BUNYI ketukan daripada arah pintu yang cukup kuat sekali lagi membangkitkan diriku yang masih diulit lena. Dalam kemamaian usai bangun daripada tidur, aku duduk seketika termangu-mangu sambil dihujat dengan pelbagai perasaan yang bercampur baur. Kadangkala teruja, terkadang pula dibebani perasaan sedih. Perasaan teruja hadir tatkala aku akan mengalami suatu pengalaman baharu yang tidak akan dapat dialami oleh sesiapapun yang berada di dalam stesen angkasa ini, kecuali yang terpilih. Perasaan sedih pula hadir tatkala aku akan meninggalkan seluruh koloni yang ada di stesen angkasa Athria-Gemilang ini.
Diatas meja, terlihat sepinggan makanan sarapan pagi yang ringkas beserta cecair berwarna biru yang diisi dalam sebuah beg plastik lutsinar, peranti oximeter, sekeping borang yang perlu diisi beserta sekeping nota. Nota itu tertulis, anda diminta untuk memasukkan cecair berwarna biru ini ke dalam dubur anda ketika membersihkan diri dalam bilik air untuk memudahkan proses membuang air besar. Proses ini dipanggil 'enema'. Kemudian, catat kadar nadi dengan menggunakan peranti oximeter yang disediakan setiap setengah jam sekali pada borang yang dilampirkan. Borang akan dikutip oleh pegawai yang bertugas sebelum proses pelepasan ke bumi berlangsung. Semoga Maju Jaya. Terdapat tandatangan dengan nama 'Æira' dibahagian bawah nota kaki itu.
Seusai membaca nota ringkas yang diletakkan di atas meja, aku menuruti sahaja segala arahan yang tertulis pada nota ringkas itu tanpa banyak soal. Selepas membersihkan diri dan menunaikan solat Subuh, aku melakukan proses enema seperti yang diarahkan. Selepas itu, aku mengambil bacaan kadar denyut nadi dan juga tekanan darah menggunakan peranti oximeter. Melalui bacaan peranti oximeter itu menunjukkan yang tubuh badanku berada pada keadaan yang normal. Kadar denyut nadiku berada pada kadar 64 per minit manakala tekanan darah pula adalah 121/78.
Aku kemudiannya mengalas perut dengan hidangan makanan yang disediakan di atas meja itu. Makanan yang disediakan di atas meja berupa beberapa keping roti bakar dengan mentega, telur dadar beserta hidangan oat. Hidangan oat dipercayai tahan lama untuk perut dapat bertahan ketika menghadapi proses pendaratan kelak. Makanan ini juga bagi mengelakkan kami untuk rasa membuang air serta termuntah ketika tarikan graviti bumi sedang mencengkam dada kami semua semasa proses pendaratan nanti. Bekalan makanan tahan lama yang sudah diletakkan dalam pek vakum tahan lama juga turut dimuatkan dalam kargo kapsul kapal angkasa. Bekalan makanan ini adalah cukup untuk tempoh seratus hari selepas berlepas dan cukup untuk setiap orang pesalah.
Selepas setengah jam bersarapan pagi, pintu bilik diketuk daripada bahagian luar. Selepas pintu dikuak, kelihatan Pembantu Perubatan Æira tersenyum sambil memegang beberapa peralatan makmal seperti kapas, cecair anti-septik, gunting dan beberapa peranti yang aku sendiri tidak ketahui kegunaannya.
"Assalamualaikum Ædrian. Saya datang nak ambil sampel daripada lima belas bahagian badan awak dan juga helaian kertas bacaan denyut nadi dan juga tekanan darah."
"Okay, baiklah." aku menuruti sahaja keperluan yang diminta oleh Æira.
Pembantu perubatan Æira mula mengambil sampel daripada rongga hidung, telinga, mulut, bawah lidah, anak tekak, lelangit mulut, lidah, sampel gigi, rambut, darah daripada hujung jari telunjuk, bahagian dubur, bahagian ketiak, bahagian kemaluan, bahagian pusat dan bahagian kalenjar peluh. Selesai sahaja Æira mengambil kesemua sampel, dia terus melakukan analisis dengan menggunakan peranti yang dibawa sekali. Semasa menunggu keputusan daripada sampel-sampel yang diambil, aku menghulurkan helaian kertas yang tertulis nilai bacaan denyut nadi dan juga tekanan darah yang diambil awal tadi menggunakan peranti oximeter.
Selepas lima belas minit, Pembantu Perubatan Æira pun bersuara. "Okay. Keputusan pun saya sudah dapat. Saya nak isytiharkan yang awak layak untuk turun ke permukaan bumi, Ædrian."
Aku hanya mampu tersenyum kelat. Ada berbaur perasaan yang hadir. Teruja, resah, takut, risau dan berbagai lagi perasaan menerpa pada satu-satu masa.
"Ædrian, tolong berdiri. Saya nak sapukan cecair anti-septik ini ke seluruh badan awak." Pembantu Perubatan Æira mengarahkan aku untuk bangkit. Aku menuruti sahaja arahannya. Kemudian, Æira mula menyapu cecair anti-septik pada seluruh badanku.
"Okay, baiklah. Masa awak untuk berlepas ke permukaan bumi telahpun tiba. Awak diminta keluar daripada bilik ini. Sila bawa beg sandang awak dan segala barang keperluan lain. Komander Æzarnoush minta awak tandatangan pada bahagian pintu bilik ini sebagai tanda kenang-kenangan. Tulislah kata-kata semangat untuk membangkitkan semangat awak tu." Pembantu Perubatan Æira menghulurkan sebatang pen berdakwat tebal dan basah.
Aku menulis sesuatu yang mungkin anda semua tidak akan percaya beserta tandatangan. Apa yang aku tulis? Biarlah rahsia. Pembantu perubatan Æira juga tersengih-sengih selepas sekilas membaca tulisan yang aku tulis pada bahagian luar pintu terbabit. Terasa lucu mungkin. Di bahagian luar, kelihatan kesemua pesalah sudah bersiap sedia untuk arahan seterusnya. Aku adalah orang yang terakhir yang muncul setelah selesai mengambil sampel dan diisytiharkan layak dari segi kesihatan untuk turun ke permukaan bumi.
Di sebalik bilik pelepasan, dapat dilihat ramai orang berkerumun untuk menyaksikan episod bersejarah buat seluruh koloni Athria-Gemilang ini. Mungkin, Komander Æzarnoush sudah membuat pengumuman tentang upacara pelepasan ini kepada seluruh koloni. Aku tercari-cari akan kelibat ibu bapaku. Alhamdulillah, mereka ada bersama dan berada di celahan ramai warga koloni yang hadir. Pintu kaca berkeluli memisahkan antara aku dengan ibu bapaku. Kami tidak dibenarkan untuk bertemu dengan warga koloni secara berdepan dan bersentuhan kerana bimbang akan kewujudan bakteria yang akan melekat pada lapisan cecair anti-septik yang ada pada tubuh badan kami. Daripada riak wajah mereka, aku dapat merasakan perasaan bangga bercampur resah gelisah.
Aku hanya mampu tersenyum dan melambai pada mereka. Inilah kali terakhir aku akan menatap wajah kedua syurgaku. Selepas ini, aku tidak pasti samada aku dapat bertemu mereka berdua tatkala atmosfera berjarak ratusan kilometer yang memisahkan kami dengan mereka. Ada rezeki, maka mereka mempunyai peluang untuk turun bersama kami di permukaan bumi kelak. Jikalau tidak, maka, kami akan terpisah buat selama-lamanya.
Bacaan doa selamat turut berkumandang dicorong-corong pembesar suara diseluruh stesen angkasa ini. Bacaan doa selamat itu dibacakan oleh Ustaz Æzrul yang merupakan imam besar Masjid Athria-Gemilang. Kami semua yang beragama Islam mengaminkan bacaan doa selamat terbabit. Selesai sahaja bacaan doa selamat, Komander Æzarnoush yang turut berada di pusat kawalan pelepasan mengarahkan kami semua untuk memakai sut angkasawan masing-masing yang telah tersedia di ruang pelepasan itu. Ada tanda nama pada setiap sut yang ada. Kami semua mula menyarungkan sut angkasawan masing-masing seperti yang diarahkan oleh Komander Æzarnoush.
Nampaknya, sut angkasawan ini memang muat-muat sahaja untuk setiap bentuk badan individu yang telah diletakkan tanda nama masing-masing. Ini kerana, sut itu adalah tailor-made, yakni diperbuat mengikut bentuk badan individu yang memakainya. Apabila kesemua sepuluh orang kami selesai memakai sut angkasawan ini beserta alat kedap udaranya, maka terbukalah satu kompartmen pintu kapsul kapal pengangkut yang akan membawa kesepuluh kami ke permukaan bumi.
***
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro