XIII : Rancangan Diteruskan
"AKU dah buat keputusan. Kita teruskan misi kita ini." ujarku sambil memandang tepat ke arah laluan ke kompartmen Pentadbiran.
"Engkau dah fikir masak-masak? Kita bakal buat kerja gila ni." Æezzul meminta pengesahan daripadaku sambil menggalas sebuah beg yang bersaiz sederhana besar.
"Aku dah fikir sedalam-dalamnya. Now or never. Inilah peluang terbaik dan terakhir untuk kita dapatkan maklumat berkenaan kertas laporan 'Episiklus Cakerawala LXX' tu. Kalau kita tak lakukan sesuatu sekarang, aku bimbang kita sudah tak berpeluang untuk laksanakannya lagi." ujarku nekad.
Kami berdua perlahan-lahan bergerak menuju ke arah ruang pengudaraan yang berhubung terus dengan kompartmen Pentadbiran. Ini selari dengan peta lantai asal stesen angkasa Athria-Gemilang ini yang telah ditunjukkan oleh Æzart sebentar tadi. Sambil bergerak secara perlahan, kami melihat-lihat keadaan sekeliling dibahagian kiri, kanan dan juga keberadaan kedudukan kamera litar tertutup yang ada tanpa terlalu menonjol. Kemudian, kami berdua menyelinap masuk ke dalam ruang pengudaraan yang dipenuhi sawang labah-labah dan juga hampas habuk yang halus. Mujur sahaja saiz badan kami berdua genit. Jadi, hanya perlu merangkak sahaja di dalam ruangan pengudaraan terbabit.
Di ruangan pengudaraan itu pula, mujur sahaja Æezzul ada membawa beberapa keping pelitup muka di dalam saku seluar. Pelitup muka kemudian dihulurkan oleh Æezzul dan kami berdua terus memakai pelitup muka berkenaan. Pelitup muka dipakai bagi mengelakkan daripada organ hidung menjadi gatal-gatal akibat habuk halus yang memasuki rongga hidung lalu terbersin. Sebarang bunyi bising yang terhasil melalui ruangan pengudaraan berkenaan boleh menghasilkan satu gema yang cukup kuat dan didengari oleh kebanyakan koloni stesen angkasa ini.
Selain itu, sebarang bunyi pelik yang kuat juga boleh menyebabkan pengawal keselamatan yang sedang berkawal di kompartmen Pentadbiran itu boleh menyedari kehadiran kami berdua, ataupun boleh juga menyebabkan sensor keselamatan dapat mengesan sebarang pergerakan penceroboh lalu mencetuskan amaran awal yakni lampu merah menyala dengan satu bunyi siren yang membingitkan telinga. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku.
Kami berdua perlahan-lahan merangkak ke dalam ruang pengudaraan itu dengan berhati-hati. Apabila sampai di bahagian tengah ruangan pengudaraan tersebut, baju sudah kelihatan kotor sedikit. Keadaan baju juga sedikit compang-camping akibat terpalit dengan kesan kotoran habuk yang terkumpul di ruangan itu selama berpuluh-puluh tahun tanpa dibersihkan. Semakin lama, semakin hampir dengan dengan kawasan ruangan kompartmen Pentadbiran.
Setibanya kami berdua ke kawasan kompartmen Pentadbiran itu, dengan perlahan kami membuka jeriji besi yang menutupi kawasan ruang pengudaraan terbabit yang menghubungkan dengan kawasan kompartmen terpenting itu. Dengan cermat, kami berdua perlahan-lahan keluar daripada ruang pengudaraan yang sempit itu dan melompat ke dalam kompartmen Pentadbiran. Setakat ini, masih tiada bunyi loceng kecemasan yang kedengaran mahupun cahaya sensor infra-merah dan juga laser seperti yang digembar-gemburkan oleh Æzart sebentar tadi.
Keadaan di dalam kompartmen Pentadbiran itu sedikit malap, dengan hanya kelihatan sumber pencahayaan malap yang datangnya daripada lampu kecemasan yang berada di bahagian sisi atas kompartmen berkenaan. Tambahan pula, sudah tidak ada lagi petugas yang berada dalam kompartmen berkenaan kerana waktu pejabat sudahpun berakhir. Jadi, kompartmen Pentadbiran berkeadaan sunyi sepi tanpa sebarang kelibat manusia. Hanya bunyi derapan tapak kaki penduduk koloni yang melalui kawasan laluan berdekatan dengan kompartmen ini yang boleh didengari daripada kompartmen Pentadbiran itu selain bunyi samar-samar besi keluli yang bergesel antara satu sama lain ketika stesen angkasa ini mengorbit cakerawala.
Æezzul menepuk-nepuk bahagian bajunya yang dikotori dengan sarang labah-labah dan juga kotoran habuk yang datangnya daripada ruang pengudaraan itu manakala aku terus menuju ke arah bahagian beberapa almari yang berada di dalam kompartmen Pentadbiran terbabit. Ada almari yang tertulis pada bahagian hadapannya dengan perkataan 'pentadbiran', ada pula almari yang di label dengan perkataan 'sulit & rahsia'. Malangnya, almari yang tertulis perkataan 'sulit & rahsia' itu dikunci rapat dengan palang mangga.
Aku pula tercari-cari akan keberadaan kunci kepada palang mangga almari berkenaan di sekitar atas meja dan juga laci yang tidak berkunci tanpa terlalu menyelerakkan ruang pejabat berkenaan. Setiap kunci yang aku temui di dalam laci, akan dicuba untuk membuka palang mangga berkenaan, namun kesemuanya tidak membuahkan sebarang hasil. Kami berdua sudah tidak mempunyai banyak masa. Jikalau pengawal keselamatan di bahagian luar kompartmen Pentadbiran ini mengesyaki keberadaan kami disini, ianya merupakan satu masalah besar bagi kami berdua!
Tiba-tiba sahaja, aku terpandangkan sebuah peti kayu kecil yang terletak dibahagian bawah laci berkaca yang tidak berkunci berdekatan meja yang tertulis nama 'Komander Æzarnoush'. Peti kayu klasik dengan sapuan bahan berdamar yang unik dan berkilat itu kecil sahaja saiznya, sepertinya saiz telapak tangan seorang manusia angkasa. Peti berkenaan walau bagaimanapun hanya boleh diselak ke tepi dengan bahan besi yang diperlihatkan telah dimamah usia dan kelihatan sedikit berkarat. Apabila aku membuka peti kayu berkenaan, terlihat segugus anak kunci yang dialas dengan kain baldu berwarna biru tua. Alat kunci berkenaan ditandai dengan nama 'sulit & rahsia'. Aku mengagak bahawa kunci berkenaan adalah untuk almari yang tertulis perkataan 'sulit & rahsia'.
Sambil berbisik, perlahan-lahan aku memanggil Æezzul yang ketika itu sedang mencari-cari juga anak kunci di sekitar meja lain yang berdekatan dengan tujuan yang sama.
"Æezzul! Aku dah jumpa kunci kat dalam kotak ni!" ujarku sambil menunjukkan ke arah bawah lari kaca yang tersimpannya peti kayu berdekatan meja Komander Æzarnoush.
Aku kemudiannya mengangkat peti kayu berkenaan sambil meletakkannya di atas meja. Kemudian, selak yang mengunci peti besi itu dikuak ketepi lalu gugusan kunci yang terkandung didalam peti kayu berkenaan diambil dengan cermat. Satu persatu gugusan kunci berkenaan dicuba pada besi palang mangga sehingga satu kunci yang lebih besar pada gugusan kunci itu akhirnya berjaya membuka palang mangga berkenaan.
Dengan perlahan, pintu almari yang tertulis perkataan 'sulit & rahsia' itu dikuak dengan perlahan. Terlihat beberapa fail tebal yang tertulis pelbagai misi, bermula daripada 'Misi Cakerawala I' sehinggalah kepada 'Episiklus Cakerawala LXX' yang ditandai dengan warna fail yang berbeza-beza. Daripada pemerhatian di almari berkenaan, fail 'Misi Cakerawala I' merupakan fail misi penyelamatan tamadun manusia ke angkasaraya manakala fail laporan 'Episiklus Cakerawala LXX' pula merupakan misi pendaratan tamadun manusia ke planet bumi yang sudah tidak tercemar dengan sinaran radiasi. Fail-fail laporan sulit berkenaan kelihatan sedikit lapuk dan didapati telah usang namun masih boleh dibaca.
Aku mengambil fail laporan 'Episiklus Cakerawala LXX' itu lalu dimasukkan ke dalam beg galas kepunyaan Æzart. Kami berdua kemudiannya menutup kembali pintu almari yang ditandai dengan perkataan 'sulit & rahsia' dengan cermat tanpa meninggalkan sebarang jejak serta kesan yang boleh memberi maklumat mudah kepada pentadbir stesen angkasa ini. Gugusan kunci yang digunakan bagi membuka kunci palang mangga itu diletakkan kembali ke dalam peti kayu itu. Kemudian, peti kayu itu diletakkan kembali ke dalam laci kepunyaan Komander Æzarnoush.
Dengan pantas, kami berdua terus beredar ke dalam ruang pengudaraan tadi lalu mengesot laju untuk keluar ke kawasan laluan belakang yang amat jarang dilalui oleh penduduk koloni. Kami berdua kemudiannya hilang di celahan laluan utama bersama keramaian penduduk koloni yang sedang sibuk untuk mendapatkan makan malam masing-masing yang sedikit malap di stesen angkasa Athria-Gemilang itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro