XXV : Titipan Nasihat Sekian Kalinya
"BEGINILAH caranya untuk kamu menghidupkan api di bumi nanti. Mohon semua pesalah untuk datang ke mari menghampiri meja. Ada sesuatu yang perlu saya tunjuk." kami semua diminta untuk berdiri berdekatan dengan meja utama bilik itu.
Cikgu Æzack mengangkat sebatang kayu ranting yang bersaiz jari telunjuk. Di atas meja pula kelihatan sebatang lagi kayu yang bersaiz lengan individu dewasa. Ada beberapa helai sabut kelapa diletakkan di sekeliling bahagian atas permukaan kayu bersaiz lengan manusia itu dan membentuk seakan bentuk bulatan yang tidak sekata.
"Disclaimer, ranting kayu dan juga sabut kelapa ini saya perolehi di kompartmen pertanian. Boleh sahaja kamu gunakan daun kering ataupun apa-apa sahaja objek yang bersifat pipih dan berkeadaan kering yang kamu rasakan boleh digunakan untuk menghidupkan api." Cikgu Æzack kemudiannya menggenggam kayu ranting yang diletakkan pada bahagian telapak tangannya.
"Kayu yang bersaiz lebih kecil ini, kamu letakkan di bahagian tapak tangan. Kemudian, tekapkan satu lagi bahagian tapak tangan untuk memulakan proses menghidupkan api." Cikgu Æzack menyepit ranting kayu yang bersaiz kecil pada kedua belah tapak tangannya.
"Dengan perlahan, kedua-dua tapak tangan ini kamu geserkan untuk kayu itu berputar pada bahagian atas permukaan kayu yang bersaiz lebih besar ini." ranting kayu yang bersaiz kecil itu kemudiannya diletakkan diatas kayu yang bersaiz lebih besar pada sudut menegak.
"Sedikit demi sedikit, daya geseran antara kayu yang bersaiz kecil dengan kayu yang bersaiz besar ini akan menghasilkan haba yang bersuhu panas."
"Haba bersuhu panas ini kemudiannya perlahan-lahan akan bertukar menjadi api apabila sabut kelapa ini diapitkan di tengah-tengah proses geseran itu tadi. Proses ini akan dibantu oleh keberadaan gas oksigen yang bergentayangan di muka bumi nanti, tidak seperti di stesen angkasa ini dimana gas oksigen amat terhad penggunaannya."
"Akhirnya, sabut kelapa ataupun apa-apa objek pipih itu akan mengeluarkan asap yang berkepul-kepul. Asap yang berkepul-kepul ini menjadi tanda yang kamu sudah berjaya menghidupkan api." Cikgu Æzack mengakhiri demonstrasi menghidupkan api.
"Sejujurnya, saya tidak boleh tunjuk proses itu di sini. Kelak, kita semua akan basah kuyup kerana partikel asap yang terhasil nanti akan menghidupkan sensor pemadam kebakaran yang ada di seluruh stesen angkasa ini." sambil disusuli gelak tawa pesalah yang lain.
"Itu sahajalah kursus ringkas tentang kursus kaedah kemandirian di bumi. Anda semua mesti ingat, walaupun segalanya terlihat mudah di sini, saya pasti secara realitinya, ianya tidak akan mudah."
"Proses ini akan menjadi satu cabaran yang besar sekiranya cuaca hujan yang menyebabkan keadaan objek pipih yang ada akan menjadi lembab dan basah."
"Namun, sejauh manakah cabaran dan rintangan yang bakal kamu hadapi kelak di permukaan bumi itu nanti, semuanya terletak pada kekuatan jasmani dan rohani kamu."
"Saya yakin dan percaya, sekurang-kurangnya kamu semua dapat kekal mandiri dalam persekitaran yang baru kelak sehingga kamu semua menemui lokasi Titik Gunung Tahan."
"Saya juga percaya, kamu pasti dapat menyelesaikan segala tugasan dan misi yang telah ditetapkan untuk kamu nanti, seterusnya membawa kami semua di sini memulakan kehidupan yang baru di permukaan bumi nanti."
"Semoga maju jaya!" Cikgu Æzack mengakhiri kursus kemandirian di bumi dengan laungan kata-kata semangat.
Namun, aku tidak dapat pastikan adakah kata-kata semangat itu mampu meredakan segala kekusutan yang sedang bersarang di hati kami semua. Mudahlah untuk sesiapa sahaja melontarkan apa-apa jua pendapat mahupun 'menghujat' kata-kata semangat, tetapi yang bakal melaluinya nanti itu bukanlah mereka pun. Pada akhirnya, kami jugalah yang akan menjadi 'perintis' kepada program ini. Jikalau kami semua terselamat, maka seluruh koloni akan mengikuti jejak kami. Bagaimana pun sekiranya kami pula yang terkorban seorang demi seorang dengan pelbagai cara yang kami sendiri pun tidak tahu? Tiada sesiapa pun yang tahu jawapannya. Waima, Komander Æzarnoush sekalipun akan mengambil tindakan berdiam diri.
"Saya mohon kamu semua patuhilah segala arahan yang telah ditetapkan oleh pemerintah Koloni Athria-Gemilang sepanjang keberadaan kamu di permukaan bumi kelak. Ini semua adalah untuk kebaikan kamu juga."
"Patuhilah segala prosedur operasi standard (SOP) dan sama-samalah kamu menjaga keselamatan antara satu sama lain."
"Ingat, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat."
"Kamulah harapan terakhir Koloni Athria-Gemilang."
Cikgu Æzack kemudiannya bersalaman buat kali terakhirnya dengan kami. Ada beberapa titipan nasihat sekian kalinya dan juga beberapa ungkap kata-kata motivasi yang sempat dilontarkan kepada kami sebelum Cikgu Æzack beredar meninggalkan bilik itu.
***
SEUSAI sahaja selesai kursus kemandirian bumi, kami diarahkan untuk kembali ke bilik masing-masing. Maka, kami pun beredar menuju ke bilik masing-masing. Kedudukan bilik kami sebenarnya tidaklah terlalu jauh jaraknya antara satu sama lain. Tetapi, tidak pula terlintas untuk kami bergurau senda antara pesalah yang ada ketika berjalan menuju ke bilik masing-masing. Semuanya senyap sunyi. Yang pasti, setiap derapan langkah kami diiringi dengan berserabutnya otak sambil memikirkan tentang nasib esok hari. Kami berjalan kaki menuju ke bilik masing-masing tanpa banyak bersembang.
Apabila aku menguak pintu bilikku, dapat terlihat beberapa botol lutsinar dengan label 'cecair anti-septik' beserta beg bagasi yang terselit sekeping nota ringkas. Barang-barang itu diletakkan di sebelah sisi katil. Bau-bauan seperti bahan asid makmal yang datangnya daripada botol cecair anti-septik itu mulai menerpa ke seluruh pelusuk bilik sebelum destinasi terakhirnya dalam rongga hidungku. Nota ringkas yang diselitkan itu pula berbunyi:
Untuk tempoh lapan jam lagi, kamu akan melumurkan cecair anti-septik ini pada seluruh badan dengan bantuan pembantu makmal. Mereka akan hadir untuk membantu kamu. Makanan yang terakhir akan dihantar sebelum proses berlepas ke bumi. Kamu diminta untuk berpuasa selama empat jam sebelum proses berlepas.
Dalam bagasi pula mengandungi beberapa helai pakaian yang diperbuat daripada bahan plumbum. Pakaian plumbum ini bertujuan untuk mengurangi kadar penerimaan radiasi ketika di bumi kelak. Semoga maju jaya!
-Komander Æzarnoush-
Pegawai Pemerintah Koloni Athria-Gemilang.
Dalam masa beberapa jam sahaja lagi, kami akan menyapu sejenis cecair anti-septik sambil dibantu oleh pembantu makmal. Pada kefahaman aku, cecair anti-septik ini digunakan untuk membunuh sebarang keberadaan kuman ataupun bakteria yang menghinggap pada mana-mana permukaan sebelum kami semua berlepas ke bumi. Kuman dan bakteria ini tidak dapat dicerap menggunakan mata kasar. Maka, tidak hairanlah cecair anti-septik ini digunakan untuk membunuh keberadaan kuman dan hidupan bakteria yang ada.
Selepas selesai menunaikan solat maghrib dan juga isyak, kepala terasa pening. Mungkin aku terlalu memikirkan apa yang akan berlaku pada esok hari (overthink). Mungkin juga terlalu banyak maklumat baru yang perlu dihadam dalam satu-satu masa. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk menutup lampu bilik. Keadaan sekeliling bilik menjadi gelap-gelita. Hanya bunyi deruman enjin stesen angkasa ini yang melatari gema sekeliling. Kepalaku dilabuhkan di atas bantal gebu manakala jasad badan pula aku lunjurkan kakiku di atas permukaan katil yang empuk. Beberapa detik kemudian, berlayarlah ke pulau kapuk.
***
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro