XVII : Kompartmen Tahanan
SEPANJANG perjalanan ke destinasi yang tidak kami ketahui, aku dan Æezzul hanya diam seribu bahasa. Pergerakan kami terbatas oleh gari besi yang mencengkam pergelangan tangan. Sepanjang perjalanan itu, kami hanya ditemani bunyi seretan kasut getah pada laluan pejalan kaki dan juga hiruk-pikuk warga koloni di sekeliling. Ada yang seakan-akan hairan, ada juga yang mula mencemuh dengan kata-kata nista. Bunyi hiruk-pikuk itu kemudiannya semakin lama semakin menghilang dan diganti pula dengan seakan bunyi kesibukan orang yang bekerja di dalam pejabat, bunyi alat telekomunikasi telefon berdering dan juga bunyi orang menaip sesuatu pada papan kekunci.
Pemandangan mata kami pula hanyalah gelap gelita. Bahagian kepala kami telah diselubungi dengan serkupan plastik hitam yang maha gelap. Dalam beberapa minit kemudiannya, kami tiba di sebuah bilik, seakan-akan bilik tahanan. Bagaimanakah aku dapat mengagak yang kami berdua dibawa ke bilik tahanan? Secara logiknya, apabila seseorang warga koloni telah ditangkap olah anggota polis, mereka selalunya akan dibawa ke kompartmen tahanan.
Cerita mulut ke mulut antara warga koloni sebelum-sebelum ini ada mengatakan bahawa kompartmen tahanan adalah antara kompartmen paling teruk, tersorok dan kotor jika dibandingkan dengan kompartmen-kompartmen lainnya yang ada. Lagenda juga ada mengatakan bahawa sesiapa sahaja yang telah masuk ke kompartmen tahanan ini, tidak akan pernah sekalipun dapat keluar dengan selamat. Tahanan akan menjalani hukuman samada diapungkan ke luar stesen Athria-Gemilang ini untuk setiap kesalahan berat, ataupun menjalani 'tempoh khidmat koloni' yakni tempoh berkhidmat dengan membersihkan kawasan kompartmen tahanan sehingga ke akhir hayat.
Dalam erti kata lain, kompartmen tahanan adalah salah satu daripada pelbagai lagi kaedah terancang hasil buah fikiran Komander Æzarnoush untuk mengurangkan kadar populasi koloni stesen angkasa Athria-Gemilang ini. Seusai sahaja serkupan plastik hitam dibuka, aku dapat melihat sebuah bilik yang sungguh uzur, penuh contengan di dinding dan juga keadaan pintunya yang sudah berkarat. Kelihatan, sebuah baju banduan yang berwarna oren tua dengan nombor '2164' terpapar pada bahagian lengan dan juga bahagian belakang baju. Baju banduan itu telah tersedia dan terlipat kemas di atas katil. Keadaan baju itu agak lusuh tetapi masih boleh dipakai.
Berhadapan dengan katil yang keadaannya agak uzur itu pula adalah sebuah meja besi dan juga kerusi yang juga sudah semakin dimamah usia. Meja itu kelihatan menyenget sedikit. Ada bahagian kakinya yang sudah membengkok. Pada bahagian atas meja besi yang hampir berkarat itu pula, kelihatan beberapa batang pen dan juga buku nota. Mungkin, pen dan buku nota itulah satu-satunya cara banduan di kompartmen ini untuk berhibur dengan permainan kata dan tulisan. Lokasi tandas pula tidak sampai tiga langkah daripada kawasan katil. Namun, ada satu bauan misteri yang seakan-akan bau tengik terpekung yang cukup menusuk ke rongga deria bau hidungku. Mungkin, ada bahagian tertentu di dalam mangkuk tandas mahupun tangki septik yang telah tersumbat sejak sekian lama.
Aku di letakkan dalam sebuah bilik bernombor 412. Bilik itu cukup sempit dan hanya mempunyai ruang yang minima. Pada bahagian dinding bilik itu pula dapat dilihat penuh dengan pelbagai tulisan-tulisan pudar yang ada sebahagiannya masih boleh dibaca. "Aku mahu bebas!", "Ibu, maafkan segala dosaku!", "Daripada kalian apungkan aku, adalah lebih baik sekiranya kalian lepaskan aku sahaja ke permukaan bumi!" dan pelbagai lagi kata-kata rayuan banduan-banduan di akhir hayat mereka. Æezzul pula hilang entah ke mana. Mungkin, anggota polis yang membawa kami tadi sudahpun meletakkan Æezzul disebuah bilik tahanan yang berasingan. Gari besi yang mendakap tangan tadi sudahpun dibuka kuncinya oleh pegawai polis dengan tag nama 'Æriz' itu.
"Mulai sekarang, ini merupakan ruang kehidupan kau di stesen angkasa ini."
"Makanan akan dihantar pada pukul lapan pagi, satu petang dan lapan malam melalui tetingkap ini." ujar pegawai polis bernama 'Æriz' itu sambil menunjukkan ke arah satu lubang tetingkap kecil pada pintu yang berbentuk segi empat tepat.
"Pinggan yang kotor akan diambil setengah jam daripada waktu makan. Sekiranya kamu lambat untuk meletakkan kembali pinggan di tetingkap kecil ini, tiada makanan yang akan disediakan pada sesi makan seterusnya. Ingat pesanan ini!"
Pintu besi itu mempunyai beberapa buah palang besi yang agak jarang-jarang jaraknya pada bahagian atas, manakala bahagian tengahnya pula ditutupi dengan besi padu yang agak berat. Ada beberapa bahagian pintu itu sudah agak berkarat selain mempunyai tulisan-tulisan yang sudah pudar. Hanya, bahagian paling bawah sekali yang mempunyai tetingkap empat segi yang dikhaskan untuk memasukkan makanan tahanan.
Aku hanya menganggukkan kepalaku sahaja sambil menunduk.
"Bersihkan diri dan pakai baju lokap ni. Lagi satu jam, ada anggota yang akan datang untuk bawa kamu ke bilik soal siasat." tambah pegawai polis itu lagi dengan nada yang tegas. Pegawai polis itu kemudiannya berlalu pergi serta mengunci bilik tahanan bernombor 412 itu daripada bahagian luar dengan beberapa buah kunci mangga.
Daripada bahagian bilikku, kedengaran suara bergema-gema yang dihasilkan oleh bunyi pantulan suara anggota polis memberikan arahan. Bunyi jeritan meminta pertolongan dan pujuk rayu yang dipercayai datang daripada beberapa orang tahanan juga jelas kedengaran. Bunyi itu menjadi bukti bahawa, tahanan-tahanan lain sedang menjalani tempoh hukuman mereka di kompartmen tahanan itu. Selain bunyi jeritan tahanan dan anggota polis, bunyi seakan-akan besi bergesel yang menghasilkan beberapa siri bunyi yang membingitkan telinga dan juga bunyi hentaman objek yang tidak diketahui juga turut kedengaran.
Suatu masa dahulu, aku pernah mendengar cerita daripada mulut ke mulut antara warga koloni yang mana lokasi kompartmen tahanan ini terletak di bahagian paling hadapan yakni berhampiran dengan bahagian bilik enjin utama yang menggerakkan seluruh stesen angkasa Athria-Gemilang ini. Stesen angkasa ini secara harfiahnya bergerak pada kelajuan 18,000 kilometer sejam mengelilingi planet bumi. Mungkin, ada logiknya juga apa yang diperkatakan oleh warga koloni ini tentang kompartmen tahanan ini.
Disebabkan lokasi kompartmen tahanan ini yang terletak pada bahagian 'muncung' stesen angkasa ini jugalah, secara logiknya aku akan mendengar bunyi seakan-akan hentaman yang agak kuat. Majoriti warga koloni tahu bahawa stesen angkasa Athria-Gemilang ini dilindungi oleh sebuah pelindung geo-magnetik daripada bahan-bahan sampah-sarap angkasa. Sampah-sarap angkasa ini terdiri daripada pelbagai jenis bahan bendasing yang terapung-apung tanpa hala tuju seperti bahan luar angkasa, batuan meteorit, bangkai satelit yang sudah tidak digunakan lagi, anggota badan mayat warga koloni yang telah meninggal dunia lalu diapungkan ke luar mahupun objek-objek kecil yang tidak dapat dikesan oleh radar tetapi masih boleh memberikan kemudaratan kepada seluruh koloni.
Pada situasi ini, perkara yang jarang-jarang aku ambil peduli akan bunyinya di sepanjang hidup aku, akan muncul untuk mengisi kekosongan jiwa yang terperangkap dalam bilik tahanan yang maha sempit ini. Perasaan aku ketika ini? Mestilah bercampur baur antara sedih, risau, bimbang dan berserah. Sedih kerana perbuatanku akhirnya memakan diri, risau akan keadaan ibu dan ayahku yang pasti antara insan yang paling terkesan dengan perbuatanku ini. Bimbang akan hari-hari esok yang bakal mendatang. Berserah sepenuhnya kepada takdir yang telah ditentukan oleh Allah SWT.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro