Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

XXII : Kompartmen Kuarantin

DUA PULUH MINIT selepas divaksin dengan cecair pelali, duniaku ibarat sebuah kegilaan berbilang alam dengan biasan pelbagai sektor warna. Apa yang aku lihat di sekelilingku, umpama sebuah dunia yang berputar-putar dan tunggang-terbalik. Biasan skala warna yang realistik dan pelbagai itu sudah tidak lagi memainkan peranan apabila sinarannya berkocak-kocak apabila melalui organ otak. Besi keluli menjadi cermin yang berkaca-kaca bentuknya. Bentuk empat segi menjadi heksagon. Kepalaku jadi berpusing-pusing yang teramat. Peningnya bukan kepalang.

Dengan keadaan terhuyung-hayang, aku mengagahkan juga tenaga yang tersisa ini menuju kompartmen kuarantin. Semasa di pertengahan laluan, aku hampir-hampir sahaja terjelepok menyembah ke lantai. Mujur sahaja kedua pegawai polis yang mengiringiku tadi sudah menjangkakan situasi itu. Mereka berdua membantuku dengan memapah badanku untuk bergerak sehingga tiba di hadapan pintu kompartmen kuarantin.

Setibanya aku di hadapan kompartmen kuarantin, pegawai polis bernama "Æriz" itu membuka kunci pintu kompartmen kuarantin. Dalam keadaan separa sedar, aku mendengar arahan daripada mereka yang memintaku untuk berehat di dalam kompartmen itu. Jarak antara kompartmen makmal dengan kompartmen kuarantin tidaklah terlalu jauh. Hanya beberapa puluh langkah sahaja. Dalam kesamaran pandangan, aku terus dibawa ke atas katil yang tersedia.

Aku dapat merasakan bahagian tangan dan kakiku diangkat, mungkin bagi memperbetulkan posisi perbaringanku. Dunia seakan-akan turut sama ligat berputar. Dalam keadaan mamai, aku dapat mendengar bahagian pintu kompartmen ditutup rapat. Suasana kompartmen kuarantin ini terlalu gelap untuk aku lihat di sekelilingku. Tiada satu pun sumber cahaya yang ada. Lalu, minda sedarku perlahan-lahan hilang dibawa belayar ke pulau kapuk dalam suasana yang kelam lalu disambar pula arus melatonin.

*

     Bunyi ketukan pintu yang agak kuat daripada bahagian pintu sudah cukup untuk mengejutkan diriku daripada terlena di dalam kompartmen yang maha gelap itu. Aku bangkit dengan rasa bengal dibahagian kepala. Kedua belah mataku ditenyeh bagi melegakan kelesuan. Aku teraba-raba ketika mencari arah punca bunyi ketukan kuat itu disebabkan keadaan persekitaran yang amat gelap. Beberapa derap langkah, akhirnya aku dapat mencapai tombol pintu kompartmen itu.

Apabila pintu kompartmen itu dikuak, aku dapat melihat seorang chef memegang sebuah dulang yang terisi beberapa jenis makanan dan lauk-pauk. Chef yang memakai baju putih dengan topi chef itu hanya tersenyum sambil menghulurkan dulang tersebut. Keadaan di luar kompartmen kuarantin yang terang benderang itu cukup untuk menerangi sebahagian daripada dalaman kompartmen ini. Chef itu memandang ke dalam kompartmen kuarantin ini sambil bertanya.

"Kenapa tak buka suis lampu?"

Aku yang sedang mamai selepas bangun daripada tidur itu hanya mampu memandang wajah chef dengan perasaan yang pelik.

"Suis lampu?"

"Ketepi. Saya tolong petik suis lampu bilik ini."

Aku beralah ke tepi apabila chef itu masuk ke dalam kompartmen kuarantin itu dan meletakkan makanan di atas meja yang terletak bersebelahan dengan katil. Chef itu kemudiannya pergi ke satu sudut bilik itu lalu memetik beberapa suis termasuklah suis lampu. Seusai sahaja suis lampu dibuka, maka barulah aku dapat melihat sebuah bilik yang lengkap dengan tandas, cermin dan almari selain perabut meja dan kerusi.

"Sekarang pukul berapa ye, chef?" aku bertanyakan waktu sekarang sudah pukul berapa.

Chef itu mengatakan waktu baru masuk ke waktu asar. Maknanya, aku telah tertidur selama dua jam.

"Seperti mereka yang lain, kamu sudah tertidur selama dua jam."

"Kamu isi perut dahulu dengan makanan ini, kemudian laksanakan solat asar dan bersihkan badan. Arahan seterusnya ada pada surat yang diselitkan pada pinggan itu. Sejadah ada dalam almari. Arah kiblat disini." sambil chef itu menunjukkan arah ke bumi.

Aku hanya mengangguk faham. Chef itu kemudiannya berlalu pergi daripada kompartmen kuarantin. Bilik dalam kompartmen kuarantin ini pada pemerhatianku adalah lebih baik berbanding dengan kompartmen tahanan. Keadaan biliknya yang selesa, bersih dan tidak kotor. Seluruh perabot dan cadar katil adalah berwarna putih dan tersusun dengan rapi. Tandasnya pula dikepung dengan sebuah bilik khas, tidak seperti tandas di kompartmen tahanan yang berada berdekatan tempat tidur. Bau aromanya pun lebih wangi dan jauh berbeza dengan bau aroma di kompartmen tahanan.

     Aku melangkahkan kakiku menuju ke meja yang telah diletakkan makanan dalam sebuah dulang oleh chef. Sambil mengangkat penutupnya, aku dapat melihat beberapa lauk-pauk serta hidangan yang tidak pernah aku jumpa seumur hidupku. Dapat diperlihatkan seakan daging kambing yang di potong secara mendatar dengan secangkir sos berwarna coklat dan juga beberapa kentang lenyek yang dihiasi beberapa potong sayuran, ada hidangan nasi yang seakan digoreng dan juga minuman coklat ais yang diletakkan krim dibahagian atasnya. Sudahlah hidangannya panas-panas lagi, hiasannya pula sungguh luar biasa bagi pandangan mata aku yang sudah terbiasa dengan hidangan lauk-pauk sejuk dan tidak luarbiasa seperti ini.

     Sekeping nota bertulisan tangan diperlihatkan terselit antara hidangan-hidangan yang kelihatan lazat ini. Aku mengambil nota berkenaan lalu membacanya. Ada tandatangan Komander Æzarnoush pada baris terakhir surat berkenaan.

"Selepas selesai makan dan bersolat, kamu diminta segera untuk menuju ke kompartmen bersebelahan bagi memulakan kursus kemandirian di bumi. Yang Memberikan Arahan, Komander Æzarnoush."

Seusai sahaja membaca surat pendek yang ditulis oleh Komander Æzarnoush itu, aku menyuapkan makanan yang terhidang dihadapanku ke dalam mulutku. Allahuakbar. Daging kambing lembut yang aku kira merupakan lamb steak itu mula seakan mencair pada organ lidah lalu merembeskan semacam cecair berlemak tatkala aku suakan sepotong dagingnya ke dalam mulutku. Keenakan rasanya tidak dapat aku gambarkan dengan kata-kata. Keseimbangan antara rasa manis, berlemak dan juga pelbagai lagi rasa membuatkan deria rasaku teruja dan menginginkan lagi. Hampir-hampir sahaja aku mengalirkan air mataku dengan keenakan rasa makanan yang dihidangkan ini. Terlalu jauh benar dengan 'kelazatan' makanan yang dihidangkan pada kami golongan marhaen anggota koloni lainnya.

"Maka, benarlah apa yang aku pernah dengar sesama warga koloni Athria-Gemilang ini bercerita dan gelarkannya sebagai urban legends. Makanan kebiasaan masyarakat koloni terbanyak yang dihidangkan di Kompartmen Dewan Makan itu adalah tidak sama kualitinya dengan makanan yang disediakan untuk anggota pentadbiran Athria-Gemilang." terdetik di hatiku.

Aku menghabiskan segala makanan yang tersedia di atas dulang. Rasa seperti mahu sahaja aku panjangkan momen menjamu selera makanan tersedap ini. Tetapi aku tidak boleh membuang masa. Kelak, Komander Æzarnoush boleh sahaja berubah fikiran pada bila-bila masa. Aku tidak mahu dijatuhi hukuman apungan ke luar stesen angkasa ini. Aku lebih rela dihantar ke permukaan bumi yang sudah tercemar teruk itu.

Selesai sahaja proses menjamu selera yang aku perkirakan antara makanan terbaik yang pernah aku telan sepanjang hidupku, aku ada terfikir sejenak yang mereka sebenarnya sengaja memberikan makanan yang enak dan lazat kerana mereka tahu misi kami ini dalam misi untuk membunuh diri. Kiranya, makananku tadi secara harfiahnya adalah merupakan antara makanan terakhir untuk banduan-banduan sebelum hukuman apungan sehingga mati dilakukan.

Bezanya antara aku dengan banduan-banduan lainnya, adalah aku akan dihantar ke permukaan bumi yang diperkirakan sudah tercemar dengan sisa radiasi berbahaya manakala banduan lainnya dihukum dengan hukuman apungan ke luar stesen angkasa ini sehingga mati. Tetapi tiada bezanya bukan?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro