bagaimana hendak memberi bukti jika peluang pun sedikit tidak pernah diberikan.
"Dah puas abang cuba buktikan pada mereka yang abang boleh jadi suami. Tapi mereka tak percaya."
"Mungkin sebab cara abang mencari calon itu yang salah?" Sampuk Danial. Haura dan Intan mengangguk kepala tanda menyokong.
Tatkala kening Ezran berkerut kerana tidak faham. "Apa yang salah?"
"Abang cuma cari ikut suka hati. Tapi abang tak cari yang betul-betul layak dan sepadan jadi isteri abang." Balas Danial. Macam arih sungguh bab-bab mencari calon hati ini.
"Tapi bukan ke semua perempuan sama sahaja? Jadi buat apa abang kena pilih?"
"Ish, mana ada! Tak semua perempuan sesuai dengan lelaki macam abang." Bidas Haura. Tidak setuju. Setiap wanita ada ciri-ciri yang berbeza.
"Habis perempuan macam mana yang sesuai?" Soal Ezran, ingin tahu.
Mereka diam memikirkan sejenak. Sedangkan Ezran masih menanti dengan penuh sabar. Setelah beberapa minit, Intan angkat tangan.
"Saya tahu! Seorang yang penyabar." Kata Intan.
"Dan seorang yang penyayang. Sebab abangkan jenis hati lembut?" Celah Haura.
"Lagi satu, seorang yang boleh terima perangai abang dengan seadanya." Sampuk Danial pula.
Mereka bertiga mengangguk bersetuju dengan cadangan masing-masing. Seorang yang penyabar, penyayang dan menerima kekurangan seseorang itu payah ada pada seorang wanita pada zaman sekarang. Kalau ada pun, mungkin ada salah satu yang kurang.
Ezran diam sebentar memikir. Bagaimana dia hendak tahu semua ciri-ciri itu ada pada wanita yang dia minati?
"Macam mana nak..."
"Ezran."
Belum sempat habiskan ayat, suara Dato' Hanif terlebih dahulu mencelah. Mengalihkan perhatiannya ke arah ayahnya yang baru muncul. Langsung Ezran bangun dari tempat duduk.
"Ya, yah?"
"Ayah nak bincang sedikit dengan Ezran. Nanti masuk ke bilik ya. Ayah tunggu di sana." Kata Dato' Hanif sekaki lalu sebelum melangkah naik ke tingkatan atas.
Tatkala Ezran pula terpinga-pinga. Mengapa pula ayahnya tiba-tiba sahaja nak ajak berbincang? Dia ada buat salah lagikah? Tiba-tiba jantung diserang debaran halus. Takut pula nak bersemuka dengan Dato Hanif.
"Abang minta diri dulu." Pamit Ezran. Tanpa membuang masa, dia pun menuju ke tingkat atas. Masuk ke dalam biliknya seperti yang dikatakan oleh Dato' Hanif tadi.
Buka sahaja pintu, dia lihat ayahnya sudah duduk di katil. Memegang satu fail. Apa benda pula tu? Malas hendak berfikir panjang, dia terus duduk di ruang kosong sebelah Dato' Hanif.
Ezran tidak bersuara. Begitu juga dengan ayahnya. Suasana menjadi agak canggung.
Kemudian, dia mendengar Dato' Hanif mengeluh. Berat sekali.
"Ayah nak minta maaf dengan Ezran pasal hal semalam." Rayunya. Penuh kesla.
Ezran sekadar membalas dengan anggukan.
"Ayah cuma nak Ezran tahu, ayah tak pernah cuba nak halang cita-cita kamu. Cumanya, ayah risau dan takut untuk lepaskan Ezran. Tapi bila difikirkan balik, Ezran pun dah besar. Berhak buat keputusan sendiri. Ayah dengan mak, tiada kuasa lagi untuk kongkong hidup kamu."
Ezran tidak bersuara walau sedikit. Hanya memasang telinga mendengar dengan jelas.
"Lagipun, mak dengan ayah pun dah janjikan dengan Ezran waktu hari jadi minggu lepas? Apa pun yang Ezran nak, kami akan tunaikan. Dan ayah bukan orang yang suka mungkir janji. Oleh itu, papa dah buat benda ni untuk kamu... tengoklah."
Fail nipis yang dipegang itu dihulurkan ke arah Ezran. Lambat-lambat dia mengambilnya. Muka berkerut. Memikirkan isi apa di dalam. Tanpa menyoal, dia membuka terlebih dahulu. Melihat satu halaman penuh dengan senarai nama wanita dan biodata kecil tentang mereka.
"Itu calon-calon isteri yang papa rasa sesuai untuk Ezran." Kata Dato' Hanif.
Langsung kepala Ezran menoleh memandangnya dengan riak wajah terkejut. Macam tak percaya sahaja apa yang baru didengar.
"Ca... Calon isteri?"
Dato' Hanif mengangguk kepala tanda benar.
"Tapi, bukannya ayah suruh Ezran kahwin dengan semua calon tu. Ayah dah aturkan temu janji untuk Ezran. Siap arahkan Khai untuk teman Ezran di sana. Ayah nak... Ezran pilihlah yang Ezran rasa terbaik menjadi isteri. Jangan main cakap suka saja. Teliti dahulu, lihat mata dia, lihat kejujuran dia, lihat semua benda yang Ezran mahukan pada dia dan barulah buat pilihan." Ujar Dato' Hanif.
Dia mahu Ezran memilih yang terbaik. Segala kepercayaan akan ditaruhkan pada anak lelakinya. Dia pasti, pilihan Ezran tidak akan mengecewakannya.
"Ayah percayakan, Ezran?" Soal Ezran. Merenung ke mata Dato'Hanif inginkan kejujuran.
Dan orang tua itu mengangguk kepala. Siap menepuk-nepuk bahunya memberi semangat.
"Ya. Ayah bagi kepercayaan pada anak ayah. Cuma satu aje, syarat yang Ezran kena ikut."
"Apa syaratnya?"
Dato' Hanif diam sebentar. Lidah terasa berat pula untuk diangkat. Namun dia harus juga berkata. Demi kebaikan Ezran juga.
"Andai kata, Ezran salah pilih isteri. Dan sepanjang perkahwinan Ezran dengan dia, dia langsung tak pernah layan Ezran seperti mana ayah dan mak jaga Ezran. Ayah nak... kamu lepaskan dia. Boleh?"
Ezran terdiam. Syarat seperti apakah itu? Mengapa bunyinya terlalu kejam?
"Ayah tak nak Ezran tanggung semua benda tu. Lebih baik lepaskan daripada ditahan. Boleh kamu janji?"
Dia tidak tahu bagaimana hendak memberi jawapan. Hendak kata mampu, dia tak pasti. Hendak kata tidak,juga dia tak pasti. Bagaimana jika dia terlalu sayang, tetapi wanita itu tetap melayaninya dengan buruk? Apakah dia harus lepaskan juga?
Tapi, tak mungkin semua itu bakal terjadi. Dia akan pastikan pilihannya tepat agar dia tidak perlu melepaskan sesiapa pun.
Pendek kata, dia akan buktikan bahawa dia mampu menjadi seorang suami yang terbaik.
"Baik. Ezran janji."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro