Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

XXVIII : Persekitaran Baru

AKU cuba membuka sut hazmat plumbum. Sut hazmat itu berperanan bagi menghalangi sebarang cemaran sinaran radiasi daripada terkena permukaan kulitku. Sinaran radiasi dipercayai masih memekat di permukaan bumi lalu memberikan ancaman bahaya kepada kesihatan tubuh badan manusia.

"Ædrian, kau pasti ke nak buka sut hazmat ni?" Æezzul memandang tepat ke arah mataku sambil cuba untuk menghalangi tindakanku.

Aku hanya mengangguk tenang. Sudah tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Kalaupun kulitku terbakar dek kerana sinaran radiasi yang masih memekat, aku rela terkorban di permukaan bumi ini. Sifat kenakalanku mulai menguasai diri. Aku sudah tidak tahan lagi untuk mendengar nasihat demi nasihat yang dititipkan oleh individu-individu tertentu. Terutamanya Komander Æzarnoush dan juga Cikgu Æzack ketika kursus kemandirian bumi beberapa hari lalu.

     Mereka semua tidak ada di sini. Jadi, tiada sesiapapun yang dapat mengawal ataupun mengawasi setiap kelakuanku. Tidak wujud juga undang-undang disini. Jadi, semuanya tertakluk atas diri masing-masing untuk menjaga keselamatan diri di persekitaran yang baru ini. Dengan perlahan, aku membuka topi kaca angkasawan yang sedari tadi menutupi bahagian kepalaku. Satu hembusan bayu yang cukup menyegarkan mulai menggesek ke permukaan pipi dan bibirku. Aku menanggalkan juga zip sut hazmat yang menyeliputi tubuh badanku. Kemudian, aku menghela nafas sedalam-dalamnya sambil memandang ke arah hutan belantara yang cukup menenangkan itu. Kakiku menguis-nguis sedikit pada permukaan tanah yang mempunyai dedaun yang sudah berguguran dan juga ranting-ranting kayu yang bersepah.

Buat pertama kalinya dalam sejarah hidupku, aku dapat menghela nafas udara semulajadi permukaan bumi. Aku juga dapat melihat beberapa ekor unggas yang berterbangan di atas udara. Ulat-ulat gonggok, mengkarung dan juga cengkerik sedang bertenggek tenang di permukaan kayu-kayu hutan belantara yang berdiri megah. Bunga-bungaan hutan dengan pelbagai warna turut aku saksikan dengan mata kepalaku sendiri. Semuanya seakan-akan satu mimpi yang akhirnya menjadi nyata. Kami semua terkesima seketika. Cuma, ada sedikit perbezaan antara apa yang aku lihat di YouTube dengan yang sedang aku lihat dengan mata kepalaku.

Sebagai contoh, aku perasan ada beberapa spesies burung yang bersaiz lebih besar daripada kebiasaan. Beberapa spesies buah, antaranya buah ceri hutan yang sepatutnya bersaiz jari kelingking sahaja, kini bersaiz buah tembikai. Serangga cengkerik juga mempunyai kepelikan yang tersendiri. Salah satu kepak cengkerik bersaiz lebih besar berbanding satu lagi belah kepak. Kelopak bunga yang ditemui di hutan itu juga berbentuk tidak sekata, tidak seperti kebiasaannya. Ini berkemungkinan kesan daripada cemaran radiasi yang memekat selama berpuluh-puluh tahun serta mengakibatkan berlakunya mutasi terhadap seluruh hidupan yang ada di bumi.

Mereka yang lainnya mengikuti gerak-geriku dengan menanggalkan sut hazmat masing-masing. Daripada wajah yang gugup dan resah, mimik wajah mereka mulai bertukar mood. Jelas terpancar perasaan keterujaan daripada wajah pesalah-pesalah yang lain. Masing-masing seakan-akan terpana dengan pemandangan yang tidak pernah mereka lihat sebelum ini. Æng, Ædith dan Æbak kelihatan bergerak ke kawasan hutan yang lebih dalam untuk mencari-cari sekiranya mereka menjumpainya sumber air yang bersih. Æzyra, Æmilie dan Æyling pula sedang mencerap bunga-bunga pelbagai warna yang tumbuh mekar di kawasan hutan itu. Ænanda dan Ælbert pula mula mengumpulkan kayu-kayu kering untuk dibuat unggun api memandangkan hari sudah semakin gelap.

"Korang! Aku dah jumpa laluan anak sungai. Kalau korang nak buang air ataupun mandi, boleh ikut laluan yang sku tandakan dengan ikatan reben penanda." Æbak yang mempunyai darah orang asli berteriak kuat daripada kawasan anak sungai.

     Sayangnya, anggota koloni di angkasaraya masih mempercayai momokan dimana permukaan bumi masih tercemar teruk dengan sisa bahan beradiasi. Padahal, aku boleh sahaja menghirup aroma segar pohon-pohon hutan, bau tanih yang sedikit aneh dan yang paling penting, bekalan gas oksigen tanpa had, tidak seperti di angkasaraya.

"Wei, cantiknya bunga ni! Aku tak pernah nampak lagi seumur hidupku bunga sebesar ni. Boleh makankah bunga ni?" Æyling bertanyakan sesuatu kepadaku.

"Æyling, tu namanya bunga Rafflesia. Aku pernah tengok kat YouTube. Bunga ni tak boleh makan, Æyling. Beracun!" aku cuba menerangkan berkenaan bunga Rafflesia kepada Æyling.

"Itu makhluk apa yang panjang-panjang tu, Ædrian? Kaki dia ada banyak. Geli geleman aku tengok binatang tu." Æzyra bertanyakan tentang serangga yang dilihatnya sebentar tadi.

"Itu ulat gonggok, Æzyra. Jangan risau, ulat gonggok tu tak bahaya pun. Tapi, kalau ulat gonggok tu masuk telinga kau, dia jadi bahaya la." terangku kepada Æzyra.

"Ini buah ah, boleh makan ka, Ædrian? Saya jumpa di pinggir hutan tadi." Æmilie bertanya sambil menunjukkan sebiji buah ceri hutan gergasi yang ditemui tadi.

"Ini buah ceri hutan, Æmilie. Boleh dimakan dan ada khasiat yang tersendiri. Tapi, tak semua buah yang ada dalam hutan ni boleh dimakan, Æmilie. Kena berhati-hati." aku menitipkan nasihat kepada Æmilie.

     "Sebelum makan, bilas buah tu bersih-bersih dengan air masak. Nanti sakit perut pulak kalau terus makan." aku menyambung lagi secebis titipan nasihat kepada Æmilie.

     Æmilie hanya mengangguk faham.

Aku faham, mereka semua tidak pernah lagi melihat kebanyakan hidupan di dalam hutan ini disebabkan keterbatasan kehidupan di stesen angkasa Athria-Gemilang. Jadi, sebagai seorang yang mempunyai ilmu dan minat yang mendalam terhadap apa yang ada di sekeliling kami ini, itulah tugasan aku untuk menerangkan kepada mereka dengan sedaya-upayaku.

Suasana hutan tapak pendaratan pesawat kapsul kami itu pula sungguhlah menenangkan. Bunyi latarnya seakan-akan bunyi burung berkicauan daripada atas pokok dan di sekeliling belantara. Bunyi geselan kepak cengkerik juga melatari seluas kawasan hijau itu. Sesekali terdengar juga bunyi seakan-akan air mengalir, kemungkinan itu adalah bunyi sungai dan air terjun yang terdekat. Sudah tidak ada lagi bunyi bingit berupa deruman enjin stesen angkasa Athria-Gemilang. Sudah tidak ada lagi bunyi jeritan warga koloni Athria-Gemilang yang berpusu-pusu mendapatkan makanan terawal di dewan makan. Sudah tidak ada lagi.

Aku dan Æezzul pula ditugaskan untuk mengumpulkan bahan-bahan makanan yang telah dibawa daripada bangkai kapsul kapal pengangkut dan juga menyediakan tempat untuk berlindung pada malam hari. Kami juga diamanahkan untuk menghidupkan api seperti yang telah diajar oleh Cikgu Æzack sebelum ini. Kami membuat keputusan untuk bermalam di tapak bangkai kapsul bagi menjaga segala sumber-sumber penting yang ada.

Sedang aku dan Æezzul bersiap sedia untuk menghidupkan api, ekor mataku terpana pada satu sosok insan misteri daripada kejauhan. Insan misteri itu perlahan-lahan berjalan ke arah tempatku berdiri. Pada ketika itu, hanya aku dan Æezzul sahaja yang ada di situ. Jaraknya tidaklah berapa jauh daripada lokasi pendaratan kapsul kapal angkasa kami. Jelita sahaja orangnya. Kulitnya berwarna kuning pinang. Alis matanya sungguhlah memukau. Rambut panjangnya diikat rapi tetapi dilitupi sedikit dengan kerudung coklat bercorak bunga-bunga alami. Pakaiannya agak berbeza sedikit berbanding pakaian anggota wanita koloni Athria-Gemilang.

Cantik berseri pohon selasih,
Bertengek si kera dengan balan-balan,
Nama diberi Bidara Kasih,
Salam sejahtera dan selamat berkenalan.

Insan jelita dengan memakai seakan kerudung kain separa dengan corak-corak bermotifkan tumbuh-tumbuhan berwarna coklat itu melantunkan suaranya.

"Bahasa apakah itu, Ædrian?" Æezzul bertanyakan kepadaku dengan mimik muka penuh kepelikan. Aku hanya menggelengkan kepalaku sahaja.

     "Pelik. Nama dia pun pelik. Bidara Kasih. Siapakah dia?" aku mengomel sendirian.

Sosok insan jelita yang memperkenalkan dirinya sebagai 'Bidara Kasih' itu tiba-tiba sahaja menghilangkan dirinya entah ke mana. Kemungkinan insan misteri itu menghilangkan dirinya di celahan dedaun pokok resam dan hutan yang renek merimbun.

***

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro