Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

XIX : Tawaran

    "TAWARAN?" aku agak terkejut dengan kata-kata Komander Æzarnoush.

     "Tawaran yang macam mana tu?" nada suaraku yang sedari tadi kedengaran agak serak-serak basah akibat perasaan cemas dan cuak yang terlampau itu tiba-tiba sahaja bertukar 'mood' kepada perasaan yang teruja dengan "tawaran" yang disuarakan oleh Komander Æzarnoush.

Tetapi, aku tidak tahu "tawaran" jenis apakah atau bagaimanakah bentuk "tawaran" yang cuba disampaikan oleh Komander Æzarnoush itu.

"Tawaran untuk membawa anda dan sembilan lagi pesalah-pesalah dari stesen angkasa Athria-Gemilang ke permukaan bumi." ujar Komander Æzarnoush sambil mukanya berpaling ke arah Pegawai Penyiasat Æthan.

     Dia seperti memberikan isyarat mata kepada Pegawai Penyiasat Æthan. Pegawai Penyiasat Æthan hanya menangguk faham dengan isyarat mata yang diberikan oleh Komander Æzarnoush. Pegawai Penyiasat Æthan mengeluarkan sekeping sampul surat yang berwarna coklat. Di dalam sampul surat berkenaan, terdapat beberapa keping kertas yang dipercayai merupakan surat perjanjian rasmi.

"Tapi komander. Berdasarkan kepada pembacaan saya dalam buku laporan Misi Episiklus Cakerawala LXX, bukankah planet bumi masih lagi mengandungi baki sisa toksik tinggalan zaman sebelum episod 'Letupan Besar' pada bahagian permukaannya? Sumber air, tanah waima sumber udara juga masih lagi dicemari dengan baki sisa radiasi yang berbahaya?" aku melontarkan soalan kepada Komander Æzarnoush dengan penuh kehairanan.

"Itu saya tidak tahu. Yang saya tahu, suka ataupun tidak, inilah bentuk hukuman yang bakal kamu perolehi." ujar Komander Æzarnoush secara sinis sambil matanya memandang ke arah luar bilik siasatan. Kedengaran sedikit bongkak pada intonasi suaranya.

Kemudian, Komander Æzarnoush berpaling mukanya ke arahku sambil tersenyum. Kelihatan, terukir sedikit senyuman yang tidaklah berapa ikhlas serta dipenuhi pula dengan perasaan hasad dengki dan dendam kesumat. Dia seakan memberikan isyarat tangan kepada Pegawai Penyiasat Æthan, memanggil pegawai polis yang sedang berkawal diluar bilik siasatan untuk masuk ke dalam bilik.

Dua orang pegawai polis yang memegang tag nama "Æriz" dan "Æjan" masuk ke dalam bilik siasatan sambil menanti arahan seterusnya daripada Komander Æzarnoush.

"Polis, tolong buka kunci gari pada tangan pesalah. Dia perlu menandatangani beberapa keping dokumen penting." Komander Æzarnoush memberikan arahan kepada kedua orang pegawai polis pengawal.

     Salah seorang pagawai polis bernama "Æjan" mengeluarkan segugus kunci. Gugusan kunci itu dipercayai mengandungi kunci yang dapat membuka gari yang menekap pada bahagian pergelangan tanganku.  Kemudian, dia memasukkan sekeping kunci gari pada tanganku sehingga gari yang mengunci kedua belah pergelangan tanganku akhirnya terbuka.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat Æthan mengeluarkan beberapa keping kertas daripada sampul surat berwarna coklat. Kemudian, dia meletakkan kepingan kertas terbabit di atas meja yang terletak berhadapan denganku. Meja itu bersekali dengan kerusi yang aku sedang duduk sambil digari sejak sedari awal tadi. Usai gari yang menekap di pergelangan tanganku dibuka, aku dihulurkan pula dengan sebatang pen berdakwat basah oleh Komander Æzarnoush.

     "Baca surat ni kuat-kuat. Kemudian, turunkan tandatangan kamu pada setiap ruangan yang disediakan pada setiap helaian." Komander Æzarnoush menjengilkan matanya sambil memberikan arahan. Tangannya menunjukkan isyarat kamera kepada pegawai yang berada dibahagian luar bilik siasatan untuk mula merakam.

     Aku kemudiannya merapatkan kedudukan kerusi yang aku sedang duduki dengan bahagian meja yang berada dihadapanku. Kertas halaman pertama aku selak. Kemudian, aku mula membaca tulisan yang terpampang pada helaian demi helaian surat perjanjian berkenaan.

"Saya, Ædrian dengan ini mengaku kesilapan dan kekhilafan saya dengan melanggar undang-undang dan perlembagaan yang telah ditetapkan oleh penguasa tertinggi Koloni Athria-Gemilang." aku mula membacakan surat perjanjian.

"Kuat lagi!" Komander Æzarnoush tiba-tiba sahaja berteriak dengan nada yang agak tinggi membuatkan mereka yang berada di dalam bilik siasatan sedikit terkejut.

Aku menguatkan lagi nada suaraku. "Bagi menebus kekhilafan ini, saya dengan ini bersetuju dengan syarat dan cadangan supaya pihak pentadbir Koloni Athria-Gemilang menghantar diri saya ke permukaan bumi."

"Saya juga bersetuju dan akur sekiranya pihak pentadbir Koloni Athria-Gemilang mahu melekatkan apa-apa jua peranti ataupun memasukkan apa-apa jua bahan cecair kimia pada tubuh badan saya sekiranya dirasakan perlu untuk kegunaan pihak koloni tanpa sebarang syarat." pada waktu ini, nada suaraku sedikit terketar-ketar.

"Sekiranya saya tidak berjaya hidup ketika misi ini sedang berlangsung sebagai akibat samada ianya berlaku daripada situasi persekitaran di permukaan bumi, ataupun ketika proses pendaratan yang tidak seperti dirancang, ataupun apa-apa jua punca yang boleh membawa kepada peristiwa kecederaan, kehilangan anggota badan mahupun sehingga membawa maut, saya dan ahli keluarga saya tidak berhak untuk menuntut sebarang pampasan." bermula ayat ini, perasaan sebak sudah mula menyelubungi diri.

Komander Æzarnoush hanya tersenyum sahaja ketika sedang memerhatikan gelagatku. Kadang-kadang nada suaraku bersemangat. Terkadang pula, nada suaraku serak-serak basah sambil menahan sebak.

"Ini adalah sebagai hukuman untuk saya yang telah melanggar peraturan yang telah ditetapkan oleh pentadbiran Koloni Athria-Gemilang." aku menamatkan ayat terakhir surat perjanjian ini dengan linangan air mata.

Jelas sekali, Komander Æzarnoush cuba untuk 'menghalalkan' perbuatan pembunuhan terang-terangannya atas nama mengurangkan kadar populasi koloni stesen angkasa Athria-Gemilang ini dengan menggunakan kaedah hukuman yang berbeza pula. Mengurangkan populasi penduduk koloni bermakna semakin meningkatlah sumber makanan, ruang dan yang paling penting, sumber oksigen untuk satu jangka masa tertentu.

Kali ini, dia mempergunakan pula pesalah-pesalah seperti aku untuk turun ke permukaan bumi, menjadi bahan ujikaji dan berkorban di sana. Entah bagaimanalah rupa keadaan di permukaan sana. Sejujurnya, perasaanku bercampur baur ketika membaca surat perjanjian ini. Aku pada awalnya memang teruja untuk turun ke permukaan sana. Itulah sebabnya aku pecah masuk ke kompartmen Pentadbiran semata-mata untuk aku dapatkan maklumat tentang Misi Episiklus Cakerawala LXX ini.

     Namun pada ketika ini, selepas sahaja membaca laporan Misi Episiklus Cakerawala LXX yang tidak meyakinkan ditambah surat perjanjian berat sebelah yang telah dirangka oleh Komander Æzarnoush, perasaanku berbelah bahagi. Melalui surat perjanjian ini, jelas menunjukkan bahawa individu yang di hantar ke permukaan bumi ini hanyalah sebagai alat dan bahan kajian pentadbir koloni Athria-Gemilang sebelum apa-apa keputusan dibuat oleh pihak pentadbir. Aku tidak ubah seperti tikus makmal. Jasadku seakan-akan tidak berharga. Persoalan yang paling besar, adakah aku mampu untuk meneruskan kemandirian dan kekal hidup ketika berada di permukaan bumi sana? Banyak persoalan-persoalan baru yang mulai timbul.

"Apa termenung lagi?! Tandatangan lah surat perjanjian itu! Kamu mahu hukuman apungan ke?!" Komander Æzarnoush tiba-tiba menjerkah dengan suara garau tinggi sambil menepuk meja dengan cukup kuaf. Terkejut semua orang yang ada di dalam bilik siasatan itu.

Aku yang sedang jauh mengelamun memikirkan kesan dan akibat sekiranya aku menandatangani surat perjanjian ini agak terkejut dengan suara garau jerkahan Komander Æzarnoush itu. Mahu tidak mahu, aku terpaksa menandatangani juga surat perjanjian ini. Jikalau aku berkeras untuk tidak menurunkan tandatangan, kemungkinan besar nyawaku pasti melayang sia-sia dek kerana deria pernafasanku tidak dapat bernafas di vakum angkasaraya yang tiada oksigen. Ini ditambah jasad badanku yang akan menerawang terapung-apung tanpa hala tuju.

Akhirnya, aku menurunkan tandatangan pada ruangan yang disediakan. Semoga, ini keputusan terbaik yang aku ambil dalam hidupku walaupun berisiko tinggi.

***

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro