Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

XXIV : Kursus Kemandirian Bumi

DALAM keadaan teruja, jauh di sudut hati kami terbitnya sekelumit perasaan menyesal, cemas, resah gelisah dan bersalah yang tidak dapat diungkapkan dengan bait-bait kata. Ketika kesemua individu yang ada dalam kelas itu sedang berkenalan antara satu sama lain, Cikgu Æzack tiba-tiba sahaja muncul daripada bahagian pintu belakang kelas.

"Well... Well... Well... Surprise. Inilah dia sepuluh pesalah nakal yang akan dihantar ke permukaan bumi yer?" Cikgu Æzack menunjukkan perangai typical judgmental-nya itu.

     Kami semua kembali pada kedudukan masing-masing yang telah ditetapkan awalnya oleh pihak pentadbir Athria-Gemilang. Cikgu Æzack yang berjalan bersahaja sambil membawa beberapa dokumen, sebuah komputer riba nipis di tangannya dan juga sebuah beg besar yang tidak diketahui isi di dalamnya. Dia kemudiannya meletakkan dokumen itu di atas meja utama yang berada di bahagian hadapan.

     "Ada beberapa wajah yang cukup saya kenali dalam kelas ini." Cikgu Æzack kemudiannya mengira satu persatu individu yang terlibat dalam misi Episiklus Cakerawala LXX ini.

     "Ædrian, Æezzul ini bukan pelajar kelas saya kah?" Cikgu Æzack memandang tepat ke arah wajahku dengan Æezzul. Aku hanya tertunduk malu.

    "Ya, Cikgu. Kami berdua merupakan pelajar kelas cikgu." Æezzul bersuara tanpa sekelumit pun rasa bersalah pun.

     "Patutlah sudah beberapa hari saya tidak nampak kamu berdua di kelas. Rupa-rupanya, sudah tertangkap disini dan menunggu masa sahaja untuk menjalani hukuman!" Cikgu Æzack berseloroh. Mendalam juga maksudnya.

     "Ædrian, bukankah kamu insan yang paling teruja untuk turun ke permukaan bumi? Kenapa cikgu tengok muka kamu bermuram sahaja?" Cikgu Æzack menujukan pertanyaannya kepadaku pula.

     "Sebab.... sebab.... kali ini misi bunuh diri, cikgu..." aku menjawab perlahan.

     "Haa.. Tahu pula kamu. Tetapi tidak apalah. Nasi pun sudah menjadi bubur. Tugas cikgu disini adalah bagi memberikan penerangan seringkas dan sepadat mungkin supaya kamu kekal mandiri di permukaan bumi nanti." Cikgu Æzack kemudiannya memulakan kursus kemandirian di bumi ini.

     Aku hanya menunduk sedih. Perasaan yang terpekung di minda dan hati bercampur-baur dengan pelbagai rasa. Ada sedikit bimbang, ada juga sedikit teruja, ada sedikit sedih. Pokoknya, sukar untuk digambarkan perasaanku di kala ini dengan ungkapan kata-kata.

     Cikgu Æzack kemudiannya membuka komputer yang memaparkan slideshow. Slideshow itu memaparkan beberapa peta, gambar dan juga sedikit penerangan tentang prosedur ketika berada di permukaan bumi kelak.

     "Dalam beg kamu, ada kami letakkan beberapa peranti dan juga peta. Oleh itu, pada hari ini, cikgu akan memberikan panduan yang tepat dan mudah tentang teknik penggunaan alatan yang telah disediakan ini."

    "Apa yang paling penting adalah sebelum mendarat, kamu semua haruslah memakai sut hazmat ini kerana kita tidak tahu tahap cemaran radiasi yang masih tersisa di permukaan bumi."

"Gunakan prinsip ALARA yang kamu amalkan di stesen angkasa ini. As Low As Reasonably Achievable (A.L.A.R.A)."

    "Untuk keselamatan juga, kamu juga haruslah mengelakkan diri daripada terkena hujan yang turun. Dibimbangi hujan itu mengandungi tahap keterlarutan asid yang tinggi dan masih tercemar."

"Bagaimana sekiranya kami membuka sut hazmat itu nanti ketika berada di permukaan bumi?" aku melontarkan pertanyaan kepada Cikgu Æzack.

"Saya tidak dapat memberikan jaminan tentang keselamatan kamu. Boleh jadi, kamu akan selamat dan sihat walafiat. Boleh jadi juga, kamu akan mengalami simptom kesakitan yang mempunyai perkaitan dengan pencemaran radiasi yang masih memekat di bumi. Faham?" Cikgu Æzack menjawab pertanyaanku itu.

Kepalaku mengangguk perlahan. Cikgu Æzack kemudiannya meneruskan sesi taklimatnya tentang kaedah kemandirian di bumi.

"Kamu juga akan diberikan kaedah yang terbaik dalam menghidupkan api dengan menggunakan batu, kayu ataupun apa-apa alat yang dirasakan boleh digunakan untuk memasak makanan ketika di permukaan bumi kelak."

"Hidupkan api? Bukankah undang-undang koloni Athria-Gemilang ini tidak membenarkan setiap warga koloninya untuk berasosiasi ataupun menghidupkan apa-apa bahan yang berkaitan dengan api ataupun bahan bakar tanpa kebenaran pihak berkuasa?" Æng yang sedari tadi sedang khusyuk mendengar taklimat itu, melontarkan pertanyaan. Perasaan ingin tahu menghambat dirinya.

"Æng, itu kan hanya undang-undang di Athria-Gemilang ini. Undang-undang ini tidak terpakai di permukaan bumi. Lagi pula, planet bumi itu nanti tidaklah seperti di stesen angkasa ini. Jadi, kamu bebas untuk menghidupkan api di mana-mana tempat di permukaan bumi nanti."

"Bagaimana kamu mahu memasak makanan jikalau tidak menghidupkan api? Itukan salah satu kaedah untuk kekal survival?" Cikgu Æzack menerangkan justifikasi tentang mengapa api boleh dihidupkan di permukaan bumi.

    "Kamu juga akan diberikan latihan ringkas yang intensif tentang kaedah terbaik dalam menentukan arah utara, selatan, timur dan barat kerana arah-arah inilah yang akan menjadi panduan utama kamu di bumi nanti."

    "GPS ini pula akan menjadi panduan terpenting dan termoden dalam usaha kamu untuk menuju ke sesuatu destinasi. Kamu juga mempunyai 'GPS' semulajadi di bumi nanti iaitu arah buruj tetapi arah buruj hanya akan digunakan sekiranya kamu mempunyai masalah dalam mengakses peranti GPS."

    "Di permukaan nanti, kamu akan diberikan lokasi yang kami gelarkan sebagai 'Titik Gunung Tahan'. Dalam buku laporan Misi Episiklus Cakerawala LXX ada tertulis bahawa, terdapat sebuah bunker yang penuh dengan bekalan makanan tahan lama, senjata dan ubat-ubatan di kawasan apa yang dipanggil sebagai "Titik Gunung Tahan" ini."

"Oleh itu, dengan beranggapan bahawa Titik Gunung Tahan merupakan sebuah lokasi bunker yang dipercayai masih bertahan daripada cemaran radiasi yang menempatkan stok makanan tahan lama dan pelbagai lagi barangan keperluan asas lain seperti senjata, bekalan air bersih, selimut, khemah, ubat-ubatan, biji benih dan pelbagai lagi keperluan asas lain yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu sebelum berlakunya episod 'Letupan Besar'." ujar Cikgu Æzack sambil jari telunjuknya mengarah ke arah gambar peta topografi yang bertanda 'X'.

"Titik Gunung Tahan?" Æbak mengkonfirmasi sesuatu.

"Ya, Titik Gunung Tahan. Gunung Tahan adalah sebuah puncak tertinggi di semenanjung Malaysia dengan ketinggian yang mencapai altitud sehingga 2,187 meter."

"Lokasi Gunung Tahan inilah terletaknya bunker utama kerajaan terdahulu dan bunker ini tertanam sejauh lapan puluh lima meter dalam perut gunung." Cikgu Æzack menjawab pertanyaan Æbak.

    "Oleh itu, seperti yang kamu boleh lihat di dalam peta topografi yang diberikan, 'Titik Gunung Tahan' ini ditandai dengan tanda 'X' pada peta. Pada peta ini, turut disertakan adalah nilai bacaan ketinggian topografi beserta angka latitud dan logitud untuk kamu perlu masukkan ke dalam alat peranti GPS ini."

    "Selepas memasukkan nilai angka latitud dan longitud bagi 'Titik Gunung Tahan' ini, kamu semua akan dipandu arah oleh alat peranti GPS ini untuk bergerak daripada kawasan pendaratan kapsul nanti menuju ke arah lokasi 'Titik Gunung Tahan' seperti yang ditandakan 'X' pada peta yang telah diberikan."

    "Semua kaedah ini akan saya terangkan kemudian nanti selepas semuanya sudah faham akan objektif utama misi kita ini. Ada soalan?" Cikgu Æzack mengakhiri taklimat awalnya.

"Cikgu, apakah signifikannya kami untuk bergerak ke "Titik Gunung Tahan" ini? Apakah kepentingan "Titik Gunung Tahan" ini kepada pihak pentadbir Athria-Gemilang?" aku bertanya kepada Cikgu Æzack.

Semua yang ada dalam bilik itu memandang ke arahku sambil menangguk setuju dengan pertanyaanku.

"Titik Gunung Tahan ini adalah lokasi ideal di mana kamu akan memperolehi sejumlah bekalan makanan, ubat-ubatan dan juga persenjataan sekiranya ada musuh yang cuba untuk mengganggu kamu. Kamu boleh kekal survival dalam masa beberapa bulan sekiranya kamu dapat menemui bunker yang berada di lokasi 'Titik Gunung Tahan" ini."

"Sebab itulah kenapa saya begitu menekankan aspek keselamatan ketika kamu semua menuju ke "Titik Gunung Tahan" ini."

"Anggota koloni Athria-Gemilang akan menyusul sekiranya kamu berjaya kekal survival di permukaan bumi dan seterusnya dapat masuk ke dalam bunker di Titik Gunung Tahan ini." Cikgu Æzack menjawab pertanyaanku dengan tenang dsn yakin.

***

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro