Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

XXI : Kompartmen Makmal

     "SEKARANG, saya mahu kamu bersiap sedia." Komander Æzarnoush memberikan arahan lanjut.

     "Saya kena bertolak hari ini jugakah, Komander Æzarnoush?" aku agak terkejut apabila Komander Æzarnoush tiba-tiba sahaja menyuruhku bersiap sedia.

"Bukan. Kamu akan terlebih dahulu dipakaikan sejenis peranti penjejak kesihatan, gegelang kaki dan doktor akan memasukkan satu dos sejenis cecair vaksin pelali ke dalam tubuh kamu." Komander Æzarnoush menerangkan keadaan yang sebenarnya.

"Selepas itu, kamu akan dikuarantin selama 48 jam sebelum badan kamu dilumur dengan sejenis cecair antiseptik bagi mengelakkan jangkitan kuman ketika berada di persekitaran yang berbeza nanti."

"Kemudian, jurutera akan memakaikan kamu dengan sut Hazmat yang diperbuat daripada bahan plumbum tebal untuk menghalang sinaran radiasi berkepekatan tinggi daripada terus menembusi kulit kamu ketika kamu berada di permukaan kelak."

"Sepanjang tempoh 48 jam, kamu akan diberikan taklimat ringkas mengenai langkah-langkah kemandirian di bumi seperti menghidupkan api, berburu serta kaedah menjerang air supaya minuman yang akan kamu minum nanti bersih dan tidak tercemar. Kamu pernah belajar subjek kaedah kemandirian di bumi kan dengan Cikgu Æzack?"

    Aku menganggukkan sahaja kepalaku dan menjawab "pernah".

     "Bagus. Kali ini, Cikgu Æzack akan menyegarkan kembali ingatan kamu tentang subjek itu."

    "Cikgu Æzack juga akan menyerahkan beberapa alatan penting seperti beg camping serbaguna, telefon satelit yang boleh dicas dengan menggunakan tenaga solar, jam tangan pintar, sebuah alat pemandu GPS serta sekeping peta topografi untuk panduan misi kamu yang seterusnya." Komander Æzarnoush menamatkan kuliah pendeknya kepadaku.

     "Polis, tolong iring pesalah ini menuju ke kompartmen makmal." Komander Æzarnoush mengarahkan Pegawai Polis untuk mengiringiku berjalan menuju ke Kompartmen Makmal.

"Ayuh, Bangun!" anggota polis bernama "Æriz" berteriak tegas seakan-akan sedang memberikan arahan kepada kumpulan perbarisan kawad kaki.

Aku bingkas bangun dengan keadaan terkejut. Berderap-derap langkahan kakiku melangkah menuju ke luar bilik siasatan. Pegawai Polis yang bernama "Æjan" menunjukkan arah menuju ke bahagian kompartmen makmal. Kali ini, aku tidak digari oleh pegawai polis yang mengiringi perjalananku menuju ke ruang kompartmen makmal.

     Setibanya aku di kompartmen makmal,  aku diperlihatkan dengan pelbagai jenis radas, berbilang bahan kimia serta alatan makmal yang beraneka bentuk dan rupa. Dihadapanku pula, terdapat sebuah tempat perbaringan yang sudah tersedia dengan pelbagai jenis peranti dan picagari. Berbeza dengan kompartmen-kompartmen lain, kompartmen makmal mempunyai satu aroma yang sangat pelik dan memeningkan.

Bau-bauan itu seakan-akan bau bahan kimia seperti alkohol dan juga asid hidroklorik yang menusuk terus ke rongga hidungku. Suasana di kompartmen makmal juga agak berlainan kerana seluruh bahagian dalamannya dicat dengan warna putih. Di bahagian dindingnya, tersusun cantik pelbagai jenis cecair kimia. Ada yang berwarna ungu, ada yang berwarna oren dan ada yang berwarna merah. Sejujurnya, ini adalah pengalaman kali pertama aku memasuki kompartmen makmal ini.

     Seorang pegawai perubatan dengan tag nama "Æira" seperti sedang menantikan kehadiranku. Pegawai perubatan bernama "Æira" itu memakai pelitup muka, cermin mata keselamatan, kot makmal yang berwarna putih dan juga pelindung muka selain pada bahagian luarnya dilengkapi dengan pakaian PPE. Daripada segi fizikal, Æira diperkirakan mempunyai umur yang agak tua sedikit berbanding dengan umurku.

Walau bagaimanapun, saiz tubuhnya sedikit genit dan memakai tudung bawal yang ringkas. Kalau diperhatikan pada wajahnya, melalui kerutan pada bahagian tepi alis mata pegawai perubatan itu sebenarnya sedang tersenyum. Pegawai perubatan itu kemudiannya memanggil namaku untuk berbaring diatas tempat perbaringan. Lembut sahaja suaranya, seakan-akan mencerminkan perwatakannya yang lemah-lembut dengan kesantunan yang tinggi.

"Jelita juga orangnya." terdetik sepintas lalu di segenap ruang hatiku usai memandang raut wajah pegawai perubatan bernama "Æira" itu walaupun keseluruhan badannya ditutupi dengan pakaian pelindung keselamatan ataupun PPE.

Aku berbaring di atas tempat perbaringan yang disediakan, seperti yang diarahkan. Ketika berbaring, pandangan hadapanku ialah sebuah lampu terang berwarna putih yang tergantung tepat menghala ke arah kepalaku. Manakala, apabila aku memusingkan kepalaku ke belah kiri, aku dapat menatap wajah anggun insan yang bernama "Æira" itu.

     "Tuan pegawai polis. Diminta tuan keluar seketika dan berkawal di luar pintu kompartmen ini. Saya memerlukan ruang yang selesa untuk memasang peranti penjejak ini pada badan pesalah." Pegawai perubatan bernama "Æira" itu meminta pegawai polis supaya keluar daripada bilik kompartmen makmal.

"Nama siapa?" Pegawai perubatan bernama "Æira" mula bertanya kepadaku tentang namaku. Dia cuba memulakan komunikasi dengan pesakitnya supaya pesakitnya tidak merasa risau mungkin.

     "Ædrian." jawabku pendek sambil tersengih.

    "Ouh, Ædrian. Buka mulut luas-luas. Saya nak periksa kesihatan gigi kamu dahulu."

    Aku membuka mulut seluas-luasnya tanpa mempersoalkan apa-apa. Sepanjang gigiku diperiksa, aku ada perhatikan, pegawai perubatan bernama "Æira" sedang memegang sebuah kanta cermin cembung bersaiz kecil bersama dengan alatan besi seakan-akan alat pencungkil bersaiz kecil. Pada atas ribanya, ada sebuah borang dengan templat lukisan struktur gigi manusia yang dilapik papan dokumen. Sesekali, Æira mencatat maklumat-maklumat yang diketahuinya pada borang yang tersedia.

     "Gigi kamu dalam keadaan baik dan sempurna. Sekarang, kamu duduk bersila di atas tempat perbaringan. Saya nak periksa kadar degupan jantung dan juga fungsi paru-paru sebelum saya masukkan cecair pelali dalam badan kamu." Pegawai perubatan "Æira" mengambil stetoskop lalu mendekatkan bahagian diaphragm stetoskop berdekatan kawasan jantungku.

     Aku hanya membalas pujian Æira tentang gigiku dengan sengihan yang kelat.

"Sekarang, tarik nafas dan tahan sekejap."

    Aku menghela nafas panjang dan kemudian menahan seketika pernafasanku.

     "Lepaskan nafas kamu perlahan-lahan."

     Nafas yang ditahan selama beberapa saat itu aku lepaskan perlahan-lahan seperti yang diminta oleh Æira.

     "Kadar degupan jantung, normal. Kadar pernafasan juga normal. Bagus." sekali lagi, Æira memujiku.

      "Sekarang, saya nak minta izin untuk masukkan satu dos cecair pelali ini ke dalam badan kamu. Kemudian, saya mahu masukkan peranti berbentuk cip penjejak kesihatan bersaiz nano dan juga memasang gegelang kaki." Æira kemudiannya menunjukkan sebotol cecair pelali berwarna ungu yang bersaiz kecil sahaja, dalam anggaran 125 ml dan juga peranti cip penjejak berbentuk nano kad sim dan juga peranti seakan-akan penggari yang diletakkan pada bahagian buku lali kaki.

     Aku mengangguk faham dengan permintaan izin daripada Æira. Terasa kagum seketika tatkala dia meminta izin kepadaku untuk memasukkan bendasing ke dalam tubuh badanku, walaupun hakikatnya ini adalah sebahagian daripada hukuman kepadaku.

Ketika Æira sedang memulakan prosedur menyuntik tubuh badanku dengan cecair pelali yang aku sendiri tidak tahu kandungannya, aku bertanya kepada Æira tujuan semua ini dilakukan.

"Kenapa yer saya melalui prosedur pemeriksaan gigi, jantung, paru-paru serta badan saya perlu disuntik dengan cecair pelali ini?" kataku sambil memejam mata tatkala deria kulitku dapat merasakan cecair alkohol sejuk diletakkan pada permukaan kulit bahuku diikuti rasa pedih jarum halus yang terasa mencucuk dibahuku.

"Tujuan kami memeriksa keadaan kesihatan gigi kamu adalah kerana gigi merupakan antara bahagian penting dalam tubuh badan manusia yang paling sensitif sekiranya ia berada dalam kesakitan. Tiada klinik gigi boleh ditemui di permukaan nanti jikalau kamu mengalami sakit gigi."

"Pemeriksaan jantung dan paru-paru pula adalah sebagai prosedur biasa bagi sesiapa sahaja yang akan menjalankan kerja di luar badan stesen angkasa ini. Organ-organ seperti jantung dan paru-paru merupakan antara organ yang mempunyai struktur lapisan tisu paling kritikal sekiranya berlaku penembusan cemaran sinaran radiasi yang datangnya daripada permukaan bumi kelak. Jadi, saya harus memeriksanya terlebih dahulu supaya tidak ada masalah di kemudian hari."

"Cecair pelali ini pula adalah sejenis vaksin. Cecair ini berperanan sebagai imuniti tambahan pada organ dalaman dan seluruh tubuh badan kamu ketika kamu sedang menghadapi persekitaran baru kelak. Selain cemaran radiasi yang tersisa, kita tidak tahu jenis bakteria ataupun kuman jenis apa lagi yang sudah berevolusi selama tujuh puluh tahun dibawah sana. Sekurang-kurangnya, kamu mempunyai perlindungan tambahan ketika sedang menjalankan misi di permukaan nanti." Æira kemudiannya melekatkan plaster di bahuku setelah selesai menyuntik satu dos cecair pelali ke dalam badanku.

"Peranti penjejak ini pula?" sambil aku menuding ke sebuah peranti seakan kad sim bersaiz nano.

"Peranti penjejak ini pula berfungsi untuk kegunaan pentadbiran Athria-Gemilang dalam menjejak keberadaan kamu ketika sedang menjalankan misi dibumi nanti. Peranti ini dilengkapi dengan GPS terbina dan ianya turut memberikan maklumat-maklumat tambahan berkenaan tahap kandungan oksigen dalam darah, kadar penembusan atau penerimaan sinaran radiasi pada kulit ataupun organ kritikan, dan juga data kadar degupan jantung kamu. Semua data yang diperolehi akan direkodkan dalam masa sebenar dan datanya terus dihantar ke stesen angkasa ini menggunakan teknologi satelit yang tersedia."

"Makna kata, apa yang akan berlaku di bawah sana nanti, akan dipantau secara terperinci dan terus-menerus daripada stesen angkasa ini?" aku bertanya kepada Æira sambil berasa amat terkejut dengan kemampuan teknologi di stesen Athria-Gemilang ini.

"Ya, betul." ucap Æira ringkas.

"Gegelang kaki ini pula?"

"Gegelang kaki ini mempunyai beberapa peranan. Selain berguna untuk mencerap tahap kandungan organik dalam tanah, kadar kandungan oksigen di persekitaran dan juga kamera mikro yang terpasang untuk pemantauan daripada stesen angkasa Athria-Gemilang ini, ia juga berperanan sebagai hukuman renjatan bagi sesiapa yang tidak mengikuti arahan dan melawan segala prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak pentadbir koloni Athria-Gemilang. Faham?" Æira mengulas segala perincian dengan panjang lebar.

Peranti berbentuk cip penjejak bersaiz nano yang dipasang pada belakang tengkukku manakala gegelang kaki dipasang pada bahagian buku lali kaki kananku. Terasa nyilu bercampur pedih ketika Æira membelah sedikit bahagian bawah belakang tengkukku dengan menggunakan sebilah pisau kecil. Æira kemudiannya memasukkan secara cermat sekeping peranti penjejak yang bersaiz nano sebelum menjahitnya kembali. Aku juga dapat merasakan ada sesuatu bendasing yang bersaiz kecil sahaja tetapi berbentuk mendatar berada di belakang tengkukku. Gegelang kaki pula terasa agak padu dan sedikit berat ketika ianya mencengkam kakiku.

Gegelang kaki yang dipercayai diperbuat daripada bahan besi keluli aeroangkasa kitar semula dengan beberapa kanta kamera terbina pada empat sisi. Gegelang kaki ini aku syak dikuasakan tenaganya dengan menggunakan tenaga solar memandangkan terdapat beberapa keping panel solar yang disusun secara beriringan dengan kamera bersaiz mikro. Selain itu, aku dapat melihat kemasan hasil pateri gegelang kaki yang tidak memuaskan dan dengan jelas dibuat dalam keadaan tergopoh-gapah. Ada sebutir mentol berwarna merah yang berkelip-kelip pada bahagian belakang gegelang berkenaan. Saiz mentol itu kecil sahaja.

"Cuma nak ingatkan, cecair pelali ini akan memberikan kesan sampingan pada dua jam pertama. Kamu akan terasa pening-pening sedikit sebelum keadaan menjadi sediakala. Itu adalah proses yang semulajadi untuk cecair ini menstabilkan keadaannya dengan organ dalaman." Æira mengingatkan aku kepada side effects dos cecair pelali yang telah dia suntik ke dalam badanku.

     "Oleh itu, kamu disarankan untuk berehat seketika apabila tiba di kompartmen kuarantin nanti."

     Æira kemudiannya berjalan menuju ke pintu kompartmen makmal dan memanggil pegawai polis yang sedang berkawal diluar kompartmen makmal.

     "Sudah siap. Sekarang, kamu boleh mulakan tempoh kuarantin kamu. Saya akan datang kembali ke kompartmen kuarantin untuk proses terakhir iaitu melumurkan cecair antiseptik ke seluruh badan kamu dalam tempoh 48 jam nanti."

    "Kamu boleh turun sekarang." Æira memintaku untuk turun daripada tempat perbaringan.

     "Pegawai polis boleh iring pesalah ke kompartmen kuarantin sekarang."

     Pada ketika ini, aku sudah dapat merasakan sedikit kesan sampingan dos cecair pelali. Kepalaku terasa pening-pening lalat dan dunia sekelilingku dirasakan seperti tunggang terbalik. Ketika sedang berjalan, badanku terasa seperti terhuyung-hayang, keadaannya seperti orang mabuk yang sedang berjalan terawang-awang di luar angkasa. Sambil berjalan dengan keadaan terhuyung-hayang itu, aku diiringi pegawai polis keluar daripada kompartmen makmal. Kami bertiga berjalan menuju ke kompartmen kuarantin pula.

                            ***

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro